Unregistered Member
sign up
 Login

Username or Email

Password

Forget Password?

Free Register

 Main Page
 Announcement
 Discussion
 Article
 Photo Album
 Market Place
 Sharing List
 Stateboard
 Member List
 Like
 Applications
 Sign-Up

Article

 GuruBashid • 5 months ago • 536 viewed


Pencapaian HEM 2017 dan Halatuju 2018

Assalamu’alaikum wr wbt dan salam sejahtera kepada semua guru dan staf khususnya guru-guru di bawah JK Hal Ehwal Murid (HEM).

Saya memulakan tulisan ini dengan ucapan tahniah kepada semua guru, khususnya unit HEM yang telah berjaya memastikan tugasan di bawah HEM berjaya dijalankan dan mencapai standard yang kita sasarkan.

Antara kejayaan yang membanggakan ialah apabila seratus peratus murid myChangkat memakai tali leher pada tahun 2017 setelah melalui tempoh setahun percubaan sebelumnya. Ternyata apabila murid memakai tali leher, penampilan diri mereka khususnya pelajar lelaki menjadi lebih kemas dan menarik serta dapat menonjolkan identiti sebagai murid SMK Changkat Beruas atau myChangkat.

Perlanggaran disiplin termasuk vandalisme hampir tidak berlaku kecuali daripada punca kesalahfahaman kecil yang telah berjaya diatasi melalui mekanisme permuafakatan dan rundingan antara ibu bapa murid yang terlibat dan berkat hubungan baik antara pihak sekolah dengan PIBG.

Kelas di bawah Program 3K melalui pendekatan Kelas Ada C.L.A.S.S bukan sahaja berjaya mewujudkan kondisi bilik darjah yang kondusif dan cantik untuk belajar, tetapi juga telah mewarnai sebahagian aktiviti keceriaan di sekolah.

Saya dapati semua kelas telah bersaing secara sihat dan lebih proaktif berbanding tahun 2016 dalam mengurus kelas mereka di bawah pimpinan dan bimbingan guru kelas yang berdedikasi.Walaupun tiada pertandingan kelas terceria yang melibatkan myChangkat baik di peringkat daerah, mahupun negeri dan kebangsaan, namun semua kelas semakin bertambah cantik dan kemas.Secara tidak langsung ini membantu kemenangan kita di tempat ke-3 dalam Pertandingan 3K di peringkat Negeri.

PlusOne kekal sebagai antara premis yang terbersih pada tahun 2017 yang layak dibench mark oleh unit-unit lain di sekolah dan juga oleh sekolah-sekolah lain di Manjung sehingga berjaya diberi taraf Tandas Lima BIntang di peringkat negeri dan menjadi antara sepuluh tandas terbersih dalam kalangan sekolah menengah di negeri Perak.

Saya percaya jika kesemua unit PlusOne (sebutan baharu bagi tandas), myChangkat ditambahkan keharumannya, diserlahkan warnanya, ditambah baik aksesori dalam dan luarnya, dokumen serta maklumat di dalamnya dperbanyakkan dan suasana welcoming di luar tandas dilebarkan sehingga ke anak tangga PlusOne kita insya-Allah akan menjadi jauh lebih baik daripada tandas di sekolah lain menjelang 2018 dan layak untuk meraih 3 tempat utama di peringkat negeri atau kebangsaan pada tahun yang sama.Itu menjadi keyakinan saya

Selain itu kita telah mengekalkan skim bantuan di bawah program kebajikan sekolah, begitu juga aktiviti di bawah Program Guru Penyayang dan myChangkat We Care, selain menambah lebih ramai murid yang menerima bantuan oleh pihak luar seperti Baitulmal. Laungan myChangkat, weCare yang pernah terbantut seketika, mesti menjadi laungan utama yang lebih segar dan lebih meluas kepada seluruh perjumpaan, perhimpunan dan acara sekolah.

Menjelasng 2018, lebih ramai murid kita dilibatkan dalam acara rasmi sekolah, selain didedahkan dengan pengalaman kepimpinan dan pengurusan. Kelihatannya pelajar kita lebih berani trampil pada tahun 2017, walaupun pada keseluruhannya lebih ramai yang berasa rendah diri. Justeru untuk mendedahkan mereka lebih mendalam dalam aspek pengurusan dan kepimpinan, serta menambahkan keyakinan diri dan keberanian dalam berhadapan dengan situasi majlis rasmi dan orang ramai, maka pada tahun 2018, mereka mesti diberi peluang mengarang teks ucapan, do’a dan pengacaraan mereka sendiri dengan bimbingan guru yang minimum. Jika sebelum ini guru yang mengarangnya dan mereka hanya melafazkannya, kali ini guru memandu dan membimbing mereka dari awal proses tanpa perlu campurtangan maksimum.

