Unregistered Member
sign up
 Login

Username or Email

Password

Forget Password?

Free Register

 Main Page
 Announcement
 Discussion
 Article
 Photo Album
 Market Place
 Sharing List
 Stateboard
 Member List
 Like
 Applications
 Sign-Up

Article

 AyieFarieza • 20 years ago • 8,984 viewed


"Min, masih ingat aku?"
"Di! Untuk apa kau hubungi aku lagi?"
"Rindu... "
"Sudahlah, Di. Antara kita sudah lama berakhir."
"Tidak, Min. Bagiku masih ada yang tertinggal rindu dan kenangan... "
"Sudahlah, Di. Lupakan semuanya," pantas ganggang telefon aku letakkan. Aku sendiri tak tahu untuk apa kau menghubungi aku kembali saat ini. Dan, entah mana kau memperolehi nombor telefonku, aku sendiri kurang pasti. Untuk apa kau hubungi aku lagi, Di? Andai hanya untuk bertanya khabarku, rasanya tak penting begitu juga andai kau hubungi aku hanya untuk menghidupkan kembali cerita kita yang telah mati.
Empat belas tahun perhubungan kita, Di. Terlalu banyak yang aku tahu tentang kau. Segalanya kita kongsi bersama, kesusahanmu jua adalah kesedihanku dan begitulah sebaliknya. Sehingga tiba pada suatu saat dan ketika kau tiba-tiba hilang dari aku. Entah di mana salah dan silapnya, aku pun tak tahu. Andai waktu itu kau bercerita padaku tentang rindu, memang itulah yang kugendong saban hari. Di, dan memang kala itu yang ada padaku cuma kesetiaan dan keyakinan yang suatu hari kau akan datang kembali pada aku. Dan, itulah kesilapanku, Di.
Barangkali pada waktu itu, aku masih terlalu mentah untuk mengenal hati seorang lelaki bernama Di. dan aku sendiri tidak tahu mengapa aku harus terus menantimu yang di kala itu entah di mana. Walau setiap surat-surat dan khabar yang kutitip langsung tidak mendapat sebarang jawapan dari engkau. Tapi, aku terus sabar menanti dan menanti. Sehingga tibalah penantian itu berakhir apabila aku terima khabar yang engkau rupanya telah dimiliki dan memiliki.
Kecewakah aku, Di? Memang itulah hakikatnya. Segala harapan dan impian hancur berterbangan jadi debu. Tapi, aku harus tabah menerima kenyataan ini. Biar bagaimana pahit sekalipun, aku terpaksa menghadapinya, Di. Memang bukan mudah untuk melaluinya tapi aku terpaksa. Dan, yang amat menghiris hatiku engkau membina istana bersama dia yang jua telah sedia maklum tentang hubungan kita. Dia juga adalah sahabatku. Alangkah tergamaknya kau, Di? Sekali lagi aku terpaksa terima hakikat itu biar terlalu pedih dan menyakitkan. Dan, perlahan-lahan kututup segala cerita tentang engkau dari dalam ruang ingatanku. Segala cerita dan kenangan milik kita kubunuh semuanya. Aku mahu semuanya mati sama seprti perasaanku padamu.
Amat payah, Di. Tapi, aku terus cuba dan mencuba. Empat belas tahun kita bersama dan mungkin terlalu kecewa aku mula membina benteng kebencian untukmu. Rasanya tak menjadi suatu kesalahan buatku. Segala yang terjadi atas kesilapanmu. Setelah itu aku tak pernah mengharapkan agar kau kembali semula padaku. Tapi, entahlah, Di. Jauh di sudut hatiku dapat merasakan yang suatu ketika kau pasti kembali mencari aku. Ternyata tanggapanku benar belaka. Setelah hampir enam tahun engkau pergi, hari ini kau kembali.
