Unregistered Member
sign up
 Login

Username or Email

Password

Forget Password?

Free Register

 Main Page
 Announcement
 Discussion
 Article
 Photo Album
 Market Place
 Sharing List
 Stateboard
 Member List
 Like
 Applications
 Sign-Up

Article

 GuruBashid • 2 years ago • 5,193 viewed


1 Dalam era perbahasan konvensional isu yang didebatkan lebih dikenali sebagai tajuk bahas, sementara dalam era perbahasan ala parlimen disebut usul.

2 Tajuk boleh dibincangkan dalam mana-mana fungsi dan tempat, tetapi usul hanya dikemukakan di Parlimen untuk dibahaskan dengan dikawal oleh seorang Pengerusi Dewan yang dikenali sebagai Speaker Dewan.

3 Usul dalam perbahasan ala parlimen tidak mengandungi kata lebih, seperti frasa lebih daripada, lebih banyak, lebih berbahaya, lebih utama, lebih penting , lebih kurang, kurang daripada, dan sebagainya.

4 Contoh tajuk bahas konvensional yang pasukan saya pernah bahaskan antaranya ialah 1)Rasuah Lebih Berbahaya Daripada Fahaman Komunis, 2)Malaysia sepatutnya menjadi sebuah negara pertanian bukannya negara perindustrian, 3)Perindustrian lebih banyak mendatangkan keburukan daripada kebaikan, dan banyak lagi.

5 Jelasnya dalam perbahasan konvensional tajuk yang dipilih terpecah kepada dua bahagian. Segmen pertama tajuk berpihak kepada pencadang (sekarang disebut kerajaan) sementara segmen kedua tajuk bahas berpihak kepada pembangkang.

6 Tajuk bahas dalam perbahasan konvensional lebih terdedah kepada kelemahan sebab kadang-kadang tajuk bahas itu memberikan kelebihan kepada satu pihak, dan kekurangan kepada satu pihak lagi.

7 Dari segi kualitatif kadang-kadang tajuk bahas konvensional lebih berpihak kepada satu pihak sahaja, kadang-kadang pembangkang kadang-kadang kerajaan. Sebab itu ada yang mendakwa ia bergantung kepada nasib.

8 Begitu juga halnya dari segi kuantitatif di mana kerap berlaku pencadang lebih mudah dan lebih banyak isi sementara pembangkang lebih sukar atau lebih kurang isi. Begitulah sebaliknya.

9 Maknanya tajuk perbahasan dalam era perbahasan konvensional terdedah kepada ketidakseimangan di mana kerap berlaku keadaan yang berat sebelah sama ada lebih berpihak kepada pencadang atau kepada pembangkang.

10 Begitu juga kesannya kepada penonton. Selalunya penonton lebih mudah ”menunjukkan belangnya” dalam perbahasan konvensional malahan menunjuk pandai melebihi hakim (juri) kerana mereka sudah boleh menjangka apa isi yang akan dilontar oleh pembahas.

11 Penonton dalam era perbahasan konvensional akan memberikan penilaian lebih awal dengan menjangkakan isi-isi yang sepatutnya disebutkan dan jika isi itu disebutkan mereka akan memberikan tepukan yang gemuruh.

12 Walaupun kedudukan pembahas sama ada sebagai pencadang mahupun pembangkang akan ditentukan dalam suatu pengundian, namun telah menjadi kebiasaan dalam perbahasan konvensional pembahas bersedia lebih awal dengan isi untuk kedua-dua pihak, baik pencadang mahupun pembangkang.

13 Adalah sukar unuk menyatakan bahawa sewaktu perbahasan konvensional mahu pun yang sekarang (ala parlimen) pembahas tidak bersedia lebih awal.

14 Cuma yang saya boleh katakan di sini untuk perbahasan konvensional memang hal ini sangat ketara berlaku, sebaliknya dalam perbahasan ala parlimen nilai kesepontanan dan kebersehajaan lebih menyerlah.

