Unregistered Member
sign up
 Login

Username or Email

Password

Forget Password?

Free Register

 Main Page
 Announcement
 Discussion
 Article
 Photo Album
 Market Place
 Sharing List
 Stateboard
 Member List
 Like
 Applications
 Sign-Up

Article

 LaNuN_KaRiBeaN • 2 years ago • 701 viewed


Para sahabat yang dihormati dan dirahmati Allah sekalian,

Marilah kita tingkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh mengamalkan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga kita berjaya mendidik diri kita, ahli keluarga dan masyarakat dalam menangani pelbagai cabaran kehidupan.

Manusia dicipta oleh Allah SWT di muka bumi ini dengan diberi pelbagai nikmat yang tidak terhingga banyaknya. Salah satu nikmat yang dikurniakan Allah ialah lidah yang berfungsi sebagai alat untuk berhubung antara satu sama lain. Dengan nikmat lidah ini kita dapat menikmati pelbagai nikmat Allah yang lain, sama ada melalui deria rasa makanan, bercakap dan berbagai-bagai lagi. Dengan nikmat lidah, kita boleh melakukan banyak amal ibadat seperti membaca Al-Quran, berzikir, mengajar ilmu kepada orang lain dan sebagainya. Pendek kata, lidahlah sebagai jurucakap yang mewakili diri seseorang itu, dan ia juga mencerminkan peribadi seseorang. Namun begitu, lidah yang dikurnia oleh Allah kepada insan ini adalah seumpama alat senjata yang mempunyai dua mata. Jika tidak dijaga dan dikawal akan membawa kecelakaan kepada tuannya.

Bagi orang yang beriman kepada Allah, maka mereka akan mengawal lidah mereka agar tidak mengeluarkan perkataan-perkataan yang boleh membawa kepada dosa atau maksiat.

Manusia yang bijak sudah tentu akan berfikir sebelum bercakap agar lidahnya boleh membawa kebaikan kepadanya, bukan kecelakaan. Seseorang yang beriman sudah pasti akan menjaga lidahnya dan memastikan agar ianya tidak digunakan pada tempat yang dimurkai Allah. Hal ini kerana bagi mereka lebih baik diam daripada bercakap jika percakapan mereka tidak membawa faedah sedikit pun.

Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim;maksudnya: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah ia berkata perkara yang baik atau pun dia diam sahaja”.

Berdasarkan hadis ini, Islam menganjurkan kepada kita agar tidak terlalu banyak bercakap kecuali percakapan yang ada manfaatnya.
Bagi menjamin keselamatan lidah di dunia dan akhirat, maka ia wajib dipelihara daripada perkara yang merosakkan.

Antara bencana perosak lidah yang terbesar adalah berkata dusta atau berbohong. Berbohong adalah dosa besar yang boleh memporak peranda kehidupan seseorang dan masyarakat. Pelbagai masalah timbul akibat daripada pembohongan. Bahkan sikap ini adalah tanda-tanda kekufuran.

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Nahl ayat 105 maksudnya :

“Sebenarnya mereka yang tergamak melakukan dusta itu, hanyalah orang-orang yang tidak beriman kepada ayat-ayat Allah, dan mereka itu ialah orang-orang yang berdusta.”

Sabda Rasulullah SAW dalam hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim, yang bermaksud: Sesungguhnya pendustaan itu mengheret tuannya kepada kejahatan, dan sesungguhnya kejahatan itu mengheret tuannya ke dalam neraka dan seorang hamba itu akan terus berdusta dan suka berdusta sehingga ditulis di sisi Allah sebagai seorang pendusta.”

Perosak lidah yang kedua ialah ghibah yakni mengumpat atau menceritakan keaiban orang lain. Iaitu menuturkan sesuatu yang tidak baik berkenaan seseorang yang jika seseorang itu mendengarnya sudah tentu akan merasa marah atau terhina. Mengumpat diumpamakan oleh Allah SWT seperti meratah daging sesama manusia.

