Unregistered Member
sign up
 Login

Username or Email

Password

Forget Password?

Free Register

 Main Page
 Announcement
 Discussion
 Article
 Photo Album
 Market Place
 Sharing List
 Stateboard
 Member List
 Like
 Applications
 Sign-Up

Article

 DilaDellila • 7 years ago • 3,815 viewed


ISLAM ada cara hidup yang sempurna. Syariat Islam memberi panduan hidup yang sesuai dengan keperluan tabii manusia. Hal ini termasuk berkaitan hubungan lelaki dan perempuan.

Sesungguhnya, Islam telah menetapkan cara terbaik baik bagi lelaki dan perempuan memenuhi keperluan hidup mengikut keinginan dan keperluan sebenar, yang membawa kebaikan dan mengelak perkara buruk, terutama terhadap perempuan.

Secara tabii, lelaki dan perempuan saling memerlukan bagi melengkapkan kehidupan sosial dan seks. Malah, Allah mencipta alam ini secara berpasang-pasang, saling melengkap antara satu sama lain.

Firman Allah bermaksud: "Maha Suci Allah yang mencipta pasangan-pasangan semuanya baik daripada apa-apa yang ditumbuhkan oleh bumi dan dari diri mereka mahupun dari apa yang mereka belum ketahui." - (Surah Yasin, ayat 36).
Sememangnya Allah menjadikan manusia berpasangan dengan rahmat-Nya. Namun, hubungan itu perlu dilangsungkan mengikut peraturan dan hubungan dibenarkan. Manusia perlu sedar bahawa kehidupan di dunia sebagai hamba-Nya perlu mematuhi apa yang diperintahkan.

Sesungguhnya, Allah mencipta manusia untuk menyembah dan beribadat kepada-Nya. Sebagai imbalan, setiap apa yang dilakukan akan diberi pembalasan pada akhirat nanti. Justeru, apa-apa yang ditetapkan oleh Allah tidak boleh diingkari, termasuk dalam bentuk hubungan lelaki dan perempuan.

Islam menetapkan perkahwinan sebagai hubungan yang halal bagi lelaki dan perempuan memenuhi keperluan hidup berpasangan. Perasaan kasih sayang, kegembiraan dan rasa tanggungjawab adalah pengikat kepada hubungan itu.

Firman Allah bermaksud: "Dan antara tanda kebesaran Allah adalah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri daripada jenis kamu, agar kamu cenderung dan tenteram kepadanya dan dijadikan antara kamu rasa kasih sayang." - (Surah ar-Rum, ayat 21).

Pasangan yang memilih memenuhi tuntutan lahiriah dan batiniah dalam hubungan lelaki dan perempuan tanpa ikatan perkahwinan, melakukan kesalahan yang bertentangan dengan normal kehidupan manusia.

Sebenarnya, istilah ikatan perkahwinan bukan saja wujud dalam agama Islam, bahkan dalam semua ajaran agama lain. Hal ini jelas membezakan antara manusia dengan haiwan berkaitan hubungan berlainan jantina.

Hubungan seks membabitkan pasangan yang tiada ikatan perkahwinan dinamakan zina. Perbuatan zina diharamkan kerana termasuk perbuatan keji melanggar ketetapan agama. Firman Allah bermaksud: "Dan janganlah kamu mendekati zina, kerana sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan jalan yang buruk." - (Surah al-Israk, ayat 32).

Al-Qurtubi ketika membuat tafsiran mengenai ayat ini menyebut: "Ulama berpendapat, kalimah "Dan janganlah kamu mendekati zina" adalah lebih bermakna berbanding "Janganlah kamu berzina", kerana maksudnya adalah "Jangan sekali-kali hampiri zina".

Perkara itu bermakna ditegah melakukan perbuatan yang boleh membawa kepada zina seperti berdua-duaan antara lelaki dengan perempuan, bersentuh-sentuhan, pandangan berahi, pergaulan bebas dan mengeluarkan kata-kata yang membangkitkan berahi. Perbuatan menonton bahan lucah juga termasuk mendekati zina.

Biarpun zina dilakukan dengan kerelaan pasangan terbabit, perbuatan itu adalah 'jenayah'. Hukuman terhadap penzina perlu dilaksanakan di dunia seperti kesalahan membunuh, mencuri dan perogol, sebagai pengajaran kepada semua terutama mereka mempunyai keinginan melakukannya.

