Unregistered Member
sign up
 Login

Username or Email

Password

Forget Password?

Free Register

 Main Page
 Announcement
 Discussion
 Article
 Photo Album
 Market Place
 Sharing List
 Stateboard
 Member List
 Like
 Applications
 Sign-Up

Article

 DilaDellila • 6 years ago • 2,246 viewed


Daripada Abdullah ra sesungguhnya Rasulullah saw bersabda maksudnya lebih kurang begini: "Setiap orang daripada kamu adalah penggembala (pemimpin / penjaga / pemelihara) dan setiap orang akan ditanya tentang apa-apa yang kamu gembalakan. Maka ketua kepada orang ramai adalah penggembala dan dia akan ditanya tentang mereka. Seorang lelaki adalah penggembala bagi ahli rumahnya dan dia akan ditanya tentang mereka. Seorang perempuan adalah penggembala kepada rumah suaminya serta anak-anaknya dan dia akan ditanya tentang mereka. Seorang hamba (pembantu / orang gaji) adalah penggembala terhadap harta tuannya dan dia akan ditanya tentang harta itu. Jadi, setiap daripada kamu adalah penggembala dan akan ditanya tentang apa-apa yang kamu gembalakan". Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tirmizi, Abu Daud dan Ahmad.

Kisah berikut diriwayatkan oleh Abu Hurairah ra. Kisah ini ini memberi sekelumit gambaran tentang kehidupan seorang wanita yang solehah, puteri kepada semulia-mulia makhluk, junjungan Rasulullah saw iaitu Saidatina Fatimah Az-zahra' ra. Kisah ini ada tersebut di dalam kitab Syeikh Muhammad Nawawiy Al- Bantaniy yang berjudul Syarhu 'Uquudil Lujjaini Fii Bayaani Huquuqiz Zaujain. Terjemahannya seperti di bawah ini;

Pada suatu hari Rasulullah saw masuk bertemu anakandanya Fatimah Az-zahra' ra. Baginda dapati anakandanya sedang mengisar sya'ir dengan menggunakan sebuah kisaran tangan sambil menangis. Maka Rasulullah saw bertanya kepada anakandanya itu, "apa yang menyebabkan engkau menangis wahai Fatimah? Semoga Allah tiada menyebabkan matamu menangis." Ujar Fatimah, "Hai ayahanda, batu kisaran ini dan urusan-urusan rumahtanggalah yang menyebabkan anakanda menangis."

Lalu duduklah Nabi saw di sisinya. Fatimah menyambung, " Wahai ayahanda sudi apalah kiranya ayahanda meminta Ali membelikan anakanda seorang jariah (hamba / pembantu) untuk menolong anakanda mengisar tepung dan membuat kerja-kerja rumah." Mendengarkan perkataan anakandanya itu, maka bangunlah Nabi saw mendapatkan kisaran itu. Baginda mengambil sya'ir dengan tangan baginda yang diberkati lagi mulia, diletakkannya dalam kisaran itu, seraya diucapkan, "Bismillaahirrohmaanirrohiim." Maka berpusinglah kisaran itu sendiri dengan izin Allah Taala.

Baginda meletakkan sya'ir ke dalam kisaran untuk anakandanya dengan tangannya yang diberkati Allah, sedangkan kisaran itu berpusing dengan sendirinya sambil bertasbih kepada Allah Taala dalam berbagai bahasa, sehingga habislah sya'ir itu dikisarnya. Maka Nabi saw bersabda kepada kisaran itu, " berhentilah olehmu dengan izin Allah." Maka ia pun berhentilah mengisar, lalu ia pun berkata-kata dengan izin Allah yang berkuasa menjadikan tiap-tiap suatu bertutur-kata. Maka katanya di dalam Bahasa Arab yang fasih, "ya Rasulullah, demi Tuhan yang membangkitkan tuan hamba dengan kebenaran sebagai Nabi lagi Rasul, kalaulah tuan hamba menyuruh hamba mengisar sya'ir Timur dan Barat pun nescaya hamba kisarkan semuanya. Sesungguhnya hamba telah mendengar di dalam kitab Allah suatu ayat yang berbunyi;

Wahai orang-orang yang beriman! peliharalah dirimu dan keluargamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang kasar keras (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan. (Surah At-Tahrim 66: 6).

