Unregistered Member
sign up
 Login

Username or Email

Password

Forget Password?

Free Register

 Main Page
 Announcement
 Discussion
 Article
 Photo Album
 Market Place
 Sharing List
 Stateboard
 Member List
 Like
 Applications
 Sign-Up

Article

 fadlie • 12 years ago • 6,662 viewed


Alam persekolahan adalah alam yang amat menyeronokkan jika kita tahu menggunakannya. Ini tidak menghairankan kerana ramai di antara mereka yang telah berjaya di peringkat tinggi, ingin belajar lagi. Begitu juga mereka yang sudah bekerja, masih menanam minat untuk melanjutkan pelajaran. Mungkin dengan cara ini mereka boleh meningkatkan lagi prestasi kerja, di samping mengukuhkan lagi kestabilan ekonomi dalam keluarga. Namun demikian, keseronokan belajar yang dicapai dalam usia yang telah meningkat agak berlainan dengan pelajar yang masih di alam persekolahan yang sebenarnya.

Memang tidak dinafikan bahawa cabaran di medan pembelajaran amat besar dan saingannya amat menyukarkan. Ada sesetengah pelajar merasakan diri mereka tidak boleh menyaingi rakan mereka yang lebih pandai daripada mereka, sukar untuk memahami apa yang diajar oleh guru, suka berkhayal dan tidak dapat menumpukan perhatian kepada pelajaran. Oleh sebab itu, akan wujud sikap 'rendah diri' terhadap masalah yang timbul.

Mengapa situasi begini berlaku? Tanyalah pada diri sendiri. Setiap hari, sebelum melangkahkan kaki ke sekolah, adakah kita pernah bertanya pada diri:

mengapa aku ke sekolah?

apa yang aku mahu dapat di sekolah?

pentingkah aku ke sekolah?

adakah sekolah dan alam persekolahan menyeronokkan aku?

apa yang ada di sekolah yang menyeronokkan aku?

sejauhmanakah sekolah dan alam persekolahan penting dalam perkembangan sakhsiah aku?

adakah aku ke sekolah untuk lulus peperiksaan semata-mata?

adakah aku ke sekolah kerana terpaksa?

adakah sekolah membosankan aku?

adakah sekolah membebankan aku dengan aktiviti ko-kurikulum?

dan macam-macam pertanyaan lagi. (Abdul Ahmad, DS, 1988) Berdasarkan kepada persoalan situasi di atas, apakah jawaban yang ada pada diri pelajar untuk mengatasinya. apakah cukup dengan hanya menjawab di mulut atau memikirkannya di otak tanpa melakukan sesuatu yang positif bagi mengatasinya. Oleh yang demikian, untuk mencapai sesuatu kejayaan, pelajar seharusnya tahu bagaimanakah cara menguruskan disiplin masa, di samping strategi pembelajaran yang berkesan. Di bawah ini diutarakan cara-cara pendekatan pembelajaran yang lebih luas untuk panduan para pelajar.

1. SIKAP YANG POSITIF
Pelajar tidak mungkin berjaya sekiranya mereka tidak ada dorongan yang kuat terhadap kejayaan. Mereka haruslah sentiasa bersikap positif terhadap hidup dan berjuang ke arah kecemerlangan. Sikap takut dan belajar ala kadar merupakan resipi ke arah kegagalan.

2. DISIPLIN MASA
Proses pembelajaran memerlukan disiplin kerja dan pengurusan masa dengan baik dan teratur. Tidak mungkin seseorang itu dapat lulus dengan cemerlang tanpa sesuatu perancangan yang baik. Fikirkan perkara ini :

adakan jadual waktu harian dan mingguan

ambil pendekatan 'pengurusan mengikut objektif' terhadap kerja-kerja akademik

gunakan konsep-konsep pengurusan masa yang lain dengan cara yang teratur dan terancang seperti penggunaan diari

3. MERANCANG PENGGUNAAN MASA

Pelajar perlu faham bahawa skop kurikulum sekolah pada masa ini agak luas. Banyak perkara yang perlu dipelajari dalam waktu yang singkat. Oleh itu pelajar perlu merancang untuk menjimatkan masa belajar, mengurangkan tenaga yang diperlukan untuk belajar di samping dapat menjalankan aktiviti belajar dengan cara yang efisien.

