Unregistered Member
sign up
 Login

Username or Email

Password

Forget Password?

Free Register

 Main Page
 Announcement
 Discussion
 Article
 Photo Album
 Market Place
 Sharing List
 Stateboard
 Member List
 Like
 Applications
 Sign-Up

Article

 LaNuN_KaRiBeaN • 2 years ago • 3,980 viewed


Assalamualaikum w.b.t

Bismillahirrahmanirrahiim...

Pada hari ini kita boleh lihat bagaimana umat Nabi Muhammad SAW sekarang, ceteknya iman dan pengetahuan Islam kerana tidak faham akan Islam itu sendiri. Dari sini kita boleh fikir ada beberapa yang sedang berlaku iaitu :

  • Tidak Melaksanakan Hudud Allah (Hukum Allah) - Kerana sudah terkandung di dalam Al Quran, bukannya buatan mana-mana pihak. Sedangkan semua undang-undang dan hukumannya sudah cantik dan telah dihuraikan dengan terperinci mengenainya.

  • Maksiat Berleluasa - Gagalnya pihak berkuasa membanteras dan tidak Amanah dalam melaksanakan tugas.

  • Gam Alim Ulama - Menyekat suara ulama' (suatu ketika dulu).

  • Melaksanakan Hukuman Mengikut Undang2 Penjajah Dahulu - Huraian daripada petikan satu hadis "Adalah satu dosa yg tidak dapat diampunkan sekiranya penjajah sudah balik, tetapi kita masih melaksanakan hukuman penjajah".

  • Menyambut Tahun Kebesaran Penjajah - Menampakkan kurangnya pengetahuan kepada bulan/tahun Islam dan kelebihan amal ibadat pada setiap bulannya.

  • Maksiat secara terbuka - Konsert yg penuh dengan maksiat seperti AF, Gangstars dan lain-lain lagi.

  • Merobohkan rumah Allah sewenang-wenangnya. (Perlu rujukan).

  • Pemimpin Tidak Amanah.

  • Siaran TV penuh dengan maksiat dan mukaddimah zina.

  • Aurat diabaikan kerana alasan mengikut peredaran zaman.

  • Ibu bapa abaikan tanggungjawab terhadap anak-anak menyebabkan berlakunya zina. Sila lawati hmetro, byk kisah remaja terjebak dengan zina, maksiat dan macam-macam lagi.

  • Terabainya Al Quran & Sunnah sebagai rujukan.
نعوذ بالله من ذلك Nauzu billahi min zalik...

“Kami berlindung dengan Allah daripada perkara tersebut”

Ini adalah sebilangan sahaja, kita boleh fikir sendiri apa yang terjadi dimasa kini... . melalui pemerhatian kita... lihatlah dgn kedua2 mata dan lihatlah dgn hati dan akal.

Perkara yang dinyatakan diatas boleh menyebabkan kepada Murtad tanpa disedari :

Mengikut Islam, murtad boleh terjadi dengan melalui salah satu dari tiga perkara berikut; melalui perkataan, ucapan dan kata-kata, melalui perbuatan atau tingkah laku dan melalui iktiqad, kepercayaan dan keyakinan dalam hati atau niat. Di bawah ini akan dijelaskan sebab-sebab tersebut.

a) Melalui Perkataan / Ucapan dan Kata-kata.

Murtad boleh berlaku dengan perkataan atau ucapan dan kata-kata. Apabila ucapan dan kata-kata tersebut menolak hukum-hukum Islam dan prinsip-prinsip ajaran Islam yang diketahui oleh semua orang atau kata-kata yang menghina apa-apa ajaran Islam, hukum hakam Islam, menghina Nabi MuhammadSAW dan nabi-nabi lain, menghina Allah SWT dan sebagainya, atau seseorang itu mengingkari wajib mengeluarkan zakat, wajib puasa, wajib sembahyang lima waktu, wajib haji dan lain-lain, atau dia berkata minum arak tidak haram, berzina harus, apatah lagi kalau suka sama suka, riba' diharuskan (tidak haram), dikatakan al-Quran bukan kalam Allah atau kata-kata yang merendahkan dan menghina Sunnah Rasulullah, umpamanya apabila diterang kepadanya bahawa mengerat kuku adalah Sunnah Rasulullah SAW. Apabila dia mendengar kata-kata itu, dia menjawab,

"aku tidak akan kerat kuku, walaupun ia Sunnah Rasulullah (dengan niat mahu menghina sunnah tersebut)".

