Unregistered Member
sign up
 Login

Username or Email

Password

Forget Password?

Free Register

 Main Page
 Announcement
 Discussion
 Article
 Photo Album
 Market Place
 Sharing List
 Stateboard
 Member List
 Like
 Applications
 Sign-Up

Article

 bigboss • 10 years ago • 4,063 viewed


Ibu bapa - Tanpa mereka siapalah kita


KITA sedang berada dalam bulan Jun. Sebagaimana bulan Mei yang digembar-gemburkan dengan aneka sambutan Hari Ibu, yang kemeriahannya dapat disaksikan menerusi penyiaran slot-slot rancangan khas di kaca televisyen serta majlis yang dianjurkan di hotel-hotel oleh pelbagai pertubuhan, NGO dan sebagainya, maka bulan Jun pula cukup sinonim dengan sambutan Hari Bapa.
Pada bulan ini, tiba giliran individu bergelar bapa pula yang akan diraikan melalui majlis-majlis yang dianjurkan oleh pelbagai pihak.
Kad-kad ucapan Hari Bapa dititipkan dan bermacam-macam hadiah serta anugerah diberikan kepada mereka. Tujuannya hanya satu, iaitu bagi mengenang dan menghargai segala jasa serta pengorbanan yang telah dicurahkan oleh insan bergelar bapa.
Fenomena menyambut Hari Ibu dan Hari Bapa ini kian ketara pada masa kini, terutama sejak akhir dekad 90-an lalu. Dari kaca mata Islam, meraikan Hari Ibu dan Hari Bapa tidaklah menjadi kesalahan, malah selari dengan ajaran Islam sendiri yang begitu menekankan hubungan baik antara anak dengan ibu bapanya.
Bagaimanapun, soal sambutan ini perlulah dilihat dari skop yang lebih luas dan bukan semata-mata dari perspektif sempit Barat.
Mengingati dan mengenang jasa ibu bapa tidak sepatutnya terhad dalam bulan atau hari-hari tertentu sahaja seperti yang diamalkan oleh Barat. Sebaliknya Islam menganjurkan ibu bapa dihargai sepanjang masa dan sepanjang hayat mereka.
Firman Allah s.w.t.: Dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa dan kepada kerabat. (An-Nisa: 36)
Siapa pun tidak boleh menafikan pengorbanan yang telah diberikan oleh ibu bapa sepanjang hayat mereka.
Jasa ibu bapa tidak terhitung nilainya, malah tidak akan terbalas oleh kita. Jasa dan pengorbanan mereka bermula sejak kita masih belum wujud di dunia ini lagi. Ini kerana, hasil persenyawaan benih ibu dan bapa, maka kita wujud dan hidup dalam kandungan selama sembilan bulan sepuluh hari.
Cukup masanya, ibu yang penuh tabah menanggung kita dalam rahimnya akan bersabung nyawa pula untuk melahirkan kita. Dan tugas ibu ternyata masih belum berakhir selepas itu.
Ibu kemudiannya bertanggungjawab pula untuk menyusu, membelai, memberi kasih sayang dan mendidik kita sehinggalah kita cukup dewasa untuk berdikari.
Pada masa yang sama, bapa pula berkewajipan memastikan kebajikan kita terjaga, makan minum mencukupi, pakaian lengkap, tempat tinggal tersedia dan segala keperluan pendidikan terjamin sempurna.
Dengan kata lain, kejayaan yang kita kecapi hari ini banyak dibantu oleh jasa dan pengorbanan ibu bapa. Tanpa mereka, siapalah kita.
Mengenang segala jasa dan tanggungjawab yang terpikul di bahu ibu bapa, benarlah kata-kata seorang ulama: ``Kalaupun kita mendukung ibu atau bapa kita di Mekah selama sebulan untuk menunaikan haji, tetap masih tidak terbalas setitik susu ibu yang kita minum dan setitik keringat bapa yang membesarkan kita''.
Landasan Islam
Justeru bagaimanakah cara terbaik menurut landasan Islam untuk membalas kembali jasa-jasa kedua-dua ibu bapa kita? Maksud ayat 23 dan 24, surah al-Isra' ini boleh dijadikan panduan:
