Unregistered Member
sign up
 Login

Username or Email

Password

Forget Password?

Free Register

 Main Page
 Announcement
 Discussion
 Article
 Photo Album
 Market Place
 Sharing List
 Stateboard
 Member List
 Like
 Applications
 Sign-Up

Article

 DilaDellila • 16 years ago • 5,873 viewed


Hati Unta untuk *KUAT*DR. HM TUAH ISKANDAR al-Haj
Semasa saya bermalam di Mina untuk menyempurnakan rukun haji pada tahun
1996, seorang ustazah Tabung Haji telah mencanangkan hati unta sebagai amat
terkhasiat untuk orang lelaki.

Mula-mula mendengar teriakannya itu bukan saya sahaja yang tersenyum.
Bahkan ada yang tertawa kecil, tertawa besar pun ramai juga. Tidak kurang
yang terdiam, terpegun seolah-olah tidak percaya dengan apa yang diiklankan
oleh ustazah berkenaan. Tapi tak kurang juga yang menyampuk 'iklan-iklan'
ustazah itu.

Meskipun kami jemaah-jemaah haji, tapi apabila tinggal beramai-ramai dalam
sebuah khemah gelagat lelaki tetap sama. Walaupun pakaian ihram masih
menyaluti tubuh, tapi bab-bab 'berkenaan' tetap menceriakan.

"Siapa nak hati unta. Bagus untuk orang lelaki ni!" iklan ustazah itu lagi
sambil menjulang-julang seketul hati unta.

"Bagus macam mana tu?" tanya satu suara.

"Bagus apa lagi. Tak kan tak faham," sahut satu suara lain. Semua orang
ketawa.

"Siapa nak?" tanya ustazah itu lagi.

"Saya! Saya! Saya!" Ramai sekali orang yang mengangkat tangan.

Ustazah itu pun memotong hati unta berkenaan kecil-kecil lalu
membahagi-bahagikannya kepada semua orang yang telah mengangkat tangan,
termasuklah saya. Dalam pada itu ada juga orang yang tamak dan mahukan
bahagian yang lebih besar. Tidak kurang juga mereka yang berteriak-teriak
untuk menarik perhatian ustazah itu. Agaknya masing-masing berfikir, peluang
dapat makan hati unta untuk khasiat lelaki mungkin tak ditemui lagi. Kalau
ada pun terpaksa beli.

"Free ke ustazah?" tanya seseorang.

"Ya," jawab ustazah itu.

Mendengar perkataan free semakin ghairah kami mengangkat tangan, cuma tak
sampai berebut-rebut saja. Hai, keadaannya hampir samalah macam budak tadika
diumpan gula-gula.

"Semua dah dapat?" tanya ustazah itu.

"Dah!!!"

"Eh, macam mentah je," adu seseorang.

"Mentah ke ni ustazah?"

"Ya, mentah," jawab ustazah.

"Habis, macam mana nak makan?"

"Makan sajalah."

"Makan saja? Mentah-mentah?"

"Iya, mentah-mentah," jawab ustazah lagi.

"His!"

Agak riuh juga keadaan dalam khemah itu. Masing-masing lihat melihat, siapa
dulu yang akan makan hati unta itu mentah-mentah. Kami sempat mentertawakan
mereka yang tamak tadi. Hati unta segumpal dalam tangan mereka. Nak makan
begitu sajakah?

"Hah, jangan dibuang. Bukan senang nak dapat ni. Hanya di sini kita dapat
hati unta. Balik nanti, jangan harap!" kata ustazah.

"Tak boleh masak dulu ke ustazah?"

"Tak boleh. Nanti khasiatnya hilang. Awak semua kan nak khasiatnya."

Semua orang tergelak. Bijak sungguh ustazah itu mengenakan kami. Kalau dia
beritahu dulu hati unta itu mesti dimakan mentah-mentah tentu tak ramai yang
angkat tangan. Sekarang hati unta mentah sudah di tangan. Nak buang tak
boleh. Habis, kena makan jugakah?

Dalam tertoleh-toleh itu kami nampak seorang lelaki yang memejamkan mata
dan terus memasukkan hati unta mentah ke dalam mulutnya. Dia mengunyah
dengan pantas. Wajahnya kelihatan kerut-merut.

"Tak apalah asalkan kuat," katanya menyebabkan kami semua ketawa
berkekeh-kekeh.

Seorang demi seorang mengikut cara lelaki itu makan. Pejam mata, buka mulut
dan sumbat ke dalam, kunyah cepat-cepat dan telan! Huwekkk...

Acara makan hati unta beramai-ramai itu memang meriah. Tak cukup dengan
gelak ketawa kami giat menggiat antara satu sama lain. Maklumlah, kebanyakan
orang yang tinggal sekhemah dengan saya terdiri daripada yang datang seorang
diri, 'bujang' tak bawa isteri.

Tapi pendorong terkuat setiap orang adalah 'kuat' yang dijanjikan. Entah
kuat apa, tak pulak ustazah itu menerangkan. Dah datangnya daripada ustazah
tentulah kami semua percaya.

"Semua dah makan?" tanya ustazah.

"Dahhh!!!" jawab kami serentak.

"Sedap?"

"Rasa untalah ustazah," jawab seseorang. "Hati unta tentulah rasa unta,
takkan rasa kambing pulak," jawab ustazah. Kami semua tergelak.

"Betul semua dah makan ni?" tanyanya lagi. "Ada sesiapa nak lagi. Banyak
lagi ni."

Tak seperti tadi, sekarang masing-masing ketawa sendiri dan tiada siapa
mengangkat tangan.

"Hai, barang free tak nak ke? Tak nak kuat ke?"

"Biarlah tak kuat ustazah... ," balas seseorang. Semua orang ketawa.

"Sekarang saya nak cerita khasiatnya," kata ustazah itu.

"Eh, tadi kan dah cerita?"

"Saya belum habis cerita, awak semua dah bercicit macam anak ayam.

"Saya bagilah... ," jawab ustazah itu.

"La... , ada khasiat lain ke?"

"Ada, banyak khasiatnya. Kalau nak tahu hati unta ni kalau dimakan
mentah-mentah nanti balik jadi baik macam unta."

"Ha " Semua orang tergangga.

"Tengoklah unta, baik saja. Tak mengamuk, tak membantah. Tahunya buat kerja.
Bergerak pun lambat. Bersopan santun," kata ustazah.

"La, jadi ustazah nak jadikan kami macam untalah?"

"Eh, unta kan bagus. Orang lelaki ni kalau ikut resam unta aman dunia."

Kami benar-benar berasa lucu sendiri. Bijak sungguh ustazah itu memainkan
peranannya. Kalaulah dia berkata begitu pada awal-awal tadi, tentu kami tak
ingin telan hati unta mentah-mentah.

Virtual Friends - Copyright © 2001-2019 Webber Dot My Solutions (002351632-A). All rights reserved