Unregistered Member
sign up
 Login

Username or Email

Password

Forget Password?

Free Register

 Main Page
 Announcement
 Discussion
 Article
 Photo Album
 Market Place
 Sharing List
 Stateboard
 Member List
 Like
 Applications
 Sign-Up

Article

 DilaDellila • 5 years ago • 3,876 viewed


Peranan Serta Tanggungjawab Warganegara Menjaga Keselamatan Negara Dalam Konteks Amar Makruf Dan Nahi Mungkar
( 23 Mac 2007 / 04 Rabiulawwal 1428 H)
اَلْحَمْدُ للهِ الَّذِيْ بَعَثَ رَسُوْلَهُ ِلإِتمْاَمِ مَكَارِمِ الأَخْلاَقِ لِيُخْرِجَ النَّاسَ مِنَ الظُّلُمَاتِ اِلى النُّوْرِ وَيَهْدِيْهِمْ اِلَى سَعَادَةِ الدَّارَيْنَ.
أَشْهَدُ أَنْ لاَ اِلهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى اَلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِِهِ وَلاَ تَمُوْتُنَّ إِلاَّ وَاَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ. وَقَالَ تَعَالَى : "إِنَّ اللهَ لاَ يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُوْا مَا بِأَنْفُسِهِمْ."
SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH SEKALIAN,
Saya berpesan kepada diri saya dan sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa, kerana sesungguhnya taqwa merupakan aset terpenting dalam usaha ke arah menjana dan menggerak kehidupan dan meneruskan perjuangan demi kejayaan di dunia dan di akhirat.
HADIRIN SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,
Islam mewajibkan umatnya memelihara hubungan dengan Allah iaitu الله حَبْلٌ مِنَ dan hubungan dengan manusia حَبْلٌ مِنَ النَّاسِ. Kedua-dua hubungan ini perlu dijaga dengan baik dan seimbang kerana ia merupakan ibadah yang dituntut. Begitu juga Islam amat menitikberatkan soal keamanan dan kedamaian. Oleh yang demikian demi mengawal keamanan dan kedamaian Negara, maka terbentuklah pasukan-pasukan keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang diamanahkan dan dipertanggungjawabkan menjaga keamanan dan bersedia untuk mengorbankan keselamatan diri bagi memastikan negara sentiasa berada dalam keadaan aman dan sejahtera. Oleh yang demikian, bersempena genapnya 200 tahun penubuhan pasukan Polis Diraja Malaysia, maka mimbar Jumaat pada hari ini akan memperkatakan tentang peranan serta tanggungjawab warga negara menjaga keselamatan negara dalam konteks amal makruf dan nahi mungkar.
Hal ini bertepatan dengan Firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran ayat 104 yang berbunyi:
Yang bermaksud : " Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung."
SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH SEKALIAN,
Cabaran dan peranan pasukan Polis pada masa kini telah banyak berubah ekoran pembangunan negara khususnya di era globalisasi dan zaman ICT ini. Apakah benar bahawa semua peranan dan tanggungjawab dalam menangani segala permasalahan seperti jenayah dan kemungkaran terletak di bahu pasukan polis semata-mata dan bagaimana pola pandangan Islam mengenai perkara ini. Marilah sama-sama kita hayati sabda nabi SAW:
"مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذلِكَ أَضْعَفُ الإِيْمَانِ"
Bermaksud : " Barangsiapa melihat suatu kemungkaran maka hendaklah ia cegah dengan tangannya (kekuasaan) jika tidak mampu cegahlah dengan lisannya (nasihat) dan jika tidak mampu juga maka hendaklah dicegah dengan hati (rasa benci). Demikian itu adalah selemah-lemah iman."
(Hadis riwayat Muslim)