Dan telah disuruh oleh Tuhan kamu bahawa jangan kamu sembah melainkan Dia. Dan hendaklah kamu berbuat kebajikan kepada kedua-dua ibu bapa apabila sampai hari tua salah seorang atau kedua-dua mereka. Maka jangan sekali-kali kamu berkata kepada mereka `Ah!' dan jangan kamu merungus kepada kedua-duanya. Maka hendaklah kamu berkata kepada mereka dengan perkataan yang mulia lagi lemah lembut dan hendaklah kamu merendahkan diri kepada kedua-duanya tanda sangat sayang. Dan hendaklah kamu berdoa: Ya Tuhanku! Kasihilah ibu bapaku sebagaimana mereka mengasihiku semenjak aku kecil.
Ayat ini menjelaskan bahawa penghormatan kepada ibu bapa bukan hanya dilakukan pada masa-masa tertentu, melalui pemberian hadiah dan kad ucapan semata-mata tetapi lebih daripada itu.
Menghormati ibu bapa berdasarkan ayat tersebut, sebenarnya boleh disimpulkan dalam tiga cara; secara lisan, melalui perbuatan dan dengan doa.
Sejak kecil kita telah diperingatkan supaya jangan sekali-kali meninggikan suara kepada orang yang lebih tua, khususnya kepada ibu bapa.
Kita dilatih agar bersopan santun dan lemah lembut tutur kata tatkala berbicara dengan mereka. Melawan kata-kata mereka dengan nada suara yang tinggi dianggap perbuatan kurang ajar.
Jika melontarkan kata-kata `Ah!' pun sudah dianggap menderhaka, inikan pula melemparkan kata-kata kesat dan kasar kepada mereka. Pasti lebih besar dosanya.
Selain dengan tutur kata, tingkah laku juga harus dijaga dalam menghormati ibu bapa. Sewajarnya kita mempamerkan peri pekerti beradab sopan semasa berhadapan dengan ibu bapa.
Pastikan tindak-tanduk kita tidak mengecilkan hati mereka lantaran orang tua, resminya amat perasa.
Sebagai seorang anak juga, kita berkewajipan menjaga dan memberikan perhatian terhadap kebajikan ibu bapa yang sudah tua.
Sentiasalah menjenguk dan bertanyakan khabar mereka, memastikan makan pakainya terjaga, sakit pening segera diubati. Janganlah membiarkan ibu bapa hidup sunyi di kampung tanpa sebarang perhatian. Apatah lagi mengambil keputusan menghantar mereka ke rumah orang-orang tua lantaran masing-masing tidak mahu bertanggungjawab menjaga mereka.
Pastinya kita tidak mahu pepatah `seorang ibu dan bapa mampu memelihara sepuluh orang anak hingga dewasa tetapi sepuluh orang anak tidak mampu menjaga ibu bapa mereka yang sudah tua' menjadi kenyataan.
Mendoakan kesejahteraan ibu bapa merupakan satu lagi kewajipan yang harus dilaksanakan oleh seorang anak. Namun, hal ini sering diabaikan oleh sebahagian besar daripada kita. Berapa kalikah dalam sehari kita meluangkan masa untuk mendoakan kesejahteraan ibu bapa, sedangkan perkara tersebut seharusnya menjadi amalan setiap kali selepas solat.
Mendoakan ibu bapa, tidak kira yang masih hidup atau telah meninggal dunia bukan sekadar mengharapkan Allah s.w.t. mengurniakan kesejahteraan dan nikmat kepada mereka, malahan rahmat-Nya akan turut tempias kepada kita, membuatkan hati kita menjadi suci dan bersih serta menenangkan jiwa.
Tegasnya, ibu bapa merupakan insan-insan yang harus dipandang mulia dan tinggi kedudukannya selepas baginda Rasulullah s.a.w.
Tidak menghormati mereka bererti menderhaka dan hukum bagi orang-orang yang menderhaka ialah berdosa besar dengan natijahnya tidak dapat mencium bau syurga.
Akhir kalam, ingatlah pesanan ini, bagaimana kita melayan ibu bapa pada hari ini, begitulah layanan yang bakal kita terima daripada anak-anak kita nanti. Justeru itu, hormatilah ibu bapa sementara mereka masih ada di dunia ini. Mungkin lirik lagu Ayah dan Ibu dendangan Allahyarham Sudirman ini boleh dijadikan renungan: Ayah dan ibu itulah permulaan kami dapat melihat bulan dan matahari.

Virtual Friends - Copyright © 2001-2014 Webber Dot My Solutions (002351632-A). All rights reserved