Unregistered Member
sign up
 Login

Username or Email

Password

Forget Password?

Free Register

 Main Page
 Announcement
 Discussion
 Article
 Photo Album
 Market Place
 Sharing List
 Stateboard
 Member List
 Like
 Applications
 Sign-Up

Article

 budak_nakall • 8 years ago • 2,079 viewed


Menyelesaikan Masalah Rumahtangga
19 July 2004

Kajian pakar-pakar psikologi mendapati cara-cara dan strategi yang digunakan oleh lelaki dan wanita apabila mereka menangani masalah adalah berbeza. Perbezaan strategi yang mereka gunakan itu muncul dalam komunikasi mereka. Perkara itu juga sering menimbulkan masalah komunikasi antara suami dan isteri.SEMUA orang menghadapi masalah. Kajian pakar-pakar psikologi mendapati cara-cara dan strategi yang digunakan oleh lelaki dan wanita apabila mereka menangani masalah adalah berbeza. Perbezaan strategi yang mereka gunakan itu muncul dalam komunikasi mereka. Perkara itu juga sering menimbulkan masalah komunikasi antara suami dan isteri.

Ada pakar psikologi yang percaya sesetengah konflik boleh membawa kebaikan dan mereka gunakan istilah �konflik yang membina� bagi menerangkan jenis-jenis konflik seperti itu. Tetapi ada pula pakar-pakar psikologi yang mengatakan tidak ada konflik yang kononnya �membina� dan semua konflik pada dasarnya merosakkan. Memang dalam konflik ada kebaikan dan ada keburukan, tetapi jumlah keburukannya lebih banyak daripada jumlah kebaikannya.

Selain daripada itu, keburukan-keburukan itu adalah lebih serius dibandingkan kebaikan yang mungkin ada. Lagipun, apa-apa kebaikan yang mungkin didapati dalam konflik, ia boleh didapati dengan cara-cara lain, bukan dengan cara berkonflik.

Ada orang mengatakan konflik boleh membuat suami isteri saling faham-memahami. Tetapi, kita boleh menjadi saling faham-memahami tanpa perlu berkonflik. Terdapat banyak cara-cara lain yang boleh membuat kita saling faham-memahami antara suami isteri. Namun, sekiranya konflik tidak dapat dielakkan, ada beberapa panduan berkonflik yang apabila dipatuhi, ia dapat mencegah konflik itu daripada merebak menjadi pertengkaran dan pergaduhan serius.

1. Pertama, jangan bertengkar di depan orang lain. Apabila bertengkar dan bergaduh di depan anak-anak, orang gaji dan adik-beradik atau ipar-duai, tidak boleh tidak, perbuatan itu akan mencetuskan macam-macam masalah lain:

a. Kerana ada orang lain, kita mungkin berbohong demi menjaga air muka kita sendiri. Perbuatan berbohong akan menyebabkan pasangan kita sangat sakit hati dengan pembohongan yang kita ucapkan itu. Kita mungkin berbohong dengan cara tidak mahu mengaku perkara yang sebenar kerana perkara itu memalukan kita sendiri. Sebagai contoh, kita mungkin memang pergi ke bomoh, tetapi kita tidak mengaku kerana malu.

b. Kerana kita bergaduh di depan orang, kita mungkin terdorong untuk menang dengan apa cara sekalipun. Jadi kita sanggup bergaduh sampai kita menang, walaupun sebenarnya kita bersalah. Lebih buruk lagi daripada itu, kerana bergaduh di depan orang, soal menang jadi soal yang sangat penting, buka lagi soal mencari penyelesaian kepada masalah yang ada.

c. Kerana hendak menang, kita sanggup menggunakan cara-cara yang sangat tidak adil dan sangat negatif. Sebagai contoh, kita sanggup menghentam sifat-sifat peribadinya.

d. Kita juga jadi takut terhadap apa kata orang-orang lain yang menyaksikan ataupun mendengar pertengkaran kita itu, jadi kita akan lakukan perkara-perkara demi menjaga apa pendapat mereka, bukan demi menyelesaikan masalah yang ada. Demi menegakkan benang yang basah, kita sanggup menjatuhkan air muka pasangan kita, asalkan sahaja air muka kita sendiri tidak jatuh.

2. Kedua, jangan bertengkar dan bergaduh berkenaan perkara-perkara yang tidak mungkin boleh diselesaikan. Contoh-contoh perkara yang tidak akan boleh diselesaikan ialah:

a. Perkara-perkara lama
Banyak suami isteri bertengkar berkenaan perkara-perkara lama. Walau berapa lama sekalipun kita bertengkar mengenai perkara-perkara yang sudah terjadi, ia tidak akan mungkin dapat diselesaikan. Pertengkaran jenis ini adalah sia-sia sahaja. Ia hanya memburukkan lagi masalah yang ada.

b. Kaum keluarga
Ini adalah bahan pertengkaran yang paling berbahaya. Tidak ada orang yang boleh menang apabila bertengkar berkenaan soal kaum keluarga.

c. Perkara-perkara yang tidak dapat kita kawal
Banyak perkara memang mustahil kita kawal. Jadi jangan bertengkar dan bergaduh berkenaan perkara-perkara seperti itu. Sebagai contoh, kita tidak akan boleh mengawal apa orang lain kata. Tidak ada orang yang boleh mengawal mulut orang lain. Jadi jangan bergaduh kerana apa orang lain kata, atau apa orang lain akan kata.

d. Soal prinsip
Ini satu lagi perkara yang tidak ada gunanya dipertengkarkan. Tidak ada siapa yang mahu mengalah dalam soal-soal prinsip. Tidak ada orang yang percaya prinsip pegangan mereka salah. Jadi jangan cuba memberitahu pasangan kita prinsip hidupnya salah.

3. Kenal pasti apakah sebenarnya perkara yang menjadi punca pergaduhan kita. Kerap terjadi, lain perkara yang menjadi masalah, lain pula perkara yang digaduhkan. Sebagai contoh, perkara sebenar yang menyakitkan hati kita ialah perbuatan suami yang suka membuat keputusan yang melibatkan wangnya dengan sendiri-sendiri sahaja, tidak mahu bercakap dengan kita dahulu.

Umpamanya, suatu hari kita dapat tahu dia membelikan kepada ibunya peti ais. Kita sakit hati lalu kita mengkritik dia dengan mengatakan ibunya tidak memerlukan peti ais. Akibatnya pertengkaran pun tercetus. Kalau suami kita cuba menyelesaikan soal peti ais ibunya itu sekalipun, ia sia-sia sahaja, kerana soal peti ais itu hanyalah �alasan� sahaja. Isu sebenarnya ialah kita sakit hati terhadap cara dia membelanjakan wang gajinya. Peti ais ibunya itu hanyalah alasan yang kita gunakan untuk menyerang dia kerana rasa tidak puas hati kita terhadap sikapnya itu.

4. Jangan bergaduh melainkan pasangan kita bersedia mendengar kita bercakap. Sebagai contoh, jangan bergaduh waktu malam apabila suami hendak tidur. Jangan bergaduh semasa suami penat. Begitu juga jangan bergaduh apabila suami mempunyai banyak masalah lain.

5. Apabila bertengkar, pisahkan antara �masalah� dengan �orang�. Kesilapan ini sangat kerap berlaku, di mana kita bukan cuba menyelesaikan masalahnya, sebaliknya kita cuba menyelesaikan orangnya. Orang tidak akan boleh diselesaikan. Tetapi selalu sahaja, apabila hendak menyelesaikan masalah, kita kritik, kutuk dan hentam orangnya. Kita percaya kalau orang itu dapat kita �selesaikan� maka masalah itu pun akan selesai juga. Ini tidak benar. Kita boleh selesaikan masalah, tetapi kita tidak boleh selesaikan orang. Masalah ada penyelesaiannya, tetapi orang tidak ada penyelesaiannya. Jadi, fokuskan perhatian kepada masalah, bukan kepada orang.