Atau dia berkata, "sekiranya Allah SWT dan Rasulullah SAW menyuruh aku kerjakan anu-anu, aku tidak akan melakukannya".

Atau dia berkata, "Aku tidak tahu adakah nabi itu manusia atau jin".

Atau pun dia berkata, "Aku tidak tahu apa itu iman".

Semua kata-kata di atas adalah ucapan yang menghina / mengejek ajaran Islam, maka dengan kata-kata sedemikian seseorang itu boleh menjadi murtad.

Begitu juga seseorang yang zalim, apabila dia mendengar orang yang dizaliminya berkata,

"Ini, (kezaliman yang dilakukan ke atasnya) adalah ketetapan Allah dan takdir Tuhan",

maka orang zalim tadi sebaik sahaja mendengar kata-kata di atas dia terus berkata dengan sombong,

"Aku lakukan itu bukan dengan takdir Allah SWT tetapi dengan kuasa yang ada padaku",

maka kata-kata orang zalim sedemikian itu boleh menjadi murtad.

Begitu juga kalau seseorang Islam menghalalkan hukum yang haram oleh Allah dan RasulNya atau sebaliknya mengharamkan sesuatu yang halal yang telah disepakati oleh para ulama' tetang halal atau haramnya perkara itu seperti dia menghalalkan zina, menghalalkan liwat, menghalalkan minum arak, atau mengharamkan perkahwinan, mengharamkan jual beli dan seterusnya. Maka sikap sedemikian boleh menjadi murtad.

Dalam buku Mustika Hadis, ada menyebut beberapa contoh kata-kata yang boleh membatalkan iman seseorang atau yang boleh menjadi murtad iaitu: Kata-kata (menghina atau merendahkan) mana-mana hukum Islam seperti:

• Hukum apa ini ?

• Hukum ini sudah lapuk.

• Zaman sekarang tidak sepatutnya diharamkan riba' kerana menghalang kemajuan.

• Dalam zaman serba maju ini kaum wanita tak perlu dibungkus-bungkus (tutup aurat dengan memakai telekong).

• Berzina kalau suka sama suka apalah haramnya?

• Minum arak kalau dengan tujuan hendak menyihatkan badan untuk beribadat apa salahnya.

• Berjudi kalau masing-masing sudah rela menerima untung ruginya apa salahnya.

• Kalau hendak sangat menurut hukum-hukum Islam, sampai kiamat kita tidak maju.

• Seseorang berkata,"Perbuatan yang demikian tidak beradab", apabila diceritakan bahawa Nabi Muhammad SAW selepas makan baginda menjilat sisa makanan dijarinya (sebelum dibasuh tangan).

• Seseorang berkata,"Aku tidak mahu memotong kuku sekalipun sunnah", apabila diberitahu bahawa memotong kuku adalah sunnah.

• Membaca ayat-ayat suci al-Quran, hadith nabi dan nama-nama Allah dengan cara mempersenda dan mempermain-mainkannya.

Ungkapan yang disebut di atas adalah beberapa contoh kata-kata yang boleh menjadi murtad.

b) Melalui Perbuatan atau Tingkah Laku.

Apabila seseorang Islam melakukan apa-apa perbuatan atau apa-apa tingkah laku yang boleh membatalkan imannya maka orang itu boleh menjadi murtad seperti sujud kepada berhala, matahari, bulan, manusia, kepada malaikat atau kepada mana-mana makhluk lain atau melakukan ibadat terhadap selain daripada Allah SWT Seperti menyembah batu, pokok kayu dan lain-lain.

