Unregistered Member
sign up
 Login

Username or Email

Password

Forget Password?

Free Register

 Main Page
 Announcement
 Discussion
 Article
 Photo Album
 Market Place
 Sharing List
 Stateboard
 Member List
 Like
 Applications
 Sign-Up

Article

 LaNuN_KaRiBeaN • 2 years ago • 1,353 viewed


Karya Sir Frank Swettenham merupakan antara rekod bertulis terawal yang menceritakan kehidupan masyarakat Melayu Islam di Tanah Melayu.

Bukunya yang berjudul ‘Malay Sketches’ telah diterbitkan pada tahun 1884, sekaligus sebagai laporan kepada Kolonial British ketika itu.

Dengan pemerhatiannya yang tajam, Swettenham merakamkan secara jujur, adakalanya sinis, apa yang dialaminya selama beliau berkhidmat sebagai pegawai Inggeris sehingga menjadi Residen di Tanah Melayu.

Uniknya dalam buku tersebut, beliau banyak merekodkan cara hidup beragama masyarakat Melayu yang sudah beberapa ratus tahun memeluk Islam. Komentar pertama Swettenham tentang Melayu dan Islam menyentuh tentang mengapa para mubaligh Kristian akhirnya mengalah dalam penyebaran agama Krisitian di kalangan orang Melayu. Alasan yang diberikan oleh Swettenham ialah orang Melayu percaya teguh kepada Allah dan rela disalib daripada menukar agamanya. Malahan, Swettenham menambah orang Melayu sangat percaya akan masuk ke syurga dengan agamanya. Tulisan Swettenham ini menggambarkan orang Melayu sangat kuat beragama. Beliau bercerita, antara lain, orang Melayu suka mengaji al-Quran walaupun tidak memahaminya, berpuasa dan bersembahyang. Dalam masa yang sama, walaupun begitu beragama, Swettenham memberitahu bahawa orang Melayu suka berjudi, melarikan isteri orang yang cantik, membunuh, membalas dendam, mengamuk, melatah dan suka sekali berhibur. Ironi sekali gambaran yang diberikannya.

Barah syirik yang telah lama bernanah
Swettenham mengkritik tajam terhadap cara hidup beragama orang Melayu dalam karyanya. Beliau menyifatkan, walaupun orang Melayu pengikut Muhammad, namun mereka melakukan amalan khurafat, tahyul, syirik dan mistik. Suatu yang sungguh bertentangan! Bayangkanlah seorang pegawai Inggeris, kelihatan sangat faham dasar utama agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad, yang membezakan Islam dengan Kristian iaitu tauhid.

Dalam karyanya, berulang kali Swettenham menjelaskan bagaimana orang Melayu yang gagal dikristiankan oleh mubaligh Inggeris kerana kekentalan kepercayaan mereka kepada Allah dan yakin memasuki syurga, tetapi masih turut percaya dengan amalan yang menjejaskan akidah! Dengan mengakui bahawa keadaan sedemikian adalah kesan daripada agama Hindu, Swettenham telah memberi maklumat kepada seluruh pembacanya pada abad itu tentang bagaimana lemahnya akidah umat Melayu ini.

Sebagai contoh pertama, Swettenham menceritakan tentang satu amalan bernama ‘Adat Berhantu’. Ia satu upacara untuk memulihkan orang sakit. Apabila Sultan sakit nazak, manakala para tabib dan doktor British sudah habis ikhtiar, maka para pawang dipanggil. Pawang-pawang itu akan memanggil syaitan atau jin untuk mengubati Sultan yang sedang nazak. Upacara menurun itu berlangsung sepanjang malam sehingga Sultan sedarkan diri. Secara ringkasnya, Swettenham mengulas ‘adat berhantu’ dengan nada sinis. “Ketika sakit nazak, orang Melayu meminta tolong daripada syaitan. Apabila orang itu hendak mati, barulah mereka mengajar syahadah dan menyerahkan roh itu kepada Tuhan.” Suatu yang sangat berlawanan.

Selanjutnya, Swettenham membuat anggapan bahawa amalan itu mungkin berasal dari agama Hindu iaitu zaman sebelum Islam datang ke alam Melayu. Lebih mengejutkan, Swettenham sedar bahawa semua amalan itu ditentang oleh para ulama di negeri itu. Beliau melaporkan bahawa walaupun para ulama membenci dan mencegahnya, namun para pembesar negeri berpegang dengan amalan ilmu hitam itu. Sebab itulah amalan tersebut terus kekal dalam masyarakat.