6. Jangan bergaduh dengan membela dan mempertahankan kedudukan masing-masing. Semua orang ada kedudukan. Ada orang kedudukannya ialah sebagai suami, atau isteri, atau ketua, atau ibu, atau kekasih, atau tunang dan lain-lain. Apabila bertengkar jangan menegakkan kedudukan sendiri. Perbuatan itu tidak berguna dalam mencari penyelesaian masalah yang ditengkarkan.

"Saya isteri awak. Tentulah saya ada hak untuk tahu, ke mana pergi duit gaji awak?" (x)

"Saya suami. Awak jangan cabar saya." (x)

"Apa gunanya saya jadi isteri awak, kalau awak tidak boleh beri saya kesenangan?" (x)

"Bukankah saya suami? Sudahlah saya beri awak makan, takkanlah saya kena gosok baju saya sendiri tiap-tiap pagi?" (x)

"Kita suami isteri. Apa salahnya kalau awak serahkan semua gaji awak biar saya yang jaga?" (x)

Apabila kita menegakkan kedudukan kita, kita asyik membela diri kita sahaja. Akibatnya kita tidak mahu bertolak-ansur dan lebih kurang. Makin lama kita bertengkar, makin kuat kita menegakkan benang basah kita. Akibatnya soal ego mula masuk campur. Lama-lama kita jadi asyik hendak mempertahankan ego kita sahaja. Apabila ego masuk, hilang soal masalah, timbul pula soal air muka. Waktu itu pertengkaran boleh jadi lebih buruk lagi.

7. Apabila menyatakan emosi, jangan gunakan ayat-ayat tuduhan. Apabila bertengkar, soal emosi memang tidak boleh dielakkan. Kita boleh bawa masuk emosi ke dalam pertengkaran, tetapi jangan menuduh. Jangan gunakan gaya bahasa �awak�, sebaliknya gunakan gaya bahasa �saya�.

"Awak memang sudah bosan dengan saya. Mentang-mentang saya sudah tua, awak mula hendak cari lain." (x)

"Saya rasa seolah-olah saya ni sudah tidak berguna lagi kepada awak, maklumlah saya sekarang sudah tua."

"Awak memang tidak mahu ajak saya makan angin. Macam mana saya tidak sakit hati?" (x)

"Saya rasa kecil hati sudah lama awak tidak ajak saya makan angin."

Gaya bahasa �awak� tidak boleh digunakan bagi menyata-kan emosi. Ia sangat berbahaya kerana gaya itu menuduh pasangan kita ialah punca apa yang kita rasa. Apabila kita menuduh dia bertanggungjawab ke atas emosi kita, itu bererti kita tidak mahu bertanggungjawab ke atas emosi kita sendiri. Sebenarnya, apa yang kita rasai ialah akibat perasaan kita sendiri.

Dengan menggunakan gaya bahasa �saya� bermakna kita mengaku emosi itu adalah emosi kita. Dia tidak bersalah. Dia mungkin melakukan sesuatu, tetapi mengapa kita sakit hati ialah kerana kita yang mahu sakit hati. Dia mungkin tidak ada niat menyakitkan hati kita. Kita sendiri yang mahu sakit hati, lalu hati kita pun sakitlah. Gaya bahasa �awak� walaupun sangat pendek, ia boleh mencetuskan pertengkaran yang sangat serius.

Ayat "Awak tidak guna." adalah sangat pendek, tetapi sangat berbahaya. Sebaliknya gaya bahasa �saya� boleh panjang lebar, tetapi tidak membahayakan. Ayat di bawah ialah contoh ayat �saya� yang panjang, tetapi ia tidak mengandungi tuduhan yang sangat menyakitkan hati walaupun ayat ini penuh dengan emosi.

"Saya sudah lama memendam rasa berkenaan cara-cara bagaimana kaum keluarga saya dilayan dalam rumah ini. Tapi saya diam sahaja. Saya tidak mahu bercakap, sebab saya tidak mahu gaduh-gaduh. Sudah dua puluh lima tahun kita kahwin, tapi keluarga saya tidak berapa kali datang. Saya kecil hati apabila saya tengok mereka tidak selesa duduk atas kerusi di rumah ni. Saya nampak macam mana mereka itu dilayan seolah-olah tetamu kita sahaja, bukan macam adik-beradik saya sendiri. Mereka cuma dapat minum dengan biskut atau keropok goreng saja. Ada masanya di dalam peti ais penuh dengan makanan, tapi tidak dihidangkan kepada mereka. Suatu masa yang keluar cuma biskut cream craker saja. Padahal, di dalam peti ais ada sekilo buah anggur yang masih di dalam plastik. Bayangkanlah apa perasan saya apabila makanan itu duit saya yang membelinya, tapi adik-beradik saya tidak merasa. Seingat-ingat saya, belum pernah saya dengar mereka itu ditahan jangan balik dulu selagi belum makan nasi. Saya nampak, dan saya boleh bezakan dengan layanan yang diterima oleh kaum keluarga awak apabila mereka datang. Tapi selama ni saya diam saja, sebab selama ini saya tahu saya tidak akan menang apabila bercakap dengan awak."


Gaya Wanita
Kajian-kajian menunjukkan, apabila wanita menghadapi masalah, mereka suka bercakap berkenaan masalah itu dengan tidak ada niat hendak mencari jalan bagaimana masalah itu patut diselesaikan. Inilah yang ramai lelaki tidak faham. Bagi lelaki, adalah tidak masuk akal perbuatan bercakap berkenaan masalah kalau tidak dengan niat mahu menyelesaikannya. Bagi wanita, salah satu cara menghadapi masalah ialah bercakap mengenai masalah itu, dengan tidak payah menyelesaikannya. Bagi mereka, bercakap-cakap itu sendiri adalah penyelesaian. Apabila wanita dapat bercakap sampai puas berkenaan masalah yang mereka hadapi, dada mereka akan berasa lapang dan mereka bolehlah meneruskan hidup macam biasa.


Gaya Lelaki
Lelaki tidak seperti wanita. Lelaki tidak tahu apabila perempuan bercakap berkenaan masalah, biasanya mereka bukan mahu supaya masalah itu diselesaikan. Mereka sekadar mahu bercakap-cakap mengenainya sahaja! Oleh kerana lelaki tidak tahu hal itu, maka kebanyakan lelaki bosan apabila isteri mereka mula mengadu berkenaan masalah mereka.

Bagi lelaki, setiap masalah mesti dicarikan penyelesaian-nya. Jadi, apabila isteri mereka mengadu masalah yang mereka hadapi, lelaki cepat-cepat berfikir dan memberikan cadangan bagaimana masalah isterinya itu dapat diselesaikan. Bagi lelaki, itulah tindakan yang paling logik. Isterinya ada masalah, maka logiklah dia membantu memikirkan idea bagaimana masalah itu boleh diselesaikan. Dan bagi lelaki, itulah cara yang paling baik bagi menunjukkan kasih sayang terhadap isteri yang sedang mengalami masalah. Akibatnya, belum sempat isterinya bercakap banyak berkenaan masalahnya, lelaki sudah cepat-cepat mengusulkan bagaimana masalah itu patut diselesaikan.

Inilah yang menyakitkan hati wanita apabila bercakap mengenai masalah dengan suami mereka. Lain yang diharap, lain yang didapati. Lelaki pula mendapat rasa puas apabila mereka dapat menyelesaikan masalah mereka. Bagi lelaki, kalau ada masalah, cara yang betul ialah menyelesaikan masalah itu, bukan bercakap-cakap kosong mengenainya. Itulah sebabnya apabila isteri mereka mengadu ada masalah, lelaki cepat-cepat memberi nasihat kepada isterinya, ataupun memberi idea bagaimana masalah itu patut diselesaikan. Padahal isterinya bukan mahu nasihat atau sebarang idea.


