Unregistered Member
sign up
 Login

Username or Email

Password

Forget Password?

Free Register

 Main Page
 Announcement
 Discussion
 Article
 Photo Album
 Market Place
 Sharing List
 Stateboard
 Member List
 Like
 Applications
 Sign-Up

Article

 DilaDellila • 10 years ago • 6,155 viewed


Walaupun sudah diketahui bahaya merokok, kira-kira tiga juta manusia termasuk setengah juta wanita setiap tahun meninggal dunia akibat kesan merokok. Malangnya peratusan mereka yang merokok tetap meningkat terutama di kalangan remaja dan wanita.

Banyak kajian yang dilakukan mengenai rokok dan masalah kesihatan. Banyak usaha yang dilakukan untuk menggalakkan perokok berhenti merokok dan menghalang remaja daripada memulakan tabiat itu.

Di Malaysia, umum difahamkan bahawa merokok ialah makruh mengikut hukum Islam. Ada juga pandangan sebahagian ulama seperti Sheikh Yusuf Qardawi yang berpendapat bahawa merokok adalah haram.

Beliau berpendapat begitu berasaskan kepada kaedah bahawa setiap Muslim tidak dibenarkan makan atau minum sesuatu yang memudaratkan tubuh badan.

Seseorang Muslim itu bukan hanya milik dirinya sendiri tetapi adalah milik agama dan umatnya. Hidup, kesihatan, harta dan seluruh nikmat yang diberikan Allah SWT kepada seseorang adalah sebagai amanah.

Oleh itu, dia sepatutnya menjaga amanah ini dengan sebaiknya. Dalam al-Quran, surah al-Baqarah, ayat 195, Allah melarang kita membinasakan diri dengan ayat yang membawa maksud: "Jangan kamu mencampakkan diri-diri kamu kepada kebinasaan."

Berikut ialah kesan pengambilan rokok:

Kesan terhadap sistem pernafasan:

Merokok secara aktif (penghisap rokok) atau pasif (orang yang tidak merokok tetapi menghidu asap rokok) boleh menyebabkan serangan asma yang lebih kerap. Ia juga meninggikan risiko jangkitan radang paru-paru. Keadaan ini berlaku kerana merokok melemahkan proses semula jadi pembersihan (mucociliary) paru-paru.

Merokok juga menyebabkan masalah batuk, berkahak dan susah bernafas.

Kesan terhadap sistem kardiovaskular (jantung dan saluran darah):

Merokok adalah penyebab utama penyakit jantung, meninggikan risiko angin ahmar, meningkatkan risiko enam kali ganda pendarahan di dalam otak (subarachnoid haemorrhage) dan menjadi punca kepada permasalahan saluran darah atau arteri tersumbat di bahagian kaki atau tangan.

Risiko saluran arteri tersumbat dan lemah jantung lebih meninggi (20 kali ganda) bagi wanita yang merokok dan menggunakan pil perancang yang mengandungi kedua-dua hormon estrogen dan progestogen.

Risiko ini bertambah dengan umur dan pil perancang jenis ini tidak diberikan kepada wanita yang merokok dan berumur melebihi 35 tahun.

Merokok meninggikan kadar kolesterol dalam darah dan kadar ini akan menurun apabila seseorang itu berhenti merokok.

Kesan pada sistem ketahanan. Merokok mengurangkan keberkesanan sistem ketahanan badan. Kajian menunjukkan bahawa perokok lebih senang dijangkiti virus HIV. Bagi pesakit yang dijangkiti HIV dan pada masa yang sama merokok, lanjutan menjadi Aids adalah lebih cepat berbanding pesakit HIV yang tidak merokok.

Penyebab barah

Barah paru-paru, tekak, saluran esofagus, perut, pankreas, buah pinggang dan pundi kencing semuanya berkait rapat dengan merokok. Barah jenis ini menjadi penyebab kematian dalam jumlah yang besar di kalangan wanita.

Masalah merokok dan kehamilan:

Risiko keguguran secara tabii (spontaneous abortion) meningkat 27 kali ganda.

Kadar kandungan luar rahim lebih tinggi - keadaan ini disebabkan kesan nikotin terhadap fungsi cilia di tiub fallopia.

Wujudnya bahan kimia dalam rokok yang mempunyai kesan toksik terhadap uri manakala nikotin pula menyempitkan saluran darah dalam uri. Oleh itu, pembesaran janin akan terjejas dan lazimnya ibu-ibu yang merokok melahirkan bayi lebih kecil daripada normal (IUGR- intrauterine growth retardation)

Ada juga kaitan antara perokok dengan kematian bayi dalam kandungan. Keadaan ini berlaku kerana permasalahan uri yang tidak dapat menyalurkan darah kepada bayi dengan berkesan.

Placenta praevia (uri terletak di bahagian bawah rahim dan menutupi saluran kelahiran) dan placenta abruption (uri terpisah daripada dinding rahim sebelum kelahiran bayi) berlaku lebih kerap kepada ibu-ibu yang merokok.

Kelahiran pramatang juga berlaku lebih kerap kepada ibu yang merokok.

Masalah kepada anak yang dilahirkan oleh ibu merokok:

Bukti yang kuat mengesyorkan bahawa merokok boleh menyebabkan sindrom kematian bayi secara mengejut (SIDS) di tempat tidurnya. Lazimnya, SIDS berlaku pada bayi yang berumur dua hingga empat bulan.

Kajian juga menunjukkan pencapaian pendidikan kanak-kanak yang mempunyai ibu yang merokok adalah lebih rendah jika dibandingkan dengan mereka yang tidak merokok.

Sehubungan itu, anda digalakkan berjumpa doktor bagi mendapat nasihat untuk berhenti merokok terutamanya sebelum anda kahwin dan hamil.

Cara yang boleh diamalkan untuk berhenti merokok:

Persediaan minda terutamanya untuk melalui tempoh `gian' pada dua hingga empat minggu pertama selepas berhenti merokok. Ingatlah anda akan berasa lebih baik dan sihat selepas tempoh itu berlalu.

Buangkan semua rokok yang ada dan segala barang yang berkaitan dengan rokok.

Elakkan suasana yang menekan (stressful).

Elakkan kawan atau persekitaran yang menggalakkan anda merokok.

Jangan cepat putus asa dan jangan sekali-kali mengambilnya walau sebatang pun rokok sekurang-kurangnya selama setahun.

Gunakan duit yang dapat disimpan (kerana tidak membeli rokok) untuk membeli sesuatu yang berharga atau sesuatu secara berkala seperti majalah.

Banyaklah berdoa supaya usaha anda itu dapat diteruskan dan mendapat sokongan daripada keluarga, kawan dan masyarakat amnya. Menguatkan keimanan dan bertekad untuk menjaga amanah yang diberikan dengan sebaik mungkin.

Rangsangan dari luar seperti pengiklanan dan paparan idola remaja merokok perlu diberhentikan.

Memperbanyakkan ilmu pengetahuan mengenai gejala merokok dan melihat sendiri kesan buruknya terhadap manusia.

Virtual Friends - Copyright © 2001-2014 Webber Dot My Solutions (002351632-A). All rights reserved