15 Pembahas biasanya akan menyenaraikan sebanyak mungkin isi mengikut bidang (kategori) dan memilih hanya yang terbaik untuk diperbahaskan.

16 Bagi memudahkan isi diingat, trend paling biasa digunakan ialah dengan menyusun isi mengikut tiga kategori utama iaitu Ekonomi, Politik dan Sosial.

17 Sebagai contoh jika isi itu berkaitan dengan kesihatan dan pelajaran isi itu akan disenaraikan di bawah kategori Sosial, jika isi itu berkaitan Dasar Luar Negara dan Sistem Demokrasi akan dimasukkan dalam kategori Politik dan isi yang berkaitan dengan Sumber Pendapatan dan Pekerjaan disenaraikan dalam kategori Ekonomi.

18 Dalam keadaan yang lebih khusus penyenaraian akan dibuat dengan lebih terperinci lagi. Umpamanya jika tajuk itu lebih mirip kepada Sosial seperti pencemaran umpamanya ada kecenderungan pembahas dalam perbahasan konvensional menyusunnya menurut jenis-jenis pencemaran seperti pencemaran air, pencemaran udara, pencemaran bunyi dan pencemaran daratan.

19 Tegasnya ”Senarai Pasar” adalah kaedah yang terbaik yang akan digunakan sebaik mungkin oleh pembahas lebih awal dalam perbahasan konvensional, begitu juga halnya dengan penonton.

20 Kaedah ”Senarai Pasar” ini nampaknya kurang berkesan dalam perbahasan ala parlimen.

21 Kaedah Senarai Pasar yang begini memberikan kelebihan kepada pembahas yang mempunyai kekuatan ingatan dan kemampuan menghafal. Mereka melakukan hafalan untuk isi bagi kedua-dua pihak (sama ada untuk pencadang mahupun pembangkang) seperti mereka menghafal ayat-ayat al-Quran.

22 Sebab itu tidak menghairankan jika dalam perbahasan konvensional ini selalu memberi kelebihan kepada pembahas daripada aliran agama sebab mereka selalu menggunakan kaedah hafalan dalam pembelajaran mereka.

23 Tidak hairanlah jika suatu ketika dahulu, peserta dari sekolah aliran agama seperti Kolej Islam Kelang(KIK) memonopoli perbahasan konvensional ini.

24 Bukan bererti tiada faktor lain yang mendorong kemenangan mereka, cuma dirasakan semacam ada hubungan signifikan antara kecenderungan menghafal dan mengingat dengan kemenangan mereka.

25 Tetapi dalam perbahasan ala parlimen yang mengguna pakai usul, peluang kedua-dua pihak untuk memenangi pertandingan bahas sama banyak dan sama adil. Usul yang dikemukakan adalah equal dan seimbang untuk diperbahas.

26 Selain penghujahan usul, elemen baru yang diterap dalam perbahasan ala parlimen dari format, formasi dan aspek teknikal bahas sangat mempengaruhi kemenangan sesebuah pasukan.

27 Antara elemen baru yang diterapkan itu ialah menyatakan peranan, menyatakan pendirian, mengambil dan memberi izin laluan dan memberi izin laluan, mencadangkan atau menolak usul, menerima definisi atau menerima definisi dengan sedikit pindaan, dan banyak lagi.

28 Elemen-eleman teknikal inilah sebenarnya yang membezakan perbahasan ala parlimen dengan perbahasan tradisional yang berlaku sebelumnya yang sebenarnya lebih memudahkan penghakiman.

29 Dalam semua kelemahan yang selalu wujud dalam perbahasan ala parlimen, kelemahan dalam aspek inilah yang paling ketara dilakukan oleh para pembahas.

30 Kesilapan lebih kerap dilakukan oleh pihak pembangkang yang selalunya cenderung untuk mencadangkan faktor-faktor lain bukannya menolak usul.

