Unregistered Member
sign up
 Login

Username or Email

Password

Forget Password?

Free Register

 Main Page
 Announcement
 Discussion
 Article
 Photo Album
 Market Place
 Sharing List
 Stateboard
 Member List
 Like
 Applications
 Sign-Up

Article

 DilaDellila • 4 years ago • 1,120 viewed


Sepanjang sejarah manusia, kalau kita lihat dari dulu sampai sekarang, dalam soal unit keluarga ini ada berbagai-bagai bentuk amalan. Ada suku-suku bangsa yang mengamalkan sistem polyandry, yang sangat bertentangan dengan fitrah manusia. Polyandry ini ialah isteri yang mempunyai lebih daripada satu suami. Ini berlaku pada suku-suku kaum yang mundur, misalnya kaum asli atau Aborigin. Di dalam sistem ini seorang perempuan boleh mempunyai dua atau tiga suami, kadang-kadang berbelas-belas suami. Semua suami berkhidmat kepada isteri tersebut. Ia mirip kepada sistem hidup semut atau lebah di mana ketuanya adalah permaisuri. Permaisurilah yang mengarahkan segala-galanya.

Islam membawa satu sistem yang bertentangan dengan itu, iaitu poligami, di mana seorang suami boleh mempunyai banyak isteri. Sekali imbas, kalaulah poligami dalam Islam ini tidak dikaji betul-betul kebaikan dan hikmahnya, maka kebanyakan manusia terutama para orientalis dan orang-orang Islam sendiri yang tidak faham atau yang tidak dididik secara Islam, akan menganggap bahawa poligami ini tidak lain dan tidak bukan, hanyalah satu cara untuk orang lelaki menindas kaum perempuan atau untuk memuaskan nafsu mereka terhadap kaum perempuan. Maka timbullah berbagai fitnah terhadap orang yang berpoligami.

Tambahan pula
ada orang-orang Islam yang berpoligami tetapi tidak mengikut cara berpoligami yang sebetulnya. Antaranya, berlaku ketidakadilan, tidak membela, mengabaikan anak, tinggal isteri lama-lama dan lain-lain lagi sehingga timbullah masalah dalam masyarakat. Maka buruklah rupa poligami itu walaupun yang sebenarnya hikmahnya sangat besar.

Poligami jadi ‘buruk’ kerana orang yang mengamalkannya tidak mengikut cara sebagaimana sepatutnya. Hilanglah cantik dan indahnya amalan poligami ini. Lalu bagi yang tidak faham dan juga bagi para orientalis, inilah kesempatan untuk mereka menekan, mencemuh serta menghinakannya.

Termasuk golongan yang tidak menyokong poligami ini ialah kaum wanita Islam yang tidak faham dan yang mengukur dan menilainya dengan perasaan dan hawa nafsu mereka semata-mata. Mereka menentang poligami atas alasan tidak mahu berkongsi kasih sayang suami, suami tidak akan berlaku adil dan sebagainya. Sebenarnya
kasih sayang itu bukan mata benda macam duit yang kalau dikongsi, takut-takut tidak cukup atau jadi kurang. Ia perkara maknawi yang tidak boleh disukat dengan dacing atau gantang. Ia ibarat air laut. Sebanyak mana pun bekas yang dibawa, diisi penuh dengan air laut tidak akan habis malahan sedikit pun tidak akan luak atau kurang. Kalau isteri itu solehah dan berakhlak, tetap suami akan sayang. Kalau ada empat isteri yang semuanya solehah dan berakhlak, keempat-empatnya suami akan sayang. Kalau isteri degil, jahat dan tidak berakhlak, tidak ada suami yang akan sayang walaupun dia seorang sahaja isterinya. Kasih sayang bukan benda yang dikongsi-kongsi. Masing-masing boleh ambil mengikut hak masing-masing tertakluk kepada syarat sama ada mereka itu menyenangkan hati suami dan layak diberi kasih sayang ataupun tidak.

Adil pula bererti menaruh hak pada yang hak. Adil tidak bermaksud pembahagian sama rata. Kalau seorang suami mempunyai ramai isteri dan setiap isterinya diberi nafkah mengikut keperluan masing-masing walaupun nilainya tidak sama di antara satu sama lain, itu adalah adil namanya sebab keperluan setiap isteri itu tidak sama. Apa yang sebenarnya ditakuti oleh wanita yang menentang poligami atas dasar takut suami tidak adil sebenarnya ialah kerana mereka mahu membolot kesemua harta dan wang suami untuk diri mereka seorang sahaja dan tidak mahu berkongsi harta dan wang suami dengan orang lain. Kalau inilah sebab yang sebenarnya, maka jangan gunakan alasan adil atau tidak adil kerana ini tidak ada sangkut-paut dengan keadilan.