Hukuman ke atas penzina dijelaskan Allah dalam Surah an-Nur, ayat 2 bermaksud: "Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, maka deralah tiap-tiap seseorang dari kedua-duanya seratus kali dan janganlah belas kasihan kepada kedua-duanya sehingga mencegah kamu untuk (menjalankan) agama Allah, jika kamu beriman kepada Allah dan hari kiamat, dan hendaklah (pelaksanaannya) hukuman mereka disaksikan oleh sekumpulan daripada orang beriman."

Hukuman dera (sebat) dikenakan kepada penzina belum pernah berkahwin. Adapun penzina yang pernah berkahwin, hukuman lebih berat dikenakan iaitu rejam sehingga mati. Hal itu berdasarkan hadis diriwayatkan Bukhari, Muslim, Abu Daud, Tarmizi dan Nasai bermaksud:

"Telah berkata Umar: "Sesungguhnya diturunkan oleh Allah kitab kepada Muhammad, maka antara ayat yang diturunkan itu ayat 'rejam'. Kami telah membaca dan menghafal ayat itu dan Rasulullah telah merejam orang berzina dan kami juga menjalankan hukuman rejam."

Islam memandang berat kesalahan zina kerana mendatangkan pelbagai keburukan kepada pelakunya dan masyarakat. Kesannya ditanggung dalam tempoh lama, sedangkan nikmatnya sekejap. Sebab itu, pakar psikologi dan sosiologi berpendapat punca keruntuhan nilai kehidupan manusia adalah apabila melakukan seks bebas tanpa ikatan perkahwinan.

Perbuatan zina berlaku apabila melakukan sesuatu, termasuk dalam menghampiri zina. Perkara ini berlaku, terutama kepada pasangan yang belum pernah melakukan hubungan seks. Bahkan, ramai tidak bersedia melakukannya, dan menyesal apa yang telah terjadi, terutama di sebelah perempuan.

Apabila pasangan melakukan perbuatan menghampiri zina, syaitan menjadi pihak ketiga memainkan pengaruhnya menggalakkan pasangan itu meneruskan perbuatan keji. Sesungguhnya syaitan amat bijak memperdaya manusia melakukan kejahatan membabitkan nafsu seks.

Malah, sekali terjebak pengalaman seks, akan diulang berkali-kali. Ironisnya, tangisan dan penyesalan tidak lagi mampu menghalang perbuatan itu berulang. Sekali syaitan berjaya mempengaruhi melakukannya, mudahlah untuk kesekian kalinya.

Justeru, Islam menggariskan batasan hubungan antara lelaki dan perempuan agar tidak mudah diperdaya syaitan. Lelaki dan perempuan tanpa ikatan perkahwinan tidak dibenarkan berada berdua-dua di tempat terlindungan pandangan daripada orang ramai.

Rasulullah saw mengingatkan perkara tersebut melalui sabda bermaksud: "Jangan sekali seorang lelaki bersama-sama dengan perempuan yang tidak halal baginya, kerana yang ketiganya adalah syaitan, kecuali kalau ada mahramnya." - (Hadis riwayat Ahmad).

Hadis diriwayatkan at-Tirmizi pula bermaksud: "Apabila seorang lelaki bersendirian dengan seorang wanita, yang ketiga ialah syaitan."

Batasan hubungan lelaki dan perempuan perlu dijaga. Dosa lelaki bersentuhan dengan perempuan amat berat, apatah lagi melakukan zina.

Rasulullah saw bersabda bermaksud: "Jika salah seorang daripada kamu ditikam di kepalanya dengan sebatang besi, itu adalah lebih baik daripada dia menyentuh seorang perempuan yang diharamkan dia menyentuhnya. " - (Hadis riwayat Tabrani).

Islam menetapkan peraturan dalam memelihara maruah dan adab hubungan antara lelaki dan perempuan yang antara lain bertujuan mengelak zina.

Firman Allah dalam Surah an-Nur ayat 30 bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka."

Perempuan tidak dibenarkan mendedahkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir atau melakukan perbuatan menyebabkan lelaki tertarik kepada mereka sehingga terdorong nafsu berahi.

Firman Allah bermaksud: "Katakan kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya. " - (Surah an-Nur, ayat 31).

Virtual Friends - Copyright © 2001-2014 Rakan Maya (PPM-0003-10-14012014). All rights reserved