31 Sayugia diingat jika menurut hukum sebenar perbahasan ala parlimen kedua-dua pihak hanya dibenarkan membahaskan usul yang telah pun disediakan, di mana proksi kerajaan mencadangkan usul itu diterima dan proksi pembangkang pula menolak usul itu.

32 Sebaliknya yang kerap terjadi pembangkang mencadangkan usul yang baru, atau meminda usul atau membincangkan faktor-faktor lain walhal perbuatan seperti ini tidak dibenarkan sama sekali.

33 Sekali lagi saya ingin mengingatkan pembahas, termasuk jurulatih dan mereka yang terlibat dalam perbahasan ala parlimen bahawa jika anda berpihak kepada pembangkang, anda tidak dibenarkan sama sekali meminda usul.

34 Dalam maksud yang lain pembangkang boleh menolak usul tanpa sedikit pun melakukan pindaan terhadap usul tersebut. Kesannya usul yang dibahaskan akan kekal dalam bentuknya yang asal, cumanya sama ada kita mahu menerima atau menolaknya.

35 Hanya satu aspek yang boleh dipinda dalam perbahasan ala parlimen.Aspek yang saya maksudkan ialah definisi usul oleh pihak kerajaan. Itu pun hanya berlaku apabila pihak pembangkang menolak defisini usul tersebut.

36 Tetapi jika mereka menerima definisi usul yang dikemukakan oleh Perdana Menteri, mereka boleh terus berbahas tanpa melakukan pindaan terhadap definisi usul yang dikemukakan oleh pihak kerajaan.

37 Kecenderungan untuk membincangkan faktor lain khususnya oleh pihak pembangkang mungkin disebabkan ketidakfahaman mereka tentang kaedah sebenar yang perlu dilakukan oleh pembangkang sewaktu membahaskan usul.

38 Mungkin telah terpahat begitu lama dalam minda mereka bahawa apabila pembangkang menolak usul yang dicadangkan oleh kerajaan, mereka perlu mengemukakan cadangan atau faktor-faktor lain sebagai ganti. Jika tidak, mereka dianggap menyokong usul kerajaan.

39 Tidak, tidak sama sekali. Bukan begitu caranya. Inilah pendapat yang paling tidak tepat mengenai perbahasan ala parlimen, tetapi masih kerap dilakukan oleh para pembahas tanpa sedar akibat kejahilan mereka tentang perbahasan ala parlimen.

40 Hal yang di atas ini sebenarnya begitu kerap berlaku, bukan sahaja dalam perbahasan ala parlimen yang dilaksanakan di peringkat sekolah, malah di pusat pengajian tinggi, institusi perguruan dan dalam kalangan guru juga.

41 Bukan sahaja murid yang mengambil bahagian, jurulatih dan guru yang mengiringi peserta pun kadang-kadang mempunyai fahaman yang sama.

42 Dalam Debat Kepolisan yang dianjurkan oleh Kor Suksis UM yang disertai oleh tujuh Instititut Pengajian Tinggi Awam baru-baru ini pun pembahas daripada pembangkang (UPSI) telah mencadangkan faktor-faktor lain.

43 Saya percaya ada antara juri pun tidak memahami format sebenar bahas ala parlimen dan perkara-perkara teknikal yang sepatutnya wujud dalam perbahasan alaf baru ini.

44 Maka menjadi tanggungjawab orang seperti saya dan individu yang mahir dalam selok belok perbahasan ala parlimen untuk tampil ke hadapan membetulkan kesalahakuran ini dengan menawarkan bantuan, bimbingan, latihan kepada semua pihak yang terlibat dengan perbahasan tersebut.

45 Bukan peserta sahaja yang perlu didedahkan dengan kemahiran bahas ala parlimen, tetapi semua pihak yang terlibat termasuk penganjur, jurulatih, pengurus, hakim, speaker, penjaga masa, penyedia borang hatta penonton pun kena dilibatkan juga.