Memang Allah jadikan lelaki itu sifat semulajadinya polygamous atau suka pada lebih dari seorang isteri. Syariat Islam juga sesuai dengan fitrah ini dan lelaki dibenarkan berpoligami. Hikmahnya banyak. Ia boleh cepat meramaikan zuriat. Rasulullah SAW bukan sahaja suka dan gembira malahan megah melihat umatnya ramai.

Tambahan pada itu, orang perempuan ada banyak masa uzur. Contohnya semasa haid atau setelah bersalin. Ada yang haid sampai lima belas hari. Tetapi orang lelaki sentiasa bersedia atau sentiasa siap siaga. Oleh itu, seorang isteri tidak akan mampu melayan kehendak suaminya sepanjang masa. Isteri perlu bertolak ansur dan membenarkan suaminya mempunyai isteri-isteri yang lain terutama kalau suaminya jenis yang berkeinginan tinggi.

Lelaki juga, sifat semula jadinya mudah jemu. Ibarat makanan, kalau setiap hari dihidangkan gulai asam pedas, lama-lama dia akan hilang selera walaupun asam pedas itu sedap. Kalau gulai asam pedas itu digilirkan dan diselang seli dengan masak lemak cili api, kari atau gulai tempoyak, maka seleranya terhadap gulai asam pedas akan kekal sampai bila-bila. Selang beberapa hari, dia akan berselera untuk makan gulai asam pedas semula. Ada peribahasa Inggeris yang berbunyi “Variety is the spice of life”. Poligami ialah satu jalan untuk mengekalkan kasih sayang antara suami isteri. Belum hilang rindu pada seseorang isteri, sudah terpaksa ditinggalkan untuk giliran isteri yang lain. Dengan demikian, si suami sentiasa dalam keadaan merindui isteri-isterinya. Isteri-isterinya sama juga. Tidak sempat untuk jemu, tidak sempat untuk bosan. Jadi tidak ada ruang untuk pergaduhan dan bermasam-masam muka. Salah sedikit-sedikit mudah sahaja dimaafkan.

Bagi para isteri, melayan suami meletihkan. Kalau suami ada di rumah, isteri terpaksa memberi tumpuan pada suami. Tidak banyak masa terluang untuk membuat perkara-perkara yang diminati atau yang boleh dijadikan hobi seperti menjahit ke, crochet ke, menanam orkid ke, buat parti ‘tupperware’ ke dan sebagainya. Tambahan lagi, kalau suami sentiasa ada di rumah, lama-kelamaan layanan akan jadi hambar. Sampai satu ketika, masing-masing akan buat hal masing-masing. Dalam poligami, ada giliran. Kalau waktu giliran, isteri boleh memberi segala tumpuan untuk melayan suaminya kerana itulah masa pun untuk bersama. Semasa bukan giliran, isteri boleh buat kerja-kerja lain yang dia suka. Maka fikiran dan aktiviti isteri boleh terbuka luas dan tidak jadi terkongkong dan jumud seperti isteri yang tidak bermadu.

Inilah juga peluang untuk isteri yang bermadu berkecimpung di dalam masyarakat, untuk membuat khidmat-khidmat masyarakat dan membina serta membangun masyarakat khususnya dalam hal ehwal dan kebajikan wanita dan kanak-kanak. Ini kerana di kalangan para isteri, ada yang layak dan berkemampuan untuk memimpin dan menggerakkan pertubuhan-pertubuhan wanita. Kalau semua masa diperlukan untuk melayan suami semata-mata, masyarakat akan rugi. Sukar bagi isteri yang tidak bermadu hendak berkecimpung dalam masyarakat kerana dia terpaksa melayan suami. Kalau tidak suami akan terabai.

Kalau ramai isteri-isteri yang bermadu, maka ramailah tenaga wanita yang ada untuk menggerakkan pertubuhan-pertubuhan wanita dan memajukan kaum wanita dalam bidang ekonomi dan kemasyarakatan. Biar isteri yang mempunyai giliran sahaja yang melayan suami. Yang tidak mempunyai giliran boleh bergerak dan berkhidmat dalam masyarakat. Masyarakat akan untung. Kaum wanita akan untung.
Wanita Barat sibuk dengan ‘Women’s Liberation’ tetapi apa pun tidak berlaku. Tidak ada hasil. Bising sahaja. Biar wanita Islam sibuk melagangkan poligami dan pada waktu yang sama, kaum wanita Islam membina, membangun dan berkemajuan.

