Unregistered Member
sign up
 Login

Username or Email

Password

Forget Password?

Free Register

 Main Page
 Announcement
 Discussion
 Article
 Photo Album
 Market Place
 Sharing List
 Stateboard
 Member List
 Like
 Applications
 Sign-Up

Article

 LaNuN_KaRiBeaN • 8 years ago • 7,641 viewed


1. Kelebihan Bersahur.

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:

“Bersahurlah kamu kerana sesungguhnya pada sahur itu ada keberkatan.”

(Riwayat Bukhari & Muslim)

Huraian :
Waktu bersahur ialah bermula pada pertengahan malam hingga terbit fajar namun disunatkan untuk mengakhirkan waktu bersahur iaitu kira-kira 10 atau 15 minit sebelum bilal melaungkan azan Subuh. Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa waktu bersahur itu adalah bersamaan dengan bacaan 50 ayat suci Al-Quran.

Mengantuk dan letih tidak boleh dijadikan alasan untuk enggan bersahur kerana sahur dapat membantu menguatkan badan orang yang berpuasa untuk mengerjakan ibadat puasa pada sebelah siangnya, di samping sahur itu sendiri adalah satu amalan sunat yang berkat. Menurut Ibnu Hajar Al-Asqalani, yang dimaksud dengan berkat (barakah) itu ialah akan mendapat ganjaran dan pahala di mana Allah akan merahmati orang-orang yang makan sahur dan malaikat juga akan mendoakannya.

Pengambilan makanan sahur adalah titik yang membezakan antara puasa penganut agama lain dengan puasa kaum muslimin kerana penganut lain tidak bersahur sebelum berpuasa.

Waktu sahur adalah waktu yang paling mustajab untuk berdoa kepada Allah S.W.T.

Sahur itu boleh dilakukan dengan sedikit makan walaupun cuma seteguk air. Namun tidak digalakkan untuk mengambil terlalu sedikit atau terlalu banyak makanan pada waktu sahur. Memadai dalam anggaran yang secukupnya bagi membantu untuk mengerjakan puasa pada keesokan harinya kerana pengambilan makanan yang terlalu banyak atau terlalu sedikit pasti akan mengganggu kesihatan.


2. Kelebihan Bersedekah Di Bulan Puasa.

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:

"Sedekah yang paling utama adalah sedekah pada bulan Ramadhan.”

(Riwayat at-Tirmidzi)

Huraian :
Setiap umat Islam seharusnya berlumba-lumba untuk melakukan kebajikan di bulan Ramadhan tanpa memikirkan sebarang kerugian seperti membanyakkan bersedekah kerana balasan di atas setiap satu kebajikan itu adalah amat besar di sisi Allah di hari akhirat kelak.

Bersedekah bukan hanya memberikan wang, tetapi termasuk di dalamnya mengajak berbuka puasa kepada fakir miskin dan orang-orang yang berpuasa.

Konsep "memberi" (bersedekah) harus diterapkan secara maksimum bukan sahaja selama Ramadhan bahkan di bulan-bulan lain juga kerana selalu bersedekah akan memberikan pengaruh yang baik pada peribadi dan masyarakat umumnya di mana seseorang itu akan dapat menghakis sifat kedekut dalam dirinya di samping mempereratkan lagi ikatan kemesraan di dalam anggota masyarakat tanpa mengira taraf dan kedudukan seseorang itu.

Sedekah yang diterima dan bernilai di sisi Allah adalah sedekah yang ikhlas, bukanlah untuk menunjuk-nunjuk.


3. Hikmah Kewajipan Membayar Zakat.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

”Sesungguhnya Allah telah memfardhukan zakat sebagai pembersihan terhadap harta.”

(Riwayat Bukhari)

Huraian :
Harta juga adalah merupakan suatu unsur yang memerlukan pembersihan dan penyucian kerana dalam proses mendapatkan dan mengembangkan harta ia sering terdedah oleh perkara-perkara yang syubhat.

Zakat merupakan alat untuk menyucikan harta demi menghindari keburukan dan kejahatan yang terkandung di dalamnya.

Tujuan zakat dalam syariat adalah untuk memenuhi keperluan golongan fakir miskin, orang yang dibebani hutang dan para musafir dan juga sebagai tunjang kepada kemaslahatan kaum Muslimin seperti untuk berjihad di jalan Allah, sebagai sumbangan kepada muallaf yang baru memeluk Islam dan pertolongan kepada kaum keluarganya serta perkara-perkara yang boleh mengukuhkan agama dan kedaulatan negara Islam.

Islam berprinsip bahawa seluruh harta pada hakikatnya hanyalah milik Allah SWT. Manusia adalah ditugaskan untuk memegang harta tersebut dan zakat yang diwajibkan itu berfungsi sebagai satu jaminan sosial dalam Islam.


