Unregistered Member
sign up
 Login

Username or Email

Password

Forget Password?

Free Register

 Main Page
 Announcement
 Discussion
 Article
 Photo Album
 Market Place
 Sharing List
 Stateboard
 Member List
 Like
 Applications
 Sign-Up

Article

 DilaDellila • 4 years ago • 2,328 viewed


Masih banyak Khazanah Alam yang kita tidak tau kelebihan dan kegunaannya. Di bawah ini adalah sebahagian daripada tumbuh-tumbuhan yang amat berguna dan berkhasiat kepada kita. Gunakan ia untuk kebaikan semua orang dan sampaikan kepada mereka-mereka yang tidak tahu agar semua memperolehi maanfaat daripadanya..

KUNYIT (Curcuma domestica)

Kunyit sebenarnya berasal dari kawasan Asia Tenggara, tetapi sekarang telah pun tersebar di seluruh Asia. Bagi masyarakat Melayu perkataan kunyit dikhaskan kepada kunyit biasa atau nama saintifiknya Curcuma domestica sedangkan jenis-jenis lain diberikan nama temu. Di Malaysia terdapat beberapa spesis kunyit yang liar yang kebanyakannya digunakan sebagai bahan ubatan tradisional.
Antaranya ialah:
temu pauh (Curcuma mangga);
temu emas (Curcuma zeodoria);
temu putih (Curcuma auriantica);
temu hitam (Curcuma aerugtinosa);
dan temu lawas atau temu lawak (Curcuma xanthorthiza).

Kalau dilihat sepintas lalu adalah sukar untuk membezakan setiap spesis yang dinyatakan. Secara amnya bentuk dan struktur rumpun-rumpun tumbuhan adalah sama. Bagaimanapun, jika diteliti secara terperinci nyatalah setiap spesis itu mempunyai perbezaan-perbezaan terutamanya dari segi daun, bunga, susunan rizom, warna rizom dan aromanya. Curcuma domestica mudah ditanam di negara ini dan sering ditemui dipinggir rumah atau ditanam di dalam pasu oleh masyarakat Melayu. Tumbuhan kunyit merupakan tumbuhan merumpun tahunan. Tingginya lebih kurang satu meter, daunnya lebar, licin dan bertangkai panjang. Bunga kunyit berwarna kuning muda keputihan. Rizomnya (umbi) berwarna kuning tua serta beraroma yang tersendiri.

Daripada analisis kimia rizom kunyit, sebatian-sebatian kimia yang dikenal pasti ialah curcumin yang memberikan warna kuning, tumereon, zingiberin, dan minyak pati yang terdiri daripada turmerol, fellandren, kamfer, curcumon dan lain-lain lagi. Kunyit banyak digunakan sebagai bahan ramuan dalam penyediaan ubat tradisional. Perahan air kunyit bersama madu lebah dan minyak lenga digunakan untuk menyembuhkan bengkak hati. Kunyit berserta dengan ramuan-ramuan lain juga digunakan untuk mengubati bengkak gusi, sakit dada dan perut, gangguan haid, dan melancarkan aliran darah. Sebatian kimia dari kunyit juga telah dibuktikan dapat digunakan sebagai ramuan penghalau serangga seperti kumbang beras, anai-anai dan lipas. Kunyit juga didapati berkesan mencegah pertumbuhan kulat dan bakteria.

Kegunaan:
1- Menyembuhkan bengkak Hati
2- Mengubati Bengkak Gusi
3- Mengubati Sakit Dada dan Perut
4- Mengubati gangguan Haid
5- Melancarkan Aliran Darah
6- Penghalau Serangga seperti Kumbang Beras, Anai-Anai dan Lipas
7- Mencegah pertumbuhan Kulat dan Bakteria


TEMU LAWAK (Curcuma xanthorhiza)


Temu lawak (Curcuma xanthorhiza) merupakan spesis kunyit yang tumbuh liar. Rumpun tumbuhan ini boleh mencapai ketinggian dua meter dan merupakan spesis yang tertinggi dibandingkan dengan spesis-spesis lain. Struktur temu lawak seperti kunyit biasa tetapi tulang daunnya berwarna ungu tua. Bunganya berwarna kuning kemerahan. Rizomnya berwarna oren muda, besar dan panjangnya mencapai 10 cm. Aromanya berbeza daripada kunyit biasa dan rasanya pahit pedas. Sebagai bahan ubatan tradisional, temu lawak digunakan untuk mengubati penyakit hati dan demam kuning. Ia juga merupakan ramuan dalam jamu untuk menyembuhkan demam, sembelit, melancarkan aliran darah, meransang pengeluaran air hempedu, ubat asma, dan sakit perut.