"Maafkan aku, Min," sekali lagi suara itu menggangguku suatu pagi.
"Tak perlu, Di. Aku telah lupakan segalanya."
"Tapi, tidak aku Min. Bertahun aku tak dapat melupaimu."
"Untuk apa, Di. Sedangkan antara kita telah punya kehidupan sendiri."
"Tapi, aku benar-benar rasa terhukum, Min. Perkahwinan kami tak pernah memberi sebarang erti padaku."
"Biar apapun ceritamu, aku tak mahu kau jadikan ia sebagai satu alasan, Di."
Dan, memang aku tak mahu mendengar sebarang alasan dari engkau. Kau telah terlewat, Di. Suatu waktu dulu, aku pernah memberi engkau peluang hampir bertahun-tahun dan engkau telah melewati detik itu. Dan, hari ini tak mungkin sekali lagi aku akan memberimu peluang untuk kali yang kedua. Bagiku peluang untukmu cuma sekali dan kini semuanya sudah terlambat. Sama seperti penantianku yang telah lama berakhir. Tentu aku tidak mahu mencipta bara dalam ruang kehidupanku kini. Aku telah lama membuang nama dan dirimu dari ruang kehidupanku. Biar apapun cerita dan alasanmu, aku tak memerlukannya lagi, Di. Seluruh hati dan perasaanku telah kuserahkan untuk orang lain.
"Min, ada bunga untuk engkau."
"Untuk aku? Dari siapa?"
"Tak tahu... "
Sejambak mawar merah bersama sekeping kad terselit di tengahnya menantiku.
SELAMAT ULANGTAHUN DAN RINDU
DARI AKU -DI-
Memang engkau sengaja menerbitkan bibit kemarahan di hatiku, Di. Lalu ke mana harus aku simpan pemberianmu ini?
"Kau ambillah, Su bunga ni."
"Eh! Kenapa pulak?" soalnya terperanjat.
"Aku tak suka, buat sakitkan hati je."
"Ha! Ni mesti ada apa-apa ni. Betul kau tak nak? Tak nak tak apa, berseri jugak meja aku pagi ini," katanya riang.
Maafkan aku, Di. Aku tak mengharap sebarang pemberian darimu. Memang engkau tersilap. Sampai di rumah petang itu, moodku betul-betul hilang. Semuanya gara-gara pemberian yang tak diundang itulah. Dan, sekali lagi aku jadi tak menentu bila entah tiba-tiba suamiku bersuara waktu kami mengadap makan malam.
"Abang dengar Min dapat bunga siang tadi. Dari siapa?" Tersentak aku. Ini mesti kerja Su. Entah kenapa suka sangat ambil tahu hal aku.
"Ya, Su beritahu abang?" aku seolah merungut.
"Janganlah salahkan dia. Abang telefon Min tadi tapi Min meeting, so abang borak sekejap dengan Su. Entah macamana dia tercerita pulak."
"Ala... kawan lama Min hantar."
"Ya? Siapa?"
"Emm..kawan Min. Diana," Suami, maafkan aku kerana membohongimu.
"Tak pernah dengar nama tu pun."
"Tak penting. Kawan lama masa di kolej dulu."
"Tiba-tiba kawan Min hantar bunga?"
"Saja.. kan harijadi Min."
"Oh! Abang lupa, sorry Min. So, selamat ulangtahun."
"Min tak kisah, selama ni pun tak pernah nak ingat," aku tersenyum sinis.
Terlewatkah dia? Entahlah atau terasakah aku? Sedang suami sendiri pun tak pernah mahu ingat. Dan, kenapa harus ada orang lain yang terlebih dahulu mengingatinya. Orang yang telah mati dalam hidupku dan langsung tak punya sebarang ikatan dalam hidupku.
"Okey, Min. Abang minta maaf sekali lagi. Nanti, kalau sempat abang belikan present untuk Min," dia cuba memujuk.
"Tak payahlah. Min tak pernah mengharap." Ikhlaskah aku? Entahlah...