Begitu juga mana-mana perbuatan yang menghina, merendah dan mempersendakan Islam seperti mencampakkan al-Quran ke tempat-tempat kotor secara sengaja atau kitab-kitab hadith dan tafsir atau memijak-mijaknya dengan niat menghina. Dalam buku Mustika Hadith ada menyebut perbuatan yang boleh menjadi murtad seperti meletakkan ayat-ayat suci al-Quran, hadith-hadith nabi, nama-nama Allah, rasul-rasulNya, malaikat dan ilmu-ilmu agama di tempat najis atau kotor dengan tujuan menghina dan merendahkannya.

Begitu juga seseorang yang meninggalkan sembahyang Fardhu atau puasa Ramadhan dalam keadaan mengingkari wajibnya atau mengatakan ia tidak wajib, maka dia boleh menjadi murtad kerana dia mengingkari satu perkara yang memang diketahui oleh orang ramai bahawa perkara itu adalah wajib ke atas setiap orang Islam. Tetapi kalau dia meninggalkan kerana malas, sedangkan dia yakin sembahyang atau puasa itu wajib, maka ia tidak menjadi murtad.

Apa yang disebut adalah sebahagian dari contoh-contoh yang boleh memurtadkan seseorang Islam melalui perbuatan dan tingkah laku.

c) Melalui Akidah atau Kepercayaan atau Niat.

Murtad melalui akidah, kepercayaan atau niat akan berlaku apabila seseorang Islam mengingkari dalam hatinya mengenai kebenaran ajaran Islam seperti dia yakin ajaran Islam sama sahaja dengan ajaran agama lain, atau yakin bahawa agama lain lebih baik dari agama Islam, dia yakin hukum hudud (jinayah Islam) tidak layak dilaksanakan sekarang dalam masyarakat moden.

Begitu juga apabila seseorang Islam yakin Allah tidak berkuasa, Allah tidak mencipta alam ini, Allah lemah, mempunyai sifat sama seperti makhluk dan lain-lain lagi. Demikian juga jika seseorang itu percaya bahawa Nabi Muhammad SAW bukan nabi akhir zaman, syariat dan ajaran Islam yang dibawa bukan untuk seluruh manusia, atau dia percaya hukum Islam yang dibawa oleh baginda adalah hukum-hukum lapok, tidak sesuai dengan keadaan zaman. Dia menghina apa-apa ajaran yang dibawanya, dia beriktiqad tidak ada dosa dan pahala, tidak ada syurga dan neraka, manusia tidak dibangkit semula sesudah mati, beriktiqad agama orang kafir lebih baik dari agama Islam, atau berbalik-balik hati antara mahu manjadi kafir pada masa akan datang dan lain-lain lagi keyakinan dan iktiqad yang salah.

Hukum Orang Murtad.

Orang murtad dikenakan ke atasnya beberapa hukum iaitu, pertama; disuruh bertaubat, kedua; dihukum bunuh kalau tidak mahu bertaubat, ketiga; dirampas hartanya (ditarik hak milik harta), keempat; terputus hubungan suami isteri dan tidak boleh pusaka mempusakai antara suami isteri, ayah ibu dan anak-anak, kelima; penyembelihannya tidak halal dan pahala ibadatnya terbatal. Dibawah ini diterangkan hukum-hukum secara detail.

a) Disuruh Bertaubat.

Apabila seseorang telah sabit murtad, dia perlu diberi nasihat dan kaunseling, juga disuruh bertaubat beberapa kali. Jika tidak mahu bertaubat setelah disuruh berulang kali dia mesti dibunuh. Tempoh masa untuk bertaubat tersebut – mengikut Jumhur ulama’ – selama tiga hari tiga malam, tetapi mengikut hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud, bahawa dia diberi peluang suruh bertaubat selama kira-kira dua puluh malam.

Apabila seseorang murtad itu sedar dan mahu bertaubat serta mahu memeluk Islam semula, taubatnya diterima, dengan melalui beberapa perkara:

Pertama, dia perlu mengucap dua kalimah syahadah semula.