Sebenarnya kalau kita dapat fikirkan dengan waras, kita akan berterima kasih kepada orang lelaki yang mahu berpoligami.Kerana bila seorang lelaki berkahwin, dia hanya selesai satu masalah tetapi dalam masa yang sama dia menempuh 99 masalah. Bagi orang perempuan pula, bila dia berkahwin, dia selesai 99 masalah dan menempuh satu masalah sahaja. Jadi kalau ada lelaki mahu berkahwin, ertinya dia itu berani kerana dia sanggup menempuh 99 masalah. Lebih-lebihlah lagi yang mampu kahwin lebih, 2, 3 atau 4. Maknanya akan timbul 99 x 4 masalah. Orang yang hendak berpoligami ini haruslah seorang yang berani, tahan lasak dan sanggup menanggung risiko.

Poligami sebenarnya adalah satu perjuangan. Melalui poligami ini kita dapat membangunkan berbagai kekuatan. Poligami ini mendidik kita setiap hari. Melalui poligami, tiap saat kita terdidik, sebab kita terpaksa berhadapan dengan kerenah para isteri, berhadapan dengan tanggungjawab dan sebagainya.Maknanya 24 jam kita terdidik. Hendak tidur pun kita kena tepati tempat dan masa. Berbeza kalau ada seorang isteri.Hendak balik ke rumah atau tidak, hendak tidur di rumah atau tidak, ia terpulang pada suami. Tetapi bila berpoligami,suami sudah tidak bebas lagi. Giliran pada isteri-isteri wajib dipenuhi.

Poligami sebenarnya adalah satu proses tarbiah yang cukup hebat. Dari poligami akan timbul kekuatan-kekuatan lain.Melalui poligami akan tumbuh sifat-sifat baru pada diri kita yang boleh menguatkan kita.

Antaranya ialah
sifat sabar. Poligami menjadi tempat latihan bersabar menghadapi bermacam-macam kerenah isteri. Suami akan terlatih bagaimana hendak bersaikologi, berstrategi dan lain-lain. Ini merupakan pengalaman dan pendidikan yang boleh membantu kita menjadi mantap dari segi mental dan spiritual. Hati dan perasaan kita akan tercanai sehingga benar-benar dapat membangunkan insaniah kita. Seolah-olahnya poligami ini adalah riadhah (latihan) hidup bagi akal, fizikal,hati dan nafsu kita.

Kita akan jadi
pandai menyusun hidup dan memaksimumkan penggunaan masa, kewangan dan sebagainya di antara isteri-isteri dan anak-anak kita. Kita akan pandai mengambil hati para isteri dan melayan kehendak fizikal, emosi dan rohani mereka kerana itulah perkara yang akan memberi kepuasan kepada mereka yang kadang-kadang kita abaikan ketika kita beristeri satu. Kita hanya “take for granted”. Kita akan sentiasa berusaha untuk berlaku adil dan sifat memaksa diri supaya sentiasa berlaku adil dan tekanan atau tuntutan untuk sentiasa berlaku adil itu sangat berkesan untuk menjadikan kita orang yang adil atau sekurang-kurangnya orang yang berfikiran dan berperasaan adil kerana tuntutan berlaku adil itu sentiasa bermain di dalam fikiran dan hati kita.

Kita
bertambah sensitif dan peka terhadap keperluan dan perasaan isteri-isteri kita. Ini boleh menjadikan kita orang yang sensitif dan peka terhadap keperluan dan perasaan orang-orang lain. Kita akan jadi orang yang lebih mementingkan orang lain daripada diri sendiri.

Dalam keadaan berpoligami, kita akan belajar berfikir habis-habis sebelum kita memperkatakan sesuatu, lebih-lebih lagi sebelum kita berbuat sesuatu. Ini kerana risiko bertindak secara semberono dan melulu mempunyai kesan yang lebih berat di dalam poligami daripada di luar poligami. Banyak hati-hati yang akan tersentuh atau terluka. Dalam monogami,kesilapan, kekasaran dan tindakan yang melulu lebih mudah boleh diterima atau diambil ringan.