Rungutan Wanita
Antara rungutan yang paling banyak dikemukakan oleh wanita terhadap suami mereka ialah suami mereka tidak berminat mendengar masalah isteri, dengan cara-cara seperti berikut:

1. Si suami tidak mahu mendengar langsung dengan cara pura-pura tidak mendengar isterinya bercakap.

2.Si suami mendengar dengan sambil lewa sahaja, macam hendak tidak hendak.

3.Si suami cepat-cepat memberi cadangan apa yang patut dibuat oleh isterinya walaupun si isteri baru bercakap dua tiga ayat.

Wanita memang suka bercakap-cakap mengenai masalah mereka. Masalah-masalah yang kecil-kecil pun mereka suka bercakap-cakap mengenainya. Mereka berasa puas dapat bercakap-cakap berkenaan masalah-masalah kecil. Oleh kerana wanita suka bercakap mengenai masalah-masalah kecil, suami mereka suka merendah-rendahkan tabiat mereka itu. Sikap tersebut tergambar dalam kata-kata yang mereka ucapkan. Di bawah ialah contoh nasihat yang biasa diberikan oleh suami kepada isterinya. Di sebalik nasihat itu ialah pandangan yang merendah-rendahkan isterinya.

Contoh 1
Isteri : "Saya risaulah, kalau anjing orang sebelah dapat masuk halaman kita, macam mana?"

Suami : "Itukan soal kecil, apa yang awak risaukan sangat. Sudahlah tu, lupakan saja."

Contoh 2
Isteri : "Buah mangga kita ni asyik dicuri budak-budak sahaja. Masalah betullah."

Suami : "Tidak usahlah awak pedulikan perkara remeh-temeh tu."

Contoh 3
Isteri : "Warna langsir tingkap kita ni sudah tidak berseri lagi. Hendak tukar tidak ada duit."

Suami : "Janganlah pening-peningkan kepala awak dengan benda tidak penting itu."

Kata-kata seperti di atas sangat menyakitkan hati perempuan. Itu sebabnya ramai isteri geram kepada suami mereka. Bagi wanita, tidak ada �masalah besar� ataupun �masalah kecil�. Semua masalah adalah masalah. Tetapi lelaki lain, mereka memang membezakan jenis-jenis masalah, dan cara-cara mereka menangani masalah itu ditentukan sama ada ia dianggap penting, serius, remeh atau tidak.

Berikut ialah contoh bagaimana suami-suami memberi idea supaya masalah isterinya boleh diselesaikan:

Contoh 1
Isteri : "Saya penatlah. Mana lagi kerja rumah, mana lagi kerja pejabat. Tidak tahan rasanya badan saya ni."

Suami : "Kalau tidak tahan, berhentilah kerja."

Contoh 2
Isteri : "Muka saya ni timbul jerawat balik."

Suami : "Kurangkanlah makan minyak."

Contoh 3
Isteri : "Bos saya tu teruk betullah. Sudah seminggu ni asyik marah-marah sahaja. Tidak tahan rasanya tengok muka dia."

Suami : "Tidak usahlah tengok mukanya."

Bayangkanlah, macam mana isteri-isteri tidak geram apabila begitulah cara suami mereka menyambut aduan masalah yang mereka buat? Bagi para isteri, aktiviti bercakap-cakap dan berbual-bual adalah inti pati yang paling penting peranannya dalam bercinta dan berkasih-sayang. Inilah yang kebanyakan lelaki tidak mengerti.

Jadi, bagi wanita, apabila suami mereka tidak mahu melayan mereka dengan cara mendengar, bercakap-cakap dan berbual-bual berkenaan masalah yang mereka adukan, itu bermakna mereka tidak dapat mengecap salah satu nikmat besar dalam perkahwinan. Bagi wanita, aktiviti bercakap-cakap dan berbual-bual adalah lebih daripada setakat bercakap-cakap dan berbual-bual sahaja. Ia adalah cara mereka menjalin dan memupuk hubungan. Jikalau hubungan itu adalah hubungan cinta, ia adalah cara mereka menjalin dan memupuk cinta. Ia adalah cara yang mereka gunakan untuk mendalamkan lagi rasa komitmen dan keintiman. Kebanyakan suami tidak faham apabila isteri mereka mengadukan masalah, yang mereka mahu ialah supaya suami membuktikan cinta dan kasih sayangnya kepada mereka. Caranya ialah: Layanlah si isteri bercakap sampai puas berkenaan masalahnya!


Bertengkar
Kita selalu mendengar orang berkata, "Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri." Maksudnya, pertengkaran adalah suatu hal yang tidak dapat dielakkan dalam perkahwinan. Tetapi menurut pakar-pakar kaunseling rumah tangga, kebanyakan pertengkaran suami isteri memang boleh dielakkan. Caranya ialah dengan belajar teknik-teknik yang betul apabila berkomunikasi dalam pertengkaran. Kebanyakan orang tidak percaya bahawa bertengkar memerlukan teknik yang betul, supaya kita tidak bercakap ikut sedap mulut sahaja.

Biasanya, perkara yang menjadi punca pertengkaran itu sendiri tidaklah menyakitkan hati sangat sehingga orang mahu bertengkar mengenainya. Sebagai contoh, lauk yang masin sedikit tidaklah boleh menyebabkan suami mahu bertengkar dengan isterinya. Tetapi, ia akhirnya boleh mencetuskan pertengkaran disebabkan oleh faktor bahasa yang digunakan apabila bercakap mengenai lauk masin itu, di mana bahasa itu adalah jenis gaya bahasa yang menyakitkan hati orang yang mendengarnya.

Suami : "Mah, kenapa ikan ni masin sangat?"

Isteri : "Tidaklah. Saya letak sikit saja garam."

Suami : "Saya kata masin, masinlah. Takkan awak tidak percaya cakap saya?"

Isteri : "Awak mahu makan, makan! Kalau tidak mahu makan, sudah!"

Suami : "Awak ni, kenapa? Cakap sikit pun tidak boleh?"

Isteri : "Awak tu, kenapa? Asyik komplen saja... . Kalau saya masak, masinlah, itulah, inilah. Semua tidak sedap. Kalau orang lain masak, semua sedap. Saya bukan tukang masak."

(Suami bangun dan tidak jadi makan, lalu keluar.)

Gaya bahasa yang paling mudah mencetuskan pertengkaran ialah gaya bahasa menyalahkan orang lain.

"Awak tidak ingatkah?"
"Awak lupakah?"
"Ini salah awak."
"Awak tidak tahu buat kerja."
"Itulah, awak degil."
"Kalau awak ikut cakap saya, tentu tidak jadi begini."
"Siapa yang salah?"
"Kenapa tidak cakap dari tadi?"
"Mak awak pun sama macam awak."
"Idea awak salah."

Gaya bahasa yang menyalahkan orang lain sangat menyakitkan hati sesiapa pun yang mendengarnya. Ramai suami isteri tidak sedar bahasa ini amat kerap diucapkan. Tidak ada orang yang suka dituduh bersalah. Akibatnya, mereka jadi defensif. Salah satu gaya bahasa defensif ialah membalas tuduhan dengan tuduhan juga. Ada beberapa teknik untuk mencegah diri kita daripada terpakai gaya bahasa ini apabila bercakap.

1. Pertama, jangan gunakan perkataan �awak�. Kedua, jangan gunakan perkataan �kenapa?�
"Kenapa awak lupa?"
"Kenapa tidak telefon saya?"
"Kenapa awak macam bapa awak juga?"