4. Orang-orang Yang Berhak Menerima Zakat.

Dari Abu Hurairah r.a. katanya: Rasulullah SAW bersabda:

“Orang fakir miskin (yang sangat menderita) bukanlah orang yang (menadah tangan) meminta- minta ke sana ke mari kepada orang ramai, yang apabila ia mendapat sesuap atau dua suap makanan, atau mendapat sebiji atau dua biji buah kurma – ia akan pergi ke tempat lain meminta lagi. Sebenarnya orang fakir miskin (yang sangat-sangat menderita) itu ialah orang yang tidak mempunyai sesuatu yang mencukupi sara hidupnya. Dan ia pula malu hendak meminta bantuan kepada orang ramai, dan orang ramai pula tidak mengetahui keadaan penderitaannya untuk diberi bantuan.( orang inilah yang sebenarnya layak diberi zakat)”
(Imam Ahmad)

Huraian :
Golongan Fakir miskin adalah orang-orang yang hidupnya susah yang terdesak sehingga terdorong meminta sedekah ke sana ke mari.

Terdapat segelintir fakir miskin yang hidupnya sentiasa lapar dan menderita, dan mereka pula tidak rela mengadukan hal kepada orang lain. Keadaan mereka yang menyedihkan itu tidak diketahui umum. Golongan inilah sebenar-benarnya yang miskin, dan merekalah yang lebih layak menerima zakat.

Golongan yang berhak menerima zakat terbahagi kepada lapan asnaf, mereka ialah: orang fakir, orang miskin, amil, golongan muallaf, hamba abdi, orang yang menanggung hutang untuk dibelanjakan pada jalan Allah dan orang-orang musafir.

Mereka yang layak menerima zakat pula disyaratkan antaranya; beragama Islam, bukan orang yang ditanggung nafkahnya dan bukan dari keturunan Nabi Muhammad SAW.


5. Puasa Tanpa Berbuka.

Dari Ibnu Umar r.a katanya:

”Nabi SAW melarang puasa sambung (terus-menerus tanpa berbuka). Para sahabat bertanya: Bukankah baginda sendiri melakukan puasa wisol? Nabi saw. menjawab: “Sesungguhnya aku tidak seperti kalian. Aku diberi makan dan minum.”

-

Huraian :
Makan dan minum wajib hukumnya untuk memenuhi keperluan gizi harian agar dapat meneruskan kehidupan. Lantaran itu Islam sebagai agama yang sederhana tidak menuntut umatnya agar melampau dalam mengerjakan ibadat sehingga mendatangkan mudharat. Sebaik-baik ibadah di sisi Allah adalah yang dilakukan secara istiqamah (berterusan) meskipun sedikit di samping berniat ikhlas kerana Allah SWT dan bukan untuk menunjuk-nunjuk.


6. Ganjaran Puasa Ramadhan.

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:

”Semua amalan anak Adam digandakan kebaikannya sepuluh kali ganda serupa dengannya hingga tujuh ratus kali ganda, Allah Azza Wajalla berkata "Melainkan puasa, kerana ia untuk-Ku dan Aku sendiri yang membalasnya, mereka meninggalkan syahwat dan makanannya kerana-Ku.” Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan; kegembiraan semasa berbuka dan kegembiraan semasa menemui Tuhannya, dan bau busuk (dari mulut orang yang berpuasa) kerana berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada bau Musk.”

(Riwayat Bukhari & Muslim)

Huraian :
Puasa merupakan perkara ‘dharuriah’ dalam agama di mana sesiapa yang mengingkari wajibnya puasa maka ia menjadi kufur, manakala sesiapa yang meninggalkan puasa tanpa uzur syarie, hendaklah ia dihukum.

Puasa memaksa kita meninggalkan nafsu syahwat walaupun pada perkara yang telah dihalalkan untuk melakukannya (sebelum Ramadhan). Dengan itu puasa sebenarnya dikatakan sebagai pendidik untuk kita menjadi lebih tegas, berdisiplin dan sabar dalam berhadapan dengan sebarang godaan sepanjang Ramadhan berlangsung.

Bulan Ramadhan dikenali juga sebagai bulan prestasi, di mana Allah memberikan kesempatan kepada orang-orang yang beriman untuk memperbaiki darjatnya di sisi Allah SWT bahkan di bulan ini semua aktiviti yang harus di sisi syarak dikira sebagai suatu ibadah kepada Allah SWT

Puasa yang dilakukan dengan ikhlas kerana Allah semata-mata akan bernilai sepuluh kebajikan (atau lebih). Oleh itu orang yang puasa di bulan Ramadhan dan diiringi dengan puasa enam hari di bulan Syawal dinilai sama dengan puasa sepanjang tahun. Hal demikian disebutkan dalam hadis Rasulullah SAW.

Ramadhan adalah bulan ibadah untuk mendekatkan diri kepada Allah seperti yang dilakukan oleh para salafus-soleh. Dengan itu kita hendaklah benar-benar berusaha agar tidak ada waktu berlalu tanpa amal soleh sepanjang Ramadhan ini kerana bulan Ramadhan adalah bulan permohonan, munajat, hidayah dan meraih petunjuk kebenaran daripada Allah SWT.


7. Berbuka Yang Diharuskan.

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:

”Sesiapa yang berbuka puasa Ramadhan bukan kerana rukhsah (kelonggaran) yang dirukhsahkan oleh Allah, tidak dapat diqadha’kan dengan puasa setahun walaupun ia betul-betul (melakukan) puasa setahun itu.”

(Riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan at-Tirmidzi)

Huraian :
Ketentuan sakit untuk tidak berpuasa adalah sakit yang menyebabkan penderitaan atau menjadi semakin parah jika terus berpuasa, atau akan semakin lambat sembuhnya sesuatu penyakit. Di sisi syarak peranan ahli perubatan (doktor) adalah sangat penting dan diperlukan untuk menentukan apakah seseorang pesakit itu boleh berpuasa ataupun tidak.

Kelonggaran yang biasa diharuskan untuk berbuka puasa itu ialah seperti kepada orang yang terlalu tua atau sakit yang tiada harapan untuk sembuh, orang yang sedang bermusafir, wanita yang mengandung dan menyusukan anak yang ditakuti akan mendatangkan mudharat kepada diri atau pun anaknya dan beberapa jenis keadaan sakit yang lain. Manakala sakit yang ringan seperti sakit kepala dan sebagainya tidak diharuskan meninggalkan puasa. Walhal meninggalkan puasa walaupun sehari, dengan sengaja tanpa alasan yang dibenarkan oleh syarak merupakan satu dosa besar sebagaimana yang pernah tersebut di dalam hadis.

Wanita yang haid dan wanita yang keluar darah nifas adalah golongan yang wajib berbuka puasa tetapi diwajibkan mengqada’kan semula puasanya di bulan yang lain.

Orang yang berbuka puasa pada bulan Ramadhan kerana terlupa, maka tidak wajib qadha dan tidak wajib kifarat kerana terdapat sebuah hadis RasulullahSAW menyebutkan yang maksudnya:

” Apabila ia (orang yang berpuasa) lupa, kemudian ia makan dan minum, maka hendaklah ia menyempurnakan puasanya, kerana sesungguhnya Allah-lah yang telah memberi makan dan minum kepadanya"

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Puasa tidak wajib hukumnya ke atas kanak-kanak yang belum baligh tetapi hendaklah dididik dan dibiasakan semenjak kecil untuk berpuasa.


8. Beradab Ketika Minum.

Rasulullah SAW telah bersabda yang maksudnya:

”Jangan kamu minum sekaligus seperti binatang ternakan minum, tetapi minumlah dua kali atau tiga kali, membaca bismillah bila mula minum dan membaca alhamdulillah sesudah selesai.”

(Riwayat at-Tirmidzi)

Huraian :
Islam mementingkan adab dan sopan dalam segala perkara termasuklah makan dan minum.

Ketika makan kita ditegah daripada gelojoh begitu juga ketika minum hendaklah minum dengan perlahan dan jangan bernafas dalam bekas minuman serta dilarang juga minum sambil berdiri. Semua ini kerana mengambilkira faktor kesihatan dan kebersihan disamping dapat mencerminkan tatatertib yang sopan bagi seorang Islam.

Mengecap rezeki yang dimakan atau diminum sebaik-baiknya ialah dengan membaca bismillah sebagai memuji Allah SWT yang mengurniakan rezeki dan mengucapkan alhamdulillah sebagai mensyukuri nikmat yang telah diberikan itu.


9. Sunat Melambatkan Waktu Bersahur.

Daripada Zaid bin Sabit r.a. katanya: “Kami pernah bersahur bersama-sama Rasulullah SAW, Selepas itu kami berdiri untuk menunaikan solat subuh, kamipun bertanya kepada baginda:

“Berapa jarak sebenar di antara kedua-dua itu? (di antara makan sahur dengan sembahyang subuh)”.

Baginda pun menjawab:

“sekira-kira cukup membaca lima puluh ayat”.

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Huraian :

Orang yang hendak makan sahur disunatkan melambatkan berbuat demikian sehingga hampir dengan waktu subuh.

Jarak yang paling afdhal untuk bersahur dengan masuknya waktu subuh ialah sekadar lama bacaan lima puluh ayat al-Quran.

Umat Islam digalakkan bersahur kerana perbezaan antara puasa orang-orang Islam dengan puasa ahli Kitab ialah dengan makan sahur.


10. Lailatul Qadar Turun Pada Malam Ganjil.

Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a. ia berkata:

“Dinampakkan dalam mimpi seorang lelaki bahawa Lailatul Qadar berlaku pada malam kedua puluh tujuh, maka Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Saya pun (Nabi) bermimpi seperti mimpimu, (dinampakkan pada sepuluh malam terakhir.) maka carilah ia (Lailatul qadar) pada malam-malam yang ganjil.”


(Riwayat Muslim)

Huraian :
Malam Lailatul Qadar adalah malam rahsia, yang turun padanya Malaikat Jibril dan malaikat-malaikat yang lain ke bumi dengan perintah Allah.

Setiap ibadat yang dilakukan bertepatan pada malam lailatul qadar dengan penuh ikhlas, insya Allah amalannya akan diterima oleh Allah dan diampunkan semua dosanya yang telah lalu.

Virtual Friends - Copyright © 2001-2021 Webber Dot My Solutions (002351632-A). All rights reserved