Unregistered Member
sign up
 Login

Username or Email

Password

Forget Password?

Free Register

 Main Page
 Announcement
 Discussion
 Article
 Photo Album
 Market Place
 Sharing List
 Stateboard
 Member List
 Like
 Applications
 Sign-Up

Article

 DilaDellila • 8 years ago • 6,355 viewed


Arak merupakan sejenis minuman kegemaran orang bangsa Arab sejak dari zaman jahiliyah dan juga sesudah kedatangan Islam malahan sahabat-sahabat Rasulullah sendiripun meminum arak kerana ketika itu, larangan Allah terhadap minuman ini belum ada.

Arak dijadikan minuman utama dalam jamuan-jamuan yang diadakan dan diterima sebagai suatu kebiasaan dalam kehidupan.

Apabila sahabat sedar akibat daripada minuman arak itu dapat menghilangkan pertimbangan akal yang mana dapat mengakibatkan seseorang itu tanpa segan silu akan melakukan melakukan perkara-perkara yang mengaibkan, menganggu masyarakat dengan perbuatan jenayah dan maksiat, mereka pun datang mengadap Rasulullah.

Seorang dari para sahabat iaitu Umar Al-Khattab mengajukan soalan kepada baginda, " Apakah hukum diatas perbuatan meminum arak yang memabukkan hingga menyebabkan seseorang hilang kewarasan akalnya lalu menimbulkan kekacauan terhadap orang-orang disekelilingnya?"

Kemudian baginda berdoa seraya berkata, " Ya Allah jelaskanlah kepada kami hukum meminum arak sebagaimana keterangan yang muktamad, yang melapangkan hati tanpa bertakwil lagi."

Setelah itu barulah turun ayat yang menerangkan hukum meminum arak yang tersebut di dalam Surah Al- Bakarah yang bermaksud : ' Bertanya mereka kepadamu, wahai Muhammad, mengenai hukum arak dan judi. Katakanlah bahwa keduanya itu adalah dosa-dosa besar sekalipun ada manfaatnya bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya. '

Sesudah turun ayat ini, setengah sahabat tetap meminumnya dan bermain judi manakala setengahnya lagi enggan meminumnya kerana mengetahui dosa melakukan kedua perbuatan tersebut adalah amat berat.

Suatu hari Saiyidina Umar dipanggil mengadap Rasulullah S.A.W. Setelah Umar mengadap, Rasulullah lalu membacakan ayat itu kepadanya. Maka Umar berdoa pula, katanya, " Wahai Tuhanku, terangkanlah pada kami hukum meminum arak sebagai keterangan muktamad dan menyenangkan hati."

Doa itu diulangnya beberapa kali kerana memohon kepastian dari Allah Taala. Ini adalah kerana setelah turun ayat yang mengharamkan arak, dia dapat tahu tentang seorang sahabat Rasulullah yang kaya bernama Abd Rahman bin Auf r.a. , telah menghidangkan arak dalam jamuan yang dihadiri oleh para sahabat lainnya dan salah seorang diantara mereka adalah Saiyidina Ali.

Dalam majlis itu, kesemua para hadirin menjadi mabuk oleh sebab meminum arak yang dihidangkan. Demikianlah sehingga masuk waktu Maghrib, ketika mereka mendirikan sembahyang, Saiyidina Ali yang menjadi imam telah tersalah membaca sepotong ayat dari Surah Al-Kafirun hingga berubah maksud ayatnya menjadi ' Aku sembah apa yang aku sembah, hai orang-orang kafir... .'

Setelah itu turunlah ayat yang tersebut didalam Surah An-Nisaa' yang lebih kurang maksudnya : ' Wahai sekian orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri solat sedangkan kamu dalam keadaan mabuk.'

Setelah turun ayat itu, dipanggillah kembali Saiyidina Umar, lalu dibaca oleh baginda ayat yang baru turun itu.

Apabila Allah mengharamkan minum arak dalam waktu sembahyang Maghrib, maka sahabat-sahabat meminum arak selepas sembahyang Isyak. Jika mereka mabuk sebelah malamnya, keesokkan paginya mereka telah kembali seperti sediakala. Apabila diminum arak itu selepas sembahyang Subuh, maka akan sedar pila pada waktu masuk sembahyang Zuhur.

Suatu ketika seorang sahabat bernama Utban bin Malik telah mengadakan satu jamuan dan dijemput beberapa orang dari para sahabat menghadirinya.

Seorang daripada mereka bernama Saad bin Abi Waqqas. Di dalam jamuan itu, dihidangkan kepala unta yang telah dibakar. Dimakanlah oleh mereka hidangan itu dan meminum arak sehingga mabuk. Dalam keadaan mabuk itu, mereka membanggakan diri dengan keturunan dan memuji kehebatan diri masing-masing. Dalam pada itu, seorang sahabat yang bernama Saad bin Abi Waqqas bersyair dan memuji kaumnya sebagai orang-orang gagah berani sambil memcaci kaum Ansar yang dikatakannya sebagai penakut dan lemah. Apabila didengar cemuhan itu, seorang dari kaum Ansar cacian bangun mengambil rahang unta lalu dipukul di kepala Saad bin Abi Waqqas hingga luka parah.

Maka pergilah Saad mengadap Rasulullah mengadukan perbuatan orang Ansar ke atas dirinya. Ketika itu Saiyidina Umar ada bersama baginda. Bila dilihat kejadian itu berpunca dari sebab meminum arak, dia lalu berdoa, " Ya Tuhanku, terangkanlah pada kami hukum meminum arak itu dengan keterangan muktamad dan menyenangkan hati."

Maka turunlah ayat yang tersebut di dalam Surah Al-Maaidah yang maksudnya : ' Bahawasanya syaitan mahu menimbulkan permusuhan di antara kamu dan saling benci membenci dengan meminum arak dan bermain judi dan mahu memalingkan kamu daripada memgingati Allah dan mengerjakan sembahyang, maka mahukah kamu berhenti daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu?'

Setelah turunnya ayat itu Rasulullah memanggil Umar datang mengadap. Baginda lalu membaca ayat yang baru turun itu kepadanya. Setelah mendengar ayat itu, Umar dan para sahabat berkata, " Berhentilah kami, berhentilah kami... ... "

Semenjak peristiwa itulah arak diharamkan secara muktamad sehingga kini.

Virtual Friends - Copyright © 2001-2021 Webber Dot My Solutions (002351632-A). All rights reserved