Kedua, dia perlu membuat pengakuan atau ikrar di atas apa yang dia ingkar yang menyebabkan dia menjadi kafir (murtad), dan melepaskan diri daripada segala ajaran yang menyalahi agama Islam. Umpamanya jika dia murtad dengan sebab percaya adanya dua Tuhan atau mengingkari risalah Nabi Muhammad SAW, maka sewaktu bertaubat dengan mengucapkan dua kalimah syahadah, dia perlu membuat pengakuan yang Tuhan hanya satu bukan dua, dan mengaku memang betul dan benar bahawa Nabi Muhammad SAW adalah nabi akhir zaman.

b) Dijatuhkan Hukum Bunuh.

Apabila orang yang murtad tidak mahu bertaubat setelah dinasihatkan dan dikaunseling dalam masa tempoh yang ditentukan, maka tidak ada jalan lain dia mesti dijatuhkan hukum bunuh dengan segera dengan dipancung lehernya.

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas r.a., baginda bersabda, ertinya:

"Sesiapa yang menukar agamanya maka hendaklah kamu membunuhnya." (Hadis riwayat al-Bukhari)

Hadis lain diriwayatkan oleh Abu Musa al-Asyari r.a. yang bermaksud:

Bahawa baginda SAW berkata kepadanya, “Pergilah kamu ke negeri Yaman”, kemudian baginda menghantar Muaz bin Jabal selepas itu. Apabila Muaz sampai ke tempat Abu Musa, Abu Musa menjemput Muaz dengan memberi sebiji bantal alas duduk serta berkata, “Sila duduk”, sedangkan di majlis itu ada seorang yang badannya diikat, Muaz bertanya, “Apa hal orang ini?”. Abu Musa menjawab, “Orang ini asalnya Yahudi, dia telah masuk Islam kemudian dia balik menganut agama Yahudi semula”. Muaz berkata, “Aku tidak akan duduk sehingga dia dibunuh (terlebih dahulu), itulah hukum Allah dan RasulNya”. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dari hadis di atas jelas bahawa orang yang murtad mesti dibunuh segera apabila dia enggan bertaubat. Hukum bunuh seperti di atas telah pun dijalankan oleh sahabat-sahabat Rasulullah SAW, antaranya Abu Bakar r.a., Umar bin al-Khattab dan Ali bin Abu Talib r.a. sewaktu pemerintahan masing-masing.

Hukum tersebut di atas, tidak sekali-kali bertentangan dengan “dasar kebebasan beragama”, atau dasar “لا إكراه في الدين” (Tidak ada paksaan dalam agama). Sebagaimana yang ditegaskan oleh Allah dalam al-Quran, kerana dasar ini tidak ada hubungan sama sekali dengan soal orang murtad.

Soal murtad dan soal kebebasan beragama adalah dua masalah yang berlainan. “Tidak ada paksaan dalam agama” bererti; orang-orang Islam tidak boleh sama sekali memaksa orang kafir memeluk Islam, kerana hakikat iman dan kufur telah dijelaskan dalam al-Quran, dalam hadis dan juga oleh para ulama’ dalam dakwah mereka, maka terserah kepada seseorang itu sama ada mahu beriman dan taat atau pun mahu kekal kufur dan ingkar. Selain itu, kalau dipaksa orang kafir supaya memeluk Islam, maka Islamnya tidak sah.

Ini berlainan halnya dengan orang Islam yang murtad, kerana apabila seseorang itu murtad sama ada melalui iktikad, atau percakapan dan tuturkata atau melalui perbuatannya, ini bererti dia telah melakukan jenayah, bukan sahaja kepada dirinya sendiri, tetapi juga kepada keluarga, masyarakat dan umat Islam seluruhnya. Antara jenayah-jenayah yang dilakukan ialah:

a) Dia memang menganggap dirinya betul dan pandai, umat Islam lain semuanya dianggap salah dan bodoh belaka. Ini bererti dia menghina dan memusuhi masyarakat Islam.

b) Dia menyalahkan agama Islam kerana didorong oleh nafsunya, dia tidak mahu terikat kepada suruhan Allah dan Rasul serta larangan keduanya. Ini bererti dia menghina agama Islam yang menjadi pegangan hidupnya dan dihormati oleh seluruh umat Islam.

c) Dia akan menjadi contoh buruk bagi orang-orang lain yang akan terpengaruh kepada diayahnya. Ini akhirnya akan meruntuhkan ajaran Islam.