Minyak temu ini digunakan sebagai anti-inflamateri. Perahan air temu lawak juga dapat merangsang pembentukan susu bagi ibu-ibu yang bersalin. Disebabkan kegunaannya begitu meluas, di Indonesia ia boleh diperolehi dalam bentuk tablet di kedai-kedai farmasi dengan beraneka jenama.

Kegunaan:
1- Mengubati Penyakit Hati
2- Mengubati Demam Kuning
3- Menyembuhkan Demam
4- Menyembuhkan Sembelit
5- Melancarkan Aliran Darah
6- Merangsang pengeluaran air Hempedu
7- Ubat Asma
8- Ubat Sakit Perut
9- Merangsang pembentukan susu bagi ibu-ibu yang bersalin


TEMU HITAM (Curcuma aeruginosa)


Temu hitam merupakan spesis kunyit yang hidup liar dan boleh ditemui di Myammar, Indonesia dan Malaysia. Rizomnya yang tua berwarna ungu atau biru tua, sementara rizom yang muda berwarna biru kehitaman. Rasanya pahit dan pedas. Rumpunnya boleh mencapai ketinggian 1.5 meter. Daunnya berwarna hijau tua dan tulang daunnya berwarna merah keunguan. Rizom temu ini digunakan sebagai ramuan ubatan tradisional.

Contohnya ia digunakan bersama daun lemundi dan madu lebah untuk mengecutkan rahim bagi wanita yang bersalin. Rizomnya juga digunakan sebagai ubat cacing, membangkitkan selera makan bagi kanak-kanak, ia juga digunakan untuk penyakit kulit, pembersihan nifas, dan beberapa penyakit jangkitan kulit.

Kegunaan:
1- Mengecutkan Rahim
2- Mengubati Kecacingan pada kanak-kanak
3- Membangkitkan Selera Makan bagi kanak-kanak
4- Menyembuhkan Penyakit Kulit
5- Pembersihan Nifas
TEMU PUTIH (Curcuma auriantica)

Temu putih juga mempunyai struktur rumpun yang hampir sama dengan temu lawak. Yang membezakannya ialah rizomnya yang besar dan berwarna putih. Spesis ini sukar ditemui di Malaysia tetapi banyak terdapat di Jawa secara liar. Rizomnya berasa pahit. Rizomnya dijadikan ramuan dalam ubatan.

Air perahan rizom digunakan untuk membuang angin dalam perut dan merangsang pengeluaran air hempedu. Ia juga digunakan sebagai bahan ramuan untuk mengibati usus berdarah (najid berdarah). Tepung temu putih digunakan untuk membuang lemak daripada perut dan mengubati penyakit keputihan.

Kegunaan:
1- Membuang Angin dalam perut
2- Merangsang pengeluaran air hempedu
3- Mengubati Usus berdarah
4- Membuang lemak daripada perut
5- Mengubati Penyakit Keputihan
HALIA (Zingiber officinale)


Halia adalah sejenis tanaman purba. Zingiber ertinya sesuatu yang berbentuk tanduk, ini mungkin ada kaitan dengan bentuk rizom atau umbisinya. Asal usul tanaman halia tidak dapat dipastikan. Ada yang mengatakan tanaman halia berasal dari dataran Asia Tropika, yang merangkumi India hingga ke China. Dengan itu adalah dipercayai bahawa masyarakat India dan China adalah yang mula-mula menggunakan halia. Terdapat juga kenyataan yang mengatakan halia berasal dari Amerika Selatan.

