Unregistered Member
sign up
 Login

Username or Email

Password

Forget Password?

Free Register

 Main Page
 Announcement
 Discussion
 Article
 Photo Album
 Market Place
 Sharing List
 Stateboard
 Member List
 Like
 Applications
 Sign-Up

Article

 bigboss • 7 years ago • 2,476 viewed


ADAT dalam perkahwinan berbaik, bergaduh dan kemudian, bermesra semula.

Siapa yang inginkan pergaduhan berpanjangan namun kebiasaannya, berlaku sebaliknya. Perdamaian bersifat sementara, esok lusa bertengkar lagi.

Sama ada sedang bercinta mahupun sudah mendirikan rumah tangga, pergaduhan sukar dielakkan kerana mungkin pasangan tidak mengetahui teknik tepat untuk berdamai.

Panduan berikut mungkin boleh dimanfaatkan supaya mengelak daripada pergaduhan berterusan. Antaranya:

  • Jangan merajuk

Sejak masih kanak-kanak, perempuan pandai menggunakan strategi merajuk untuk mendapat apa yang mereka inginkan. Ramai juga isteri menggunakan strategi merajuk untuk menang dan memaksa suami mengalah.

Merajuk tidak menyelesaikan masalah, malah ia boleh memburukkan lagi masalah sedia ada.

Walaupun dengan cara merajuk, isteri boleh mendorong suami mengalah, strategi itu tidak membawa kedamaian yang kekal.

Malah, perbuatan merajuk sangat membahayakan kerana ia akan menyusahkan usaha untuk berdamai semula. Semakin kuat dan semakin lama rajuk seseorang isteri, semakin susah apabila mereka hendak berdamai.

Oleh itu, apabila si dia merajuk lagi, helah itu mungkin memakan diri sendiri kerana tidak ada lelaki yang suka dihukum isterinya sendiri.

  • Jangan menghukum
Pergaduhan, pertengkaran dan konflik antara suami isteri meninggalkan kesan buruk kepada hati dan perasaan kedua-dua pihak.

Masing-masing cenderung mahu menghukum satu sama lain kerana hendak memuaskan hati yang sakit atas kata-kata berbisa dan perbuatan salah pihak satu lagi.

Lelaki dan wanita mempunyai cara sendiri apabila menghukum pasangan. Lelaki lazimnya cenderung 'menarik diri' dan tidak mahu lagi bercakap dengan isteri, melainkan terpaksa.

Wanita pula cenderung untuk merajuk, menekan, menarik muka masam, menyindir, tidak mahu senyum dan tidak mahu melayan suami. Namun, hukuman tidak mungkin menyelesaikan sebarang masalah.

  • Jangan berdusta
Jika pasangan menunjukkan sikap mahu berdamai dan anda sendiri mahu berdamai, jangan berdusta. Jangan pura-pura tarik harga atau jual mahal. Jangan pura-pura tidak sudi. Jangan pura-pura benci. Perbuatan seperti itu ada risikonya.

Dia mungkin menyangka anda betul-betul tidak sudi dan tidak mahu berdamai. Akibatnya, dia terdorong untuk melupakan usaha berdamai.

  • Jangan mencari salah
Jika mahu berdamai, berhentikan tabiat suka mencari salah orang. Ia termasuk perbuatan berleter, menegur, mengkritik dan menasihati pihak satu lagi.

Mencari salah tidak mungkin membawa penyelesaian. Kajian mendapati, wanita cenderung menuduh suami mereka bersalah apabila berlaku masalah dalam hubungan perkahwinan.

  • Hentikan bahasa negatif
Dua jenis bahasa negatif yang biasa digunakan apabila bergaduh ialah bahasa tuduhan dan bahasa celaan.

Jika mahu berdamai, hentikan bahasa itu termasuk sindiran dan penghinaan.

Untuk tujuan berdamai, tukar bahasa negatif kepada bahasa positif. Jenis bahasa positif yang sangat baik kesannya kepada hubungan cinta suami isteri ialah bahasa pengiktirafan, penghargaan, pujian dan sanjungan.

  • Berbicara mengenai hari ini dan esok
Setelah berdamai, jangan bercakap melainkan mengenai hari ini dan hari esok. Jangan pandang ke belakang melainkan untuk tidak mengulangi lagi kesilapan kita sendiri pada masa lalu. Jangan sekali-kali mengungkit perkara yang menyebabkan konflik.

  • Senyum semula
Menerusi pelbagai kajian, antara perkara yang banyak disebut lelaki mengenai bekas isteri mereka ialah isteri mereka tidak senyum. Jadi, senyumlah walaupun susah kerana senyuman ialah cara yang mujarab untuk berdamai semula.

  • Mulakan berdamai
Selepas konflik yang berlaku itu berlarutan, kedua-duanya mungkin mahu berdamai, tetapi takut risiko untuk memulakannya. Jika benar inginkan perdamaian, ambil langkah untuk berdamai. Jangan tunggu sampai pihak satu lagi yang memulakannya.

Virtual Friends - Copyright © 2001-2017 Webber Dot My Solutions (002351632-A). All rights reserved