Oleh sebab jenayah orang yang murtad sangat besar dan bahaya, maka hukum Islam yang ditetapkan supaya dilaksanakan di dunia dengan dijatuhkan hukum bunuh dan balasan azab seksa di akhirat kelak amatlah adil dan setimpal dengan jenayahnya yang besar itu.

c) Dirampas Hartanya.

Setelah sabit seseorang Islam itu murtad, maka segala harta miliknya perlu dirampas dari miliknya (ditahan hak milik terhadap harta itu) dan diletak dibawah pengawasan Ketua Negara atau wakilnya. Jika harta itu perlu diambil untuk urusan perbelanjaan dirinya sebelum dijatuhkan hukuman bunuh, pihak kerajaan boleh mengambil dari hartanya sekadar perlu sahaja.

Sekiranya dia bertaubat memeluk Islam semula, harta tersebut perlu diserah balik kepadanya. Ini bererti harta tersebut masih dianggap hartanya cuma ditahan hak milik buat sementara. Tetapi sekiranya dia tetap tidak mahu bertaubat, bahkan dijatuhkan hukuman bunuh, maka harta tersebut menjadi milik kerajaan dikira semenjak dia mula-mula murtad lagi.

Harta orang yang murtad tidak boleh dipusakai oleh waris-warisnya dan dia juga tidak boleh menerima harta pusaka dari waris-waris lain kerana diantara syarat untuk membolehkan seseorang menerima harta pusaka ialah waris tersebut sama-sama beragama Islam, sedangkan orang itu telah menjadi kafir.

Rasulullah SAW ada bersabda, ertinya :

"Orang Islam tidak boleh mewarisi orang kafir dan orang kafir tidak boleh mewarisi orang Islam." (Hadis riwayat al-Bukhari)

d) Terputusnya Hubungan Suami Isteri.

Orang murtad dianggap sebagai orang yang sudah mati, kerana dia akan dijatuhkan hukum bunuh apabila tidak mahu bertaubat. Sebab itu kalau sekiranya salah seorang suami atau isteri murtad maka pernikahan kedua-duanya terbatal walaupun begitu, kalau sekiranya yang murtad kembali bertaubat (masuk Islam semula) dalam masa 'idah isterinya belum habis (tamat) maka kedua-dua bekas pasangan suami isteri tersebut dikira kembali seperti asal, tidak perlu kepada akad nikah baru. Tetapi kalau dia tidak bertaubat dalam masa 'idah masih belum habis, nikah tersebut dianggap terbatal. Kalau dia bertaubat (kembali kepada Islam semula) selepas habis 'idah, dia perlu diakad nikah semula dengan maskahwin baru jika mahu meneruskan hubungan suami isteri yang sah.

Selain itu orang murtad, pernikahannya tidak sah samada dia mahu berkahwin sendiri dengan orang lain atau dia mahu menjadi wali nikah untuk perkahwinan orang lain.

e) Penyembelihannya Tidak Halal dan Segala Pahala Amalan Ibadat Terbatal.

Penyembelihan orang murtad tidak halal dan haram dimakan. Hukumnya sama dengan hukum penyembelihan orang kafir yang menyembah berhala. Kalau dia menganut agama ahli al-Kitab seperti menganut agama Nasrani (Kristian) sekali pun penyembelihannya tetap haram.

Selain itu pahala amalan soleh atau pahala ibadat yang dikerjakan - walau berapa banyak sekali pun - menjadi gugur dan terbatal, menjadi sia-sia, sebagaimana Allah berfirman, ertinya:

"Sesiapa yang kufur (ingkar syariat Islam) sesudah dia beriman maka sesungguhnya gugur dan terbatal segala (pahala) amalan baiknya dan dia di akhirat nanti tergolong dari golongan orang yang rugi." (Surah al-Maidah : ayat 5)

Ini akan berlaku kalau sekiranya dia murtad secara berterusan sehingga mati dalam kufur. Tetapi kalau sekiranya dia bertaubat dan kembali kepada Islam semula, maka dia dituntut supaya mengqada'kan amal-amal ibadat seperti sembahyang, puasa dan zakat yang ditinggalkan sepanjang tempoh murtad tersebut. Ada pun haji yang dikerjakan sebelum murtad tidak perlu diqada'kan.