Rizom halia mengandungi 0.8 hingga 3.3 peratus pati minyak dan lebih kurang 3 peratus oleoresin. Kuantiti ini bergantung kepada klon dan juga umur semasa dituai. Selain daripada itu, terdapat juga zat-zat makanan lain seperti vitamin A, B dan C; lemak; protein; asid organik; oleoresin minyak meruap seperti zingeron, zinzerol, zingeberal, zingiberin, borneol, seniol dan feladren. Secara tradisional halia banyak digunakan untuk menyembuhkan beberapa jenis penyakit seperti kurang nafsu makan, pening, kebas, batuk, kembung perut,, tergeliat, bengkak, gatal, muntah, taun, cirit-birit dan lain-lain. Sebaliknya rizom halia muda digunakan sebagai bahan campuran dalam makanan ringan, minuman dan halua. Halia muda digunakan kerana serabutnya yang lembut dan halus.

Di Eropah, halia dikenali sejak zaman Dioscorides dan Pliny, pada abad pertama sesudah Masihi. Penerangan mengenai halia terdapat dalam Meteria Medica. Di sini halia disifatkan sebagai bahan yang berasa pedas apabila dimakan dan boleh membantu dalam pencernaan dan digunakan sebagai penawar racun.

Halia juga disebut di dalam al-Quran. Sementara itu di dalam Hikayat Seribu Satu Malam telah dicerita tentang khasiat halia sebagai ubat peransang dan pembangkit syahwat. Rosengarten menyatakan bahawa dalam abad ke-5, halia yang ditanam dalam pasu sering dibawa bersama-sama dalam pelayaran yang jauh antara China dan Asia Tenggara. Halia ini digunakan sebagai makanan segar atau digunakan sebagai ubat mencegah sakit perut akibat kekurangan vitamin C.

Kegunaan:
1- Membangkitkan Selera Makan
2- Mengubati Pening
3- Mengubati Kebas
4- Mengubati Batuk
5- Mengubati Kembung Perut
6- Mengubati Sakit Tergeliat
7- Mengubati Bengkak
8- Mengubati Gatal
9- Mengubati Muntah
10- Mengubati Taun
11- Mengubati Cirit Birit
12- Membantu Pencernaan
13- Digunakan Sebagai Penawar racun
14- Ubat Perangsang & Pembangkit Syahwat
CEKUR (Kaempferia galanga)


Cekur termasuk di dalam famili halia (zingiberaceal). Ia merupakan tumbuhan herba yang tiada berbatang. Tunas pokok tumbuh terus daripada hujung rizom (umbisi) yang mendatar di bawah permukaan tanah. Biasanya setiap pokok terdiri daripada dua hingga lima helai daun yang tebal berbentuk bujur telur. Bunganya berwarna putih keunguan. Di Jawa, tanaman ini dikenali sebagai kencur.

Cekur mempunyai banyak khasiat. Rizomnya mempunyai aroma yang lembut. Mengikut analisis kimia, rizom cekur mengandungi sebatian minyak pati seperti sineol, borneol, kamphere, asid sinamik dan beberapa sebatia pati minyak yang lain. Baunya yang tersendiri dapat membezakannya dengan jenis halia yang lain.

Rizomnya digunakan sebagai bahan ubatan untuk menyembuhkan pelbagai jenis penyakit seperti kembung perut, batuk, perut memulas, bengkak, muntah, sakit urat saraf, dan lain-lain. Untuk tujuan tersebut biasanya bahagian rizom akan dimakan secara segar. Sesetengah orang lebih gemar meminum air perahan rizom bagi mengubati penyakit-penyakit-penyakit tersebut. Rizom cekur juga banyak digunakan dalam ramuan jamu yang terdapat di pasaran . Selain itu, kajian awal untuk menguji keberkesanan ekstrak rizom cekur sebagai ubat mencegah penyakit lelah telah menghasilkan kesan yang positif. Cekur selalunya digunakan dengan daun jerangau.

Orang Melayu zaman dahulu menggunakan rizom cekur, jerangau dan rempah-rempah lain untuk mengubati demam malaria. Pada peringkat tertentu daun cekur berserta daun intaran dan garam digunakan untuk menyembuhkan penyakit yang sama. Rizom cekur, cekur jerangau dan akar bunga susun kelapa juga dijadikan ubat penyakit resdung. Masyarakat Cina juga banyak menggunakan rizom cekur dalam ramuan ubat tradisi mereka. Rizom yang matang dibersihkan dan dipotong-potong sebesar satu sentimeter. Kemudian rizom tadi dilunturkan dengan asap sulfan selama satu hari sebelum dikeringkan.. Ia digunakan untuk mengubati sakit gigi, menghilangkan kelemumur dan juga membunuh kutu kepala. Orang Cina juga percayarizom sebagai bahan penyelera makanan, membuang angin dalam perut, mengubati sembelit, sakit kepala, dan sebagainya.