Sepanjang usia perkahwinan kami pun barangkali cuma di tahun-tahun pertama sahaja dia ingat tarikh-tarikh penting dalam kehidupan kami. Kemudiannya, dia semakin melupai dan begitulah seterusnya. Mungkin jua banyak lagi perkara penting lain yang perlu difikirkan dari perkara yang remeh-temeh begitu. Tak perlulah aku menjeruk hati rasanya.
Awal pagi itu, di pejabat aku semakin tak sabar menanti panggilan dari Di. "Kau sengaja menempah kemarahan, Di."
"Kerana bunga itu?" soalnya seperti sedia maklum.
"Ya, kerana aku tak pernah mahu menerimanya, Di."
"Kenapa Min? Bukankah itu pemberian dan ingatan ikhlas dari aku?"
"Kita kini dalam situasi yang sama tapi berbeza."
"Kau membenciku. Kenapa Min?"
"Ya, kerana kau yang menciptanya, Di. Jawapannya ada padamu... "
"Kerana aku tinggalkan engkau? Dan berkahwin dengan dia? Tapi, kau tak pernah mahu mendengar penjelasan dari aku, Min.."
"Dan, engkau sebenarnya tak perlu jelaskan apa-apa lagi pada aku, Di kerana aku telah menutup ruang untuk engkau bercerita.."
"Kau kejam, Min."
"Memang aku kejam tapi kau lebih kejam lagi, Di... "
Terpulanglah, Di siapa yang kejam antara kita. Cuma Tuhan yang tahu. Kalau kau katakan yang aku sengaja mahu menghukum kau mungkin benar. Aku mahu engkau rasa apa yang telah aku rasakan selama ini, Di.
"Kau berdendam, Min."
Pernah seorang temanku seolah-olah cuba mempersalahkan aku bila aku bercerita tentang engkau. Terpulanglah, biar apapun ang-gapanmu dan anggapan mereka aku langsung tak peduli. Pernah engkau atau mereka bertanya dan merasakan bagaimana terlalu sakit dan deritanya hatiku? Selama bertahun-tahun kau pergi dan selama ini siapa yang merawat hati ini? Aku sendiri, Di, tidak ada orang lain. Walau suamiku sendiri. malahan dia langsung tak pernah tahu tentang cerita kita. Dan, memang aku langsung tak pernah mahu bercerita pada dia tentang engkau.
Aku pun telah mengikatnya kemas-kemas menguburkannya tanpa kuletakkan sebarang tanda biarlah segalanya seolah tak pernah wujud sebelum ini. Begitu juga namamu, langsung tak pernah kusebut. Kau telah mati bagi aku, Di. Tak tersilap andainya aku katakan kau cuma mengganggu kembali duniaku, Di. Terlanjur kau menghukumku dengan mengatakan aku kejam, biarlah aku benar-benar bertindak kejam terhadapmu.
"Hujung minggu ni ada kawan lama abang nak datang, Min."
"Siapa?"
"Kawan lama abang masa kat universiti dulu."
"Mimpi apa pulak selama ini tak pernah jemput kawan datang rumah pun?"
"Kami dah lama terpisah, Min. Bertahun-tahun tak jumpa tak sangka pulak kami bertemu balik semalam."
"So, abang nak isteri abang ni masak sedap-sedap tau."
"Hai... istimewa sangat kawan abang tu nampaknya?"
"Memang Min. Kenapa, Min cemburu ke? Ala..kawan abang tu lelakilah dan dah kahwin pun," ceritanya panjang lebar.
"Sorry ya, cik abang. Sikit pun Min tak cemburu. Tapi, ada satu syarat, abang kena tolong Min masak boleh?"
"Okey, abang tak kisah."
Seperti yang dijanjikan, hari minggu pun datang. Awal pagi lagi, dia telah mengajakku ke pasar. Takut ikan dan sayur habis katanya. Beria-ia sungguh dia membantuku menguruskan kerja rumah, entah apa istimewanya sangat kawan yang seorang ni aku pun tak tahu.