Ayat-ayat jenis ini mempunyai ciri negatif yang sangat berbahaya, iaitu ayat-ayat tersebut tidak membezakan antara �orang� dan �masalah� yang hendak diselesaikan. Kedua-duanya digabung-kan menjadi satu. Masalah dapat diselesaikan, tetapi �orang� tidak dapat diselesaikan. Ayat-ayat �awak� mengatakan orang itu adalah masalah. Kerana hal demikian, ia menganggap orang itu yang perlu diselesaikan. Ini mustahil.

Ayat-ayat itu juga tidak membezakan �perbuatan� daripada �orang�. Perbuatan dapat diubah, tetapi orang tidak dapat diubah. Menggunakan ayat �awak� tidak dapat menyelesaikan apa-apa masalah. Perbuatan itu hanya memburukkan lagi masalah yang ada dengan mencetuskan masalah-masalah lain pula.

Ayat yang menggunakan perkataan �kenapa� adalah menyakiti hati orang yang ditanya. Walaupun ayat itu nampaknya seolah-olah setakat bertanya maklumat dan penjelasan, tetapi sebenarnya ayat �kenapa� mempersoalkan kebijaksanaan orang itu. Orang yang mengucapkan ayat itu juga ada anggapan status dirinya lebih tinggi. Isteri yang bertanya "Kenapa abang balik lambat malam tadi?" adalah seorang isteri yang berasa dia ada hak mempersoalkan suaminya. Itulah sebabnya lelaki pantang mendengar ayat �kenapa� daripada mulut isteri mereka.

2. Kedua, jangan babitkan perkara-perkara lain. Apabila bercakap berkenaan sesuatu isu, kita selalu membabitkan perkara-perkara lain yang tidak ada sangkut-pautnya dengan isu asal. Itulah sebabnya, hilang isu asal, timbul isu lain. Akibatnya, isu lain itu yang mencetuskan pertengkaran.

Contoh 1
Isteri : "Bang, minta duit, saya hendak beli karpet baru."

Suami : "Tidak payahlah beli karpet baru. Kita tidak cukup duit."

Isteri : "Macam mana hendak cukup duit. Abang tu banyak sangat hantar duit balik kampung. Sampai kita sendiri tidak cukup duit. Hendak beli karpet pun susah. Mak bapa abang tu asyik minta duit shaaja. Dia orang ingat kita ni kilang duitkah? Abang pun satu juga, sudah kahwin buatlah cara sudah kahwin. Sepatutnya duit abang tu untuk anak isteri sendiri saja. Kalau masa abang masih bujang, tidak mengapalah. Pasal tu tidak pernah cukup duit."

Suami : "Tutup mulut awak tu sikit. Membebel tidak habis-habis."

Contoh 2
Isteri : "Kenapa abang balik lambat?"

Suami : "Banyak kerja."

Isteri : "Orang lain pun banyak kerja. Tapi mereka balik cepat. Apa salahnya abang bawa balik kerja abang tu, buat di rumah. Ini tidak, abang suka buat di pejabat. Jangan-jangan ada apa-apa tidak? Mana saya tahu, betulkah abang banyak kerja pejabat? Jangan-jangan kerja lain, tidak?"

Suami : "Diamlah!"

Contoh 3
Isteri : "Apa kenanya kereta awak tu? Rosak lagikah?"

Suami : "Rosak sikit."

Isteri : "Kereta tu asyik makan duit saja. Tidak habis-habis rosak. Awak kalau beli barang, selalu saja rosak. Dulu, motosikal yang awak beli pun selalu rosak. Jam tangan yang awak belikan untuk saya tu pun sudah rosak juga. Awak tidak pandai beli barang."

Suami : "Duit saya, apa awak peduli? Saya bukan habiskan duit datuk awak. Saya punya duit, saya punya pasallah."


Memuntahkan Isi Dada
Semasa sedang bergaduh dan bertengkar, macam-macam perkara dan perbuatan yang boleh membahayakan ikatan perkahwinan boleh berlaku. Salah satu perbuatan itu ialah perbuatan mencurahkan segala perasaan yang selama ini terbuku dalam dada. Lelaki tidak takut menghadap laut yang bertaufan, tetapi lelaki sangat takut menghadap wanita yang sedang meluahkan perasaannya, atau istilah-nya �memuntahkan isi dada�.

Apabila perempuan mula sahaja meluahkan perasaan mereka, lelaki jadi takut. Tingkah laku memuntahkan isi di dada adalah sangat popular dalam komunikasi rumah tangga dan ia biasanya dilakukan oleh para isteri. Lelaki tidak suka memuntahkan isi dada mereka walaupun dada mereka juga penuh dengan pelbagai perkara yang tidak memuaskan hati mereka. Perbuatan ini dianggap �kelakuan perempuan� sebagaimana perbuatan menangis dan berleter juga dianggap kelakuan perempuan.

Isteri-isteri suka melakukan perbuatan ini kerana menurut mereka dengan perbuatan itu barulah mereka berasa �puas�. Walaupun perbuatan meluahkan isi dada popular, tetapi ia tidak berguna sama sekali bagi menyelesaikan apa-apa masalah atau meleraikan apa-apa konflik. Malah ia kerap kali menjadi punca bagaimana isu yang kecil boleh mencetuskan pertengkaran yang besar. Perempuan pula mempunyai pelbagai cara meluahkan perasaan mereka.

1. Pertama, dan paling popular ialah dengan cara berleter. Ini pun sudah cukup menakutkan lelaki. Leteran ialah punca utama lelaki membenci isteri dalam diam-diam.

2. Kedua ialah dengan cara menggunakan bahasa badan. Mereka berjalan dengan menghentak-hentak kaki, menghempas-hempas barang, menutup pintu kuat-kuat dan seumpamanya.

3. Ketiga ialah dengan cara mengungkit-ungkit perkara lama. Perbuatan ini sangat menyakitkan hati lelaki, dan ia adalah racun yang menghakis cinta secara sangat perlahan-lahan. Leteran dan ungkitan selalu-nya dilakukan bersama-sama. Meskipun perbuatan ini sangat berbahaya, namun ia popular dilakukan.

4. Keempat ialah dengan cara merungut-rungut. Merungut ialah perbuatan mencari segala macam perkara yang tidak betul, yang salah dan yang tidak memuaskan hati. Mula-mula orang bosan mendengar rungutan, lama-lama menjadi benci. Rungutan menyebabkan emosi orang yang mendengarnya berasa letih. Orang yang kuat merungut ialah orang yang hatinya sukar dipuaskan. Ada-ada sahaja yang tidak betul.

5. Kelima ialah dengan cara menuduh dan menyalahkan suami sendiri atau sesiapa sahaja orang lain, seperti mertua, ipar duai, atau rakan-rakan suaminya atas segala perkara yang dia tidak puas hati. Apabila kita menuduh suami, kita sebenarnya menuduh dia ada niat melakukan apa yang dilakukannya. Niat itu pula sentiasa niat buruk dan jahat, bukan niat baik.

Sebagai contoh, seorang suami tidak mahu membelikan isterinya cincin berlian RM 10 000 sempena ulang tahun perkahwinan mereka. Si isteri menuduh dengan mengatakan suaminya sengaja tidak mahu membelikan cincin itu sebab suaminya ada niat... . (macam-macam niat yang si isteri reka sendiri).

