Unregistered Member
sign up
 Login

Username or Email

Password

Forget Password?

Free Register

 Main Page
 Announcement
 Discussion
 Article
 Photo Album
 Market Place
 Sharing List
 Stateboard
 Member List
 Like
 Applications
 Sign-Up

Article

 mrohaida • 3 years ago • 7,540 viewed


LIDAH adalah salah satu organ deria manusia. Ia mengandungi tunas-tunas rasa yang membolehkan kita merasa makanan dan seterusnya memberikan kualiti hidup lebih baik.

Betapa ramai manusia telah kehilangan nikmat merasa ini baik akibat kerosakan tunas-tunas rasa, masalah ketumbuhan pada lidah, kecederaan akibat kemalangan jalan raya mahupun gangguan pada saraf yang bertanggungjawab menerima rangsangan sensori daripada apa yang kita makan.

Selain untuk merasa, lidah juga berfungsi untuk mengawal atau mengaturletakkan bolus makanan yang terdapat dalam rongga mulut kita.

Misalnya, sewaktu kita makan, makanan setelah dilumatkan akan dibentuk menjadi suatu gumpalan.

Bolus makanan ini akan ditolakkan ke belakang dengan menggunakan lidah bagi memulakan proses menelan.

Lidah yang mempunyai struktur normal dan berfungsi dengan baik juga akan membantu proses percakapan atau artikulasi bunyi-bunyi yang dikeluarkan dari peti suara.

Gangguan padanya akan menyebabkan seseorang itu tidak dapat menuturkan bunyi atau perkataan yang dapat difahami oleh rakan yang mendengar. Begitu besarnya nikmat anugerah lidah ini kepada manusia.

Kanser lidah

Kanser lidah adalah sejenis penyakit yang bukannya jarang berlaku dalam praktis otorinolaringologi.

Golongan yang berusia antara 50 hingga 70 tahun kerap ditemui menghidapi kanser lidah.

Suatu masa dahulu ia kerap terjadi pada golongan lelaki, mungkin disebabkan kaitan dengan tabiat merokok dan pengambilan alkohol.

Walau bagaimanapun, tidak kurang kesnya dijumpai di kalangan wanita atau pesakit yang berusia lebih muda. Data terkini juga menunjukkan wanita mempunyai kekerapan yang hampir sama dengan lelaki menghidap kanser lidah.

Faktor Penyebab

Disebabkan lidah adalah komponen utama yang terdapat dalam rongga mulut, faktor-faktor yang menyebabkan berlakunya kanser lidah juga ada persamaan dengan punca yang dikaitkan dengan kanser lain seperti bibir, pipi, lelangit, gusi dan lantai mulut.

1. Merokok - Kejadian kanser rongga mulut secara amnya meningkat sebanyak lebih daripada enam kali ganda dalam kalangan perokok jika dibandingkan dengan mereka yang tidak merokok. Selain itu, merokok juga sememangnya dikenalpasti menjadi faktor utama kes-kes kanser peti suara, paru-paru dan banyak lagi organ lain di dalam badan. Ia adalah faktor yang boleh dicegah sekiranya kita menjauhi tabiat buruk ini.

2. Alkohol - Selepas rokok, pengambilan alkohol adalah antara faktor boleh ubah yang dikenalpasti meningkatkan risiko mendapat kanser rongga mulut sebanyak enam kali ganda. Kombinasi antara merokok dan mengambil alkohol akan memberikan kesan sinergi yang menambahkan lagi kemungkinan mendapat kanser.

3. Mengunyah tembakau - Amalan ini menjadi kelaziman bagi sesetengah etnik atau bangsa yang mana tembakau, sama ada yang asli atau ditambah dengan perisa dikunyah dan dikemam di dalam bahagian rongga mulut.

4. Masalah gigi - Penjagaan gigi yang tidak bersih, wujudnya bahagian gigi yang tajam serta gigi palsu yang tidak dipadankan dengan baik akan menyebabkan iritasi berterusan dan berpanjangan terhadap struktur-struktur di sekitarnya termasuklah lidah. Umpamanya, lidah yang selalu tercedera baik akibat gigi yang tajam atau gigi palsu yang tidak sesuai mungkin meningkatkan risiko ketumbuhan yang berbahaya.

5. Faktor lain - Masalah malnutrisi seperti diet yang kekurangan sesetengah vitamin adalah antara kebarangkalian yang dikaji boleh meningkatkan risiko kanser. Selain itu, anemia kekurangan zat besi seperti dalam kes Sindrom Plummer-Vinson juga dikaitkan dengan kejadian kanser rongga mulut dan hipofarinks.