Firman Allah dalam surah Al-Hujurat ayat 12, yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah daripada banyak bersangka kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah sebahagian daripada kamu mengumpat sebahagian yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? Maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.”

Perosak lidah yang ketiga ialah menghasut dan melakukan tuduhan palsu. Menghasut adalah menyampaikan pertuturan orang lain dengan tujuan menimbulkan pergaduhan dan fitnah. Sifat ini dicela oleh Allah dalam surah Al-Qalam ayat 10-1, yang bermaksud.

“Dan janganlah kamu menurut kemahuan orang yang selalu bersumpah, lagi yang hina (pendapatnya dan amalannya), yang suka mencaci, lagi yang suka menyebarkan fitnah hasutan (untuk memecah belahkan orang ramai).”

Perosak lidah yang keempat ialah memaki hamun sesama muslim. Perkara ini termasuklah mencerca, menghina dan melukakan hati sesama muslim seperti suka melabel orang lain dengan label buruk dan jijik.

Sabda Rasulullah SAW dalam hadis Al-Bukhari dan Muslim, yang bermaksud: “Memaki hamun seseorang muslim adalah perbuatan durjana dan membunuhnya adalah kufur”.

Perosak lidah yang kelima ialah menuduh orang lain fasiq atau kufur tanpa ada bukti. Rasulullah SAW bersabda dalam hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim, yang bermaksud: “Tidaklah seseorang menuduh kafir kepada orang lain dan tidaklah ia menuduhnya dengan fasik melainkan tuduhan tersebut kembali kepada dirinya jika orang itu tidak seperti apa yang dituduhnya.”

Marilah sama-sama kita memelihara lidah agar kita diberi keselamatan di dunia dan di akhirat. Ingatlah kata pusaka orang-orang tua kita, “Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan merasa. Di dunia terhina digelar dusta, di dalam neraka jiwa terseksa

Sejarah membuktikan lidah juga menyebabkan manusia terus memburu dendam dan saling bermusuhan antara satu sama lain. Bahaya lidah yang tidak bertanggungjawab boleh mengugat keharmonian masyarakat dan keluarga, Berapa banyak penganiayaan, keruntuhan rumah tangga, permusuhan dan pembunuhan berlaku hanya disebabkan oleh lidah. Oleh itu, pada hari ini penulis menganjurkan beberapa garis panduan untuk diamalkan oleh semua umat Islam dalam negeri ini:

Pertama : Hendaklah bercakap perkara yang berfaedah yang memberi manfaat. Rasulullah SAW telah menyatakan dalam hadis riwayat At-Tirmizi maksudnya : “Antara kebaikan Islam seseorang itu ialah dia meninggalkan perkara yang tidak membawa faedah kepada dirinya.”

Kedua : Hendaklah menjauhkan diri daripada bercakap perkara maksiat. Hal ini termasuklah menceritakan keaiban orang lain, fitnah, mengumpat, berdusta, berbalah dan bertengkar dengan mengeluarkan perkataan yang mencela, menghina orang lain dan bersumpah dengan sumpahan palsu.

Ketiga : Hendaklah memelihara lidah dengan menjauhi perkataan keji seperti melaknat orang lain. Nabi SAW bersabda dalam hadis riwayat At-Tirmizi maksudnya: “Orang mukmin itu bukan pencaci maki, pengutuk, berkata keji dan tidak berlidah kotor.”

Keempat : Menggunakan lidah untuk kebaikan seperti membaca Al-Quran, berzikir, berselawat dan bercakap dalam perkara kebaikan.

Firman Allah SWT dalam surah Qaaf, ayat 18 : maksudnya:

“tiada suatu ucapan yang diucapkannya melainkan ada didekatnya malaikat pengawas yang selalu hadir”.

Wallahua’lam...

Virtual Friends - Copyright © 2001-2014 Webber Dot My Solutions (002351632-A). All rights reserved