Tuduhan sentiasa mengandungi unsur di mana si penuduh mengatakan orang yang dituduhnya itu ada niat yang negatif terhadap dirinya. Kalau si suami balik lambat, si isteri menuduh si suami ada niat menipunya. Kalau si suami tidak mengajak isterinya ke majlis, si isteri menuduh si suami hendak membawa wanita lain. Kalau si suami menukar minyak wanginya, si isteri menuduh ada perempuan lain yang menyuruhnya berbuat begitu. Kalau si isteri minta wang lebih dan suaminya memberitahu dia tidak ada wang sebanyak itu, si isteri menuduh suaminya berbohong kerana wang itu hendak digunakan untuk joli. Apabila kita menuduh orang itu ada niat negatif terhadap kita, bermakna kita seolah-olah boleh nampak apa yang ada dalam kepala orang itu, atau kita dapat membaca apa yang ada di dalam hatinya. Ini mustahil. Tidak ada orang yang tahu apa yang ada dalam kepala dan hati orang lain, sekalipun antara suami dan isteri.

6. Keenam ialah dengan cara tarik muka masam ataupun dengan cara merajuk. Cara ini pun sangat popular. Ia adalah salah satu cara menghukum orang yang kita tuduh sebagai punca yang menyebabkan apa yang kita alami.

Kebanyakan lelaki tidak tahu apa yang paling sesuai mereka lakukan apabila isteri mereka sedang meluahkan perasaan. Akibatnya, mereka �lari� kerana mereka tidak mahu memandang dan mendengar apa yang sedang terjadi. Ada beberapa cara yang popular digunakan oleh para suami untuk lari daripada menghadapi isteri yang cuba meluahkan perasaannya. Antara cara-cara itu ialah:

1. Suami pergi meninggalkan tempat di mana isterinya sedang meluahkan perasaan. Sebagai contoh, apabila isteri meluahkan perasaannya di dalam rumah, si suami keluar meninggalkan rumah. Umpamanya, mereka pura-pura pergi ke ladang, atau ke kedai membeli rokok dan lain-lain alasan.

2. Si suami tidur. Ini biasa dilakukan apabila si isteri meluahkan perasaan di dalam bilik tidur pada waktu malam.

3. Si suami cuba menenggelamkan suara isteri dengan cara meninggikan bunyi radio atau televisyen supaya dia tidak boleh mendengar apa yang dikatakan oleh si isteri. Ada kalanya dia pura-pura membetulkan enjin motosikal atau keretanya dan dia membunyikan enjin itu kuat-kuat, atau lain-lain perbuatan seperti itu.

4. Si suami sengaja tidak mahu memikirkan langsung apa yang diluahkan oleh isterinya. Ada kalanya, di dalam hatinya si suami menafikan dia sedang menghadapi sebarang masalah dengan isterinya. Oleh itu dia tidak mahu membuat sebarang respons terhadap apa yang dikatakan oleh si isteri. Jadi dia anggap isterinya hanya �marah-marah tidak tentu fasal� sahaja, maka tidak perlulah dia berbincang apa-apa dengan isterinya.

Lelaki sanggup melakukan banyak perkara asal sahaja mereka boleh mencegah isteri mereka daripada meluahkan perasaannya. Antara perkara-perkara yang popular mereka lakukan ialah diam, berdusta, mengalah, mengelak dan �merasuah� atau memberi �gula-gula�.

Pada jangka masa pendek, strategi yang digunakan oleh suami bagi mencegah isteri mereka daripada meluahkan perasaan memang dapat mencapai objektif itu. Sebagai contoh, apabila isteri meluahkan perasaan dan si suami diam sahaja, lama-lama si isteri kehabisan tenaga emosinya kerana tidak dilayan, lalu dia diam. Kalau dilayan, nanti si isteri akan tambah marah. Memang betullah, pada ketika itu si isteri akan berhenti meluahkan perasaannya. Tetapi ia menyebabkan hati si isteri tambah tidak puas hati kerana tidak dilayan oleh suaminya. Perasaan itu akan terbuku dan menanti saat lain untuk diluahkan lagi.

Lelaki juga kerap berdusta kerana takut jikalau isterinya tahu apa yang sebenar, ia akan mencetuskan kemarahan si isteri. Jadi dia berdusta dengan berbagai-bagai cara. Pertama dia tidak memberitahu langsung perkara yang sebenar. Sebagai contoh dia pergi bersama-sama kawan ke rumah urut dan dia merahsiakan hal itu. Kedua, dia memberitahu sebahagian sahaja daripada maklumat yang sebenar. Sebagai contoh, dia memberitahu isterinya dia bersama-sama kawan-kawan, tetapi tidak pula memberitahu ke mana mereka pergi. Ketiga, dia memberitahu maklumat yang salah sama sekali. Sebagai contoh, dia memberitahu isterinya kononnya dia bekerja lebih masa.

Strategi seperti ini memang boleh mencegah konflik, tetapi hanya untuk jangka masa pendek. Apabila dusta itu diketahui, konflik yang lebih besar akan meletus. Lelaki juga kerap mengalah sahaja kepada isteri supaya dengan berbuat begitu si isteri tidak akan meluahkan perasannya atau akan berhenti. Mereka akan ikut kehendak isteri kalau dengan cara itu si isteri tidak jadi, atau mahu berhenti meluahkan perasaannya. Strategi ini juga sangat berbahaya. Perbuatan mengalah kepada kehendak isteri boleh memburukkan lagi perangai isteri yang memang buruk. Setiap kali si isteri mahu supaya kehendaknya dituruti, dia akan mengancam suaminya dengan luahan perasaan. Lama-lama strategi itu menjadi tabiat kepada si isteri.

Lelaki juga menggunakan strategi mengelak. Sebagai contoh, jika si isteri sedang mengamuk berkenaan suatu perkara, si suami akan melencongkan percakapan mereka kepada perkara lain. Strategi ini boleh mencegah isteri daripada meluahkan perasaannya, tetapi ia tidak juga menyelesaikan apa-apa masalah. Jadi, masalah itu akan timbul lagi, dan timbul lagi lain kali.

Satu lagi strategi yang popular ialah lelaki akan �merasuah� atau memberi �gula-gula� kepada isterinya dengan melembutkan hati si isteri dengan cara-cara seperti membawa pulang buah tangan, memberi hadiah-hadiah mahal, memberi pujian-pujian palsu dan seumpamanya. Suatu kelemahan cara ini ialah, hadiah-hadiah itu perlu semakin �besar� dan berlainan bentuknya dari waktu ke waktu bagi menimbulkan kesan yang serupa. Ini kerana isteri tidak suka menerima dua helai baju atau dua beg tangan yang serupa!

Ada kalanya lelaki menggunakan teknik kelakar dan gurauan untuk mencairkan rasa marah isteri. Cara begini boleh semakin menyakitkan hati si isteri. Mereka mempersenda-sendakan kata-kata isteri.

"Baguslah. Kalau awak mati, lagi cepat saya boleh kawin lain!"

"Kalau saya tidak sayang awak, sudah lama saya cari yang baru."

"Saya sayang awak, siapa pulak kata saya benci awak? Gemuk macam awak pun saya tidak cari lain, takkanlah awak kata saya tidak sayang awak?"

Lelaki sebenarnya tidak takut kepada emosi isteri. Sebenarnya yang mereka takuti ialah teknik-teknik negatif yang digunakan oleh isteri apabila mereka meluahkan emosi, atau memuntahkan isi dada mereka. Tidak ada orang yang suka dileteri, diungkit-ungkit, diancam, dirajuki dan diberi muka masam. Walau apa sekalipun strategi yang dibuat oleh lelaki untuk mencegah isteri mereka daripada meluahkan perasaan, strategi itu mempunyai kesan negatif yang lebih banyak daripada kesan positifnya. Strategi-strategi itu tidak menyelesaikan masalah yang ada. Ia hanya menunda berlakunya konflik yang lebih besar kemudian hari.