"Memang dia istimewa bagi abang, Min," seolah faham dengan apa yang berteka-teki di benakku, dia memulakan cerita tanpa kuduga.
"Kami kenal cukup lama, masa di sekolah lagi. Masa tu kami sama-sama aktif dalam olahraga dan dari situlah kami dipertemukan. Walau tak satu sekolah, tapi hubungan kami cukup akrab, Min. Sehinggalah bila kami diterima masuk ke universiti yang sama, hubungan kami semakin rapat."
"Seperti hubungan saudara kandung, begitulah hubungan kami. Susah dia susah abang juga. Semua cerita tentang dia abang tahu," ceritanya panjang lebar.
"Sehinggalah suatu hari dia bercerita pada abang yang dia ada masalah besar. Waktu tu kami baru saja tamat belajar. Katanya dia dipaksa kahwin, Min atas pilihan orang tuanya sedangkan waktu tu dia dah ada pilihan sendiri." Dan aku terus mendengar dengan penuh minat.
"Apalah yang terdaya abang tolong dia, Min? Sehinggalah beberapa hari selepas itu, dia tinggalkan rumah sewa kami. Katanya dia terlalu kecewa, Min. Dia tak diberi peluang langsung untuk bersuara. Mungkin kerana terlalu kecewa dan merasakan tak mahu menjadi anak derhaka akhirnya keputusan itu diterima dalam keterpaksaan. Tambahan pula dia merupakan anak angkat keluarga itu."
"Dia sendiri langsung tak menjemput kami ke majlisnya, Min."
"Mungkin kerana terlalu kecewa," aku membuka mulut.
"Ya, Min. Kerana terlalu kecewa sebagai seorang yang pernah akrab dengan dia tentu sekali abang dapat rasakan bagaimana kecewanya dia."
"Tapi, itu cerita lama, kan? Tentu sekarang dia dah dapat melupainya dan mungkin dia dah bahagia?" Sekali lagi aku bersuara.
"Entahlah, Min. Waktu abang jumpa dia baru-baru ini, abang tengok dia dah terlalu banyak berubah. Abang tak adalah tanya dia apa-apa tapi dia ada cerita yang isterinya juga semacam tak sehaluan dengannya walau mereka dah lama kahwin dan masih tak dikurniakan anak."
"Min nak tahu kenapa?"
"Mereka tu nama je suami isteri, ia hanya pada surat nikah dan pandangan zahirnya saja tapi hakikatnya bertahun mereka kahwin, tak pernah sekalipun menjalani kewajipan sebagai pasangan suami isteri macam orang lain. Pelikkan? Tapi, itulah ceritanya pada abang."
"Kenapa pulak?"
"Sebab, masing-masing sebelum kahwin dah ada kekasih sendiri. Nak berpisah, masing-masing tak mahu melukai hati keluarga sudahnya mereka yang terseksa." Lalu tentu sekali aku bersimpati.
"Oh, ye. Dia tahu ke rumah kita?"
"Abang dah beri alamat rumah ni dan nombor telefon pun dia ada." Perbualan kami terhenti bila loceng berbunyi dua kali. Berkejar suamiku ke arah pintu.
"Ha.. dah sampai pun. Masuklah." Ramah suamiku menyambutnya. "Kenalkan ini isteri aku, Min."
"Di..?" Dan aku benar-benar amat terkejut waktu itu. Kenapalah ini semua harus terjadi?
"So, kalian dah kenal?"
"Ya, Shah. Kami kawan lama." Aku dengar suaranya cukup bergetar.
Oh... terasa sempitnya dunia ini dan maafkan aku kerana tak pernah mahu bersimpati padamu sebelum ini. Maafkan aku, Di...

Virtual Friends - Copyright © 2001-2022 Webber Dot My Solutions (002351632-A). All rights reserved