Unregistered Member
sign up
 Login

Username or Email

Password

Forget Password?

Free Register

 Main Page
 Announcement
 Discussion
 Article
 Photo Album
 Market Place
 Sharing List
 Stateboard
 Member List
 Like
 Applications
 Sign-Up

Article

 DilaDellila • 6 years ago • 1,978 viewed


Kahwinkan anak dengan suami orang elak andartu POLIGAMI memang perkataan yang cukup ditakuti wanita. Tetapi, ada juga wanita yang tidak melihat poligami sebagai isu besar jika tidak masakan ada yang sanggup menjadi isteri kedua, ketiga mahupun keempat. Dalam kebanyakan kes wanita yang menjadi isteri kedua itu terpaksa merahsiakan perkahwinan dan statusnya daripada keluarga khususnya ibu bapa kerana bimbang dimarahi. Tidak ada ibu bapa yang sanggup melihat anak hidup melarat kerana hidup berkongsi kasih dengan wanita lain bukan perkara mudah.

Seorang teman saya yang pernah memadu kasih dengan suami orang bercerita bagaimana sukarnya dia untuk bertemu kekasihnya termasuk pada hujung minggu kerana si kekasih terpaksa meluangkan masa dengan keluarga. Melihat orang lain yang bebas memadu kasih pada waktu senggang sebegitu, teman tadi akhirnya akur sekuat mana sekalipun cintanya kepada kekasihnya, beliau tidak sanggup bergelar isteri pada kertas semata-mata.

Tetapi kisah yang diceritakan seorang teman mengenai keluarga pelik di kampungnya yang sanggup mengahwinkan anak dengan suami orang membuatkan saya tertarik untuk menyiarkannya. Jika si anak yang tergila-gilakan lelaki berkenaan, mungkin perkara biasa. Tetapi seperti tulisan teman tadi, rupa-rupanya ibu bapa yang begitu taksub untuk mengahwinkan anaknya semata-mata tidak mahu anak bergelar andartu. Malah, anak lelakinya juga dikahwinkan muda sehingga menggunakan khidmat bomoh untuk memastikan wanita idaman mereka menyanggupi untuk berkahwin dengan anaknya yang muda meleleh.

Ikuti luahan teman saya mengenai keluarga pelik berkenaan. "Cukuplah kalau saya memperkenalkan diri ini sebagai Isabella. Kisah yang ingin saya paparkan dalam ruangan Cik Kuntum, bukan bertujuan memalukan mana-mana pihak atau segelintir ibu bapa. Jauh sekali membuka pekung di dada kerana harapan saya agar paparan ini dijadikan iktibar dan contoh kita yang kini bergelar ibu dan ayah yang mempunyai anak-anak untuk dibimbing masa depannya supaya hidupnya tidak merana dek kecuaian dan kealpaan kita hari ini. Walaupun tidak berkaitan dengan diri saya, sebagai wanita bergelar isteri dan orang sekampung pula, tentulah sikap pasangan tua ini sedikit sebanyak memalukan diri orang Melayu yang dikaitkan dengan Islam. Pasangan ini, walaupun sudah berusia dan bercucu, tetapi sikapnya bagaikan tidak mampu dijadikan contoh. Pasangan ini saya lihat langsung tidak kisah bab nikah kahwin, bermadu dan sebagainya asalkan hati suka sedangkan sebagai orang tua perlulah melihat pengetahuan agama dan setidak-tidaknya latar belakang kehidupan menantu yang menjadi pilihan hati anak.

Betul tak? Sebagai orang luar daripada keluarga itu tidaklah dapat saya ketahui masalah sebenar menimpa pasangan awal usia 60-an ini, tetapi saya melihatnya sebagai pasangan warga tua yang agak pelik kerana terlalu takut anak lambat kahwin. Pelik kerana saya menyifatkan mereka juga bagaikan tidak ambil pusing langsung berhubung calon yang layak dijadikan suami atau isteri anaknya, asalkan si anak tidak tergolong dalam andartu atau gila bayang dengan seseorang insan. Kalau 20 tahun lalu mungkin tidak pelik, tetapi ini berlaku pada zaman moden ini. Keluarga ini mempunyai bilangan ahli yang agak besar seramai enam orang.

Nak dikatakan anaknya berwajah tidak elok sehingga mencari menantu tangkap muat tidak pula. Boleh dikatakan semua anaknya punyai rupa dan senyuman menggoda walaupun tidak cemerlang dalam pelajaran. Ramai peminat pula, tetapi tidak sangka, ibunya sendiri menamatkan zaman bujang anaknya pada usia hanya 23 tahun dengan menjodohkan dengan anak dara yang belum sempat mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Bukan sorok lagi apabila ibu dan bapanya sendiri 'menyunting' bunga itu dengan pertolongan bomoh, kata orang menggunakan ubat pengasih supaya perempuan itu tergila-gilakan anak bujangnya yang kacak itu. Sebagai anak yang taat kepada ibu bapa, anaknya itu menerima sajalah keputusan ibunya. Ibu bapanya melihat pasangan ini sangat bahagia dan bersyukur dengan ilmu guna-guna yang diberikan itu dulu. Bagaimanapun, kata orang isteri kalau tidak tahu melayan suami, tidak tahu menjaga tubuh badan, usia baru 25 tahun orang pandang lagak 40-an.

