Unregistered Member
sign up
 Login

Username or Email

Password

Forget Password?

Free Register

 Main Page
 Announcement
 Discussion
 Article
 Photo Album
 Market Place
 Sharing List
 Stateboard
 Member List
 Like
 Applications
 Sign-Up

Article

 DilaDellila • 8 years ago • 12,000 viewed


PUASA HARI-HARI HITAM
Puasa hari-hari hitam ialah puasa sunat yang dilakukan pada hari yang ke 28, 29 dan 30 setiap bulan. Dinamakan hari-hari tersebut dengan hari-hari hitam kerana kegelapan malam-malamnya pada waktu itu disebabkan ketiadaan bulan. Maka dengan berpuasa pada tiga hari tersebut itu sebagai permohonan kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala supaya menghilangkan kegelapan pada malam-malam itu.


Adalah wajar juga berpuasa pada hari ke 27 di samping berpuasa pada hari-hari ke 28, 29 dan 30 sebagai langkah berhati-hati dan keluar daripada perselisihan pendapat ulama yang mengatakan bahawa hari yang ke 27 itu adalah awal bagi hari yang ke 28.

Jika perkiraan bulan hanya 29 hari iaitu tidak genap hingga 30 hari, maka diganti satu hari puasa yang kurang itu pada hari yang pertama bulan yang baru bagi menggenapkan bilangan puasa itu sebanyak tiga hari yang perkiraannya bermula daripada hari yang ke 28.

PUASA HARI ISNIN DAN KHAMIS
Puasa hari Isnin dan Khamis ialah puasa yang disunatkan pada hari-hari tersebut di setiap minggu. Adapun hikmat disunatkan berpuasa pada hari Isnin dan Khamis itu ialah ada hubungkait dengan amal perbuatan manusia di dalam satu minggu. Diriwayatkan daripada Usamah bin Zaid berkata:

Maksudnya: "Sesungguhnya Nabi Allah Shallallahu ‘alaihi wasallam (melakukan) puasa pada hari Isnin dan Khamis, dan ditanya (Baginda) akan (sebab) sedemikian itu, baginda bersabda: "Sesungguhnya amalan manusia itu ditunjukkan (dibentangkan) pada hari Isnin dan Khamis."
(Hadits riwayat Abu Daud)

Dalam hadits yang lain pula, diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: "Ditunjukkan amalan (anak adam) itu pada hari Isnin dan Khamis, maka aku suka supaya ditunjukkan amalanku itu pada hal aku sedang berpuasa."
(Hadits riwayat Tirmidzi)

Tersebut di dalam Kitab I‘anah Ath-Thalibin bahawa berpuasa pada hari Isnin adalah lebih afdhal daripada berpuasa pada hari Khamis kerana keistimewaan yang berlaku pada hari tersebut. Di antaranya sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Qatadah Al-Anshari berkata:
Maksudnya: "Dan ditanya (Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam) akan perihal berpuasa pada hari Isnin, Baginda bersabda: "Itulah hari aku dilahirkan dan hari aku diutus atau diturunkan ke atasku (perutusan) pada hari itu."
(Hadits riwayat Muslim)

PUASA DI BULAN-BULAN HARAM
Di antara bulan yang disunatkan berpuasa ialah di bulan-bulan haram. Bulan-bulan haram adalah terdiri daripada bulan Zulqaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rajab. Diriwayatkan daripada Mujibah Al-Bahiliyyah daripada ayahnya atau bapa saudaranya berkata:

Maksudnya: "Sesungguhnya dia pernah mengadap Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Kemudian setelah dia pergi selepas setahun, dia menghadap Baginda sedang perihal dan bentuk (badannya) sudah berubah. Lalu dia berkata: "Wahai Rasulullah! Tidakkah engkau mengenaliku?" Baginda bersabda: "Siapa awak?" Dia berkata: "Saya adalah Al-Bahili yang datang mengadap engkau pada tahun lalu" Baginda bersabda: "Apa yang telah membuatmu berubah padahal engkau dahulu mempunyai bentuk (badan) yang bagus?" Dia berkata: "Saya tidak makan makanan kecuali di malam hari sejak berpisah denganmu" Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: "Kenapa engkau menyiksa dirimu?" Selanjutnya baginda bersabda: "Berpuasalah pada bulan Sabar (Ramadan) dan sehari setiap bulan" Dia berkata: "Tambahkan lagi untukku, sesungguhnya saya masih kuat" Baginda bersabda: "Berpuasalah dua hari (setiap bulan)" Dia berkata: "Tambahkan lagi untukku" Baginda bersabda: "Berpuasalah tiga hari (setiap bulan)" Dia berkata: "Tambahkan lagi untukku" Baginda bersabda: "Berpuasalah pada bulan-bulan haram (Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rajab) dan tinggalkanlah! Berpuasalah pada bulan-bulan haram dan tinggalkanlah! Berpuasalah pada bulan-bulan haram dan tinggalkanlah! Sambil baginda bersabda itu baginda memberi isyarat dengan tiga jari, digenggamnya keras kemudian dilepaskannya."
(Hadits riwayat Abu Daud)

