Unregistered Member
sign up
 Login

Username or Email

Password

Forget Password?

Free Register

 Main Page
 Announcement
 Discussion
 Article
 Photo Album
 Market Place
 Sharing List
 Stateboard
 Member List
 Like
 Applications
 Sign-Up

Article

 DilaDellila • 5 years ago • 3,850 viewed


Zina adalah dosa besar yang amat perlu dihindari oleh manusia. Ini kerana ia bukan sahaja merosakkan nasab atau keturunan manusia tetapi juga mendatangkan pelbagai masalah sosial. Yang terbaru ialah perbuatan membuang bayi.
Youngmalaysian telah memetik satu wawancara yang disiarkan oleh utusan Malaysia dan amat tertarik dengan isu ini untuk dibincangkan oleh pengunjung laman ini.
Manusia sebagai sebaik-baik kejadian dibekalkan akal dan nafsu. Justeru amat penting sentiasa meletakkan akal di tempat teratas supaya kita menjadi hamba Allah s.w.t yang patuh. Sebaliknya, jika nafsu menguasai diri, akan binasalah manusia.
Ini ditegaskan oleh Allah dalam firman-Nya, Dan jangan engkau ikut hawa nafsumu, engkau akan disesatkannya daripada jalan Allah… (Saad: 26)
Bagi mengupas persoalan ini, wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto, MOHD. SHAHARANI SAIBI menemu bual pensyarah kanan Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Prof. Madya Asmak Ali.
UTUSAN: Apakah konsep kasih sayang dan cinta dalam Islam?
ASMAK: Islam tidak pernah melarang umatnya menyemai perasaan cinta. Sebabnya, cinta itu adalah fitrah manusia. Sebagai menggalakkan pergaulan dan menyemai rasa cinta serta hormat menghormati Allah s.w.t berfirman: Wahai manusia, sesungguhnya Kami menjadikan kamu dari lelaki dan perempuan (bapa dan ibu) dan Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu berkenal-kenalan. (Al-Hujurat: 13)
Persoalannya ialah bagaimana kita perlu membataskan pergaulan itu agar ia tidak membawa mudarat. Lebih-lebih lagi sehingga membawa kepada zina, perbuatan yang amat dilarang oleh Islam. Sebab itu dihujung ayat tersebut Allah menyebut: Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih bertakwa.
Sebagai Muslim, kita perlu sentiasa meletakkan akal menguasai diri. Ini kerana akal pentingkan perkara yang lebih baik dan l ebih patut pada akibat. Hawa atau nafsu pula tabiatnya tidak mahu melihat pada akibat yang membahayakan dan buta daripada melihat akibat.
Permusuhan antara manusia dengan nafsu ini adalah dalam hal mentaati syaitan dan dalam hal mengikut tabiat kehaiwanan serta mengikut syahwat dan hawanya. Ini menyebabkan berlakunya sumbang mahram atau perbuatan haruan makan anak. Perkara ini turut dijelaskan oleh Allah dalam firman-Nya, Sesungguhnya nafsu itu menyuruh kepada kejahatan. (Yusuf: 53)
Perbuatan membuang bayi sehingga membawa kepada kematian ini seolah-olah membawa kita ke zaman jahiliah moden. Bolehkah kita katakan begitu?
ASMAK: Saya bersetuju. Cuma pada zaman jahiliah yang dibunuh atau ditanam hidup-hidup adalah bayi perempuan. Namun zaman sekarang tidak kira jantina. Orang jahiliah menanam anak tetapi sekarang sebahagiannya membuang anak. Keadaannya semakin serius. Sebab itu ia boleh dikatakan sebagai perbuatan jahiliah moden.
Kalau kita melihat sejarah, pembunuhan bayi perempuan ketika itu adalah bagi menutup aib di masa depan kerana ketika itu perzinaan adalah berleluasa malah menjadi budaya masyarakat.
Hasil pengakuan remaja yang terlibat di media, saya berpendapat, kebanyakan yang terlibat membuang anak hasil zina ini adalah remaja luar bandar. Mereka mengalami kejutan budaya melihat kebebasan berada di bandar. Selalunya remaja di bandar lebih advance dalam langkah mencegah kehamilan melalui penggunaan kondom dan sebagainya.
Apakah punca remaja kini seolah-olah hilang rasa malu?
ASMAK: Pokok pangkal kepada semua perlakuan maksiat ialah iman. Sebab itu Rasulullah bersabda antara lain: Seseorang yang hendak berzina tidak akan melakukan zina itu semasa ia berkeadaan sempurna imannya… (riwayat Syaikhan)
Mereka yang terlibat dalam maksiat atau jenayah adalah golongan yang tidak beriman semasa melakukannya. Ini kerana orang beriman mempunyai sifat ihsan, iaitu merasakan Allah sentiasa memerhati mereka.
Satu lagi faktor pendorong ialah filem-filem termasuk filem tempatan lebih cenderung membudayakan berpacaran. Dalam kebanyakan filem termasuk berkaitan kampus, slot percintaan muda-mudi dan budaya hedonisme sentiasa diselitkan. Seolah-olah couples itu menjadi wajib hatta kepada siswa dan siswi.