Komentar Swettenham ini menjelaskan bahawa perkara syirik, bid’ah dan khurafat ini berkembang kerana adanya kuasa ‘politik’ yang melindunginya ketika itu. Masyarakat Melayu yang taatkan pemimpin mudah sahaja mengikuti, biarpun para ulama telah gigih memahamkan masyarakat tentang perkara itu. Keadaan sebegini telah digambarkan oleh al-Quran yang kerap membicarakan pengaruh besar pemimpin (al-mala) dalam mengekalkan ajaran yang bercanggah dengan tauhid. Kisah ini diambil dari kisah Nabi Nuh a.s yg menyeru kepada kaumnya agar menyembah Allah namun kerana pengaruh yg kuat dari pemimpin-mereka, mereka tetap mahu pertahankan amalan nenek moyang mereka; Firman Allah s.w.t maksudnya:

"Dan demi sesungguhnya, Kami telah mengutuskan Nabi Nuh kepada kaumnya lalu berkatalah ia: “Wahai kaumku, sembahlah kamu akan Allah (sebenarnya) tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Oleh itu, tidakkah kamu mahu bertaqwa kepadaNya?”.

"Maka ketua-ketua yang kafir dari kaumnya berkata: Orang ini hanyalah seorang manusia seperti kamu, ia bertujuan hendak melebihkan dirinya daripada kamu. Dan kalau Allah berkehendak tentulah Ia menurunkan malaikat. Kami tak pernah mendengar seruan seperti ini dalam kalangan datuk nenek kami yang telah lalu."

(Surah al-Mukminun: 23-24)

Perkara kedua, orang Melayu suka berjampi serapah. Dengan menggunakannya, mereka menghalau hantu daripada mengganggu manusia. Mereka akan memanggil-manggil pelbagai nama jin dan syaitan untuk meminta pertolongan. Namun, pada hujung jampi itu, orang Melayu akan menambah nama Allah. Swettenham mengkritik secara halus perkara tersebut dengan menyatakan ‘bagaimana mungkin nama Allah disatukan dengan amalan tahyul itu atas tujuan untuk menewaskan syaitan?’

Kritikan yang dibuat oleh Swettenham ini seumpama menggambarkan dirinya lebih memahami konsep dasar akidah Islam berbanding masyarakat umum orang Melayu ketika itu. Sekiranya dia beragama Islam, dengan kritikan sebegitu sudah pasti dia akan dipalit dengan pelbagai label yang menyakitkan hati sebagaimana yang dihadapi oleh ramai ilmuan Islam pada hari ini.

Perkara ketiga, orang Melayu percaya bahawa ada orang tertentu boleh membela hantu. Terdapat banyak jenis dan nama hantu yang dipercayai diperolehi secara turun temurun dan amalan sihir. Swettenham turut merakamkan bagaimana cara untuk mendapat atau menundukkan seekor hantu dan membelanya. Perkara ini sudah semestinya perbuatan syirik yang bertentangan dengan Islam.

Perkara keempat, orang Melayu menggunakan khidmat tukang tilik untuk mendapatkan sesuatu barangan yang hilang. Swettenham merekodkan kejadian yang menimpa dirinya sendiri yang kehilangan barang. Hakikatnya, beliau ditipu bulat-bulat menerusi upacara itu. Malangnya, upacara sebegini tetap diselitkan dengan unsur keagamaan seperti membaca ayat-ayat al-Quran yang bercampur baur dengan serapah dalam jampi mereka.

Perkara yang paling signifikan dalam karyanya ialah apabila Swettenham menerima sepucuk surat berkenaan bahaya syirik daripada Tuan Guru Agama bagi Sultan. Beliau bernama Tuan Haji Muhammad Abu Hassan. Suatu hari, Swettenham berbicara dengan Sultan tentang amalan-amalan syirik yang begitu disukai Sultan dan perbualan itu didengari oleh Tuan Guru Agama itu yang sedang menunggu untuk mengimamkan solat Maghrib. Keesokan harinya, Swettenham mendapat surat panjang dari guru agama itu yang menceritakan tentang bahaya, kesan dan dosa syirik di dalam Islam. Tuan Guru itu juga mengkritik sikap Raja dan Penghulu yang masih berpegang dengan amalan syirik tersebut. Surat itu begitu unik kerana selain menegaskan tentang pengharaman syirik dalam Islam, Tuan Guru Agama itu juga meminta pandangan daripada Swettenham tentang hukum syirik dalam agama Krisitan.

Jelaslah daripada catatan Swettenham, amalan khurafat dan syirik subur berlaku dalam alam Melayu kerana sokongan pemerintah sekalipun ia ditentang oleh para ulama. Walaupun para ulama jerih berdakwah, perkara terlarang dalam Islam itu terus kekal sehingga ke generasi seterusnya. Sehingga hari ini, sebahagian kecil amalan itu masih wujud dalam masyarakat Melayu. Sungguh besar pengajaran yang diperolehi dari catatan Residen British ini.