Menyumbat Mulut
Ada banyak cara bagaimana wanita boleh menang apabila bertengkar dengan suami mereka. Antara cara-cara yang digunakan itu, banyak daripadanya membahayakan kepentingan wanita sendiri. Namun cara-cara yang berbahaya itu sangat popular digunakan. Cara-cara itu berbahaya kerana ia boleh menyebabkan suami menjadi sakit hati, marah, bosan dan benci kepada isteri. Jadi, walaupun cara-cara itu memang boleh membawa kemenangan kepada isteri, tetapi kemenangan itu adalah pada jangka masa pendek sahaja. Pada jangka panjang ia merugikan diri sendiri.

1. Cara pertama untuk menang apabila bergaduh dengan suami ialah dengan cara mengenakan tekanan ke atas suami. Dalam lain perkataan ialah memaksa suami mengalah. Tekanan jenis pertama ialah tekanan emosi. Teknik mengenakan tekanan emosi popular dilakukan apabila iklim komunikasi antara suami dan isteri sudah sangat negatif. Dengan mengenakan tekanan emosi, isteri-isteri boleh memaksa supaya suami mereka mengalah kepadanya. Antara tekniknya ialah dengan menuduh, mencaci dan memaki hamun si suami.

"Awak memang tidak bertanggungjawab." ialah suatu tuduhan.

"Awak tu sudah tua tapi masih miang, tidak sedar diri.� ialah suatu cacian.

"Binatang! Lelaki tidak guna. Anjing!" ialah maki hamun.

2. Tekanan yang kedua ialah tekanan fizikal seperti memukul, membaling benda kepadanya, menampar dan lain-lain seperti itu. Tekanan ini banyak dilakukan oleh lelaki, tetapi ada juga isteri-isteri yang menggunakan tekanan jenis ini. Ada yang memukul suami dengan benda-benda seperti buluh dan kayu batang penyapu semasa suami sedang tidur. Ada yang membaling suami dengan benda-benda seperti buku tebal, beg kerja suami, kasut dan macam-macam lagi.

3. Teknik ketiga untuk menang ialah dengan menuduh. Banyak lelaki akan diam apabila dirinya dituduh. Walaupun hati mereka sangat sakit, tetapi mereka diam sahaja. Alasan utama mereka diam ialah bagi mengelakkan tercetusnya konflik yang buruk.

"Mentang-mentang saya sudah tua, awak sengaja hendak cari yang muda."

"Saya tahu saya bodoh, tidak setaraf dengan awak. Itu sebab awak malu hendak bawa saya ke majlis."

"Awak memang sudah bosan dengan saya, sebab itulah awak cari alasan hendak kahwin lain."

4. Teknik keempat ialah dengan �menyumbat� mulut lawan sehingga orang itu tidak sanggup bercakap lagi. Teknik ini popular di kalangan isteri. Orang yang disumbat mulutnya tidak boleh berkata apa-apa lagi bagi meneruskan pertengkaran atau pergaduhan. Antara jenis-jenis penyumbat mulut yang popular digunakan oleh para isteri ialah:

a. Menangis. Teknik ini sangat popular. Ramai lelaki akan terdiam apabila isterinya mula menangis.

b. Menjerit-jerit. Ramai isteri tahu dengan bercakap dengan suara tinggi dan menjerit-jerit, biasanya mereka dapat membuat suami mereka diam. Lelaki takut malu sekiranya anak-anak atau jiran tetangga mendengar mereka bergaduh.

c. Pura-pura hilang akal seolah-olah dirasuk hantu. Perbuatan ini hanya dilakukan oleh wanita. Walaupun lelaki tahu ia hanya sandiwara tetapi lelaki akan diam apabila sandiwara ini mula dilakonkan.

d. Pura-pura pitam atau tidak sedarkan diri. Per-buatan ini pun cuma dilakukan oleh wanita. Ia juga sejenis sandiwara juga. Siapa pun akan diam apabila orang itu sudah �tidak sedarkan diri�.

e. Pura-pura sesak nafas dengan tiba-tiba.

f. Pura-pura sakit kepala yang amat sangat, atau sakit-sakit yang lain.

g. Mengamuk dengan memecahkan barang-barang dan seumpamanya.

Apabila perempuan bercakap dengan marah-marah, mereka boleh berjaya membuat suami mereka diam sekejap. Tetapi perbuatan isteri yang suka marah-marah ada bahayanya. Suami mereka mungkin bukan diam sekejap, tetapi diam selama-lamanya, di mana suami mereka tidak mahu lagi berkomunikasi secara terbuka dan dari hati sanubari.

Ramai lelaki tidak tahu cara-cara yang betul menghadapi isteri yang suka menggunakan cara marah-marah bagi mengalahkan suami mereka. Pakar-pakar psikologi memberi panduan berikut:

1. Cuba kawal perasaan marah yang kita alami sendiri akibat mendengar kata-kata isteri yang menyakitkan hati. Kalau kita tidak dapat membuat isteri kita mengawal marahnya, kita kawal marah kita sendiri. Apabila kita mendengar kata-katanya yang menyakitkan hati, jangan peduli dan jangan layan kata-katanya itu. Kalau dilayan, dia akan jadi lebih marah lagi, kerana tujuannya ialah dia mahu menang dengan cara memaksa kita mengalah.

2. Kalau hati kita sangat sakit dan isteri kita sangat marah, jauhkan diri kita daripadanya. Pergilah keluar rumah, barangkali selama setengah jam, atau beberapa jam. Kalau hati kita sangat sakit, tambahkan masa itu. Tetapi jangan keluar begitu saja. Perbuatan itu akan membuat dia lebih marah lagi. Sebelum keluar, katakan kepadanya kita pergi kerana hendak mengawal perasaan kita sendiri.

3. Kita boleh mengalah, tetapi mengalah sedikit sahaja. Kalau kita mengalah semua, ia boleh menimbulkan kesan negatif kepada dia dan kepada diri kita sendiri. Kalau dia dapat menang semua, nanti lain kali tabiat buruknya akan bertambah buruk. Dia bertambah yakin dengan cara marah-marah, dia dapat mengalahkan kita. Bagi diri kita sendiri, kalau kita mengalah semua, ego kita akan terluka.

4. Apabila dia berlakon pura-pura pitam, hilang akal, dirasuk hantu, atau sesak nafas, jangan dilayan. Emosi marah tidak boleh menyebabkan gangguan mental dan fizikal jenis itu! Apabila tidak dilayan, dia akan sembuh sendiri. Kalau dilayan, lain kali lakonannya akan diulang dengan lebih hebat lagi.


Diam
Dalam banyak perkahwinan yang sudah berusia lebih daripada lima tahun, salah satu masalah yang dihadapi oleh pihak isteri ialah suami yang suka diam. Suami yang diam tidak suka berbual-bual seperti masa dulu-dulu. Balik dari kerja, mereka duduk membaca surat khabar, dari halaman ke halaman, dan menonton televisyen daripada rancangan ke rancangan. Walau apa yang sedang berlaku di dalam rumah, mereka seperti tidak peduli dan tidak ambil pusing. Mereka tidak mahu dibawa berbincang bagi menyelesaikan apa-apa masalah yang sedang dihadapi oleh isteri. Mereka juga tidak mahu memberi pendapat mereka berkenaan apa-apa keputusan yang perlu dibuat.

Kaum wanita mengalami seksa batin yang hanya mereka sahaja boleh mengerti apabila suami mereka suka diam. Ini kerana kaum wanita mendapat kepuasan batin yang mendalam daripada kegiatan bercakap-cakap dan berbual-bual, terutamanya dengan orang yang mereka kasihi. Bagi wanita, selagi mereka masih boleh bercakap-cakap dan berbual-bual dengan suami mereka, maka mereka yakin bahawa perkahwinan mereka masih kukuh dan kasih sayang mereka berdua masih kental.