Dalam hubungan ini jelas kepada kita bahawa tanggungjawab dalam menangani jenayah serta kemungkaran yang berlaku bukanlah terletak di bawah tanggungjawab pasukan polis sahaja malah ianya telah menjadi kewajipan serta tanggungjawab yang mesti ditunaikan oleh semua pihak. Hal ini bertepatan dengan Firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 110:
Maksudnya : " Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya ahli kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik."
Malangnya apa yang berlaku pada hari ini jenayah dan kemungkaran dilakukan secara berleluasa didalam masyarakat kita, bahkan kebanyakan individu takut atau tidak berani untuk menegur apatah lagi untuk mencegah walaupun ianya berlaku di depan mata. Sebagai contohnya cuba kita lihat betapa sukarnya untuk mencegah kemungkaran yang berlaku dalam keluarga sendiri. Apakah kita mampu mencegah anak isteri kita daripada melakukan dosa-dosa besar seperti meninggalkan solat fardhu, bercakap bohong, terlibat dengan penagihan dadah dan seumpamanya.
Seterusnya apakah kita mampu menasihati atau mencegah jiran-jiran kita atau saudara-saudara kita dari melakukan berbagai kemungkaran sama ada dari sekecil-kecilnya hinggalah sebesar-besarnya. Lantaran kurangnya atau tiadanya peranan yang dimainkan oleh kita semua maka tidak hairanlah kejadian jenayah dan kemungkaran meningkat dengan ketara.
SIDANG JUMAAT YANG DIKASIHANI SEKALIAN,
Ingatkah kita bagaimana suasana masyarakat penyayang yang dipupuk oleh nenek moyang kita suatu ketika dahulu. Jika kita kenang dan renung kembali sejarah pendidikan yang diamalkan oleh generasi terdahulu maka kita akan insaf betapa murni dan bijaknya mereka menjaga kita. Sebagai contoh sekiranya sesuatu kesalahan dilakukan bilamana dilihat oleh seseorang maka mereka segera menegur atau memarahi tanpa mengira siapa dan anak siapa. Lebih dari itu ibu bapa juga akan dimaklumkan dan anak yang nakal itu akan mendapat habuan seperti dimarahi atau dipukul oleh ibu bapa. Keadaan ini akan menyebabkan anak-anak tidak berani melakukan kesalahan walaupun di belakang ibu bapa mereka kerana mereka sedar bahawa semua orang akan mengambil berat terhadap mereka. Tidak timbul langsung perasaan takut untuk menegur atau seperti pepatah "tidak mahu menjaga tepi kain orang". Berbeza sama sekali dengan pemikiran sesetengah ibu bapa pada zaman moden ini di mana konsep tegur menegur seolah-olah tidak lagi relevan dalam kehidupan mereka.
SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH SEKALIAN,
Satu perkara yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW telah diabaikan oleh para ibu bapa pada hari ini dalam konsep mendidik anak-anak yang melakukan kesalahan. Pastinya keingkaran atau keengganan dari mematuhi perintah Rasulullah itu mengundang kepada kehancuran institusi keluarga, masyarakat dan negara. Cuba kita hayati sebuah hadis Rasulullah yang berbunyi:
"مُرُّوْا أَوْلاَدَكُمْ بِالصَّلاَةِ وَهُمْ أَبْنَاءُ سَبْعِ سِنِيْنَ وَاضْرِبُوْهُمْ عَلَيْهَا وَهُمْ أَبْنَاءُ عَشْرِ سِنِيْنَ وَفَرِّقُوْا بَيْنَهُمْ فِى الْمَضَاجِعِ".
Bermaksud : " Suruhlah anak kamu bersembahyang pada usia tujuh tahun dan pukullah pada usia mereka sepuluh tahun serta pisahkanlah tempat tidur mereka."
Apakah di kalangan kita terdapat individu yang tergolong kalangan orang yang dinyatakan oleh Rasulullah tersebut. Sekiranya ada sama-samalah kita membetulkan diri kita dengan menjadi manusia yang hormat serta patuh kepada Rasulullah. Tanpa kita sedari bahawa rupa-rupanya inilah perkara yang menjadi punca kepada segala permasalahan jenayah dan gejala sosial yang tak pernah kunjung hentinya. Sebab itulah walaupun berbagai program dilakukan oleh kerajaan bagi menangani situasi ini namun sudah pasti tanpa melakukan segala perintah dan tanpa akur kepada larangan Allah dan Rasul-Nya maka mustahil kemakmuran dan keamanan yang diidamkan akan dapat kita kecapi.
