Unregistered Member
sign up
 Login

Username or Email

Password

Forget Password?

Free Register

 Main Page
 Announcement
 Discussion
 Article
 Photo Album
 Market Place
 Sharing List
 Stateboard
 Member List
 Like
 Applications
 Sign-Up

Article

 DilaDellila • 9 years ago • 3,459 viewed


PELUANG menghadiri enam majlis kahwin sepanjang cuti sekolah baru-baru ini memberi saya input untuk berkongsi pengalaman menghadiri majlis kahwin masa kini berbanding 10 atau 15 tahun lalu.
Di sebalik kesibukan, saya bersyukur kerana sempat juga memenuhi jemputan kawan-kawan lama dan jiran tetangga yang diam-diam melayangkan kad jemputan menerima menantu. Tahniah kepada teman-teman yang telah bergelar ibu dan bapa mentua.
Dalam pada seronok melihat rakan-rakan sekelas dan jiran yang sama-sama mengharungi hidup di bandaraya lebih 20 tahun lalu tersenyum gembira menyambut menantu, saya terpanggil mencatat sedikit pendapat tentang majlis yang saya hadiri secara keseluruhan untuk dikongsi bersama pembaca. Apa yang jelas, perbezaan antara majlis kahwin di kampung dan di bandar, dahulu dan sekarang cukup ketara. Maksud saya telah bertukar cara dan rupa.
Di kampung atau di bandar majlis kahwin bagaikan perlumbaan. Khemah buluh campur besi dan pelepah kelapa sudah tidak kelihatan diganti dengan khemah cantik berhias kain beropol-ropol. Makanan tidak lagi dimasak secara gotong-royong. Tuala good morning tidak lagi tersangkut di bahu penanggah tetapi berganti waiter yang kemas berpakaian seragam.
Riuh orang kampung merebus telur dan menumis juga lenyap, rumah pengantin sunyi sepi sebab saudara mara jauh dan dekat balik ke rumah masing-masing atau bermalam di hotel kerana tidak ada kerja yang hendak di buat.
Pada masa lalu, inilah majlis menghimpunkan saudara mara jauh dan dekat yang lama tidak bertemu bagi mengeratkan hubungan.
Saya meletakkan majlis yang saya hadiri kepada tiga kategori, sederhana, berada dan mewah. Kesimpulan yang saya dapat, tidak kira apa kedudukan dan pangkat seseorang itu, majlis perkahwinan adalah medan terbaik untuk membuka mata tetamu dan saudara mara. Buktinya tuan rumah akan berhabis-habisan membuat persiapan agar tidak menjadi bahan perbualan tetamu yang datang.
Rata-rata saya menganggarkan purata perbelanjaan yang dikeluarkan setiap ibu bapa untuk majlis sederhana menjangkau RM20,000 termasuk hantaran dan sebagainya. Itu jika dibuat di kampung atau di rumah orang bandar. Belum dikira mereka yang menyambutnya di dewan atau hotel-hotel.
Menyaksikan perubahan ini saya merasa sedih, sayang sekali kita semakin lupa pada warisan perkahwinan nenek moyang. Lupa pada kerja muafakat, lupa pada semangat bekerja yang telah berakar umbi sejak sekian lama. Semuanya gara-gara kemodenan dan pembangunan. Gaya hidup mengubah pandangan kita terhadap masa silam, budaya dan tradisi.
Biar pun sedih dengan apa yang berlaku, saya berharap masih ada sedikit ruang untuk kita terus mempertahankan amalan warisan ini di sebalik menerima perubahan yang semakin menghambat.
Masih belum terlambat menurunkan budaya ini kepada generasi muda. Mungkin tidak ramai yang perasan majlis perkahwinan sekarang lebih glamor berbanding masa lalu. Glamor dalam erti kata di segi persiapan daripada makan minum, hiasan, peralatan yang diguna sehingga kepada penampilan pengantin dan hantaran iringan yang pelbagai.
Salah satu majlis perkahwinan yang saya hadiri membuka mata saya terhadap perubahan ketara ini. Inilah majlis paling glamor pernah saya lihat, maksud saya yang dibuat di rumah. Tidak payah saya sebutkan majlis siapa dan di mana.
Daripada perhiasan luar rumah sehingga dalam rumah, serba serbi menarik. Tidak tahu saya berapa perbelanjaan yang digunakan tetapi kata akal saya melebihi RM150,000.
Majlis itu pada saya memang tidak ada cacat celanya. Susunan majlis memang sempurna dan teratur. Selain kad yang cantik berwarna keemasan dengan kata-kata yang tersusun indah, tetamu disambut dengan pintu gerbang warna tema yang sama.
Melangkah masuk ke perkarangan banglo dua tingkat yang terletak di lereng bukit, mata saya terpukau dengan keindahan sekitarnya.
Pelamin, karpet, langsir, bunga-bunga hidup menghiasi setiap sudut. Tidak ada satu ruang yang dibiar kosong. Lampu-lampu candeliar bergantungan di ruang tamu di mana singgahsana pengantin tersergam. Cantik yang amat.