46 Ketinggian pengetahuan yang dimiliki oleh seseorang dan gelar akademik yang mereka perolehi bukanlah menjadikan mereka secara automatik mahir dalam dunia perbahasan ala parlimen.

47 Kemahiran ini seperti juga kemahiran-kemahiran lain tidak datang begitu sahaja, tetapi perlu dipelajari daripada individu yang pakar, dan seterusnya dilatih dan dialami beberapa kali agar kemahiran sebenar dapat berlaku seperti yang sepatutnya.

48 Jika seseorang itu pernah menjadi pembahas dalam kedua-dua jenis perbahasan, dan pernah didedahkan dengan dunia penghakiman perbahasan konvensional dan ala parlimen, begitu juga sebagai jurulatih, pengiring, penganjur atau sesiapa sahaja, itulah yang lebih baik untuk menerangkan perkara ini.

49 Dalam perbahasan ala parlimen menjadi tanggungjawab kedua-dua pihak sama ada pihak kerajaan mahupun pihak pembangkang untuk menjelaskan beban bukti masing-masing.

50 Pihak kerajaan terbeban dengan tanggungjawab untuk membuktikan kepada para juri dan penonton bahawa usul yang dibentangkan itu mempunyai kekuatan yang tertentu sehingga berupaya menyelesaikan sesuatu masalah.

51Begitu juga pihak pembangkang wajib membuktikan bahawa usul itu mempunyai kelemahan-kelemahan tertentu sehingga tidak mampu menjadi jalan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi lalu terpaksa ditolak oleh sidang dewan.

52 Dalam maksud yang lain pihak kerajaan mesti menyenaraikan kekuatan atau kelebihan atau kebaikan yang ada pada usul itu untuk ianya diterima, sementara pihak pembangkang tugasnya menyenaraikan kelemahan atau kekurangan yang wujud dalam usul itu agar usul itu boleh ditolak.

53 Ungkapan mencadangkan usul atau menolak usul yang sering diulang-ulang oleh kedua-dua pasukan pembahas bukanlah perkara yang paling penting untuk didengar.

54 Tetapi perkara yang lebih penting sebelum usul itu dapat diterima atau ditolak, kedua-dua pihak harus meyakinkan para juri dan penonton dengan hujah-hujah mereka yang bekesan sehingga mampu menganggukkan kepala para juri dan penonton.

55 Tentulah tidak semudah kita melakukannya dalam perbahasan konvensional di mana pembahas hanya perlu menyenaraikan mana yang lebih baik dan mana yang lebih buruk.

56 Katakankah suatu contoh usul iaitu Undang-Undang Merupakan Jawapan Kepada Penyelesaian Permasalahan Integriti.

57 Jika pembahas di pihak kerajaan, menjadi tanggungjawab pembahas itu untuk membuktikan bahawa Undang-Undang memang mempunyai kelebihan atau kekuatan atau keistimewaan tertentu sehingga berupaya menangani masalah Integriti.

58 Jadi 3 isi yang mereka perlu senaraikan ialah kekuatan undang-undang itu yang meliputi 1) Undang-undang mempunyai sifat MENGIKAT 2) Undang-Undang mempunyai sifat MENDIDIK 3) Undang-undang mempunyai sifat MENGHUKUM(Hanya cadangan).

59 Ketiga-tiga sifat dalam Undang-Undang itulah yang hendak dibuktikan oleh pihak kerajaan dengan menjelaskan sejelas-jelasnya bagaimana sifat MENGIKAT, MENDIDIK dan MENGHUKUM itu dapat dilaksanakan dengan jayanya sehingga berupaya mengatasi masalah integriti.

60 Jadi pertanyaan yang paling penting di sini ialah BAGAIMANA (HOW) bukannya apa yang dilaksanakan dan siapa yang melaksanakannya.

