Unregistered Member
sign up
 Login

Username or Email

Password

Forget Password?

Free Register

 Main Page
 Announcement
 Discussion
 Article
 Photo Album
 Market Place
 Sharing List
 Stateboard
 Member List
 Like
 Applications
 Sign-Up

Article

 DilaDellila • 12 years ago • 4,219 viewed


SENIMAN yang ingin mengharap kisah Mahsuri mengambil masa yang panjang untuk menulis kisah legenda ini. Selain cuba mendapatkan fakta yang benar atau hampir benar, mereka juga menitikberatkan soal kepercayaan terhadap kisah ini. Perkara ini wajar diberikan pertimbangan serius kerana Mahsuri, wanita yang dikatakan berdarah putih itu, mempunyai waris yang sah saat ini.
Senario ini menjadi lebih sulit sekiranya garapan itu dalam bentuk persembahan teater. Biarpun kisah Mahsuri telah dipentaskan beberapa kali secara kecil-kecilan termasuk oleh aktivis teater Kedah, Morad Ibrahim, namun belum ada yang benar-benar memuaskan hati khalayak. Namun, jalan ceritanya masih sama.
Ia bermula dengan kelahiran Mahsuri dan rezeki yang diperoleh oleh Pandak Maya dan isterinya yang dikatakan berpunca daripada kelahiran Mahsuri. Anak ini disayangi oleh semua penduduk kampung.
Kemudian digambarkan zaman kanak-kanak dan dewasa Mahsuri sehingga menjadi igauan jejaka di Pulau Langkawi termasuklah Mat Deris. Jodohnya ditakdirkan dengan Mat Deris dan mereka berkahwin dalam suasana yang meriah. Bagaimanapun, selepas perkahwinan Mat Deris terpaksa meninggalkan Mahsuri kerana tugasnya di Tanah Seberang (ada yang menyatakan untuk perniagaan, ada pula yang berpendapat beliau pergi berperang).
Pemergian Mat Deris menimbulkan prasangka dengan kehadiran Deraman yang baik dengan Mahsuri. Mereka akhirnya difitnah hingga membawa kepada pembunuhan Mahsuri yang penuh tragis.
Kisah ini cuba diketengahkan oleh The Temple of Fine Arts dan Istana Budaya melalui muzikal Mahsuri - Legenda Langkawi yang dipentaskan di Istana Budaya, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Meskipun dikatakan sebuah teater dalam versi bahasa Inggeris hakikatnya ia dipentaskan dalam dua bahasa iaitu bahasa Malaysia dan Inggeris.
Menyaksikan Mahsuri di Istana Budaya bagaikan ada yang tidak kena. Ada yang terbuku di hati. Janggal rasanya. Hingga tertanya apakah yang ditonton itu sebuah legenda, mitos atau hanya rekaan semata-mata. Ini dikuatkan lagi dengan kenyataan pengacara majlis bahawa cerita tersebut adalah daripada sudut pandangan pengarang (mungkin penulis skrip).
Tidak diketahui dari mana versi yang menjadi rujukan kepada Lam Ghoo Ket yang bertindak selaku penulis skrip pementasan ini. Ini kerana dalam usaha ghairah mengetengahkan kisah epik, sejarah dan mitos yang telah diterima ramai itu, tidak terlihat unsur-unsur agama dalam diri Mahsuri. Sedangkan Mahsuri menjadi begitu disayangi kerana kelebihannya itu di samping sifat-sifatnya yang terpuji.
Apakah ini terjadi kerana cerita ini dipindahkan daripada tangan orang yang mengetepikan hal sedemikian? Atau, ia satu pendekatan baru yang tidak menonjolkan konsep yang penting dalam kisah Mahsuri? Ke mana perginya panel penasihat yang dilantik oleh Istana Budaya untuk melihat dan menasihati dalam hal-hal begini?
Gandingan koreografer Melayu-India nampaknya tidak berjaya membentuk sebuah koreografi yang menarik dan tuntas. Kerja Azman Abu Bakar, Hasnul Hassan, Umesh Shetty dan Shankar Kandasamy tidak menjalinkan gaya kreatif yang mapan. Mereka tidak melahirkan produk Malaysia yang berlandaskan kisah legenda. Sebaliknya, yang kelihatan adalah kemasukan unsur budaya Hindu/India dalam muzikal ini.
Jangan menyalahkan sesiapa jika ada penonton mendakwa Mahsuri - Legenda Langkawi sebagai `Mahsuri versi India'. Ini bukan bererti mereka bersifat perkauman tetapi jangan menafikan hak mereka untuk mengakui bahawa legenda Mahsuri adalah milik Melayu, dan yang paling penting Mahsuri itu beragama Islam.
Seperkara yang menyebabkan kita berasa amat sebal dan kecewa ialah saat Mahsuri dihukum. Seperti ada unsur `penyembahan' dalam babak ini. Diakui memang kematian Mahsuri ditangisi, namun mengetengahkan koreografi atau aksi sebegini dianggap sudah terlalu jauh dan terpesong daripada teladan kisah ini.
Malah, ia ketara sekali dari aspek penciptaan muzik. Saya kira belum ada budaya Melayu yang menerima majlis pertunangan yang diikuti dengan paluan kompang. Malangnya, ini dilakukan dalam Mahsuri. Sedangkan penggunaan alat muzik itu yang sepatutnya semasa majlis perkahwinan digantikan dengan kombinasi muzik moden yang tidak mencerminkan budaya Melayu. Jika ini yang ditonton oleh pelancong, dibimbangi mereka akan percaya bahawa proses peminangan Melayu disertai dengan paluan kompang.
Pementasan itu menjadi lebih menarik sekiranya kajian yang teliti dilakukan dari aspek plot cerita, muzik, tarian, watak dan kesesuaiannya dengan zaman. Jika ia dilaksanakan hanya kerana mengisi slot, sebuah kerugian yang ketara telah dilakukan oleh Istana Budaya. Bakat dan kesungguhan penari-penari Istana Budaya yang menerajui persembahan ini tentu sia-sia.
Tidak seperti dramatari Titian, teater muzikal itu yang cuba mengetengahkan konsep lakon-tari nampaknya gagal untuk mencernakan sebuah karya besar yang berasaskan legenda.
Kesimpulannya, dalam Mahsuri - Legenda Langkawi kita sebenarnya tidak disajikan `kisah benar' Mahsuri sebaliknya dihiburkan dengan sebuah taridra yang berwarna-warni. Ini dinamakan `Citrawarna Mahsuri'. Jika ini ditanggapi siapa yang harus dipersalahkan, Istana Budaya atau The Temple of Fine Arts?

Virtual Friends - Copyright © 2001-2014 Rakan Maya (PPM-0003-10-14012014). All rights reserved