Unregistered Member
sign up
 Login

Username or Email

Password

Forget Password?

Free Register

 Main Page
 Announcement
 Discussion
 Article
 Photo Album
 Market Place
 Sharing List
 Stateboard
 Member List
 Like
 Applications
 Sign-Up

Article

 DilaDellila • 9 years ago • 13,606 viewed


APABILA sakit kaki, seluruh badan akan terasa kesannya. Banyak aktiviti terbatas, malah ada yang tidak dapat dilakukan langsung, terutama bagi individu yang mempunyai berat badan berlebihan, kerana anggota paling teguh itu tidak lagi mampu menampung beban.

Sakit kaki memang merunsingkan, apatah lagi jika ia menjadi aset penting untuk mencari rezeki, seperti ahli sukan dan model. Hatta, bagi orang biasa pun kaki perlu dijaga rapi untuk memastikan kelancaran rutin harian.

Ada yang memilih refleksologi untuk meredakan kesakitan atau lenguh kaki. Malah, ada yang sanggup membelanjakan ratusan ringgit mencari kasut yang dapat menyerap hentakan dan mengurangkan bebanan pada kaki ketika berjalan.

Tidak kurang juga yang mengambil pendekatan lebih menyeluruh mendapatkan urut atau membelai diri di spa.

Moden atau tradisional, matlamatnya sama. Penasihat Podiatris iaitu pakar penjagaan kaki, Brendan Bergin, berkata masalah sakit kaki dihadapi hampir semua orang, terutama apabila semakin tua.

Banyak punca boleh menyebabkan sakit kaki, antaranya berdiri terlalu lama, ketidakstabilan badan, cengkam kuku, bunion (bengkak pada sendi antara ibu jari dan tulang jari yang pertama), kalus (kulit kematu), tekanan daripada bahagian bawah belakang badan, plantar fasciitis, bentuk lengkung tapak kaki, kaki leper, kaki terlalu lebar atau kecil, juga akibat penyakit seperti kencing manis, artritis dan kecacatan sejak lahir.

Kebanyakan orang tua berumur antara 40 hingga 60 tahun mengalami sakit kaki akibat plantar fasciitis, iaitu kesakitan pada bawah tumit apabila cuba berdiri pada awal pagi sebaik bangun tidur.

Penyokong badan

Satu perempat daripada tulang di badan kita ada di kaki yang menjadi asas dan penyokong kepada badan. Masalah pada buku lali, lutut, bahagian bawah belakang badan mahupun sakit bahu boleh menyebabkan kaki anda turut berasa sakit.

Malah, pemilihan kasut yang tidak sesuai dengan aktiviti juga antara penyumbang utama kepada kesakitan kaki. Lama kelamaan ia boleh mengubah struktur kaki atau bentuk kaki dan mempengaruhi cara berjalan yang akhirnya menyebabkan kesakitan sepanjang hayat.

?Sebaik-baiknya kenal pasti dulu punca kesakitan kaki yang dialami, sama ada ia memerlukan rawatan khusus atau sekadar faktor luaran. Jika kesakitan berpunca daripada masalah mekanikal dalam kaki, lebih baik jika ia dirawat menggunakan kaedah moden.

?Bagaimanapun, ia bukan bermakna refleksologi tidak bagus. Setiap rawatan ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Tidak ada yang 100 peratus sempurna dan pesakit perlu mencuba beberapa kaedah bersesuaian dengan mereka. Bergantung kepada tujuan sebenar mendapatkan refleksologi, tetapi jika ia membabitkan masalah kaki, lebih baik jalani pemeriksaan dulu,? katanya.

Cara sebaik-baiknya adalah mendapatkan pemeriksaan terperinci daripada pakar apabila kaki sakit untuk memastikan puncanya kerana banyak kaedah boleh dilakukan bagi mengatasi masalah ini.

Contohnya, jika sakit kaki disebabkan masalah mekanikal, ia boleh dibantu dengan penggunaan alat sokongan khas seperti pelapik tapak kaki yang dibuat khas mengikut bentuk kaki setiap orang dan dimasukkan ke dalam kasut.

Pelapik ini membantu meratakan bebanan badan pengguna supaya beban berat badan tidak hanya tertumpu pada satu tempat dan membolehkan mereka bergiat cergas tanpa masalah.

Ia dapat mengelakkan lebih banyak kecederaan pada kaki dan pada masa sama memberi peluang kecederaan itu pulih.

Pun begitu, pelapik ini bukan penyelesaian kepada semua masalah kesakitan kaki. Ada banyak kes, pesakit perlu dirujuk kepada pakar lain atau menjalani latihan fisioterapi.

Malah, masalah sakit kaki (atau sebarang jenis sakit) juga ada kalanya perlu diselesaikan dengan rawatan fisioterapi. Bagi ahli fisioterapi, Manikandan Narayanan, urutan memang baik untuk melancarkan aliran darah, tetapi ia bertindak secara luaran dan hanya mengurangkan simptom.

Rawatan fisioterapi bertindak melalui tiga cara iaitu meredakan simptom, merawat punca dan memberikan semangat untuk sembuh. Malah, pusat rawatan tertentu menyediakan mesin khas untuk meredakan sebarang jenis kesakitan menggunakan gelombang bunyi dengan frekuensi antara 2,000 hingga 5,000 Hz.

Katanya, paling penting, pastikan setiap anggota, termasuk yang sakit, digerakkan walaupun secara perlahan-lahan untuk mengelakkan otot menjadi keras dan tidak anjal.


Virtual Friends - Copyright © 2001-2014 Webber Dot My Solutions (002351632-A). All rights reserved