Di Indonesia cekur banyak digunakan oleh kaum wanitanya. Mereka menggunakan cekur dalam semua ramuan ubatan tradisional. Wanita selepas bersalin menggunakan rizom cekur untuk memanaskan bahagian perut, bengkak dan kebas otot. Di Filipina rizom cekur digunakan untuk menyembuh penyakit selesema dengan cara menghidu rizomnya. Air rizom cekur juga digunakan untuk menyembuhkan luka dalam perut dan sebagai ramuan dalam tonik. Daripada laporan yang diperolehi nyatalah bahawa cekur merupakan sejenis tumbuhan ubatan yang paling popular digunakan oleh berbilang masyarakat di Nusantara.

Kegunaan:
1- Mengubati Kembung Perut
2- Mengubati Batuk, Perut Memulas, Bengkak, Muntah
3- Mengubati Sakit Urat Saraf
4- Mencegah penyakit Lelah
5- Mengubati Demam malaria
6- Mengubati penyakit Resdung
7- Mengubati Sakit Gigi
8- Menghilangkan Kelemumur dan Kutu Kepala
9- Mengubati Sembelit
10- Mengubati Sakit Kepala
11- Menyembuhkan Selsema
12- Menyembuhkan luka dalam perut


ASAM JAWA (Tamarindus indica)



Asam jawa tumbuh liar di kawasan barat India dan di benua Afrika bahagian Selatan padang pasir Sahara. Pokok asam telah lama ditanam di negara India dan sekarang boleh didapati di kebanyakan kawasan tropika di benua Asia, Afrika, dan Amerika. Di Malaysia, kita biasa dengan pokok asam jawa yang tumbuh rendang, jarang-jarang melebihi ketinggian 10 m. Daun pokok asam adalah malar hijau serta mempunyai banyak anak daun yang halus. Buah asam jawa tergolong dalam jenis kekacang yang bengkok, isinya berketul-ketul dan berwarna perang seperti kayu.

Terdapat beberapa jenis pokok asam, tetapi biasanya ia dibahagikan kepada dua jenis, iaitu yang masam dan yang manis sedikit. Buah pokok asam yang manis di makan sebagai manisan. Kandungan gula dalam buah ini boleh mencapai 40 peratus. Kandungan bahan kimia yang memberi ciri asam pula ialah asid tartar yang boleh mencapai sehingga 14 peratus. Buah asam jawa juga mengandungi karbohidrat, protein, dan lemak. Biji asam jawa pula mengandungi 63 peratus kanji, 14 peratus hingga 18 peratus albuminoid, dan lebih kurang 6 peratus minyak. Ia dijadikan sumber jelos seperti pektin yang digunakan dalam pelbagai industri.

Asam jawa dan akar pokok asam jawa digunakan dalam perubatan tradisional orang Timur untuk menyejukkan badan dan sebagai pelawas buang air besar. Kayu teras digunakan sebagai pelawas buang air besar dan air kecil, ubat penyakit hati, dan penawar kurang selesa. Kulit buah dan kulit kayu asam jawa pula mempunyai kegunaan lain, iaitu sebagai ubat cirit-birit. Ini adalah kerana kulit buah dan kulit kayu mengandungi banyak tanin, manakala isinya mengandungi banyak asid tartar. Kulit kayu juga dibuat losyen untuk mengubati pelbagai penyakit kulit seperti bisul, bengkak, ulser, dan gatal kerana terkena gigitan serangga.

Air rebusan daun diminum sebagai penawar demam panas. Daun muda ditumbuk lumat dan ditampal untuk mengubati penyakit reumatisme, luka , dan bisul. Daun asam jawa yang dicampur dengan kunyit dan ditumbuk lumat jika disapu pada bisul, dikatakan boleh mengubatinya. Jus daun muda boleh mengubati mata merah dengan cara dipanaskan sedikit dan ditapis lalu dititiskan pada mata berkenaan. Kulit kayu direbus dan air rebusan itu diminum untuk melegakan lelah. Sememangnya asam jawa mempunyai banyak kegunaannya dalam perubatan. Selain daripada mengubati penyakit-penyakit di atas, asam jawa juga boleh mengubati pelbagai penyakit seperti selesema, gatal kerongkong, disenteri berdarah, batuk, sakit otot, jaundis, cacing dalam perut, dan cirit birit.