Itulah sebabnya, apabila suami mereka sudah kurang mahu berbual-bual dengan mereka, hati wanita berasa tidak aman lagi dan mereka percaya perkahwinan mereka sedang terancam. Mereka juga tidak dapat mentafsir apa erti perbuatan suami mereka yang suka diam. Apabila suami mereka suka diam, kebanyakan isteri tidak tahu apa yang boleh dibuat supaya suami mereka mahu bercakap-cakap dan berbual-bual semula dengan mereka seperti sewaktu masih bercinta, atau baru kahwin.

Kebanyakan isteri yang menghadapi masalah suami diam melabelkan suami mereka sebagai �tidak bertanggungjawab� kerana apabila mereka diam, mereka tidak mahu ambil tahu dan tidak mahu masuk campur dalam semua urusan rumah tangga yang dikendalikan oleh si isteri. Akibatnya, si isteri membuat keputusan sendiri dan menyelesaikan semua masalah sendiri tanpa bantuan suami mereka.

Diam ialah sejenis komunikasi yang sarat dengan makna. Ada dua jenis diam. Pertama ialah diam yang sementara, iaitu diam dalam keadaan tertentu sahaja. Kedua ialah diam yang berlarutan. Suami yang diam buat sementara tidak berapa menyeksa batin wanita. Diam jenis sementara mempunyai beberapa makna.

1. Si suami tidak setuju dengan si isteri, tetapi dia tidak mahu bercakap kerana sia-sia bercakap. Isteri yang banyak cakap atau becok kerap menyebabkan suami mereka diam kerana si suami tidak mahu sakit telinga. Jadi suami-suami itu diam kerana tidak mahu mendorong isterinya banyak bercakap dan menyakitkan telinga mereka.

Setengah-setengah isteri pula ada tabiat suka mempertikaikan apa-apa saja yang disebut oleh suami mereka. Kalau suami kata lurus, dia kata bengkok; kalau suami kata ringan, dia kata berat; kalau suami kata hari ini, dia kata besok. Tidak habis-habis bertelingkah. Isteri-isteri begitu suka bertelingkah dalam segala macam isu remeh-temeh. Mereka asyik bertelingkah sudut pandangan. Ia menyebabkan suami mereka mengalami apa yang disebut �letih emosi�. Akibatnya, demi mengelakkan sebarang pertelingkahan emosi, suami mereka diam.

Tabiat isteri yang suka bertelingkah pendapat dengan suami menyebabkan suami mereka yakin, kalau dia bercakap, nanti cakap-cakapnya akan ditelingkah oleh isterinya, dan isterinya tidak akan mengalah. Jadi bagi mengelakkan pergaduhan si suami diam sahaja.

Isteri : Bang!

Suami : Hm...

Isteri : Abang mahu makan apa malam ni?

Suami : Apa-apalah. Bihun pun boleh.

Isteri : Bihun? Ah, tidak kenyanglah makan bihun. Kita makan nasilah.

Suami : (diam)

Isteri : Kita makan nasi ya?

Suami : (diam)

Isteri : Tengok tu, orang tanya, dia buat pekak saja!

Dalam dialog di atas, mula-mula si isteri bertanyakan pendapat suaminya, selepas mendengar pendapat itu, dia mempertikaikan pendapat suaminya. Akibatnya, suaminya diam, tidak mahu bercakap lagi. Ramai isteri tersalah membaca diam jenis ini sebab ada pepatah mengatakan �diam tanda setuju�, jadi apabila suaminya diam, dia sangka suaminya setuju, padahal tidak.

2. Diam kerana si suami takutkan risiko bercakap. Setengah-setengah isteri akan menghukum suami jikalau kehendak mereka tidak dituruti. Jadi, suami mereka akan diam kerana takutkan hukuman daripada isteri, seperti si isteri tarik muka masam, atau merajuk dan lain-lain hukuman yang wanita ada kuasa menjatuhkan ke atas suami mereka.

3. Suami diam kerana malas hendak melayan perkara yang dianggap remeh dan tidak penting.

4. Suami diam kerana walaupun perkara itu besar, tetapi bagi si suami, ada perkara lain yang lebih penting untuk dijaga. Biasanya perkara yang dianggap sangat penting ialah para suami ialah mengelakkan pertengkaran dalam rumah tangga.

Diam yang sangat ditakuti wanita ialah diam yang berlarutan. Diam jenis ini berpanjangan selama berbulan-bulan dan bertahun-tahun. Keempat-empat faktor di atas, iaitu perkara yang pada mulanya adalah punca diam yang sementara, tetapi kalau ia selalu sangat berlaku, boleh menyebabkan berlakunya diam yang berpanjangan. Suami yang satu masa dulu banyak bercakap dan berbual-bual tidak menjadi pendiam dengan tiba-tiba. Proses itu mengambil masa yang lama.

Masalah suami suka diam jenis sementara boleh dirawat dengan mudah. Isteri-isteri yang becok, suka banyak cakap, suka mempertikaikan pendapat suami mereka, kalau mereka tidak mahu mendapat suami yang diam berpanjangan, lebih baik belajar berhenti tabiat buruk suka mempertikai cakap suami. Apabila mereka tidak lagi dipertikai, suami-suami itu akan mahu bercakap semula.

Dalam komunikasi, diam mempunyai banyak punca. Antara punca yang sangat serius mengapa suami diam berbulan-bulan, malah bertahun-tahun, ialah penjauhan diri. Seorang suami yang tidak lagi cinta kepada isterinya akan menunjukkan jenis-jenis tingkah laku penjauhan. Antara tingkah laku itu ialah mendiamkan diri. Perbuatan mendiamkan diri adalah salah satu cara seseorang itu menutup pintu hatinya daripada dimasuki oleh orang lain. Istilah yang biasa digunakan ialah �menutup diri�.

Apabila seseorang suami menutup dirinya, dia tidak mahu bercakap-cakap mengenai dirinya sendiri. Dia tidak mahu memberitahu perasaannya, fikirannya, rancangannya, aktivitinya dan lain-lain maklumat yang penting diketahui oleh isterinya. Itulah sebabnya dia diam. Dia tidak mahu isterinya tahu apa yang sedang dibuatnya, apa yang sedang dirancangnya, apa yang sedang dialaminya.

Tetapi mengapakah si suami tidak mahu memberitahu maklumat-maklumat itu kepada isterinya? Punca yang paling penting mengapa seseorang suami itu menutup dirinya daripada isterinya ialah kerana dia sudah tidak berapa mencintai isterinya lagi. Tanpa cinta yang kuat, si suami tidak ada dorongan lagi untuk mengongsi perasaan dan fikirannya dengan isterinya. Suami yang tidak berapa mencintai isterinya lagi berasa tidak ada faedahnya dia memberitahu si isteri keadaan yang sebenar yang sedang dialami.

Untuk apa dia memberitahu isterinya dia tidak mencintainya lagi? Jika diberitahu juga akan hal itu, si suami tahu risikonya besar. Pertama, si isteri tidak akan mahu menerima berita itu dengan tenang. Isteri mana yang akan tenang mendengar kata-kata daripada mulut suaminya sendiri bahawa dirinya tidak dicintai lagi?

Perangai diam tidak berlaku dengan tiba-tiba sahaja. Ia terjadi perlahan-lahan. Daripada banyak bercakap-cakap, lama-lama percakapan itu semakin hari semakin singkat. Ayat-ayat yang diucapkan juga semakin lama semakin pendek-pendek. Isteri-isteri yang menghadapi masalah suami diam mengadu mereka mencuba berbagai-bagai cara bagi mendapatkan penjelasan daripada mulut suami mereka sendiri mengapa mereka diam, tetapi gagal sahaja. Biasanya si suami akan menafikan mereka diam kerana ada apa-apa punca. Mereka akan berkata, "Tidak ada apa-apa." Jika ditanya juga, suami mereka akan memberi alasan-alasan yang tidak memuaskan hati si isteri, seperti "Penat," "Banyak kerja di pejabat," dan lain-lain alasan yang tidak meyakinkan hati isteri.