Jika ada yang kekurangan, ia hanya melibatkan 3 perkara iaitu 1.Kehadiran murid ke sekolah, 2.Tumpuan kepada aspek belajar dan menambahkan pengetahuan dan 3. Menghargai sumbangan dan berterima kasih kepada mereka yang memberi.

Kehadiran murid ke sekolah pada tahun 2018 mesti mencapai sekurang-kurangnya 95% agar selari dengan kadar kehadiran yang ditetapkan di peringkat kebangsaan. Walaupun peratus keberadaan guru meningkat setiap tahun, dari tahun 2015, 2016 dan 2017, namun kadar peratusan kehadiran murid sepanjang tahun 2017 sedikit mengecewakan sebab tidak mencapai 90%, sedikit menurun daripada tahun sebelumnya, malahan muncul antara sekolah yang mencapai kehadiran yang terendah di negeri Perak.

Unit HEM dibantu oleh GBK, Penyelaras Tingkatan dan Guru Kelas mesti melakukan sesuatu tindakan yang lebih menyeluruh (komprehensif) dan mencakupi(holisitik) dalam meningkatkan jumlah kehadiran murid myChangkat sepanjang 2018 dengan melaksanakan program intervensi yang lebih berani dan berkesan.

Program tradisi seperti turun ke padang, ziarah ke rumah, cakna kepada kebajikan mereka serta keceriaan sekolah dan kelas mesti ditingkatkan agar mereka lebih tertarik hati untuk hadir ke sekolah dan seronok dan santai berada lebih lama di dalamnya. Tentunya ini dibantu dengan kewujudkan PSS sebagai port santai yang menarik dan lengkap selain kelas-kelas Abad ke-21nya yang kondusif untuk menjadi tempat berkumpul dan menimba ilmu yang terbaik sebagai ganti rumah dan persekitaran tempat tinggal yang tidak lengkap dan sempurna.

Amalan pemeriksaan dua kali atau lebih ke atas semua kelas untuk memuktamadkan jumlah kehadiran murid dan pengisian maklkumat kehadiran murid di Sdudut Atas Kanan Papan Putih serta Buku Kawalan Kelas serta Kad Kebenaran Keluar sebagai instrument pemantauan ke atas murid mesti diberi penekanan sepanjang tahun 2018 dengan mencipta satu mekanisme pergerakan pengesanan yang lebih baik.

Begitu juga hasrat Changkat Angkat Empat atau seorang guru mengambil 4 orang anak angkat (muat satu kereta) yang digembar gembur pada akhir tahun 2017 mesti dilaksanakan sebagai usaha intervensi tambahan untuk meningkatkan kehadiran murid ke sekolah.

Memandangkan hanya di sekolahlah mereka boleh belajar dengan sempurna, selain kefardhuan solat mereka tertunai seperti yang sepatutnya, maka sekolah mesti menyediakan premis dan persekitarannya sebagai PSS melalui pendekatan Satu Sekolah Pusat Sumber (1SPS).Di mana-mana pun di si sekolah ini sebagai tempat belajar, tempat mendapat maklumat, tempat merujuk dan tempat beristirehat, maka fungsi sekolah sebagai pusat sehenti pengetahuan dan maklumat, dan slogan segala yang manis bermula di sini hendaklah dijelmakan di bawah dokongan kuat Guru Pusat Sumber dan diletak terus di bawah Unit Akademik Sekolah.
Guru Agama juga mesti memastikan surau dalam keadaan siap siaga dan boleh guna pada bila-bila masa, termasuk solat subuh bagi yang tidak sempat bersolat Subuh dan solat Zohor sebelum murid balik. Tentunya solat Dhuha secara bergilir-gilir boleh dilakukan pada tahun hadapan dengan mengambil sebahagian waktu rehat yang agak panjang daripada sebelumnya.Tentunya aktiviti baca Yaasin dan Solat Hajat pada setiap hari Jumaat termasuk Quran Hour dikekalkan .

Saya perhatikan dalam tempoh 3 tahun saya berada di myChangkat, ada satu kekurangan yang perlu diatasi segera. Murid kita banyak menerima kemudahan yang disediakan oleh pihak sekolah, juga bantuan oleh pihak kerajaan dan agensi lain.Ini meliputi aspek kebajikan, bantuan, sumbangan, SPBT, kursus, lawatan, program motivasi dan peperiksaan serta jamuan, namun sangat kurang yang tampil untuk mengucapkan terima kasih atas apa yang mereka perolehi dan kecapi selama bersekolah di myChangkat.

Ironinya, segelintir murid yang tidak dapat apa-apa bantuan walaupun berpunca daripada kesalahan atau kecuaian mereka sendiri, datang berjumpa kita dan bertanya mengapa mereka tidak dapat bantuan seperti rakan mereka yang lain.