Kanser lidah juga boleh muncul daripada kesan keadaan leukoplakia pada lidah, ulser yang kronik atau keadaan pramalignan lidah yang lain. Kebanyakan keadaan pra-malignan yang terdapat pada lidah juga disebabkan oleh faktor yang sama, iaitu merokok.

Lokasi dan perebakan

Majoriti kanser lidah ialah dari jenis karsinoma sel skuama, yang merupakan jenis kanser yang paling kerap menyerang mana-mana lokasi dalam bahagian kepala dan leher.

Pada lidah itu sendiri, bahagian yang paling kerap ialah pada bahagian tepi kanan dan kiri lidah (85 peratus).

Kadang-kala ia boleh ditemui di hujung paling hadapan (tip) atau permukaan atas (dorsum) serta permukaan bawah lidah (ventral).

Lidah adalah antara organ yang cepat merebak jika kanser bermula darinya. Penyebaran boleh berlaku ke lapisan otot yang merupakan komponen utama lidah itu sendiri, juga tidak kurang penyebarannya melibatkan struktur di sebelahnya seperti lantai mulut, gusi dan tulang rahang bawah.

Disebabkan lidah adalah suatu struktur di tengah rongga mulut, ia boleh dan mudah merebakkan sel kanser ke kelenjar-kelenjar limfa di leher, baik sebelah sahaja atau kedua-dua belah leher.

Tanda dan gejala

Pesakit yang menghidapi kanser lidah biasanya datang berjumpa doktor dengan tanda seperti ketumbuhan atau bonjolan pada permukaan lidah, ulser atau luka pada lidah yang berpanjangan tempohnya atau rasa keras seperti ketulan yang berada di bawah permukaan lidah.

Apabila ketumbuhan semakin membesar, gejala seperti sakit, sukar menelan, sakit telinga dan bau nafas yang kurang menyenangkan akan timbul.

Pergerakan lidah juga mungkin terbatas disebabkan oleh sebahagian daripada ketumbuhan tersebut telah merebak ke lantai mulut dan menyebabkan ia menjadi melekat.

Kerosakan otot lidah akibat pencerobohan sel-sel kanser juga menyebabkan lidah tidak dapat digerakkan dengan baik. Bengkak kelenjar leher pula menandakan kanser telahpun merebak.

Rawatan

Rawatan untuk penyakit kanser lidah amat bergantung kepada tahap kanser itu sendiri dan ia mungkin tidak sama antara seorang pesakit dengan pesakit yang lain.

Secara prinsipnya, kanser yang dikesan dan dirawat di peringkat awal mempunyai prognosis yang jauh lebih baik dengan rawatan yang akan diberikan kepada pesakit.

Setelah mengambil contoh tisu kanser tersebut melalui biopsi tisu, penyiasatan radiologi seperti imbasan CT atau MRI diperlukan untuk menilai dan menentukan peringkat kanser tersebut.

Ini penting kerana tahap yang berbeza mempunyai pendekatan dan hasil yang berbeza selepas rawatan. Ujian-ujian tambahan juga mungkin diperlukan bergantung kepada bentuk rawatan yang akan dijalankan.

Sesi kaunseling dan penerangan berkenaan penyakit dan pilihan rawatan akan diberikan kepada pesakit sebelum langkah berikutnya diambil.

Adalah penting bagi seseorang pesakit memahami akan keadaan semasa dan apa yang sepatutnya dijangkakan atau diharapkan setelah tamat rawatan nanti.

Kanser pada peringkat awal boleh dirawat dengan pembedahan membuang ketumbuhan tersebut. Kaedah meletakkan implan yang mengeluarkan radiasi (interstitial radiotherapy) juga diaplikasikan bagi sesetengah pesakit yang bersesuaian.

Kanser yang agak besar saiznya pula mungkin memerlukan pembedahan yang lebih besar terhadap lidah dan leher.

Biasanya bagi pembedahan yang agak besar, akan disusuli proses rekonstruktif iaitu membaikpulih struktur yang tertinggal dengan kaedah-kaedah yang sesuai (biasanya dilakukan oleh pakar bedah plastik dan rekonstruktif).

Selain itu, rawatan kemoterapi, radioterapi atau kombinasi yang sesuai dengan keadaan tahap pesakit mungkin diperlukan bagi memastikan keseluruhan sel-sel kanser itu dihapuskan dari badan pesakit.

Virtual Friends - Copyright © 2001-2014 Webber Dot My Solutions (002351632-A). All rights reserved