Unregistered Member
sign up
 Login

Username or Email

Password

Forget Password?

Free Register

 Main Page
 Announcement
 Discussion
 Article
 Photo Album
 Market Place
 Sharing List
 Stateboard
 Member List
 Like
 Applications
 Sign-Up

Article

 omata • 14 years ago • 6,000 viewed


Keharusan berpoligami dibolehkan kepada semua lelaki Islam. Walau
bagaimanapun, tidak semua lelaki Islam boleh berpoligami. Poligami
sebenarnya khusus untuk lelaki atau suami yang istimewa sahaja. Lelaki atau
suami istimewa ialah suami yang mempunyai kelebihan-kelebihan khas, yang
tidak terdapat pada lelaki-lelaki lain. Kelebihan-kelebihan ini membolehkan
dia mengatasi segala cabaran, halangan dan rintangan yang perlu ditempuhi,
apabila berhasrat untuk berpoligami. Cabaran, halangan dan rintangan ini
bukan sahaja selepas berpoligami, malah sebelum berpoligami. Jika halangan
dan rintangan ini berjaya ditempuhi, barulah dia seorang lelaki istimewa dan
layak untuk berpoligami.

Kelebihan utama yang perlu ada pada seorang suami yang ingin berpoligami
ialah mampu dan berkuasa menanggung nafkah isteri-isteri dan orang di bawah
tanggungannya. Nafkah adalah perkara penting dalam rumahtangga, dan ia
menjadi kewajipan suami. Bahkan haram hukumnya seseorang itu berkahwin,
sedangkan tidak mampu memenuhi keperluan nafkah isterinya. Firman Allah
s.w.t. (Al-Baqarah:233) yang bermaksud : ``Dan kewajipan suami memberi makan
dan pakaian kepada isteri dengan cara yang baik.'' Rasulullah s.a.w. juga
bersabda yang bermaksud : ``Takutilah Allah dalam urusan kaum wanita. Kerana
kamu mengambil mereka dengan amanah Allah dan kamu menghalalkan persetubuhan
dengan mereka dengan nama Allah. Bagi mereka tanggungjawab atas kamu untuk
memberi nafkah makan minum dan pakaian dengan cara yang baik.''

Tidak semua lelaki mampu dan memiliki keistimewaan untuk menanggung nafkah
ramai isteri dan ramai tanggungan. Kemampuan untuk menanggung nafkah ini
adalah bermaksud ``menggandakan tanggungjawab'' bukan ``mengurangkan
tanggungjawab sedia ada''. Apabila seseorang suami berpoligami,
tanggungjawabnya bertambah, sama ada tanggungjawab ekonomi, sosial dan
keagamaan. Suami yang berpoligami, tetapi kemudian mengurangkan komitmen
kepada isteri sedia ada dan anak-anak, maka sebenarnya dia bukanlah lelaki
istimewa yang layak untuk berpoligami. Jika selepas berpoligami memudaratkan
isteri dan anak-anak, misalnya makan minum tidak mencukupi, tempat tinggal
tidak terurus dan sebagainya, suami tidak layak. Dan hukum berpoligami boleh
membawa kepada haram.

Sebab itu, ramai suami yang tidak mempunyai ciri-ciri keistimewaan ini,
mengambil jalan alternatif berkahwin tanpa kebenaran Mahkamah. Kemudian
timbul masalah tidak dapat menanggung nafkah isteri-isteri serta anak-anak.
Makan minum tidak cukup, yuran dan buku sekolah anak-anak tidak berbayar.
Ada kes isteri kedua memohon cerai kerana suami tidak memberi nafkah. Ciri
keistimewaan berikutnya, ialah kebolehan untuk berlaku adil. Adil adalah
syarat utama untuk suami berpoligami. Ayat al-Quran tentang keharusan
berpoligami (surah An-Nisa' ayat 3) jelas menyebutkan perkataan `adil', yang
bermaksud: ``Kahwinilah wanita-wanita yang kamu sukai, dua, tiga dan empat.
Tetapi jika kamu khuatir tidak dapat berlaku adil (antara wanita-wanita
itu), hendaklah satu sahaja atau budak yang dalam milikmu. Ini paling dekat
kepada kamu supaya tidak berlaku curang.''

Keadilan yang dimaksudkan di dalam ayat di atas ialah perkara-perkara yang
boleh dilakukan mengikut fitrah kejadian manusia, seperti keadilan dari segi
makan minum, pakaian, tempat tinggal, giliran bermalam serta waktu yang
dihabiskan oleh seorang suami dengan tiap-tiap isterinya). Walau
bagaimanapun, tidak semua lelaki mempunyai keistimewaan untuk
membahagi-bahagikan perkara ini secara adil. Lelaki yang ingin berpoligami
perlu berfikir, menilai dan mengkaji perkara ini terlebih dahulu, adakah dia
boleh berlaku adil kepada isteri-isterinya? Arahan supaya berfikir, menilai
dan mengkaji terlebih dahulu ini adalah arahan Allah s.w.t. dalam ayat di
atas. Perkataan `jika kamu khuatir tidak dapat berlaku adil' menghendaki
suami berfikir, mengkaji dan membuat penilaian terlebih dahulu, sebelum
berpoligami. Bolehkah adil atau tidak? Kalau yakin boleh, kahwinlah sehingga
empat sekalipun. Tetapi jika tidak yakin boleh, atau lebih kepada tidak
berlaku adil, satu sahaja sudah cukup. Bukannya disuruh berkahwin dahulu,
kemudian baru hendak berfikir soal keadilan.