Mayat Orang Murtad yang Dihukum Bunuh

Mayat orang murtad yang dihukum bunuh tidak boleh diurus seperti mayat-mayat orang Islam. Mayat tersebut tidak perlu dimandi kerana dia telah keluar daripada Islam, tetapi kalau dimandikan ia adalah harus. Juga tidak boleh disembahyangkan kerana sembahyang mayat ke atas orang kafir adalah haram. Sebagaimana Allah berfirman, ertinya:

"Jangan kamu sembahyang ke atas seorang pun yang mati dari orang-orang kafir itu selama-lamanya." (surah al-Taubah : ayat 84)

Demikian juga tidak harus dikebumi di tanah perkuburan orang Islam, bahkan harus dikebumikan di tanah perkuburan orang kafir atau di tempat khas yang berasingan.

Dari ulasan-ulasan yang panjang lebar di atas jelaslah bahawa murtad mengikut pandangan Islam merupakan satu jenayah yang paling besar dan paling bahaya kerana ia menghina Islam, menghina Allah SWT dan Rasulullah SAW. Oleh itu hukum bunuh dengan memancung leher adalah satu hukuman yang setimpal dengan jenayah yang dilakukan. Hukum tersebut juga untuk menakutkan orang lain supaya tidak melakukan jenayah seperti itu.

Selain itu apabila murtadnya seseorang Islam, beberapa hukum lain dikenakan ke atasnya, seperti hartanya perlu dirampas oleh pemerintah, terpisah hubungan suami isteri, tidak boleh mempusakai harta, mayatnya tidak boleh dimandikan, disembahyang dan ditanam di perkuburan Islam dan lain-lain lagi.

Kisah Benar Sebagai Teladan:

Seorang sahabat menceritakan: Ini adalah kisah benar yang saya alami beberapa hari yang lalu, semasa pulang dari rumah emak saya dalam menuju ke rumah, disebuah padang bola di BBST, ramai orang bermain disitu setiap hari. Akan tetapi petang itu menjadi hening apabila melihat seorang anak muda terlantar dipadang tersebut kerana sedang nazak. Sedangkan beliau belum bermain lagi, baru memakai kasut untuk masuk kepadang. Tatkala itu keadaan penuh sesak dengan manusia melihat perkara tersebut. Lihatlah detik-detik sakaratul maut tidak menunggu masa dan waktu. Saya pun menghampiri dan melihat dengan mata kepada sendiri. Beberapa pemuda sedang mengajarnya 2 kalimah syahadah utk dilafazkan buat kali terakhir. Saya doakan semoga rohnya berada dikalangan org yg beriman. Amin.

Kesimpulan :

Mari kita fikirkan, masa kita 24 jam kemana? Tidur 8 jam, Kerja 8 jam = 16 jam, balance 8 jam lagi kemana? Sedangkan kita luangkan masa kepada pencipta kita hanya beberapa minit sahaja itu pun kalau kita sembahyang lima waktu sehari semalam. Bahkan tidak sampai setengah jam pun.

Hina sungguh kita disisi Allah taala. Layakkah kita digelar orang Islam dan Umat Muhammad? Sedangkan rasulullah yg sudah dijamin syurga yang paling tinggi sekali, bersifat maksum namun baginda masih beramal siang dan malam hanya kerana Allah. Siang berjihad dan berdakwah, malam beramal sampai ke pagi. Berapa kerat umat manusia sekarang yang mampu berbuat demikian. Cintalah kita kepada Allah dan RasulNya. Ingatlah, sesungguhnya apa yang ada didunia ini hanyalah sementara, Akhirat lah yg kekal abadi disisi Allah.

Wassalam.

Sumber: http://afiqsafuan.blogspot.com

Virtual Friends - Copyright © 2001-2014 Webber Dot My Solutions (002351632-A). All rights reserved