Apa yang lupa kita tekankan ialah percintaan itu memerlukan tanggungjawab. Jangan mainkan perasaan orang dan salah satu caranya ialah menjaga adab terutama jangan bersama sebelum nikah.
Remaja terutama anak gadis perlu memilih sama ada menjadi orang tidak ternilai iaitu yang mempunyai harga diri, yang sentiasa menjaga batas aurat dan pergaulan atau orang yang tidak bernilai atau sampah masyarakat.
Orang lelaki pula perlu ingat tanggungjawab mereka sebagai pemimpin wanita. Bukannya sebagai pembinasa atau yang mengambil kesempatan terhadap sifat lemah-lembut wanita.
Selalunya wanita yang terlibat dalam zina ini dalam dilema kerana dicerca, malah ada yang dibuang keluarga. Apakah peranan ibu bapa dalam hal ini?
ASMAK: Yang pertama, ibu bapa jangan mengambil sikap `berpatah arang dan berkerat rotan’ dengan anak. Zaman dahulu, kita menghalau anak dari rumah, mungkin mereka tidak berani keluar tetapi zaman sekarang, keadaan adalah sebaliknya.
Islam menetapkan keutamaan menghindarkan mudarat yang lebih besar adalah lebih utama. Buruk baik perbuatan, mereka tetap anak dan darah daging kita.
Yang kedua, jangan kerana kesilapan itu menjadi penyebab rosaknya seluruh masa depan mereka. Allah itu maha penyayang lagi maha pengampun. Didik mereka agar bertaubat dan kembali ke pangkal jalan. Mudah-mudahan kehidupan mereka akan bertambah baik.
Dalam masa yang sama, anggaplah perzinaan atau maksiat oleh anak kita sebagai ujian Allah. Paling penting ialah bagaimana kita mengatasi masalah itu secara berhikmah.
Tekanan yang terlalu kuat kepada wanita terlibat boleh membawa kepada pembuangan bayi kerana mereka tidak tahu ke mana lagi hendak mengadu. Masyarakat pula lebih ramai yang mencemuh daripada yang membantu.
Maknanya, kita memerlukan pusat jagaan bagi golongan sebegini?
ASMAK: Ya. Jangan biarkan mereka terkapai-kapai. Lebih baik jika disediakan pusat pengaduan atau pusat penjagaan untuk mereka. Wanita yang terlibat dalam perzinaan ada di antaranya akibat termakan dengan pujuk rayu dan janji manis teman lelaki. Namun apabila mereka mengandung, selalunya lelaki terlibat tidak mahu bertanggungjawab.
Melalui pusat-pusat tersebut, kebaikannya bukan sahaja kepada wanita terlibat tetapi juga kepada anak yang dikandung mereka. Jangan pula salah tafsir saya menggalakkan perbuatan haram ini. Sekali jatuh tidak bermakna hidup kita sudah berakhir.
Wanita terlibat perlu diberi didikan agama dan sesi kaunseling agar kekosongan dalam jiwa mereka diisi. Anak mereka pula boleh dijadikan anak angkat oleh mereka yang layak selepas melalui proses temuduga dan pemilihan tertentu.
Dengan kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), adakah ibu bapa perlu mengubah cara mendidik anak agar sesuai dengan perubahan zaman?
ASMAK: Saya setuju. Dalam dunia tanpa sempadan ini, maklumat mudah diperolehi melalui Internet. Kebanyakan rumah juga mempunyai kemudahan Internet dan jarang kita sebagai ibu bapa dapat mengawal semua maklumat yang mereka layari. Menyediakan kemudahan ini di rumah lebih baik daripada kita membiarkan anak-anak ke kafe siber.
Oleh itu, adalah perlu ibu bapa mempunyai parenting skill. Mereka tidak boleh lagi hanya menghukum tanpa memberi alternatif. Jangan terlalu rigid. Kalau kita tidak benarkan anak menonton wayang, mereka boleh berbuat demikian secara sembunyi-sembunyi. Adakalanya kita perlu membawa mereka menonton wayang bersama-sama ataupun kita membeli cakera padat (CD) dan menontonnya bersama-sama keluarga.
Pendek kata, ibu bapa kini perlu lebih mendekati remaja. Selami perasaan mereka, jangan amal pemerintahan kuku besi. Ini bagi mengelakkan mereka rasa bengkek (marah).
Antara amalan yang boleh mengikat rasa kasih sayang sesama keluarga ialah solat berjemaah. Sekali-sekala, apa salahnya kita solat berjemaah bersama keluarga selain berjemaah di masjid dan surau. Ingatlah firman Allah, Sesungguhnya solat itu mencegah perbuatan yang keji dan mungkar. (Al-Ankabut: 45)
Benarkah ada pandangan bahawa anak luar nikah ini berdosa dan pembawa sial?
ASMAK: Dakwaan sedemikian adalah tidak berasas. Buktinya, sabda Rasulullah: Setiap anak yang dilahirkan itu adalah dalam keadaan fitrah (suci). Ibu bapanyalah yang mencorakkan sama ada menjadi yahudi, nasrani atau majusi. (riwayat Syaikhan).
Allah juga menegaskan, Orang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain. (Faathir: 18)
Semua ini menjelaskan kepada kita bahawa iman dan dosa itu tidak diwarisi.

Virtual Friends - Copyright © 2001-2014 Webber Dot My Solutions (002351632-A). All rights reserved