Maka hamba takut ya Rasulullah, kelak hamba menjadi batu yang masuk ke neraka." Maka Nabi saw bersabda kepada batu kisaran itu," bergembiralah olehmu, kerana bahawasanya engkau daripada batu mahligai Fatimah Az-zahra' di dalam syurga!" Maka sukacitalah kisaran itu demi mendengar berita itu dan bergembiralah ia, lantas diamlah ia.

Lalu bersabdalah Rasulullah saw kepada anakandanya, Fatimah ra, "jikalau Allah kehendaki ya Fatimah, pasti kisaran ini mengisar dengan sendirinya untukmu. Akan tetapi Allah Taala mengingini bahawa dituliskan untukmu beberapa kebajikan dan dihapuskan bagimu beberapa kejahatan dan diangkat bagimu beberapa darjat."

1. Ya Fatimah, mana-mana perempuan yang mengisar tepung untuk suami dan anak-anaknya, maka
i. Allah tuliskan untuknya satu kebajikan bagi tiap-tiap biji gandum yang dikisarnya.
ii. Allah angkat satu darjatnya bagi setiap biji gandum yang dikisarnya.

2. Ya Fatimah, mana-mana perempuan yang berpeluh ketika ia mengisar untuk suaminya, maka Allah menjadikan antaranya dengan neraka tujuh buah parit.

3. Ya Fatimah, mana-mana perempuan yang meminyakkan rambut anak-anaknya dan menyikat rambut mereka serta membasuh pakaian mereka, maka Allah catatkan baginya ganjaran orang yang;
i. memberi makanan kepada seribu orang yang lapar.
ii. memberi pakaian kepada seribu orang yang telanjang.

4. Ya Fatimah, mana-mana perempuan yang menghalang hajat jiran-jirannya, maka Allah akan menghalangnya dari meminum air dari Telaga Kauthar pada Hari Kiamat.

Ya Fatimah, yang lebih utama dari itu semua ialah keredaan suami terhadap isterinya. Jikalau suamimu tidak reda denganmu, maka aku tidak akan mendoakanmu. Tidakkah engkau ketahui hai Fatimah, bahawa reda suami itu daripada keredaan Allah swt dan kemarahannya daripada kemarahan Allah swt?

5. Ya Fatimah, apabila seorang perempuan itu mengandung janin dalam rahimnya maka;
i. beristighfarlah para malaikat untuknya.
ii. Allah swt mencatatkan baginya tiap-tiap hari seribu kebajikan.
iii. menghapus daripadanya setiap hari seribu kejahatan.

6. Apabila dia mulai sakit hendak bersalin, maka Allah mencatatkan baginya pahala orang-orang yang berjihad pada jalan Allah, iaitu perang sabil.

7. Apabila dia melahirkan anak, maka keluarlah semua dosa daripada dirinya seperti keadaannya sewaktu baru dilahirkan oleh ibunya dahulu.

8. Ya Fatimah, mana-mana perempuan yang berkhidmat kepada suaminya dengan niat yang ikhlas semata-mata kerana Allah, maka;
i. bersihlah dia daripada dosa-dosanya seperti keadaannya pada hari ibunya melahirkannya.Dia keluar dari dunia ini di dalam keadaan tidak berdosa sedikit pun.
ii. kuburnya menjadi sebuah taman dari taman-taman syurga.
iii. Allah mengurniakannya pahala seribu haji dan seribu umrah
iv.beristighfar untuknya seribu malaikat hingga hari kiamat.

9. Mana-mana perempuan yang mengkhidmati suaminya dalam sehari semalam dengan baik hati dan ikhlas, maka
i. Allah akan mengampuni semua dosanya.
ii. Allah akan memakaikannya dengan sepersalinan pakaian hijau.
iii. dicatatkan baginya dengan setiap helai bulu atau rambut pada jasadnya seribu kebajikan.
iv. Allah mengurniakannya pahala seribu haji dan umrah.