Tidak tahu pula aktiviti suami, anak lelaki yang digelar Ali itu akhirnya beralih cinta dengan wanita lain yang lebih cantik pada pandangan mata lelakinya. Bagaimanapun cinta itu cinta terlarang kerana wanita itu adalah isteri penduduk kampung itu juga. Mungkin kerana wanita itu mempunyai suami yang tua maka dengan mudah jatuh hati kepada Ali. Maklumlah berkerja kampung, sasa tubuh lelakinya lebih terserlah berbanding suami di rumah yang terlantar sakit. Nak dijadikan cerita, Ali mengadu kepada orang tuanya bahawa dirinya sudah jatuh cinta dengan wanita itu. Bersimpati dengan nasib anak lelakinya yang kemaruk cinta, ibu bapanya pergi merisik wanita muda isteri orang itu tadi tanpa pengetahuan isteri dan ibu mentuanya. Heboh kisah itu sekitar kampung, apa nak jadi bila birasnya pergi menyerang ibu bapa ini tadi. Bermaki hamunlah jadi hingga memaksa pasangan wanita muda dan suami tuanya itu dihalau keluar daripada kampung berkenaan. Maka tamatlah kisah cinta terlarang itu, tetapi sampai bila tidak tahulah pula. Mungkin bila ada wanita yang berdahi licin Ali akan cuba pula mencucuk jarum selepas ini, hanya Ali yang tahu.

Bagaimanapun sikap pasangan tua pelik ini masih belum berkesudahan. Anak perempuannya pula yang ketika itu berusia 20 tahun mahu dijodohkan pula dengan seorang lelaki berpangkat Datuk sebagai isteri ketiga. Mungkin sebagai gadis, dia tidak tahu cabaran bermadu dan muda pula itu. Tetapi sebagai orang tua, ibu bapalah yang sepatutnya memberikan panduan dan larangan mana yang patut. Bukan saya melarang hukum Allah membenarkan lelaki berkahwin lebih daripada satu, nauzibillah, tetapi kerana usianya yang menjangkau 50 tahun, saya berasa tidak wajar anaknya yang masih muda meleleh dijodohkan dengan lelaki hampir sebaya bapanya. Mungkin kerana gelaran Datuk mengaburi pandangan pasangan itu dan kebetulan anaknya semua jenis patuh kepada kata orang tua, maka ikatan pertunangannya berlangsung. Sayangnya pertengahan tahun lalu, ikatan pertunangan itu khabar putus begitu saja.

Mungkin kerana serangan isteri Datuk itu atau larangan daripada isteri Datuk itu membuka cawangan lain, tidak dapat dipastikan. Ibu dan bapanya enggan mengulas bila ditanya. Mungkin kerana kasihan melihat anaknya putus tunang, bapanya pergilah mencari bakal menantu yang baru pula. Kali ini seorang kontraktor kecil dan dikatakan menjadi isteri kedua pula. Agaknya pasangan ini memang tidak kisah anak mereka menjadi isteri kedua atau ketiga dan keempat. Ramai orang kampung menilai, asalkan cukup muat dan tidak digelar anak dara lanjut usia, pasangan tua ini terima menantu seadanya. Apa yang cukup menghairankan saya apabila isteri pertama lelaki itu langsung tidak bersuara mengenai perkahwinan berkenaan. Kami membuat kesimpulan perkahwinan itu disembunyikan, yang hanya tahu ialah keluarga pengantin perempuan dan ayah kepada pengantin lelaki saja. Begitu pun, memandangkan mereka duduk sekampung, untuk menutup rahsia itu, pengantin lelaki dan wanita dibawa lari dan majlis diadakan di Kuala Lumpur (KL) baru-baru ini.

Bila ditanya kenapa membiarkan menantu lelakinya menipu isteri dengan mengadakan majlis di KL katanya, supaya tidak bergaduh dan perkahwinan itu adalah rahsia, tanpa berselindung dengan saya. Saya pernah terfikir, kalau tertipu dengan lelaki yang berkahwin, tetapi mengaku bujang, boleh juga diterima kasihannya, tetapi kalau menerima menantu yang diketahui sudah beristeri, dan meminang anak dara lain tanpa pengetahuan isteri pertama, bagaimana pula? Memang berkahwin lebih tidak memerlukan kebenaran isteri terdahulu, tetapi saya tidak rasa perbuatan membohongi isteri dengan berkata keluar daerah, ke luar negara dan sebagai adalah pembohongan yang dimaafkan. Bohong tetap satu dosa. Kalau awal perkahwinan dimulakan dengan pembohongan, bagaimana pula seterusnya?

Kalau nasib baik hidup rukun tenteram tetapi kalau sebaliknya, bagaimana pula, bukankah anak sendiri dan wanita menjadi mangsa? Bagi lelaki besar kemungkinan mereka mungkin tidak kisah kerana boleh berkahwin sampai empat sekali gus, tetapi bagaimana pula dengan nasib isteri yang bergantung sepenuhnya kepada suami dan mempunyai anak yang ramai pula? Kisah ini bagai cerita khayalan, tetapi realiti yang berlaku depan mata. Rupanya dalam zaman moden ini masih ada ibu bapa yang terlalu takut gelaran andartu dan tidak kisah pula bagaimana 'rupa' atau latar belakang menantu yang menjadi pasangan anak masing-masing. Saya harap kisah ini dapat dijadikan iktibar kepada ibu bapa di luar sana.

Virtual Friends - Copyright © 2001-2014 Webber Dot My Solutions (002351632-A). All rights reserved