Cabaran seterusnya yang perlu dihadapi oleh suami yang ingin berpoligami
ialah cabaran untuk menerangkan maksud hati kepada isteri yang sedia ada.
Kemudian cabaran bagi menghadapi respons isteri, setelah diberitahu hasrat
untuk berpoligami. Bolehkah isteri menerima dengan hati terbuka? Jika ya,
alhamdulillah. Ataupun sebaliknya, isteri tidak boleh menerima. Majoriti
wanita fobia apabila suami menyebut perkataan `poligami'; marah, bermasam
muka, tidak mahu bercakap, tidur berpaling muka dan sebagainya. Paling
dahsyat diiringi sumpah seranah dan maki hamun atau sampai ke tahap meminta
cerai. Inilah antara cabaran-cabaran yang perlu dihadapi oleh seorang suami
yang berhasrat untuk berpoligami.

Realitinya, lelaki atau suami yang istimewa, dia langsung tidak gentar untuk
memberitahu isteri mengenai hasratnya. Secara `gentlemen' dan berhati waja,
dia juga tidak gentar dan bersedia menghadapi apa jua respons daripada
isteri. Dan hanya lelaki atau suami istimewa sahaja yang mempunyai sifat
keberanian ini. Lelaki istimewa tidak akan berkahwin senyap-senyap atau
kahwin dahulu, kemudian baru hendak memberitahu isteri. Ada suami yang tidak
istimewa, tetapi masih hendak berpoligami. Sebab itu ada yang mengambil
jalan alternatif, berkahwin senyap-senyap.Apabila isteri mengetahui selepas
itu, isteri marah pun tidak mengapa, sebab sudah berkahwin. Apa yang isteri
boleh buat? Sesetengah kes, kerukunan rumahtangga tergugat akibat perkara
ini. Isteri mendakwa suami menipu, berkahwin tidak memberitahu dan
sebagainya. Lelaki yang ingin berpoligami perlu bermuhasabah, menilai dan
mengkaji diri sendiri, adakah dia lelaki istimewa yang dianugerahkan oleh
Allah s.w.t. dengan ciri-ciri tersebut di atas. Adakah dia berani
memberitahu isteri tentang hasratnya? Adakah dia boleh menanggung nafkah
isteri dan anak-anak lebih daripada seorang? Adakah dia boleh berlaku adil
kepada isteri-isterinya? Arahan supaya berfikir, mengkaji dan menilai
terlebih dahulu ini adalah arahan Allah s.w.t. dalam surah an-Nisa' di atas.

Lelaki atau suami yang ingin berpoligami juga perlu membuat siasatan
terperinci, kaji selidik dan buat paper work untuk menentukan apa kelebihan
dan apa keburukannya jika dia berpoligami. Tiga persoalan di atas perlu
diberi jawapan dengan ikhlas. ``Adakah aku boleh menanggung nafkah
isteri-isteri dan anak-anak (yang sedia ada dan bakal lahir)? Adakah aku
boleh berlaku adil kepada isteri-isteri, dan adil kepada anak-anakku nanti?
Dan ketiga, beranikah aku memberitahu isteri pertama, dan beranikah aku
menghadapi apa jua tindakan isteri?'' Kajian juga hendaklah mengambil kira
adakah perkahwinan poligami itu akan mendatangkan darar syarie kepada isteri
yang sedia ada dan anak-anaknya. Darar syarie maksudnya apa sahaja
kemudaratan fizikal dan mental, rohani dan jasmani kepada isteri dan
anak-anak. Siasatan dan kajian ini perlu dibuat sebelum berpoligami,
bukannya berkahwin dahulu, kemudian jadikan perkahwinan itu satu
`eksperimen' untuk menentukan mampu atau tidak, adil tidaknya dan
sebagainya. Segelintir orang Islam berpoligami tetapi kemudian mengabaikan
tanggungjawab, tidak adil dan mendatangkan kemudaratan kepada
isteri-isterinya dan anak-anaknya. Akibatya Islam yang dikutuk. Yang
bersalah dan patut dikutuk ialah orang itu, bukan Islam. Orang itu ialah
suami yang tidak mempunyai ciri-ciri keistimewaan, tetapi masih ingin
berpoligami, lantaran hanya berpegang kepada satu prinsip sahaja, iaitu
poligami hak mutlak lelaki.

- Musa Awang ialah seorang Peguam Syarie.

Virtual Friends - Copyright © 2001-2017 Webber Dot My Solutions (002351632-A). All rights reserved