10. Ya Fatimah, mana-mana perempuan yang tersenyum di hadapan suaminya, maka Allah akan meniliknya dengan tilikan rahmat.

11. Ya Fatimah, mana-mana perempuan yang menghamparkan hamparan atau tilam atau mengemaskan rumahnya untuk suaminya dengan baik hati, maka malaikat akan menyerunya dari langit, "hadapilah amalmu (iaitu teruslah beramal), Allah telah mengampuni dosamu yang telah lalu dan yang akan datang.

12. Ya Fatimah, mana-mana perempuan meminyakkan rambut dan janggut suaminya, mengguntingkan misainya dan mengeratkan kukunya, maka;
i. Allah akan memberinya minum daripada Ar-rohiqil Makhtuum daripada sungai-sungai syurga. (Ar-rohiqi ialah khamar atau arak anggur yang bening, suci lagi baik. Al-makhtuum pula maknanya ialah yang termeteri iaitu yang tidak pernah disentuh oleh tangan sesiapapun. Arak syurga ini tidak menyebabkan hilang akal dan tidak memudaratkan jasad dan roh, bahkan amat lazat dan membawa penghampiran kepada Allah Taala. Dikatakan bahawa minuman yang termetri -Al-makhtuum- itu lebih tinggi lagi mulia daripada minuman yang mengalir -Al-jaarii-.)
ii. Allah meringankan sakaratul mautnya.
iii. Kuburnya menjadi taman daripada taman-taman syurga.
iv. Allah catatkan baginya kelepasan dari azab neraka.
v. Selamat ketika melintasi titian sirat.

Diriwayatkan daripada Ibnu Masud ra daripada Nabi saw bahawa baginda bersabda maksudnya, " Apabila seseorang perempuan mencuci pakaian suaminya, maka
i. Allah mencatatkan baginya seribu kebajikan.
ii. mengangkat baginya seribu darjat.
iii. Setiap sesuatu yang terkena cahaya matahari beristighfar untuknya.

Saidatina Aisyah ra pernah berkata," bunyi gelendung (alat memintal benang) seseorang perempuan itu seimbang dengan takbir di jalan Allah. Mana-mana perempuan yang memakaikan suaminya daripada benang yang dipintalnya sendiri (pakaian yang dijahitnya sendiri - pendapat peribadi saya), maka dia mendapat seratus ribu kebajikan bagi tiap-tiap lajur benang tenunan kain itu.

Daripada apa yang disebutkan di atas, bukanlah bermakna bahawa perempuan menjadi seperti hamba abdi suaminya atau seperti khadamnya semata-mata. Suaminya pula wajar berperanan sebagai qawwam ke atasnya. Iaitu ketua, hakim, pengajar adab, orang yang menegakkannya apabila tumbang dan meluruskannya apabila bengkok. Untuk memainkan peranan itu sudah tentulah si suami wajib taat kepada Allah dan menjunjung tinggi syariat Allah agar menjadi orang yang adil dan mengenal serta menyempurnakan hak-hak isterinya ke atasnya pula.

Rujukan:

1. Wan Muhammad bin Wan Muhammad `Ali. 1980. al-hijab. Kuala Lumpur: Percetakan Watan
2. Sheikh Abdullah Basmeih. 2001. Tafsir Pimpinan Ar-Rahman Kepada Pengertian Al-Qur'an . Kuala Lumpur : DarulFikir
3. Maulana Muhammad Ihtishamul Hasan Kandhalawi. 2002. Kemunduran Umat Dan Penyelesaiannya. Kuala Lumpur. Era Ilmu Sdn. Bhd.
4. Hajah Noresah bt. Baharom. 2002. Kamus Dewan Edisi Ketiga. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa Dan Pustaka.

ALLAAHUMMA INNAA NAS'ALUKAL HUDAA WASSADAAD

Virtual Friends - Copyright © 2001-2014 Rakan Maya (PPM-0003-10-14012014). All rights reserved