Unregistered Member
sign up
 Login

Username or Email

Password

Forget Password?

Free Register

 Main Page
 Announcement
 Discussion
 Article
 Photo Album
 Market Place
 Sharing List
 Stateboard
 Member List
 Like
 Applications
 Sign-Up

Article

 DilaDellila • 9 years ago • 3,272 viewed


Mencari rezeki adalah tuntutan agama yang menjadi sebahagian daripada istilah memakmurkan muka bumi, satu tugas yang diserahkan ke atas setiap manusia. Banyak cara mencari rezeki seperti berniaga, bercucuk tanam, menternak haiwan dan bekerja dengan pihak lain.
Apa pun cara mencari rezeki, setiap orang perlu mengutamakan kejujuran semasa bekerja. Kejujuran adalah lambang keimanan dan ketakwaan. Sebab itu orang jujur sentiasa mendapat tempat terbaik di sisi Allah.
Sabda Rasulullah bermaksud: �Peniaga yang jujur itu bersama para nabi, para siddiqin, dan para syuhada nanti di syurga.� (Hadis riwayat Bukhari).
Walaupun hadis itu menyebut mengenai peniaga yang jujur, tetapi ia juga merujuk kepada semua jenis tugas pekerjaan yang dilakukan. Semua jenis pekerjaan terdedah kepada ketidakjujuran, tetapi perbezaan mungkin hanya dari segi tahap dan kemungkinan berlaku ketidakjujuran itu.
Sebagai pekerja yang mendapat gaji atau upah, tertakluk kepada peraturan tugas bagi memastikan mutu kerja yang memuaskan seperti mana diamanahkan. Pekerja yang melanggar amanah berkaitan pekerjaannya bererti telah melakukan perbuatan tidak jujur, kecurangan, tidak amanah, melanggar etika kerja dan tidak produktif.
Kecemerlangan pekerja awam adalah lambang kepada kejayaan kerajaan menyediakan perkhidmatan terbaik bagi rakyat. Manakala kecemerlangan pekerja sektor swasta pula membawa keuntungan untuk majikan, sekaligus operasi syarikat diteruskan dan pekerja dapat terus bekerja di situ.
Pekerja yang jujur faham apa yang diharapkan oleh majikan terhadapnya. Salah satu aspek utama ialah mencapai tahap cemerlang dalam setiap tugas yang dilakukan. Sebab itu pekerja jujur sentiasa mempunyai azam, iltizam, meningkatkan penguasaan ilmu dan kemahiran bagi mencapai tahap kecemerlangan yang diharapkan majikan.
Melaksanakan amanah dalam pekerjaan bukan sekadar mengambil hati majikan, tetapi ia perintah agama yang dipersoalkan di akhirat nanti. Islam tidak bertolak ansur dalam soal kecemerlangan dan kesempurnaan melaksanakan tugas.
Sifat tidak mementingkan kejujuran dalam pekerjaan adalah punca berlakunya pelbagai kepincangan dalam perkhidmatan dan penghasilan. Pelanggan terpaksa berdepan dengan kerenah pekerja yang tidak komited melakukan tugas dan lebih teruk lagi apabila ada pekerja meminta rasuah bagi melaksanakan sesuatu tugas.


Mutu kerja yang rendah mendatangkan banyak kerugian kepada negara. Gaji yang dibayar lebih tinggi berbanding apa yang dilakukan atau dihasilkan. Matlamat kerajaan menyediakan perkhidmatan terbaik gagal dicapai disebabkan adanya pekerja yang tidak jujur melakukan tugas seharian. Pekerja yang melakukan tugasnya dengan tekun bukan saja disukai pegawai atasan atau majikan, tetapi lebih-lebih lagi Allah.
Mengutamakan perlaksanaan tugas oleh setiap pekerja adalah satu yang wajib. Ia hendaklah dilaksanakan tanpa bertangguh-tangguh atau lepas tangan.
Firman Allah bermaksud: �Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertaburlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing) dan carilah dari apa yang kamu hajati daripada limpah kurnia Allah dan ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan) supaya kamu berjaya di dunia dan akhirat.� (Surah al-Jumaah, ayat 10).
Walaupun amanah dalam pekerjaan perlu diutamakan, tetapi amanah dalam soal pengibadatan khusus perlu lebih diutamakan. Islam menegah seseorang menumpukan perhatian kepada hal kehidupan di dunia sehingga lupa melaksanakan tanggungjawab ibadat khusus.
Firman Allah bermaksud: �Hai orang-orang yang beriman, apabila diseru untuk menunaikan sembahyang pada hari Jumaat, maka bersegeralah kepada mengingati Allah, dan tinggalkan jual beli.� (Surah al-Jumaah, ayat 9).
Bekerja dengan jujur adalah menunaikan janji berdasarkan perjanjian menyerah tugas oleh majikan dan penerimaan tugas oleh pekerja.
Pihak yang melantik pekerja telah memilih calon terbaik untuk melaksanakan sesuatu tugas. Calon terpilih itu mungkin daripada beribu-ribu calon lain yang turut memohon. Dengan kata lain, pemilihan calon itu ialah dengan satu harapan dia dapat menjadi pekerja terbaik.
Firman Allah bermaksud: �Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyerahkan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu.� - (Surah an-Nisa, ayat 58).
Ramai yang memohon kerja sebenarnya bukan hendak bekerja, tetapi mengharapkan gaji. Inilah punca ramai pekerja apabila bekerja tidak melakukan tugas dengan sempurna. Sesiapa menerima amanah, sedangkan tidak mempunyai kesediaan untuk melakukan yang terbaik, maka padanya ada tanda-tanda sifat munafik.
Sebagai Muslim adalah tidak wajar meletakkan matlamat setiap pekerjaan yang dilakukan semata-mata untuk keuntungan kebendaan. Sesiapa bekerja semata-mata kerana wang dan sanggup melakukan perbuatan yang salah sama-mata kerana wang, kehidupannya menempuh kecelakaan.
Sabda Rasulullah bermaksud: �Celakalah orang yang menyembah dinar, celakalah orang yang menyembah dirham.� (Hadis riwayat Bukhari dan Ibnu Majah).
Bagi memastikan setiap rezeki diperolehi bersih dan diberkati, setiap usaha berkaitan mencari rezeki hendaklah dilakukan dengan jujur semata-mata mencari keredaan Allah. Sesungguhnya kejujuran adalah pendorong melakukan pekerjaan dengan hati yang terbuka, bersungguh-sungguh dan tidak menganggap tugas dilakukan sebagai membebankan.
Pekerja yang jujur sentiasa bersikap dan berusaha secara profesional. Segala urusan tugas dilakukan dengan penuh dedikasi dan menjauhkan sifat-sifat tercela seperti pecah amanah dan curi tulang.

Virtual Friends - Copyright © 2001-2014 Rakan Maya (PPM-0003-10-14012014). All rights reserved