61 Sebaliknya, pihak pembangkang pula akan menyenaraikan beberapa KELEMAHAN atau KEKURANGAN yang ada pada Undang-Undang itu dan membuktikan bagaimana kelemahan atau kekurangan itu boleh berlaku sehingga Undang-Undang tersebut tidak mampu menjadi jalan penyelesaian kepada masalah integriti. Jadi pertanyaan yang paling penting di sini ialah KENAPA atau MENGAPA, bukannya bila dan di mana.

62 Setelah mereka menghujahkan kelemahan undang-undang itu tidak perlulah lagi pembangkang mencadangkan faktor-fator lain untuk menyelesaikan masalah integriti kerana dengan berbuat begitu mereka seolah-olah cuba lari daripada membahaskan usul atau lebih tepat lagi telah terkeluar daripada usul perbahasan.

63 Inilah tindakan yang tidak disempurnakan sebaik-baiknya oleh kedua-dua pasukan bahas dalam Debat Kepolisan Antara IPTA yang diadakan baru-baru ini. Sebaliknya pembahas khususnya pembangkang lebih cenderung untuk menyenaraikan faktor-faktor lain.

64 Adalah perlu juga dibincangkan di sini agar diketahui oleh masyarakat di luar sana bahawa dunia perbahasan khususnya dalam bentuk yang dipertandingkan telah melalui tiga fasa yang berbeza.

65 Mungkin ada fasa yang lebih awal yang dikenali sebagai fasa tradisional, namun agar sukar untuk mendapatkan bukti tentangnya, sebaliknya TIGA fasa yang bakal dihuraikan oleh penulis di bawah memang benar-benar menjadi suatu pengalaman berharga yang pernah dilalui oleh penulis sendiri baik fungsinya sebagai pembahas murid, pembahas guru, baik sebagai juru latih kepada murid, juru latih guru, guru pembimbing, juri, ketua juri, pengurus, pembentang, penceramah bidang berkaitan dan sebagai penganjur juga.

66 Pertama, seperti yang dibincangkan tadi Perbahasan Konvensional yang berkembang bermula daripada kewujudan SBP, termasuk kelahiran SBP aliran agama seperti KIK, sehingga zaman awal penubuhan SBP aliran Sains, seperti SMS Selangor dan banyak lagi.

67 Kedua, ialah perbahasan dalam aliran transisi iaitu era peralihan antara zaman perbahasan konvensional dengan perbahasan ala parlimen.

68 Corak perbahasan ini mula berlaku apabila peserta bahas termasuk guru-guru dan jurulatihnya sudah muak dengan bentuk perbahasan bercorak konvensional yang begitu mengongkong dan mengikat sehingga membuatkan mereka tidak kreatif dan inovatif dalam melontarkan buah fikiran.

69 Mereka sudah jemu dengan kaedah lama di mana pihak pencadang hanya menyokong tajuk, sementara pihak pembangkang hanya membidas tajuk.

70 Anak-anak muda yang semakin cerdik dan semakin luas pengetahuannya, dan ramai yang mendapat semua A dalam UPSR, SRP dan SPM ini cuba lari daripada kebiasaan lama yang bagi mereka mengongkong mereka untuk mencapai kemenangan yang lebih bergaya dan lebih bermakna dalam pertandingan bahas.

71 Seolah-olahnya hanya dua sahaja fungsi mereka sebagai pembahas padahal mereka yang cerdik dan berkebolehan ini boleh bercakap dalam pelbagai perspektif untuk menyatakan pendirian mereka semasa menyatakan sokongan mereka atau bantahan mereka.

72 Perkembangan terbaru dalam dunia perbahasan ini telah menyaksikan bagaimana perbahasan konvensional semakin hilang sifat asalnya (tradisional), tetapi tidak juga mengambil seluruh sifat barunya (bahas ala parlimen).