Sebenarnya alasan-alasan itu adalah dusta yang dibuat oleh suami untuk diberikan kepada isteri yang beria-ia hendak tahu mengapa suami mereka diam. Si suami mengharapkan dengan memberikan alasan-alasan dusta itu isteri mereka akan berhenti daripada terus memaksa mereka bercakap.

Suami-suami berdusta kerana hendak mengelakkan pergaduhan dan konflik. Mereka tidak mahu memberitahu apa yang sebenar kerana perkara itu pasti tidak boleh diterima oleh si isteri. Apabila si isteri merungut si suami selalu balik lewat, si suami tidak ada pilihan selain berdusta dengan memberi alasan seperti "Banyak kerja." Padahal dia sengaja membanyakkan kerja-kerjanya kerana dia tidak seronok berada di rumah. Semakin luntur cinta dan kasih sayang, semakin banyak dusta yang diucapkan.

Ramai suami berdusta kerana mereka mahu si isteri terus hormat kepadanya. Dia tidak mahu isterinya tahu dia bukan lagi seorang suami yang jujur. Ada kalanya suami-suami berdusta disebabkan mereka tidak mahu perceraian berlaku kerana terdapat banyak kepentingan yang mesti dipelihara, seperti tidak mahu anak-anak menderita, hendak menjaga nama baik di mata masyarakat dan kerana hendak menjaga harta. Semakin hari mereka semakin banyak berdusta kerana menutup dusta yang lalu, mereka terpaksa berdusta lagi. Bagi mengelakkan daripada banyak berdusta, mereka cuba supaya diam sedapat-dapatnya.

Apabila suami tidak mencintai isterinya lagi, dia akan diam pada semua waktu. Kalau bercakap pun, dia akan bercakap kerana tidak ada pilihan. Biasanya dia bercakap kerana terpaksa bertanya sesuatu perkara seperti "Mana kunci kereta saya?" atau "Posmen sudah sampai?" atau "Mana kopi?" Apabila diajak juga bercakap-cakap oleh si isteri, dia akan menjawab dengan memberi jawapan singkat sahaja seperti, "sudah" atau "entah" atau "ya." Mereka berkomunikasi hanya apabila terpaksa sahaja. Sebenarnya mereka tidak seronok lagi bercakap-cakap dengan si isteri. Mereka lebih suka menyendiri dalam dunianya yang terasing. Apabila bercakap pula, mereka tidak mahu memandang muka si isteri. Mereka memandang televisyen, surat khabar atau ke arah lain.

Suami yang diam, mereka bukan tidak bercakap. Mereka banyak bercakap, tetapi mereka bercakap di dalam hatinya sahaja, oleh itu si isteri tidak tahu apa yang ada di dalam hatinya. Pakar-pakar komunikasi mengatakan dalam hati orang yang diam, orang itu menuduh pasangannya bertanggungjawab menyebabkan hubungan mereka menjadi dingin. Tetapi tuduhan itu tidak diucapkan.

Setengah-setengah isteri akan sengaja memprovokasi suami mereka supaya mereka mahu bercakap. Mereka berleter, mengkritik dan menuduh suami mereka berkenaan macam-macam isu. Akibatnya, mereka menyebabkan suami mereka marah. Dalam keadaan marah, suami mereka akan membela diri daripada tuduhan-tuduhan si isteri. Mereka membela diri bagi mempertahankan ego mereka. Mereka tidak setuju dituduh sebagai punca yang bertanggungjawab menyebabkan masalah yang terjadi. Akibatnya mereka pula menuduh si isteri yang bertanggungjawab. Akhirnya, komunikasi yang tercetus adalah komunikasi saling tuduh-menuduh dan saling membela diri.

Apakah yang dapat dilakukan oleh isteri bagi merawat masalah suami diam berpanjangan kerana cintanya sudah tidak ada lagi di dalam rumah itu?

1. Tanya kepada diri sendiri, apakah si isteri masih mencintai suaminya dan masih menghargai perkahwinannya. Jikalau jawapannya ialah "Ya" maka kuatkan usaha menambat semula hati suami.

2. Berhenti dengan serta-merta daripada melayan fikiran hendak bercerai.

3. Belajar teknik-teknik komunikasi yang betul dahulu sebelum cuba mengajak suami berbincang dan menyelesaikan apa-apa masalah yang ada antara mereka. Gunakan panduan komunikasi apabila ber-cakap. Jangan sekali-kali menyangka �perempuan lain� ialah punca masalah yang sedang dihadapi. Kita tidak akan dapat memperkuatkan semula cinta suami kepada diri kita dengan cara menyerang perempuan lain. Perbuatan itu cuma mempercepatkan lagi proses perceraian kita sendiri.

Bahaya diam
Diam ialah kaedah yang kerap digunakan bagi menyembunyikan kesakitan dan penderitaan, sama ada oleh isteri mahupun oleh suami. Kaedah ini lebih banyak dilakukan oleh pihak yang kedudukannya lebih lemah. Dalam setengah-setengah perkahwinan, si isteri berasa kedudukannya sangat lemah, oleh itu dia akan banyak diam.

Dalam keadaan di mana si suami yang berasa dirinya lemah, maka dialah yang banyak diam. Mereka memilih untuk diam kerana tidak mahu orang tahu mereka tidak kuat menepis kesan-kesan perbuatan pasangan mereka. Jadi mereka berasa lebih baik mereka menahan derita dalam diam daripada menampilkan kelemahan mereka sendiri.

Terdapat alasan-alasan lain mengapa suami diam. Salah satu tujuan suami diam ialah dia mengharapkan apabila dia diam, isterinya akan datang menghampirinya. Suami juga diam kerana tidak mahu berkata sesuatu yang boleh memburukkan lagi keadaan. Mereka hendak mengelakkan pergaduhan. Oleh itu mereka lebih bersedia membeli ketenteraman dengan cara diam, tidak kiralah berapa harganya.

Diam juga boleh digunakan sebagai hukuman. Suami diam bagi membalas hati yang sakit. Apabila suami diam, dia menampilkan sikap tidak peduli. Dengan cara mendiamkan diri, si suami menarik balik layanan mesra yang selama ini diberikan kepada si isteri. Tujuannya ialah membuat si isteri berasa dirinya diketepikan dan tidak lagi disayangi. Diam juga boleh digunakan oleh suami bagi melukakan ego si isteri. Isteri yang didiamkan oleh suaminya berasa seolah-olah dirinya tidak dihargai, dan tidak berguna lagi kepada suaminya. Suami yang mendiamkan diri kelihatan seolah-olah kedudukannya begitu kuat, manakala isteri yang didiamkan kelihatan seolah-olah kedudukannya begitu lemah dan serba tidak berdaya.

Setengah-setengah suami suka diam dan mengalah dalam krisis rumah tangga. Dengan diam dia dapat mengelakkan konflik yang lebih besar. Tetapi, perbuatan suka diam dan mengalah sahaja kepada mempunyai empat bahaya:

1. Pertama, si suami mungkin menjadi orang yang gila kerja dan oleh kerana itu dia selalu lambat balik ke rumah. Apabila balik, dia membawa pulang kerja-kerjanya.

2. Dia mungkin menjadi gila hobi, seperti gila golf, gila joran, gila burung ataupun gila persatuan.

3. Dia mungkin menjalin hubungan dengan wanita lain.

4. Perbuatan suka diam dan mengalah sahaja boleh menyebabkan letupan besar yang sukar ditahan-tahan lagi.


Dipetik daripada: Mengendalikan Masalah Dalam Hubungan Peribadi

Virtual Friends - Copyright © 2001-2014 Webber Dot My Solutions (002351632-A). All rights reserved