Unregistered Member
sign up
 Login

Username or Email

Password

Forget Password?

Free Register

 Main Page
 Announcement
 Discussion
 Article
 Photo Album
 Market Place
 Sharing List
 Stateboard
 Member List
 Like
 Applications
 Sign-Up

Article

 DilaDellila • 4 years ago • 2,549 viewed


JANTUNG Nana berdegup kencang. Gelisah. Serba tak kena. Muka Johan di hadapannya tegang. Dia takut hendak pandang. Johan merenungnya tepat, tidak berkelip.

Apa mamat ni nak buat? Abang… tolong Nana! Keluar sahaja dari dewan kuliah, Johan sudah menunggunya di luar. Hajatnya hendak ke kafe bersama Suria dan Farah terbantut.

"Ikut saya!" Tegas sekali suara Johan waktu itu. Hendak melawan, bimbang Johan bertindak kasar. Malu kalau orang nampak. Nak tak nak dia terpaksa mengikut kemahuan Johan. Sekarang, mamat tak cukup matang ini hanya duduk merenungnya tajam tanpa sebarang kata-kata selepas hampir lima belas minit.

"Kalau awak tak ada apa-apa nak cakap, saya balik dulu. Saya banyak kerja." Nana memberanikan diri bersuara. Dua hari lagi dia perlu menghantar laporan projeknya. Banyak lagi yang perlu disiapkan.

Isy mamat ni. Dah pekak ke apa? Aku tanya, dia boleh buat bodoh aje. Aku sumbat mulut dengan payung ni karang, baru betul-betul bisu. Geram Nana dengan perlakuan Johan. Dia bangun. Malas hendak melayan perangai Johan yang mengalahkan budak tadika.

"Duduk!" Kuat suara Johan memberi arahan.

Terperanjat Nana. Mukanya jelas ketakutan. Dia kembali duduk. Datang bulan ke apa mamat ni? Moody semacam aje.

"Kenapa awak tipu saya? Hina sangat ke saya ni sampai awak tak boleh nak terima saya, tipu saya macam orang bodoh?"

Nana tercengang. Tidak sangka Johan akan berkata begitu. Alamak. Mamat ni dah start nak bermadah pujangga dengan aku ke? Ni yang aku lemah ni. Macam mana nak terangkan ni? Nana pula terdiam.

"Siapa lelaki yang selalu jemput awak tu?" Suara Johan kembali tenang. Tidak boleh terlalu memaksa.

Aku dah agak dah. Soalan cepumas ni mesti ada. Aduh… apa aku nak cakap ni? Tapi alang-alang mamat ni dah tahu, cakap sajalah perkara sebenar. Dia bukan boleh buat apa-apa pun. Suka hati akulah nak kahwin dengan siapa pun. Bukan aku guna duit dia pun. Sikit pun tak menyusahkan.

"Saya rasa awak dah tahu siapa dia. Tak perlu saya nak ulang banyak-banyak kali," jawab Nana tegas.

"Jadi betullah cerita Farah dengan Suria?"

Kenapa mesti jadi macam ni?

"Baguslah kalau awak dah faham. Saya nak balik sekarang."

"Tunggu. Saya tak kisah siapa awak sekarang ni. Saya tetap akan tunggu awak. Dan saya akan pastikan awak jadi milik saya suatu hari nanti!" Amaran itu meluncur laju dari mulut Johan.

Muka Nana pucat. Mulutnya ternganga. Tidak sangka yang lelaki pendiam seperti Johan boleh bertindak sebegitu. Dia kecut. Tidak terfikir dek akalnya apa yang bakal Johan lakukan selepas ini.

Nana bangun dan terus meninggalkan Johan yang masih memandangnya tanpa berkelip. Badannya menggigil. Matanya berkaca. Perasaan takut menguasai diri. Dia tidak kisah kalau Johan melakukan sesuatu pada dirinya, tetapi jangan memperapa-apakan Hisyam. Tidak sanggup dia melihat Hisyam menderita kerananya. Johan kelihatan nekad.



NANA merebahkan dirinya ke atas katil. Dia menangis semahu-mahunya. Perasaannya bercampur baur.

Ya Allah, apakah dugaan yang bakal aku hadapi nanti? Banyaknya dugaan untuk memiliki kebahagiaan. Air matanya tidak henti mengalir. Esakannya semakin kuat.

"Ya Allah Nana. Kau kenapa ni?"

Suria dan Farah yang baru pulang dari kuliah cemas melihat Nana menangis tersedu-sedan.

Nana segera merangkul kedua-dua sahabatnya. "Aku takut."

"Kenapa? Kau takut apa?" Suria bertambah hairan. Apa yang berlaku sebenarnya?

"Johan," jawab Nana bersama tangisan yang semakin menjadi-jadi.