73 Yang menariknya bentuk-bentuk yang lebih kreatif dan kadang-kadang tidak dijangkakan mewarnai perbahasan era ini iaitu dalam jangkamasa pertengahan 80-an hingga petengahan 90-an.

74 Era ini disuburkan lagi dengan kelahiran satu lagi aktiviti perbahasan di kalangan MRSM, begitu juga bahas di sekolah-sekolah harian biasa dan semakin berkembangnya SBP aliran sains dengan bercambahnya SM Sains yang baru.

75 Maka untuk menyesuaikan dengan perubahan terbaru ini dan dipadankan dengan keperluan semasa, tajuk-tajuk bahas sudah mula mengalami transformasi dengan sedikit lari daripada kebiasaan, bukan juga konvensional dan bukan juga ala parlimen.

76 Kalau dalam perbahasan konvensional tajuknya mungkin berbunyi, ” 1) Sektor Perindustrian lebih banyak menyumbang kepada kemajuan negara daripada sektor pertanian” atau 2) ”Malaysia sepatutnya menjadi sebuah negara perindustrian dan bukannya negara pertanian”, dalam perbahasalan era transisi ini pula tajuk bahas mungkin berbunyi, 3) ”Pencemaran daripada sektor perkilangan lebih buruk kesannya kepada alam sekitar,” atau diringkaskan lagi menjadi ”Sektor Perindustrian Punca Pencemaran”

77 Begitulah tahap demi tahap yang berlaku ke atas tajuk perbahasan daripada era konvensional yang kemudiannya masuk ke era transisi.

78 Nampaknya tajuk perbahasan dalam era transisi telah cuba meninggalkan sedikit demi sedikit perkataan ”lebih”, yang kemudiannya digantikan dengan kata ”bukannya” dan akhirnya langsung tidak ada perbandingan.

79 Jika kita perhatikan lebih halus tajuk perbahasan era transisi bukan sahaja cuba meninggalkan kata ”lebih” dan ”bukannya”, malah turut cuba mengelak daripada perbandingan dengan tidak lagi membelah bahagikan tajuk kepada dua segmen yang nyata.

80 Cuba perhatikan tajuk bahas nombor 3 dan 4, bukankah tajuk itu tidak menyebut sama sekali bidang Pertanian sebagai lawan kepada bidang Perindustrian.

81 Dalam konteks membahaskan tajuk di atas, menjadi kecenderungan pihak pencadang untuk menelah bahawa pembangkang akan mengemukakan bidang pertanian sebagai membalas hujah pencadang.

82 Malahan mereka akan bersedia dengan bidasan-bidasannya sekali jika pembangkang mengemukakan isi yang berkaitan pertanian.

83 Tetapi yang kerap terjadi jangkaan pencadang meleset apabila pembangkang melagang tajuk bahas itu kepada skop yang lebih luas dengan tidak menyebutkan bidang pertanian sama sekali.

84 Dalam keadaan begitu nampaknya tajuk perbahasan era transisi lebih membuka peluang kepada pembangkang untuk memerangkap atau mengkucar kacirkan lawan mereka sebab tiada indikator atau peraturan yang menetapkan bahawa pembangkang tidak dihadkan untuk bercakap dalam bidang pertanian sahaja tetapi juga boleh bercakap dalam bidang-bidang lain juga yang memberi kesan yang lebih buruk kepada pencemaran.

85 Keadaan ini seolah-olahnya memberi gambaran bahawa tajuk perbahasan seperti itu sebagai jalan keluar yang ekstrim untuk mengelakkan pihak pencadang daripada terlalu berkuasa sebagaimana yang berlaku pada tajuk bahas konvensional yang selalunya berpihak kepada kerajaan atau pencadang.

86 Jika dihalusi, ternyata tajuk yang menjadi pilihan pada era transisi juga tidak begitu seimbang kerana skop atau ruang lingkup pembangkang sangat luas di mana pembangkang boleh menggunakan pelbagai cara dan pendekatan untuk memerangkap pencadang.