SIDANG JUMAAT SEKALIAN,
Kelaziman apabila sesuatu kejadian jenayah berlaku, masyarakat secara langsung menganggap tugas menanganinya adalah terletak di bahu pasukan polis sahaja. Dan sememangnya menjadi tugas dan tanggungjawab polis untuk menjalankan siasatan seterusnya. Namun harus diingat peranan dan tanggungjawab masyarakat lebih utama dalam memastikan kejadian jenayah dapat dibendung. Fakta membuktikan bahawa institusi kekeluargaan adalah merupakan penentu kepada kesejahteraan masyarakat dan negara. Dalam hubungan ini peranan ibu bapa dalam mendidik anak-anak yang bakal mewarisi generasi akan datang dapat dibuktikan melalui hadis nabi SAW yang berbunyi:
"كُلُّ مَوْلُوْدٍ يُوْلَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ اَوْ يُنَصِّرَانِهِ اَوْ يُمَجِّسَانِهِ".
Maksudnya : " Setiap anak yang dilahirkan adalah suci maka terpulanglah kepada ibu bapanya dalam mencorakkan masa depan anaknya samada menjadi yahudi, nasrani atau majusi."
SIDANG JUMAAT YANG DIMULIAKAN,
Dalam usaha polis menangani kejadian jenayah dalam negara ini, maka berbagai perancangan dan usaha sedang dan akan dilakukan, antaranya menambah keanggotaan dan kelengkapan logistik serta meningkatkan profesionalisme pasukan. Masyarakat juga boleh sama-sama membantu polis melalui berbagai kaedah seperti dengan menyalurkan maklumat menerusi talian rakan COP, laman web PDRM, talian 999 menghubungi pusat-pusat kawalan PDRM di daerah dan negeri masing-masing atau menghubungi balai-balai polis berhampiran.
Kemakmuran dan keamanan yang sedang kita kecapi ini tidak mustahil akan hilang sekiranya jenayah dan masalah sosial tidak kita bendung bersama, begitu juga dengan sikap suka mementingkan diri sendiri, sombong, suka menyebar fitnah, menghasut dan memburuk-burukkan keburukan orang lain. Semua ini, boleh membawa kepada permusuhan dan menganggu gugat keharmonian dalam masyarakat.
Akhirnya, sempena peringatan hari polis yang ke 200 tahun, marilah kita sama-sama merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kepada pasukan Polis Diraja Malaysia yang banyak berjasa kepada agama, bangsa dan negara kerana telah menjalankan amanahnya dengan baik di mana pada hari ini dengan izin Allah SWT kita semua dapat menikmati kehidupan yang aman dan harmoni, member juga menyeru kepada semua anggota pasukan polis agar bekerja dengan lebih professional, jujur, amanah serta menghindarkan diri dari perkara-perkara mungkar. Sifat yang seperti ini dijanjikan oleh akan memperolehi kejayaan di dunia dan di akhirat. Ini Jelas dirakamkan oleh Allah dalam surah Al-Hujurat ayat 15:
Bermaksud : " Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah, mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya)".
بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ فِىْ الْقُرْءَانِ الْعَظِيْمِ، وَنَفَعَنِى وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّىْ وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِىْ وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ، وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَـا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.

Virtual Friends - Copyright © 2001-2014 Webber Dot My Solutions (002351632-A). All rights reserved