Dalam mendidik isteri yang ramai dan supaya mereka lebih mudah menerima didikan kita, kita perlu jadi contoh dan kita perlu serius dengan Tuhan dan hukum-hakam agama. Barulah kita ada wibawa dan isteri-isteri kita mudah patuh dan akur akan kepimpinan kita kerana kita sama-sama ingin menuju kepada keredhaan Tuhan. Tidak ada ruang dalam poligami bagi suami yang ingkar dengan perintah Tuhan dan yang meringankan agama kerana tidak ada isteri yang akan hormat dan akan memberi ketaatan kepadanya.Disiplin perlu dalam berpoligami. Begitu juga cara hidup yang berperaturan dan berjadual. Poligami mendidik kita supaya berdisiplin dan berperaturan.

Juga
dalam menghadapi masalah dan tanggungjawab berpoligami yang lebih berat, suami akan banyak meminta tolong dan bergantung harap dengan Tuhan. Inilah satu sifat yang Allah sangat suka. Hati suami akan banyak mengadu, meminta bantuan dan merintih dengan Tuhan. Suami akan banyak mengingat Tuhan. Perkara ini juga berlaku kepada para isteri.Dalam hendak memujuk-mujuk hati dan mendidik perasaan, isteri akan juga banyak mengadu dan merintih dengan Tuhan.Berbahagialah para suami dan isteri yang hati mereka sentiasa bersama Tuhan.

Barulah kita nampak bahawa poligami sebenarnya amat baik dan sangat penting. Kalau tidak, tentulah ia tidak menjadi
`dakbus solihin’ atau tradisi para nabi dan rasul, wali-wali dan orang-orang soleh zaman dahulu. Sudah pasti ada sesuatu yang besar dalam poligami.

Walaupun poligami ini telah disingkirkan oleh umat Islam bahkan dicemuhkan, ia sebenarnya mencetuskan berbagai kekuatan. Bukan sahaja bagi pihak suami bahkan isteri juga mendapat manfaat yang banyak dari poligami. Walaupun mereka terpaksa mengurut-urut dada, memujuk-mujuk hati dan terpaksa korban perasaan, mereka juga akan mendapat berbagai kekuatan dalam menempuh ujian hidup berpoligami dan bermadu.

Bagi isteri-isteri yang monogami, hidup mereka banyak berlegar di sekitar suami mereka sahaja. Apa-apa pun “husband I”. “Husband I” inilah. “Husband I” itulah. ‘Husband’ mereka sudah jadi matlamat, bukan lagi alat untuk menuju kepada Tuhan. Bukan mudah untuk mengubah sikap dan pegangan ini. Suami mereka lebih banyak di hati mereka dari Tuhan sendiri. Apa-apa pun suami, bukan Tuhan. Poligamilah ubat yang paling mujarab bagi penyakit ini. Apabila sudah bermadu, mereka akan sedar bahawa suami mereka bukan hak mereka seorang. Dia sudah ada isteri-isteri yang lain. Ketika itu hati mereka akan berhijrah daripada suami kepada Tuhan,tempat mereka merintih, mengadu dan memohon kasih sayang.

Kita tidak akan tahu atau nampak cacat hati, sifat mazmumah dan penyakit jiwa yang ada pada seorang isteri ketika dia seorang. Kita sangka dia sudah baik. Bahayanya, dia akan mati membawa penyakit-penyakit tersebut kalau ianya tidak dibongkar dan diubati.
Sifat-sifat mazmumah itu ialah dosa-dosa batin. Isteri itu sendiri tidak akan bertaubat dari dosa-dosa tersebut kerana dia pun tidak tahu dan tidak sedar.

Poligami ialah pembongkar segala sifat-sifat mazmumah para isteri. Semasa bermadu, akan timbul sifat tidak redha, tidak sabar, tidak bertolak ansur, derhaka kepada suami, maki hamun, hasad dengki, tamak haloba, rebut harta, mengamuk dan lain-lain yang kita sangka tidak ada semasa sebelum berpoligami.Semasa berpoligamilah peluang untuk membongkar dan mengubati penyakit-penyakit tersebut sehingga isteri menjadi seorang isteri yang benar-benar solehah. Isteri yang baik dalam monogami belum tentu baik. Isteri yang baik dalam poligami ialah isteri yang telah terbukti kebaikannya.Isteri yang sayangkan suaminya dalam monogami mungkin sayangkan suaminya kerana suaminya. Tetapi isteri yang sayangkan suaminya dalam poligami menyayangi suaminya kerana Allah SWT.

Virtual Friends - Copyright © 2001-2014 Virtual Fusion (0238980-U). All rights reserved