87 Malahan kebijaksanaan MEMANIPULASI tajuk dan hujah lawan yang menjadi salah satu kemahiran spontan yang perlu ada pada setiap pembahas untuk memerangkappesaing masing-masing mula digunakan dengan meluas dalam perbahasan era transisi ini dan seterusnya dalam era berikutnya.

88 Insya-Allah saya akan jelaskan tentang kemahiran MEMANIPULASI hujah dalam pembentangan yang akan datang.

89 Kebijaksanaan memanipulasi oleh pembangkang akan menyebabkan pencadang sukar untuk meramal apakah pendirian dan cara yang akan diambil oleh lawan mereka dan kesannya pencadang akan mudah dikelirukan, akhirnya terperangkap dalam putaran dan belitan pihak lawan.

90 Nampaknya kedua-dua kaedah perbahasan di atas, baik perbahasan konvensional mahu pun perbahasan era transisi, jika begitulah rupa bentuk dan kesannya, ia tidak akan berjaya menghasilkan bentuk perbahasan yang dapat dibanggakan dan dalam keadaan seimbang.

91 Pada pandangan saya, pembahas tidak akan berjaya dididik dengan nilai terpuji seperti bertanggungjawab, bercakap benar dan jujur melalui kedua-dua jenis perbahasan ini. Matlamat menghalalkan cara digunakan sebaik-baiknya dalam perbahasan ini.Alasannya mudah sebab pembohongan yang diangkat sebagai kebenaran boleh sahaja berlaku dengan meluas akibat kepintaran memanipulasi hujah lawan dan kebijaksanaan memutar-mutar lidah yang tak bertulang.

92 Pada pengamatan saya perbahasan dalam bentuknya yang pertama terlalu ekstrim ke kanan sementara perbahasan era transisi yang semacam ingin membalas dendam kepada bentuk perbahasan yang pertama terlalu ekstrim ke kiri.

93 Di sebabkan situasi di ataslah saya kira mengapa Perbahasan jenis terbaru, iaitu Perbahasan Ala Parlimen dizahirkan lalu diapungkan di tengah-tengah lautan dunia wacana kontemporar yang tentunya mampu menjadi wahana perbincangan bermutu sejajar dengan sifatnya yang lebih terkawal, lebih bertanggungjawab, lebih berintegriti, lebih terarah, lebih seimbang, lebih spontan dan lebih bugar.

94 Dunia yang sentiasa berkembang ke arah yang lebih maju, cara berfikir rakyat yang semakin menampakkan kematangan seiring dengan pendedahan diri mereka kepada dunia pengetahuan yang lebih luas, penerokaan kepada dunia maya yang lebih mudah akses, maka begitulah juga corak perbahasan di negara ini tidak dapat tidak mesti mengalami zaman transformasinya agar medium komunikatif ini sentiasa segar di tempatnya dan sesuai dalam mana-mana kelompok masyarakat dan zaman.

95 Maka sebagai jawapannya apa yang telah, sedang dan akan berlaku kepada dunia perbahasan perlu dibiarkan tanpa dipaksakan bentuk dan saiznya tetapi membiarkan ianya berkembang seiiring dengan perubahan masa dan masyarakat yang tidak boleh dihalang.

96 Dan perbahasan seperti juga bidang yang lain akan terus menerima perubahan dan penambahbaikan sehingga lahirnya bentuk perbahasan yang lebih menarik, lebih terbuka, lebih adil, tentunya lebih terkawal dan tararah dan yang lebih penting menjadikannya alat komunikasi yang lebih menghiburkan mungkin bukannya terlalu bersistem dan serius seperti sekarang.

Hakcipta Abd Bashid Harun

Virtual Friends - Copyright © 2001-2014 Webber Dot My Solutions (002351632-A). All rights reserved