"Johan? Apa dia dah buat kat kau? Baik kau cerita kat aku." Suria tidak sabar ingin tahu. Apa Johan yang pendiam itu sudah lakukan pada Nana?

"Dia… dia…." Tersekat-sekat Nana menjawab dek kerana tangisnya yang belum reda.

"Dia buat apa?" Giliran Farah pula mendesak.

"Dia ugut aku. Dia cakap, dia tetap nak jadikan aku milik dia nanti. Aku takut... ." Mata Nana jelas kelihatan bengkak kerana terlalu lama menangis. Air matanya masih lagi mengalir. Ketakutan masih menguasai dirinya.

"Johan ugut kau macam tu? Apa kena dengan mamat tu? Macam dah tak ada perempuan lain dalam dunia ni!" ujar Suria geram. Tidak masuk akal. Nampak sahaja pendiam tetapi rupanya pendendam.

Farah dan Suria memujuk Nana yang masih belum berhenti menangis. Kasihan melihat nasib Nana. Sebelum kahwin, lain ceritanya. Sudah kahwin lain pula ceritanya.

"Kau jangan bimbang, Nana. Aku dengan Suria ada. Kalau Johan buat apa-apa dekat kau, kau bagitau. Biar aku ajar sikit si mamat sengal tu." Amarah Farah membara.

Suria mengangguk, setuju dengan kata-kata Farah.

Abang, I need you now. I really need you….



PANGGILAN telefon segera dijawab.

"Assalamualaikum."

Suara yang amat dirindui oleh Nana. Berair matanya. Dadanya terus menjadi sebak. "Waalaikumussalam."

Suaranya bergetar kerana menahan tangis.

"Kenapa nangis ni? Sayang okey ke?" tanya Hisyam risau. Semalam, semasa dia menelefon isterinya, gadis itu kedengaran ceria sahaja. Tetapi hari ini, lain pula.

"Tak ada apa-apalah. Nana selesema sikit," dalih Nana. Dia masih belum sedia untuk bercerita. Biarlah suaminya tidak tahu apa-apa tentang perkara itu.

"Sayang rindu kat abang ya?" serkap Hisyam.

Nana tersenyum. Rindu sangat-sangat. Rasa macam nak terbang sekarang juga, jumpa dengan abang. "Abang sihat ke? Dah habis kerja ke ni?"

"Dah. Abang kat dalam kereta ni, kurang sihat sikit."

"Kenapa? Abang demam ke?" Nana cemas.

"Tak. Sakit dada sebab rindu sangat kat sayang," usik Hisyam.

Nana ketawa manja. Hilang tangisnya. "Mengada-adalah abang ni. Ingatkan sakit betul-betul. Buat takut orang aje tau!"

"Sayang tak nak jumpa abang ke?"

"Mestilah nak. Tapi macam mana? Sekarang ni kat kolej. Dah malam pulak tu. Tunggulah hujung minggu ni," pujuk Nana. Bahagia rasanya apabila Hisyam merinduinya.

"Tapi abang tak sabar nak tunggu hujung minggu ni. Nak jumpa sekarang jugak."

"Sabarlah. Lusa aje. Sekejap aje tu."

Kalau nak jumpa sekarang, datanglah. Nana sanggup tunggu.

"Lama lagi tu. Nak jumpa sekarang jugak."

Nana pelik. Apa kena laki aku ni? Rindu sangat ke? Aku pun rindu jugak, tapi boleh la cover lagi kut. Ke abang…

"Abang kat mana ni?" tanya Nana yang mula cuak.

Jangan kata kat kolej aku. Bukan boleh percaya sangat laki aku ni. Suka buat kejutan.

"Hmmm… kat dalam kereta." Hisyam ketawa kecil. Dia terus berteka-teki dengan isterinya.

"Tahulah kat dalam kereta. Tapi kat mana? Kawasan mana?"

Main-main pulak!

"Hmmm… kat depan kolej budak perempuan yang comel. Nama dia Diana Syakira." Ketawa Hisyam terhambur. Mesti Nana terkejut.

"Abang!!! Kenapa tak bagitau awal-awal? Eee… bencilah macam ni," rajuk Nana manja.

Ketawa Hisyam semakin kuat kedengaran.

"Saja. Nak buat surprise kat isteri abang yang cute ni."

"Yelah tu. Tunggu, Nana turun sekarang."

Dah agak dah. Mesti ada saja perkara yang tak terduga yang dilakukan. Abang, abang….

"Okey sayang. Cepat sikit tau!"



"TOLONG bang. Jangan! Sakit…."

Rayuan wanita tiga puluhan itu langsung tidak dihiraukan oleh suaminya yang sudah naik hantu. Tubuh kecil wanita itu bukan sahaja disepak terajang, malah turut dilibas dengan tali pinggang dan dihentak dengan kerusi sehingga patah. Darah mengalir laju dari bibir dan kepala wanita yang hampir tidak bernyawa itu.