Usaha kita untuk membawa masuk bantuan dan sumbangan termasuk ke dalam tabung PIBG,bertungkus lumus mengesan murid yang sepatutnya menerima bantuan kebajikan, memastikan ramai yang memohon dan berjaya menerima bantuan, dan sebarang usaha yang tertumpu kepada kebajikan diri mereka seolah-olah tidak seimbang dengan penghargaan dan ucap terima kasih yang kita dapat.

Kita tidak rugi apa-apa jika mereka yang memperoleh semua bantuan ini tidak berterima kasih kepada kita.Kita tidak kurang apa-apa pun. Cumanya jika generasi muda yang bakal menjadi pemimpin dan anggota masyarakat pada masa akan datang ini tidak ditegur dan tidak dibiasakan dengan nilai berterima kasih, nilai menghargai pengorbanan yang dicurahkan oleh sekolah, terutama oleh para guru dan bersyukur kepada pihak yang memberi seperti kerajaan, kita khuatir nilai terpuji ini akan terhakis daripada amalan seharian mereka.

Kesan jangka panjang yang membimbangkan kita, apa sahaja yang mereka telah perolehi hanya dianggap sebagai biasa-biasa sahaja tanpa ada perasaan yang menyentuh hati nurani mereka bahawa setiap pemberian yang mereka telah terima itu sebenarnya diperoleh dengan susah payah seseorang dan sesuatu pihak iaitu sekolah dan PIBG, bukan datang dengan senang seperti peribahasa Melayu lama yang bulat tidak datang bergolek dan yang pipih tidak datang melayang.

Banyak usaha yang dibuat dan banyak masa yang diambil untuk membawa masuk sesuatu bantuan itu ke sekolah dan seterusnya sampai ke tangan mereka.Tidak semudah mereka yang telah menerima dan membelanjakannya.

Justeru kita mahu dalam subjek dan aktiviti Pendidikan Moral, Pendidikan Islam, PSK dan aktiviti-aktiviti agama dan kesedaran diri memberi penekanan kepada aspek ini.Hal yang satu ini mesti diwarwarkan lebih hebat lagi sepanjang tahun 2018 agar seimbang dan sepadan dengan dengan hebahan dan tumpuan kebajikan yang kita beri selama ini.

Untuk memastikan hal yang di atas tercapai maka aspek bantuan dalaman seharusnya mengambil kira faktor ini, iaitu kita mesti memberi sedikit pengajaran kepada mereka dengan mengutamakan bantuan dan sumbangan hanya kepada mereka yang tahu bersyukur dan berterima kasih selain menunjukkan akhlak yang baik. Barulah institusi persekolahan tempat murid menerima nilai yang baik dan pengetahuan menjadi lebih bermakna dan bersifat dinamik.

Akhir kata, saya berharap sepanjang 2018 Unit HEM akan berupaya bergerak tanpa banyak teguran dan campurtangan daripada pihak pengurusan, mendapatkan lebih banyak dokumen dan buku panduan untuk bergerak dan tentunya yang lebih utama mengerahkan segala keringat dan minda serta segala sumber yang ada untuk merealisasikan hasrat 95% kehadiran murid.

Selain berpandukan bimbingan yang diberikan, Unit HEM mesti lebih kreatif dan lebih berani menggerakkan tenaga kerjanya untuk memastikan hasrat ini tercapai dan sudah tentu dalam pengetahuan Pengetuanya.Untuk menjadikannya lebih mudah Buku Panduan Pengurusan HEM, Modul Pembangunan Sahsiah Murid, Modul MKT dan Modul Pengawas dan Kepimpinan Murid yang telah dikeluarkan sejak dua tahun lagi yang pelaksanaannya mesti diubah suai ikut keperluan sekolah dan artikel-artikel dalaman yang diterbitkan secara berkala kekal menjadi panduan yang dan pegangan yang berguna oleh mereka yang terlibat dalam menggerakkan Unit HEM.

Tahniah atas apa jua pencapaian membanggakan sepanjang tahun 2017 yang saya kira jauh meningkat berbanding tahun-tahun sebelumnya.Dan segala kekurangan yang ada mesti disedari dan telah dan berterusan difikirkan untuk mengatasinya agar apa jua usaha yang kita lakukan untuk sepanjang 2018 lebih meninggalkan kesan yang positif dan akhirnya hasilnya akan menjadi lebih baik daripada tahun 2017.

Al-Hamdulillah, terima kasih dan mohon maaf daripada saya atas apa jua kekurangan dan kelemahan. Saya do’akan Allah memelihara kita dan merestui usaha-usaha kita.

Wassalamualaikum wr wbt.

MyChangkat We Care,

(Abd Bashid Bin Harun)
Pengetua

Virtual Friends - Copyright © 2001-2018 Webber Dot My Solutions (002351632-A). All rights reserved