Kegunaan:
1- Menyejukkan badan
2- Pelawas Buang Air Besar
3- Ubat Cirit-birit
4- Mengubati Bisul, Bengkak Ulser dan gatal kerana terkena gigitan serangga
5- Melegakan Lelah


BAWANG PUTIH (Allium sativum)


Bawang putih atau nama sainsnya Allium sativum merupakan tumbuhan berumpun yang bersiung-siung, di mana tiap siungnya terbungkus dengan kulit tipis. Daun bawang putih berbentuk pita, dan akarnya akar serabut. Bunganya berwarna putih, dan kalau dihiris umbinya berbau sangat tajam dan khas. Bahan kimia yang terdapat pada bawang putih ialah sativine dan allicin. Sativine adalah bahan kimia yang mengandungi daya mempercepat pertumbuhan sel dan pertumbuhan jaringan.

Di samping itu ia meransang susunan saraf dan ia berbahaya pada anak kecil kerana mungkin mengakibatkan gatal. Allicin pula mempunyai khasiat antibiotik. Kandungan kimia lainnya adalah: sinistrin, saponin, nicotinic acid dan bersifat hipotensive. Diallydisulfide sebagai anticacing, yitamin A, vitamin B, C dan vitamin D. Juga didapati HCN dan fosfor. Bawang putih sebagai antibiotik dapat memusnahkan bakteria, virus, ameba dan mikroorganisme berbahaya lain. Ia merupakan antibiotik semulajadi yang kuat. Bawang putih begitu kuat sehingga ia mampu memusnahkan sebahagian organisme yang tidak dapat dimusnahkan oleh ubat yang paling kuat. Tetapi tidak seperti ubat biasa, bawang putih tidak menghasilkan kesan sampingan berbahaya.

Oleh itu, bagi mereka yang menghidap selesema, flu, cirit-birit berdarah, taun atau penyakit lain yang berjangkit, maka bawang putih baik untuk kesihatan. Bagi jangkitan dalam telinga, minyak bawang putih yang dititik ke dalam telinga dikatakan ramuan yang berkesan. Bawang putih juga dapat mencuci darah dan menyingkirkan bahan beracun, termasuk logam berat, dari tubuh. Maka tidak diragui bahawa ia boleh membantu pesakit kanser dan penghidap penyakit serius lain kerana penyembuhan lebih mudah berlaku apabila darah menjadi bersih. Ia juga dapat membantu kes-kes kanser yang jauh di dalam tubuh, seperti kanser usus besar, hati, pankreas, prostat, rahim dan tulang. Bawang putih juga berkesan menentang penyakit jantung (biasanya jenis yang). Bawang putih mencair dan mencuci serta mengurangkan proses pembekuan darah.

Ini membolehkan darah mengalir lebih lancar dalam salur darah yang sebahagiannya disekat oleh himpunan kolesterol. Dengan itu kuranglah berlaku serangan jantung. Jadi, bawang putih boleh membantu penghidap darah tinggi, pesakit berkolesterol tinggi dan masalah yang dikaitkan dengan jantung dan peredaran darah.

Kegunaan:
1- Merangsang Susunan Saraf
2- Bertindak Sebagai Antibiotik
3- Mengubati Selsema, Cirit-Birit berdarah dan Taun
4- Mencuci darah dan menyingkirkan bahan beracun dalam badan
5- Mengurangkan proses pembekuan darah

Itu la sebahagian daripada Tumbuh-tumbuhan yang amat berguna dan mudah didapati di sekitar kita. Untuk mendapatkan Versi download sila click di sini

Semoga ia memberi maanfaat kepada kita semua

-Asfandi-
sila lawati blogsite => http://untukmu-jiwa.blogspot.com

Virtual Friends - Copyright © 2001-2014 Webber Dot My Solutions (002351632-A). All rights reserved