Unregistered Member
sign up
 Login

Username or Email

Password

Forget Password?

Free Register

 Main Page
 Announcement
 Discussion
 Article
 Photo Album
 Market Place
 Sharing List
 Stateboard
 Member List
 Like
 Applications
 Sign-Up

Article

 elcapitano • 8 years ago • 6,788 viewed


Susulan pada seminar 'Export Opportunities In Post-Tsunami Japan' semalam, usai seminar sewaktu majlis makan tengahari aku sempat berbual dengan mereka yang arif tentang situasi industri dan ekonomi Jepun.

Seorang pengusaha tempatan yang berminat melabur di Jepun mengajukan soalan mengenai kemudahan mendapatkan tenaga pekerja asing di Jepun. Tipikal seorang majikan di Malaysia, apa-apa projek mesti mahu pakai pekerja asing.

"Sebenarnya, Jepun adalah antara beberapa negara di dunia yang tidak menerima kehadiran pekerja asing. Kalau pun ada, sangat minimal," jawab seorang pegawai kerajaan Malaysia yang sudah lebih 5 tahun menetap di Tokyo.

Betul katanya. Statistik terkini dari tahun 2010 mencatatkan jumlah immigran di Jepun lebih sedikit dari 2 juta nyawa. Dibandingkan dengan jumlah populasi Jepun yang kini berjumlah 127 juta nyawa, peratusan immigran hanya sekitar 1.6%!

Maka tidak hairanlah Jepun dianggap sebagai antara negara homogen dari segi bahasa dan kebudayaan. Mantan Perdana Menteri Jepun, Taro Aso pernah menyebut bahawa Jepun adalah 'satu negara, satu tamadun, satu bahasa, satu budaya dan satu bangsa'. Tetapi dia tidaklah pergi sampai melaungkan slogan 1Malaysia macam yang dibuat Perdana Menteri kita.

Jawapan pegawai kerajaan tadi agak mengejutkan pengusaha yang bertanya itu. Mungkin sukar untuk dia menerima bagaimana sebuah negara maju dan kuasa ekonomi dunia seperti Jepun tidak memerlukan jumlah tenaga pekerja asing yang besar. Sedangkan Malaysia sebuah negara membangun dengan populasi 27 juta nyawa sahaja memiliki sejumlah 3 juta pekerja asing dan mungkin tambahan 3 juta lagi yang haram.

Jepun seperti yang kita tahu adalah kuasa ekonomi ke-3 terbesar dunia (ke-2 sebelum dipintas oleh China). Ia juga adalah pengeksport dan pengimport ke-4 terbesar dunia. Industri dan ekonomi Jepun jika dibandingkan dengan Malaysia ibarat langit ke-7 dan bumi agaknya.

Tetapi masih di Jepun mereka tidak memerlukan sangat tenaga pekerja asing.

"The reason why is because the fact that in Japan there is hardly any labour shortage. Any Japanese people are willing to work anywhere in any kind of job," jelas pegawai kerajaan itu lagi dalam bahasa orang putih. Aku malas terjemahkan kerana tidak mahu mesej asal berubah sedikit pun.

"Even senior citizens, those who already retired from their main job previously wouldn't mind taking another just to fill up their free time".

Aku selalu dengar senario di Jepun tentang isteri yang merasa malu pada para tetangga jika si suami pulang awal dari kerja. Orang Jepun dengan kerja memang tidak dapat dipisahkan. Hidup itu kerja, kerja itu hidup. Bila sudah mati barulah tidak bekerja.

Pengusaha tempatan tadi bertanya lagi. Adakah ini bermakna di Jepun, hatta kerja taraf rendah seperti tukang sapu juga dibolot oleh rakyat Jepun?

