Unregistered Member
sign up
 Login

Username or Email

Password

Forget Password?

Free Register

 Main Page
 Announcement
 Discussion
 Article
 Photo Album
 Market Place
 Sharing List
 Stateboard
 Member List
 Like
 Applications
 Sign-Up

Article

 DilaDellila • 5 years ago • 3,564 viewed


[kitab+tajul+muluk.jpg]

Antara kitab perubatan Melayu yang paling banyak diperkatakan sama ada menerusi karya-karya klasik seperti Hikayat Melayu dan Hikayat Hang Tuah mahupun di kalangan golongan yang memburu ilmu hikmah Melayu adalah Tajuk Muluk dan Kitab Thoiyibil Ihsaani fi Thibbil Insaan (Ilmu Perubatan). Berbanding Kitab Ilmu Perubatan, Tajul Muluk adalah lebih lama dan dikatakan menjadi ilmu kitab-kitab perubatan Melayu yang lain. Kitab ini mengandungi 134 sohifah atau bab yang merangkumi segala perkara, sama ada daripada gerak pada tubuh, mendirikan rumah, membuka tanah, mimpi, perubatan lelaki, peredaran air mani wanita, mengalahkan musuh dan sebagainya.

Kitab ini sebenarnya dikatakan diadaptasi daripada sebuah kitab lain yang berasal dari Parsi dan telah di'Islam'kan dengan kemasukan elemen-elemen Islam. Kitab ini ditulis (semula) pada zaman sultan Acheh yang bernama Sultan Mansur Billah Shah ibni Al-Sultan Jauhar Al-Alam Shah. Pada bahagian akhir kitab tersebut, dinyatakan bahawa kitab ini telah selesai diterjemahkan oleh Faqir Tuan Haji Wan Hassan ibn Sheikh Tuan Ishak Fatani pada hari Jumaat pada waktu Dhuha enam likur haribulan Muharram pada hijrah Nabi seribu dua ratus empat puluh sembilan di dalam negeri Makkah.

Mungkin kebanyakan generasi sekarang, sukar untuk membaca kitab ini walaupun ianya banyak terjual memandangkan bahasa yang digunakan merupakan bahasa Melayu lama bercampur Arab. Malah istilah-istilah yang digunakan adakalanya mendangkalkan fikiran kita, seperti kamkuha dan sebagainya. Malahan ejaan untuk ayam pula apabila dibaca berbunyi hayam, sekaligus menunjukkan pengaruh dialek banjar di dalamnya.

Satu lagi kitab perubatan yang terkenal adalah Kitab Thoiyibil Ihsaani fi Thibbil Insaan (Ilmu Perubatan). Kitab ini ditulis oleh Wan Ahmad bin Muhammad Zin bin Mustaffa Al-Fatani dan selesai penulisannya pada bulan Safar tahun 1333 Hijrah. Kitab ini lebih mudah bahasanya tetapi lebih nipis dengan 43 sohifah atau bab sahaja. Bagaimanapun, kitab ini sama seperti tajuknya, lebih banyak menjurus kepada perubatan seperti 'Pada fasal yang pertama; pada barang yang jadi penyakit daripadanya dan barang yang bergantung dengan demikian itu...

Suatu ketika dahulu, barangsiapa yang berhajat sangat nak jadi doktor tradisional (bomoh la tuh), penguasaan Tajul Muluk - sama ada dibaca atau dihafal - memang perlu. Malah, dikatakan juga, sesiapa yang menyimpan kitab ini dan dijadikan rujukan, seringkali mendapat penghormatan di kalangan penduduk kampung.

Sebenarnya ada lain-lain kitab perubatan yang lebih ekstrem yang bercampur aduk antara agama (ilmu hakikat) dengan perubatan, malah termasuk juga di dalamnya jampi serapah mahupun hizib dan sebagainya seperti Kitab Pati Rahsia yang dikaitkan penulisannya dengan Paduka Perdana Menteri Kelantan, Nik Mahmud dan sebagainya...

Sayangnya, kitab-kitab ini semakin lenyap dan tidak lagi mendapat perhatian, mahupun kajian daripada pihak yang sepatutnya. Mungkin memandangkan ia datang dari zaman silam, bermakna ia adalah kuno dan ketinggalan. Barangkali kesilapan kita ialah memandang mudah akan kecendekiawan orang Melayu sendiri yang sudah pun menemui penawar demam malaria atau demam kura dengan penggunaan pati kulit batang pokok kuinin sebelum 'orang putih' mempatenkannya sebagai penemuan barat awal abad ke-20.

Malah ketiadaan bomoh-bomoh yang benar-benar menjalankan peranan sebagai doktor tradisional yang bukan bermodalkan air liur, hembus-hembus, pembohong-pembohong dan temberang-temberang, serta asap kemenyan yang sekadar melengkapkan upacara perubatan, membuatkan kitab-kitab ini terbiar begitu sahaja. Berbeza dengan masyarakat Cina yang berjaya menaiktarafkan bidang perubatan sensei mereka untuk digandingkan dengan perubatan moden, orang Melayu bagaikan kehilangan dalam keseronokan mereka mendabik dada bahawa Melayu sudah bertamadun.

Virtual Friends - Copyright © 2001-2014 Webber Dot My Solutions (002351632-A). All rights reserved