Unregistered Member
sign up
 Login

Username or Email

Password

Forget Password?

Free Register

 Main Page
 Announcement
 Discussion
 Article
 Photo Album
 Market Place
 Sharing List
 Stateboard
 Member List
 Like
 Applications
 Sign-Up

Article

 LaNuN_KaRiBeaN • 2 years ago • 1,435 viewed


Sejak kecil, ramai dihidangkan dengan cerita ‘superhero’ yang membuatkan kita sering kali tertipu kewujudan mereka. Dalam sebarang keadaan atau situasi, ‘superhero’ ini akan menjadi penyelamat kepada penduduk di muka bumi dan juga alam semesta.

Itulah kisah yang kita dengar mahupun tonton sejak zaman berzaman. Itu belum lagi membuka kitab sejarah Melayu lama yang menceritakan kisah pahlawan Melayu seperti Hang Tuah, Hang Jebat dan pahlawan Melayu lain dengan tokok tambah yang membuatkan kita takjub dengan kehebatan mereka.

Dalam masyarakat Melayu juga, kita sering dikaitkan dengan istilah ‘wali’. Kisah sesuatu wali ini akan dikaitkan dengan orang alim, warak, zuhud dan soleh manakala hidupnya penuh dengan kebaikan.

Ramai sering bertanya-tanya siapakah wali Allah? ada yang mengaitkannya sebagai seseorang boleh terbang, kebal, malah boleh berjalan di atas air. Lebih teruk lagi boleh menembak hanya menggunakan jari-jemari.

Maka, jalan yang paling baik adalah dengan merujuk kepada tafsir muktabar seperti Tafsir Al-Tabari, Tafsir Al-Qurtubi dan Tafsir Ibnu Kathir untuk mengetahui siapakah wali dimaksudkan dan bukan bersandarkan fantasi dan imaginasi.

Jika kita merujuk kepada al-Quran dan sunnah sebagaimana difahami Nabi dan sahabat semestinya tidak ada di kalangan kita yang mengangkat wali ini setaraf dengan rasul iaitu bertaraf maksum.

Ini amat ditakuti seperti mana pemahaman orang sufi yang berlebih-lebihan dalam mentafsirkan wali Allah yang diberi karamah dan sebagainya. Allah berfirman:


“Ingatlah sesungguhnya wali Allah tidak ada rasa khuatir pada mereka dan tidak pula mereka bersedih hati. Mereka itu adalah orang yang beriman dan bertakwa.” (Yunus: 62-63)

Karamah difahami oleh ulama adalah kejadian luar biasa daripada norma manusia (yang Allah izinkan kepada seseorang tanpa disertai pengakuan pemiliknya) dan ia terjadi kepada individu yang baik lagi soleh. Pada masa sama menambah keimanannya kepada Allah.(Lihat: Syarhu Al Aqidah Al Wasithiyah 2/276, Syaikh Ibnu Utsaimin)

Lalu muncullah beberapa kelompok yang menyandarkan diri mereka kepada tarikat tertentu lalu mengangkat guru mereka sebagai wali sebagaimana difirmankan oleh Allah. Apatah lagi jika mereka mengikuti tarikat yang langsung tidak punya ilmu dan latar belakang dalam mentafsirkan ayat Allah berdasarkan tafsiran sahih, bukan tafsiran akal dan nafsu semata-mata.

Jika merujuk kepada orang yang jaguh dalam bidang tafsir iaitu Al Hafiz Ibnu Kathir dalam mentafsirkan ayat berkaitan dengan wali ini, maka kita akan mendapati Ibnu Kathir menerangkan bahawa: “Wali Allah adalah mereka yang beriman dan bertakwa sebagaimana dijelaskan Allah mengenai mereka sehingga setiap orang yang bertakwa adalah walinya.” (Lihat Tafsir Ibnu Katsir 2/422)

Ini diperkuatkan lagi kenyataan imam Al Hafiz Ibnu Hajar Rahimahullah yang mengatakan: “Wali Allah adalah orang yang berilmu mengenai Allah dan dia terus-menerus di atas ketaatan kepadanya dengan penuh keikhlasan.” (Lihat Fathul Bari11/ 342)

Begitu juga dengan wali ini juga kadang-kadang dikaitkan dengan wali bagi pihak syaitan sebagaimana ayat:

“Sesungguhnya mereka tidak lain adalah syaitan yang menakut-nakutkan walinya (kawan), kerana itu janganlah kamu takut kepada mereka jika kamu benar-benar orang beriman.” (Ali Imran: 175)

Oleh itu, jelaslah wali ini adalah lebih kepada istilah yang digunakan di dalam al-Quran untuk memuji mereka dan insan ataupun hamba Allah yang bertakwa. Secara umumnya, dapat kita fahami bahawa syarat menjadi wali yang utama ialah iman dan takwa.

