Unregistered Member
sign up
 Login

Username or Email

Password

Forget Password?

Free Register

 Main Page
 Announcement
 Discussion
 Article
 Photo Album
 Market Place
 Sharing List
 Stateboard
 Member List
 Like
 Applications
 Sign-Up

Article

 bigboss • 4 years ago • 525 viewed


ZULHIJJAH, khususnya sepuluh hari awalnya adalah peluang kedua selepas Ramadan untuk umat Islam mendapatkan gandaan keredaan, keampunan dan pahala amalan.

Disebutkan oleh Rasulullah SAW: “Sebaik-baik hari di dunia adalah sepuluh hari itu.” (Riwayat al-Bazzar: Albani: Sahih). Allah SWT pula berfirman: “Demi fajar dan hari-hari yang sepuluh,” (Al-Fajr: 1)

Majoriti ulama menyatakan hari sepuluh itu merujuk kepada hari pertama hingga sepuluh Zulhijjah dan bukan sepuluh terakhir Ramadan. (Zad Al-Ma’ad, Ibn Qayyim)


AMALAN-AMALAN UTAMA

Manakala antara amalan yang digalakkan sepanjang sepuluh awal Zulhijjah yang sangat besar pahalanya itu:

1. Zikir: Iaitu dengan memperbanyakkan zikir Subhanallah, Alhamdulillah, La ilaha Illa Allah dan Allahu Akbar.

2. Berpuasa: Digalakkan berpuasa pada satu hingga sembilan Zulhijjah bagi orang yang tidak menunaikan Haji. Hari Arafah (9 Zulhijjah) pula adalah hari terbaik untuk berpuasa.

Nabi Muhammad SAW bersabda mengenai kelebihan hari Arafah: “Tiada hari yang lebih banyak Allah membebaskan hambanya lebih daripada hari Arafah,” (Riwayat Muslim). Rasulullah SAW juga bila ditanya mengenai kelebihan berpuasa pada hari Arafah menjawab, ia menghapuskan dosa yang lalu dan tahun kemudiannya.

3. Melakukan lain-lain amalan seperti bersedekah, membaca al-Quran, solat sunat dan lain-lain. Ini semua termasuk dalam umum hadis yang menunjukkan ia disukai oleh Allah SWT.

4. Menjauhi maksiat dan masa terbaik untuk memulakan taubat bagi sesiapa yang masih menangguhnya. Amat biadap jika umat Islam bersukaria dengan melampaui batas haram pada hari yang agung di sisi Allah ini.

5. Bertakbir: Ibn Abi Shaibah menyebut Ali KW menunjukkan bahawa permulaan takbir bermula sejurus selepas solat Subuh hari Arafah sehingga hujung waktu Asar hari ketiga Tashriq.

6. Berkorban: Allah SWT berfirman: “dan berdoalah dan berkorban.” Allah SWT juga menyebut: “Sesiapa yang membesarkan syiar Allah (berkorban) maka ia adalah daripada tanda ketakwaan hati.” (Al-Hajj: 32)



POTONG KUKU, RAMBUT DAN HUKUM KORBAN

Hukum berkorban adalah sunat muakkad (yang dituntut) bagi orang yang mempunyai lebihan dan kemudahan harta. Demikian pendapat majoriti ulama, termasuk sahabat seperti Abu Bakar as-Siddiq RA, Umar al-Khattab RA, Ibn Mas’ud RA dan lain-lain, kecuali Imam Abu Hanifah berpendapat ia wajib bagi mereka yang berkemampuan.

Bagi menggandakan pahala korban, seseorang yang sudah berniat awal untuk melakukannya digalak menahan diri daripada memotong rambut dan kuku. Ia berdasarkan hadis riwayat Muslim yang sahih iaitu:

“Barang siapa yang ingin menyembelih (berkorban), dan masuk sepuluh awal Zulhijjah), maka janganlah dia memotong apa-apa rambut atau kukunya sehinggalah sampai korban dilaksanakan.” (Muslim, 3/39)

Justeru, majoriti ulama daripada mazhab Maliki, Syafie dan sebahagian Hambali menyatakan makruh hukumnya bagi melanggarnya. Bagaimanapun, ia tidak termasuk dalam kategori haram kerana Aisyah RA pernah meriwayatkan bahawa beliau pernah menempah (menandakan dan membeli binatang) dan diniatkan untuk dilakukan korban.

Dan Aisyah RA menyebutkan, tiadalah Nabi Muhammad SAW mengharamkan apa-apa (ketika menunggu masa untuk menyembelih) sehingga sampai waktu sembelihan. Hadis itu adalah sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Oleh itu, adalah dibenarkan untuk memotong kuku jika ia boleh mengganggu kesempurnaan wuduk dan lain-lain kewajiban.