Ingatlah pesan Allah dalam al-Quran:
Maksud: "Maka janganlah kamu mengadakan bagi Allah, sebarang sekutu dalam permohonan dan sembahan." (Surah al-Baqarah: 22)

Membersihkannya dengan proses dakwah
Gejala syirik, bid’ah dan khurafat dalam sesebuah masyarakat hanya boleh dibanteras dengan dakwah tashfiyyah. Dakwah tashfiyyah ialah untuk memurnikan akidah, pemikiran dan cara beragama. Untuk menjayakan dakwah ini, pelbagai cara boleh dibuat, sama ada secara lisan, contoh perbuatan dan juga tindakan.

Salah satu kegiatan dakwah terbesar, yang dijalankan oleh para ulama sepanjang zaman ialah menerangkan bahaya syirik, khurafat dan bid’ah. Penerangan itu seringkali disertakan dengan tindakan bagi memastikan masyarakat Islam tidak terjebak ke dalam masalah tersebut di samping mengembalikan mereka semula kepada pengamalan Islam yang murni.

Sejarah menceritakan bahawa dakwah yang dilakukan oleh para sarjana Islam untuk membasmi bid’ah dan khurafat memakan masa yang panjang. Ia bukan proses semalaman. Apatah lagi jika amalan syirik, khurafat dan bid’ah itu sudah bertapak lama dalam masyarakat dan mendapat sokongan daripada pemerintah.

Sebagai contoh, terdapat satu bid’ah yang berlaku dalam masyarakat Islam pada abad ke-7 Hijrah. Ketika itu, mereka merayakan Nisf al-Sya’aban dengan menyalakan banyak lampu di masjid-masjid di Damsyiq pada hari ke-15 bulan Sya’aban. Perkara ini mendapat penentangan daripada para ulama Ahli Sunnah yang berpendapat bahawa perbuatan itu yang tidak pernah dilakukan oleh Nabi s.a.w dan para sahabat. Antara tokoh yang menentangnya ialah Ibn Qayyim al-Jauziyah. Untuk menjauhkan masyarakat daripada perkara bid’ah tersebut, para ulama telah menerangkan kesalahan perbuatan tersebut sepanjang hayat mereka.

Dakwah bersifat penerangan dan penentangan telah berlaku selama 200 tahun. Akhirnya ia berjaya dihapuskan oleh anak kepada Ibn Qayyim al-Jauziyah yang bernama, Abdullah.

Perkara ini diceritakan oleh Ibn Kathir dalam bukunya, al-Tarikh. Ibn Kathir
menyifatkan bahawa dakwah yang dibuat oleh Abdullah adalah suatu kejayaan terbaik kerana tiada sarjana yang berupaya mencapai hasil sebaik itu dalam tempoh tersebut. Ini kerana amalan bid’ah itu sudah berakar kuat dalam masyarakat. Kejayaan membasminya adalah hasil dakwah yang hebat.

Dapatlah disimpulkan bahawa dakwah membasmi perkara bid’ah dan khurafat adalah suatu proses yang panjang. Suatu proses menyampaikan ilmu yang sahih dan kefahaman yang jelas kepada masyarakat. Kesabaran para ulama dan pendakwah begitu penting untuk memastikan proses ini berjaya. Sekiranya tidak pada hari ini, kejayaan mungkin akan dicapai oleh individu lain yang memikul bebanan dakwah pada masa akan datang. Justeru, kita perlu optimis dalam berdakwah!

Lihat sahajalah alam Melayu yang sudah mula bertambah baik kefahaman dan amalan Islamnya, berbanding dengan apa yang diceritakan oleh Swettenham. Para ulama sejak zaman dahulu lagi begitu gigih menerangkan kesesatan sesuatu amalan, tanpa jemu biarpun disambut dingin oleh masyarakat. Kesan dakwah itu kelihatan pada hari ini apabila banyak amalan syirik, bid’ah dan khurafat telah berjaya dihapuskan. Bayangkan, apa akan terjadi jika suatu ketika dahulu para ulama mengambil sikap pesimis dan gagal melihat dakwah itu sebagai satu proses? Sudah pasti pada hari ini atau 200-300 tahun pada masa akan datang, masyarakat Melayu masih bergelumang dengan perkara yang ditegah Nabi ini. Kegigihan kita berdakwah membersihkan syirik, khurafat dan bid’ah hendaklah selaras dengan tujuan yang dimaklumkan oleh Allah:
Maksud: "dan (ingatlah) ketika segolongan di antara mereka berkata: “Mengapa kamu menasihati kaum yang Allah akan membinasakan mereka atau mengazabkan mereka dengan azab yang amat berat?” Orang-orang (yang memberi nasihat) itu menjawab: “(Nasihat itu ialah) untuk melepaskan diri dari bersalah kepada Tuhan kamu, dan
supaya mereka bertaqwa.”


(Surah al-A’raf: 164)

Sumber: http://www.al-adib.net

Virtual Friends - Copyright © 2001-2014 Webber Dot My Solutions (002351632-A). All rights reserved