Berkata Imam Nawawi: "Sesungguhnya Rasulullah memerintahkan meninggalkan (setelah tiga hari) kerana menjadi kesusahan ke atasnya memperbanyakkan puasa sebagaimana tersebut di awal hadits. Adapun bagi sesiapa yang tidak menjadi kesusahan ke atasnya, maka berpuasa seluruhnya (di bulan-bulan haram) adalah satu fadhilat." (Lihat Kitab Al-Majmu‘ 6/438, I‘anah Ath-Thalibin 2/307)

Dinamakan bulan-bulan ini dengan nama bulan-bulan haram kerana dahulu orang-orang Arab menghormati dan mengagungkannya serta mengharamkan di dalam bulan-bulan tersebut pembunuhan sehinggakan jika salah seorang daripada mereka bertemu orang yang telah membunuh bapanya atau anaknya atau saudaranya di bulan-bulan ini, orang yang membunuh itu tidak akan diganggu.

Adapun bulan yang terlebih afdhal untuk mengerjakan puasa di antara bulan-bulan haram itu ialah bulan Muharram. Ini adalah berdasarkan hadits yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu berkata:

Maksudnya: Puasa yang afdhal sekali selepas puasa di bulan Ramadan ialah (puasa) di bulan Allah iaitu bulan Muharram, dan sembahyang yang afdhal sekali selepas sembahyang fardhu ialah sembahyang sunat malam."
(Hadits riwayat Muslim)

Adapun jawaban yang disebutkan oleh para ulama, kenapa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam lebih banyak melakukan puasa-puasa sunat di bulan Sya‘ban daripada bulan Muharram sedangkan bulan Muharram adalah bulan yang lebih afdhal untuk mengerjakan puasa selepas bulan Ramadan sebagaimana yang tersebut di dalam hadits, ialah:

1. Kemungkinan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam mengetahui kelebihan bulan Muharram itu ketika di akhir hayat baginda dan tidak sempat mengerjakannya.
2. Kemungkinan kebetulan pada waktu itu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam mendapat keuzuran daripada musafir atau sakit atau sebagainya yang menghalang baginda daripada memperbanyakkan puasa di bulan Muharram itu. (Lihat Kitab Al-Majmu‘ 6/439 dan Syarh Shahih Muslim 4/295)
PUASA DI BULAN SYAABAN
Adalah disunatkan berpuasa di bulan Sya‘ban sebagaimana yang diriwayatkan daripada Aisyah Radhiallahu ‘anha berkata:

Maksudnya: "Adalah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam berpuasa sehingga kami mengatakan baginda tidak berbuka, dan baginda berbuka sehingga kami mengatakan baginda tidak berpuasa. Saya tidak pernah melihat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menyempurnakan puasa satu bulan kecuali pada bulan Ramadan dan saya tidak pernah melihat baginda berpuasa lebih banyak daripadanya pada bulan Sya‘ban."
(Hadits riwayat Bukhari)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam memperbanyakkan berpuasa pada bulan ini adalah disebabkan oleh beberapa perkara sebagaimana yang diriwayatkan daripada Usamah bin Zaid berkata:
Maksudnya: "Wahai Rasulullah! Aku belum pernah melihat engkau berpuasa satu bulan daripada bulan-bulan sebagaimana (banyaknya) engkau berpuasa di bulan Sya‘ban" Baginda bersabda: "Sedemikian itu kerana bulan Sya‘ban, bulan yang manusia lalai (kerana terletak) di antara bulan Rajab dan bulan Ramadan, dan Ia adalah bulan dimana diangkat padanya amalan-amalan manusia kepada Allah Rabbul ‘Alamin, maka aku suka supaya diangkat amalanku sedang aku di dalam keadaan berpuasa."
(Hadits riwayat An-Nasa’i)

Virtual Friends - Copyright © 2001-2014 Webber Dot My Solutions (002351632-A). All rights reserved