Dengan iman dan takwa, seseorang itu akan dipandang tinggi di sisi Allah. Apa yang menyedihkan, masyarakat Melayu, khususnya melihat wali ini daripada sudut mistik dan keajaiban berbanding prinsip iman dan takwa.
Bagi mereka, wali ini haruslah mempunyai kuasa hebat, ajaib serta mampu terbang tempat jauh dengan sekelip mata. Ini amalan batiniyah yang dikhuatiri disesatkan oleh syaitan seperti diperbahaskan Ibnu Jauzi dalam kitabnya Talbisul Iblis.

Karamah wali Allah yang sebenar
Ini dapat difahami dengan perkataan Syeikh Islam Imam Ibnu Taimiyyah yang mengatakan: “Auliyah Allah sepakat mengatakan bahawa jika terdapat seseorang lelaki yang mampu terbang di udara atau berjalan di atas air janganlah terpedaya dengannya hingga kita menilai sejauh mana dia mengikut jejak nabi dan menuruti segala perintahnya larangannya.”(Lihat Majmu’ Al Fatawa: 11/214)

Jelaslah, syarat terbang dan boleh berjalan di atas air bukanlah syarat untuk kita mengangkat seseorang itu menjadi wali, malah ada kemungkinan boleh mengaburi mata kita dengan meminta pertolongan daripada jin dan syaitan yang sama sekali boleh membawa syirik kepada Allah.

Maka timbul persoalan, apakah yang dimaksudkan dengan karamah? Adakah karamah wali itu wujud? Ibnu Taimiyyah antara mereka yang banyak membuat kajian dalam hal ini.

Kata beliau: “Dan termasuk daripada prinsip Ahli Sunnah Wal Jamaah meyakini adanya karamah pada wali dan apa jua yang Allah izinkan daripada keluarbiasaan melalui tangan mereka baik yang berkaitan dengan ilmu, mukasyafat (mengetahui hal yang tersembunyi), bermacam-macam keluarbiasaan (kemampuan).” (Lihat: Syarah Aqidah Al Wasithiyah hal. 207)

Lazimnya, tidak ada perbezaan yang ketara dalam mengenali mereka ini secara zahir. Mereka boleh didapati di kalangan yang alim mengenai al-Quran, hadis, pedagang dan juga petani.(Lihat: Majmu’ Fatawa: 11/199)
Namun begitu, tidak semestinya setiap yang bernama wali itu mempunyai karamah. Bahkan, boleh jadi mereka tidak mempunyai karamah lebih tinggi tarafnya di sisi Allah.

Ini dapat difahami daripada kisah sejarah bahawa karamah lebih banyak didapati di kalangan tabiin sedangkan sahabat lebih tinggi darjatnya berbanding tabiin.(Lihat: Majmu’ Fatawa, 11/270)

Harus diingat, bukan setiap kejadian luar biasa itu boleh dianggap dan dikaitkan dengan wali Allah kerana sebagaimana Syeikh Ibnu Baz menerangkan perihal kaitan kejadian luar biasa ini dengan campur tangan syaitan dan jin.(Lihat: At Tanbihaat Al-Saniyyah hal. 311-315).
Ramai terpedaya hakikat ini, termasuk jika ia diadaptasikan dalam bentuk filem lalu diolah dengan ilmu yang jahil dan jauh daripada petunjuk al-Quran dan sunnah.

Kesimpulan, wajib bagi kita memperbetulkan salah faham siapa wali Allah. Haruslah kita mendapat petunjuk al-Quran dan sunnah berserta kefahaman ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Bagi mengelakkan umat islam tertipu peganglah kata Imam Al-Syafie iaitu: “Apabila kamu melihat seseorang berjalan di atas air atau terbang di udara, maka janganlah mempercayainya dan tertipu dengannya hingga mengetahui bagaimana dia mengikuti sunnah Rasulullah.”(Lihat: A’lamus Sunnah Al Manshurah hal. 193)

Ingatlah, tidak memadai untuk mewalikan seseorang hanya dengan dia berjanggut, mahupun berjubah atau berserban, tetapi walikanlah mereka berdasarkan amalan soleh dan takwa, selebihnya Allah lebih mengetahui akan hakikatnya!

Penulis berkelulusan dalam bidang hadis di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Virtual Friends - Copyright © 2001-2014 Webber Dot My Solutions (002351632-A). All rights reserved