"Jepun tak sama dengan Malaysia. Di sana budaya mereka lain. In Malaysia it's embarrassing if you a degree holder but flipping burgers at fast food outlet. But in Japan, it's embarrassing if you a degree holder but couldn't get a job, any job just because you are choosy," kata pegawai kerajaan itu menerangkan budaya kerja berbeza antara dua negara ini.

"Pemandu pejabat kami di Tokyo ialah seorang pemuda Jepun yang mempunyai segulung ijazah". Pegawai kerajaan itu memberikan bukti terbaik untuk menyokong hujah beliau sebentar tadi.

Dan itulah perbezaannya yang menjadikan Jepun antara negara yang paling kurang bergantung pada tenaga pekerja asing. Tetapi Malaysia memerlukan tenaga pekerja asing hatta untuk kerja mudah seperti mengambil pesanan di kedai mamak.

Namun untuk pengusaha tempatan tadi, ini bukan berita yang menggembirakan. Lumrah majikan di Malaysia, baik dari sektor perkilangan, perladangan atau perkhidmatan semuanya kalau boleh mahukan tenaga pekerja asing. Alasan yang diberikan ialah kerana rakyat Malaysia tidak berminat dengan kerja-kerja bertaraf rendah. Alasan yang betul sebenarnya.

Tapi majikan tempatan juga ada silapnya dalam hal ini. Kerana satu lagi alasan kenapa pekerja asing menjadi pilihan mereka ialah kos. Setakat RM350 untuk satu kepala memberi penjimatan kos luar biasa berbanding membayar mungkin RM750 untuk seorang pekerja tempatan. Majikan kita kebanyakannya hanya tahu buat untung tanpa memikirkan tanggungjawab sosial untuk memberi peluang kerja pada rakyat Malaysia dan meningkatkan taraf hidup mereka.

Kerana itulah di Malaysia ini soal gaji minimum sudah berbuih mulut diceritakan tapi perlaksanaannya belum. Kerajaan kata begini, rakyat kata begitu dan majikan akan jawab kalau gaji minimum terlalu tinggi kami akan lingkup. Alih-alih kita asyik dengan program pemutihan dan berikan peluang berjuta pekerja asing haram menjadi halal.

Kembali ke Jepun, mereka ada gaji minimum. Tidak seragam untuk seluruh negara tetapi ianya ditentukan mengikut industri dan prefektur (wilayah). Sekiranya ada perbezaan antara keduanya, yang mana paling tinggi diambil kira. Maksudnya kalau gaji minimum industri automotif ialah JPY250,000 di prefektur yang menetapkan gaji minimum pada kadar JPY300,000 maka gaji minimum prefektur diambil kira.

"The typical minimum wage for Tokyo is JPY300,000 per month. Of course our office driver earns more than that," kata si pegawai kerajaan.

Berapa agaknya JPY300,000 itu dalam ringgit? Lebih sedikit dari RM11,000 jika mengikut kadar tukaran matawang semasa. Dan itu adalah gaji minimum di Tokyo. Berapalah agaknya gaji pemandu Jepun yang ada segulung ijazah itu? Sendiri mahu ingat.

Gaji minimum adalah idaman kita semua, golongan pekerja yang berharap mendapat gaji yang lebih baik dari sekarang dengan adanya akta gaji minimum. Tapi selagi Malaysia mengimport pekerja asing secara berleluasa selagi itulah sukar untuk kita melaksanakan gaji minimum. Tetapi pekerja asing akan terus masuk, selagi ada graduan Malaysia yang enggan bekerja di McDonald's kerana mahu menunggu tawaran kerja dari syarikat multinasional yang entah belum pasti bila.

Pokoknya, kalau mahu jadi seperti Jepun perlulah kita ikut budaya kerja mereka. Malu tidak bekerja itu bagi mereka lebih hina dari malu bekerja mencuci tandas. Soalnya, bila agaknya kita mahu berfikir macam itu?

Virtual Friends - Copyright © 2001-2021 Webber Dot My Solutions (002351632-A). All rights reserved