4. MENDAHULUKAN YANG UTAMA
Melalui perancangan, pelajar dapat mengimbangi pengagihan masa belajar mengikut jumlah masa yang ada. Keutamaan diberikan kepada pelajaran yang pelajar rasakan dia lemah serta memberikan masa yang lebih kepada pelajaran yang sukar. Pelajar juga tidak sepatutnya memberi tumpuan yang berat hanya kepada kurikulum sekolah dan mengabaikan aktiviti ko-kurikulum yang lain. Tidak wajar juga bagi pelajar menumpukan perhatian kepada sukan sahaja.

5. TABIAT DALAM BILIK DARJAH
Pelajar-pelajar mungkin hadir dalam bilik darjah tetapi mereka berkhayal dan tidak memberikan tumpuan yang sepenuhnya. Mereka ini dikira sebagai 'ponteng psikologi' atau 'psycological truancy'. Dengan itu, perkara berikut harus dilakukan dalam bilik darjah untuk meningkatkan daya 'kesegaran' dalam pembelajaran.

sudah bersedia untuk memulakan pembelajaran

tunjukkan minat terhadap subjek yang sedang diajar walaupun ia adalah subjek yang tidak disukai

berikan perhatian dan penumpuan terhadap apa yang diperkatakan oleh guru

sentiasa bersikap ingin tahu, ini akan membuat anda berani untuk bertanya atau mengemukakan pandangan/pendapat

memainkan peranan yang dinamis dalam bilik darjah

melibatkan diri dalam perbincangan yang diadakan

6. BAGAIMANA MEMBUAT PERSEDIAAN PEMBELAJARAN
Penyelidikan (di Amerika Syarikat) telah mendapati bahawa pelajar-pelajar yang bersedia untuk menghadapi pelajaran di bilik darjah akan meraih kecemerlangan dalam peperiksaan. Mereka bukan sahaja belajar bersungguh-sungguh, tetapi juga membuat persediaan. Persediaan yang perlu bagi seseorang pelajar ialah:

membaca topik/tajuk yang akan diajar oleh guru keesokannya

menulis nota dalam bilik darjah

melengkapkan nota-nota dengan segera di perpustakaan agar tidak terlupa

siapkan kerja rumah dengan segera

7. GUNAKAN PERPUSTAKAAN DAN PUSAT SUMBER
Ramai di antara pelajar yang menggunakan perpustakaan untuk membaca buku atau membuat temujanji sahaja. Perpustakaan dan pusat sumber bukanlah setor buku tetapi adalah tempat menyimpan buku untuk dipinjam. Gunakan kemudahan ini sebaik mungkin dengan meminjam buku-buku akademik, artikel-artikel atau majalah-majalah yang berkaitan dengan pelajaran. Ketahuilah bahawa perpustakaan mempunyai:

keratan-keratan akhbar yang menarik dan amat berguna

majalah lama dari dalam dan luar negeri

alamat-alamat organisasi penting, dan banyak lagi...

8. JAGA KESIHATAN ANDA
Kejayaan tidak akan dapat dicapai sekiranya badan lemah atau kesihatan mental terganggu. Langkah-langkah berikut dapat membantu anda.

sentiasa bersikap tenang

memakan makanan yang berkhasiat

mengadakan senaman yang berterusan

sentiasa bersikap positif dan rasional dalam kehidupan

riangkan hati anda dengan senyuman di bibir

Semoga dengan langkah-langkah di atas, pelajar-pelajar dapat mengatur pengurusan masa dan pembelajaran dengan baik kerana ramai pelajar yang rajin belajar tetapi tidak menggunakan cara yang sistematik dalam memudahkan proses pembelajaran mereka.

Virtual Friends - Copyright © 2001-2014 Webber Dot My Solutions (002351632-A). All rights reserved