Bilik pengantin lengkap dengan perabot diimport dari luar negara juga warna keemasan. Biliknya berhawa dingin, bunga-bunga hidup termasuk ros dan melor bertaburan di atas permaidani bagai menunggu puteri turun bersiram.
Pengantinnya pula tidak usah ceritalah. Selain cantik, bijak dan berjawatan tinggi, pakaian yang bersalut ditubuh berkelip-kelip dengan batu-batu kristal. Pastinya di bawa dari luar negara.
Menjenguk ke bilik pengantin saya terpegun dengan keindahannya, macam bilik seorang puteri. Saya terdengar kawan-kawan pengantin memuji. Bertuah sungguh badan jadi anak orang kaya.
``Engkau nak honeymoon ke mana?'' soal salah seorang daripada mereka.
``Tidak tahu lagi. Mungkin Europe. Mummy dan daddy aku bagi free trip,'' jawab si pengantin.
Sekumpulan wanita yang saya lihat sejak di luar rumah tadi begitu kepoh berbisik-bisik menjuihkan bibir. Mereka turut menjenguk bilik pengantin dan seluruh ruang rumah mewah itu, macam polis pencen. Kedengaran seorang daripada mereka bersuara.
``Jalan free bolehlah... kalau harap duit sendiri mungkin tak sampai juga.'' sindirnya.
Pengantin dan teman-temannya yang sedang bergelak ketawa tersentak.
Saya pasti setelah melihat segala-galanya yang terpampang di depan mata pada majlis tersebut, kumpulan tetamu glamor itu mula naik meluat. Puji bertukar menjadi caci. Maklumlah bukan senang hendak mencapai apa yang diperoleh oleh tuan rumah termasuk mengadakan majlis yang begitu glamor dan hebat.
Ketika sedang makan di khemah utama saya sengaja duduk bersebelahan kumpulan tetamu glamor itu, niat hati hendak mendengar perbualan mereka seterusnya. Seronok sekali sekala mendengar orang mengutuk orang lain. Sekurang-kurangnya saya ada bahan untuk ditulis.
``Macam ini anak raja pun kalah. Kalau ikut hati dan tidak kena bajet, papa kedana dibuatnya,'' tambah wanita glamor tadi yang tidak habis-habis merungut.
``Kalau aku tidak sanggup hendak membazir... biarlah aku buat perkara lain daripada menunjuk-nunjuk macam ini. Cantik sementara sahaja, esok lusa kita yang menanggung,'' sampuk salah seorang daripada mereka.
Kata-kata itu jelas bernada iri hati. Naluri saya kuat mengatakan mereka cemburu dan tidak mampu buat seperti apa yang mereka lihat.
Dalam pada melayan selera, seorang gadis manis muncul. Comel wajahnya berkebaya pendek kain lis yang juga mahal harganya. Di tangannya ada sebuah bakul cantik berhias, dipenuhi gelas kristal. Dia meletakkan satu gelas di sebelah saya. Ada potpori dibalut net tipis warna keemasan di dalamnya. Cantik sebagai buah tangan.
Kehadiran gelas kristal itu menjadikan kumpulan glamor itu terbeliak biji mata. Ada isu baru yang hendak mereka bangkitkan. Saya memasang telinga sambil membelek-belek gelas kristal tersebut.
``Cantik, mahal itu... entah-entah berpuluh ringgit satu,'' sampuk wanita itu sambil merujuk kepada gelas kristal itu.
``Tapi sayang tidak ada telor, hilang budaya kita,'' saya mencelah untuk menguji.
``Sekarang ini orang tak pakai lagi bunga telor. Tak ada kelas.. ini standard sikit. Lagipun susah nak rebus telur kalau tinggal di rumah macam ini... siapa nak rebus. Adik beradik pun datang sebagai tetamu. Makan pun katering,'' wanita itu menambah.
Saya tidak menyalahkan kumpulan wanita glamor itu yang asyik merungut dan mengata. Ada saja yang tidak kena di hati. Biasalah perempuan, mata memandang, mulut bercakap, telinga mendengar. Bayangkan bila tiga pancaindera manusia bersatu. Letih kan...
Tetapi seronok juga ada kumpulan macam itu, sekurang-kurangnya ada penglipur lara tidaklah majlis sunyi sepi.
Apa pun kemewahan dan kehebatan sesuatu majlis bukan ukuran, yang penting perkara wajib yang perlu di utamakan, iaitu ijab kabul. Majlis sekadar sampingan untuk meraikan tetamu dan meuar-uarkan bahawa anak sudah dimiliki orang.
Kemuliaan sesebuah perkahwinan apabila ianya direstui ibu bapa, keluarga serta mengikut peraturan syarat-syarat yang diizinkan oleh syariat. Bahagia rumah tangga apabila setiap pasangan mempunyai sikap hormat menghormati dan bertolak ansur.
Mengundur diri, saya turunkan doa Nabi Muhammad s.a.w pada majlis pernikahan puteri Baginda, Fatimah Az Zahra dengan Saidina Ali bin Abi Talib r.a) yang bermaksud: Semoga Allah S.W.T menghimpunkan yang terserak dari kedua-duanya, memberkati mereka berdua dan semoga Allah S.W.T meningkatkan kualiti keturunan mereka, menjadikannya pembuka pintu-pintu rahmat, sumber ilmu dan hikmah serta pemberi rasa damai bagi ummah.

Virtual Friends - Copyright © 2001-2014 Rakan Maya (PPM-0003-10-14012014). All rights reserved