Sepasang mata kecil hanya memerhati dengan air mata dan esak tangis yang tidak berhenti.

"Cepat!!! Bagi aku duit! Aku nak duit! Kalau kau tak bagi, mampus kau kat sini!" jerkah lelaki mabuk itu tanpa secebis belas kasihan kepada isterinya yang tinggal nyawa-nyawa ikan itu.

"Saya tak ada duit…." Lemah sekali suara wanita itu menjawab.

Makin kuat pukulan lelaki itu.

Wanita itu memang langsung tidak berdaya. Air matanya hampir kering dek kerana terlalu banyak menangis. Ini bukan kali pertama dia didera oleh suaminya yang berhati binatang itu. Boleh dikatakan hampir setiap hari.

Suaminya kaki judi, kaki arak malah kaki perempuan. Dia hanya bertahan kerana anaknya. Dia tidak mahu anaknya hidup tanpa bapa. Dia rela dipukul, dimaki, dan diherdik.

Wanita itu semakin lemah. Lembik. Tubuhnya tidak mampu bangun lagi. Andai ini pengakhiran hidupnya, dia reda.

Maafkan ibu… hatinya merintih sayu.

Tiba-tiba pukulan di tubuhnya terhenti.

Suaminya yang gagah menghentamnya tadi rebah.

Kaca berderai kedengaran.

Berdiri di belakang suaminya seorang budak kecil dengan serpihan pasu yang sudah pecah. Darah pekat mengalir dari kepala lelaki durjana itu. Anak kecil itu nekad menghentak kepala ayahnya sendiri demi menyelamatkan ibunya yang hampir menemui ajal. Dia meluru mendapatkan ibunya. Memangku kepala ibunya yang dipenuhi darah. Entah dari mana dia mendapat kekuatan itu.

"Ibu… ibu…" rintih anak kecil itu dengan deraian air mata.

"Ibu!!!!"

Johan tersedar dari mimpinya. Mukanya penuh dengan manik jernih. Dia beristighfar di dalam hati.

Bayangan itu muncul lagi. Kenangan hitam yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila. Kejadian yang hampir membunuh ibunya. Nasib baik tindakan pantasnya berjaya menyelamatkan ibunya daripada terus terseksa didera suami sendiri.

Johan kembali merebahkan dirinya di atas katil. Jantungnya masih berdegup pantas disebabkan oleh mimpi tadi. Matanya cuba dilelapkan walaupun payah. Akhirnya dia kembali melelapkan mata bersama air jernih yang mengalir dari mata yang pernah menyaksikan kejadian kejam itu.

-------------------------

Novel ini sudah di terbitkan di pasaran. Dapatkan Novel Sepupuku Suamiku Di Pasaran. Di MPH & POPULAR ada menjual novel ini

----------------------
SINOPSIS

Siapa kata kahwin dengan sepupu sendiri tak boleh bahagia? Kalau dah cinta, anjing dan kucing pun boleh hidup bersama. Nana dan hisyam telah membuktikannya. Walaupun perkahwinan mereka hanya kerana ingin menjaga maruah keluarga, tetapi meraka masih mampu hidup bahagia. Cinta yang disemai semakin hari semakin segar mewangi.

Tetapi entah di mana silapnya, badai tak henti-henti melanda. Satu per satu dugaan mendatang hingga merobek tangkai hati mereka.

Si kekasih datang menuntut janji. Nana tidak dapat bertahan. Andai perpisahan sudah ditakdirkan buat mereka, dia pasrah.

Bagi Hisyam pula, andai bercerai badan sekalipun cintanya tetap utuh buat Nana. Tiada cinta lain baginya. Hani hanya perosak. Johan hanya datang menganggu. Tidak goyah walaupun sedikit pun cintanya buat si isteri.

Ketaasuban cinta hani pada Hisyam tak dapat disangkal. Pelbagai cara dilakukan agar Hisyam kembali semula padanya. Makin kuat Hisyam menolak, Makin kuat dia menarik. Demi cinta, andai terkorban diri sekalipun dia sanggup.

Johan juga begitu. Dalam hatinya hanya ada Nana. Selagi Nana tidak menjadi miliknya, selahi itulah dia akan terus berusaha.

"Abang, hati nana hanya ada satu. Sekali Nana jatuh cinta, untuk selamanya hati Nana kat orang tu. Nana harap abang mengerti"

Mampukah mereka menepis segala rintangan yang mendatang?
Mampukah mereka membina impian seperti yang diangankan? Berpeganglah pada janji Tuhan dan percayalah pada kuasa cinta.

Andai kau tercipta untukku, kita tetap akan bersatu walaupun terpisah seribu tahun.

Virtual Friends - Copyright © 2001-2014 Webber Dot My Solutions (002351632-A). All rights reserved