TIDAK DIBENARKAN juga berkorban hanya dengan membayar harganya atau membeli daging lembu yang sudah disembelih dari pasar lalu disedekahkan atas niat korban.

Tatkala itu, ia dianggap sedekah biasa saja dan bukan korban yang disyariatkan pada Aidiladha. Pahala korban adalah jauh lebih hebat daripada bersedekah.

Ia adalah fatwa oleh majoriti ahli ilmu seperti Imam Abu Hanifah, Malik, Syafie, Ahmad dan lain-lain (Al-Majmu, 8/425; Al-Mughni, 9/436). Adalah diingatkan supaya meniatkan korban itu adalah kerana Allah SWT semata-mata, menuruti sunnah Nabi Muhammad SAW dan Nabi Ibrahim AS dan bukan untuk menyedekahkan daging atau lain-lain niat.

Firman Allah SWT: “Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keredaan) Allah, tetapi ketakwaan daripada kamulah yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah menundukkannya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayah-Nya kepada kamu. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik.” (Al-Hajj: 37)

KONGSI LEMBU

Harus hukumnya menurut majoriti ulama untuk berkongsi seekor lembu dengan dibahagikan kepada tujuh bahagian atau seekor kambing berdasarkan hadis Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh Jabir RA (Al-Majmu, An-Nawawi, 8/313). Adalah digalakkan juga untuk menyembelih sendiri (jika mampu) atau hadir majlis sembelihan.

Sebuah riwayat hadis pernah mencatatkan nasihat Rasulullah SAW kepada Fatimah yang ingin berkorban: “Hadirkanlah dirimu di waktu sembelihan, diampunkan bagimu dari titisan darah sembelihanmu yang pertama.”


BINATANG TERBAIK UNTUK KORBAN

Yang terbaik adalah unta diikuti oleh lembu, kerbau, kemudian biri-biri, kambing dan jika tidak mampu bolehlah 1/7 daripada unta, lembu atau kerbau. Yang terbaik sudah tentu yang paling banyak dagingnya supaya lebih ramai mendapat merasai dan manfaatnya.

PEMBAHAGIAN DAGING

Daging korban yang siap dilapah boleh dibahagikan seperti berikut:

1/3 kepada tuan rumah yang berkorban.

1/3 kepada fakir miskin, termasuk jirannya dan saudara mara.

1/3 lagi bagi sesiapa yang memintanya.

Ia berdasarkan firman Allah SWT: “Dan makanlah ia, dan berikanlah ia kepada orang yang susah dan fakir.” (Al-Haj: 28) dan juga firman Allah SWT: “Dan makanlah ia, dan berikanlah kepada orang yang memintanya dan yang tidak memintanya.” (Al-Haj: 36).

Inilah yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW sebagaimana riwayat Ibn Abbas RA dan Ibn Umar RA. Namun begitu, HARUS (dibenarkan) untuk tidak mengikut cara pembahagian berkenaan sama ada untuk makan keseluruhannya atau kebanyakannya. (Al-Mughni, Ibn Qudamah, 5/200)

Bagaimanapun DILARANG untuk memberi tukang lapah dan penyembelih upah atas usahanya (iaitu dengan ditetapkan dari awal). Bagaimanapun, ia harus jika dia termasuk dari kalangan fakir miskin atau diberi secara sukarela orang ramai sebagai hadiah.

TIDAK DIBENARKAN juga sepakat ulama untuk menjual dagingnya. Namun tidak sepakat berkenaan penjualan kulit, bulunya dan tulang hasil korban. Majoriti mazhab termasuk Syafie tidak membenarkan. (Bidayatul Mujtahid, Ibn Rusd Al-Hafid, 1/321 (cet Maktabah al-Riyadh al-Hadithiyah); Rawdah At-Tolibin, An-Nawawi, 3/225)

DIBENARKAN untuk menyimpan daging korban walaupun melebihi tiga hari berdasarkan hadis Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh Muslim.

MEMBERI DAGING KORBAN KEPADA ORANG KAFIR

Ulama berbeza pendapat dalam hal ini, sebahagian mazhab mengatakannya HARAM, ada yang mengatakannya MAKRUH dan Mazhab Hambali serta Hanafi mengatakannya sebagai HARUS kerana ia bukan sedekah wajib (Al-Mughni, Ibn Qudamah, 5/201). Namun tiada khilaf, mendahulukan umat Islam adalah lebih utama dalam hal ini.

Virtual Friends - Copyright © 2001-2014 Rakan Maya (PPM-0003-10-14012014). All rights reserved