Unregistered Member
sign up
 Login

Username or Email

Password

Forget Password?

Free Register

 Main Page
 Announcement
 Discussion
 Article
 Photo Album
 Market Place
 Sharing List
 Stateboard
 Member List
 Like
 Applications
 Sign-Up

Article

 DilaDellila • 11 years ago • 2,421 viewed


Oleh : Ustaz Shamsul Siar pada : 14 Febuari 2002
Memperingati hari kekasih atau Valentine's Day bukan budaya Islam dan tiada hubungannya dengan ajaran. Hari Kekasih yang disambut pada 14 Februari setiap tahun, adalah suatu budaya yang dihayati Barat yang ketandusan nilai-nilai agama dan kasih sayang.

Sejarah asal hari ini mempunyai hubungan dengan pemujaan berhala dan patung dalam masyarakat orang Rom sebelum 17 abad yang lalu. Perayaan ini pada mulanya diperkenalkan dalam masyarakat mereka sebagai hari mencintai tuhan atau patung pujaan.

Antara legenda yang tersebar di kalangan orang Rom dan kemudiannya dipercayai penganut agama Kristian, kononnya Romelios Datuk Bandar Rom, pernah disusuli seekor binatang ganjil. Sejak itu ia mendapat kekuatan tenaga dan fikiran yang luar biasa.

Orang Rom menjadikan peristiwa yang berlaku pada tarikh 14 Februari itu, sebagai sejarah bagi perayaan tahunan mereka yang diadakan secara besar-besaran. Antara upacara rasmi pada hari itu ialah menyembelih anjing dan kambing betina, kemudian darahnya dilumur pada badan dua pemuda, kemudian dibasuh dengan susu, sebelum mereka diarak di tengah-tengah kota Rom.

Ketika perarakan berlangsung, kedua-dua pemuda itu memegang kulit anjing dan kambing yang disembelih dan masih berlumuran darah, mereka mencalit darah itu kepada siapa sahaja yang sempat dicalit. Anak-anak gadis bangsa Rom sangat suka jika badan mereka sempat dicalit darah oleh dua pemuda itu, kerana dipercayai mereka mampu mengandung dan tidak akan mandul lagi.

Sumber-sumber juga menyatakan, Valentine atau disebut juga Valentino adalah nama seorang paderi Kristian yang sangat berpengaruh dan giat menyebarkan agama Kristian di Rom, iaitu ketika pemerintahan raja yang bernama Claudius II. Pada masa pemerintahannya, Raja Rom memenjarakan ramai orang Kristian kerana mengamalkan ajaran yang bertentangan agamanya. Paderi Valentino juga tidak terkecuali dari tindakan itu.

Walaupun berada dalam penjara, paderi Valentino tetap juga menyebarkan agama Kristian kepada banduan-banduan penjara. Kegiatan ini diketahui oleh Raja Rom yang tidak suka agama Kristian disebar dalam negaranya, lalu beliau sekali lagi diseksa dan akhirnya dibunuh pada 14 Februari 296M. Orang-orang Kristian menganggap paderi Valentino merupakan seorang yang mulia, kerana sanggup berkorban dan mati kerana mempertahankan agama Kristian dan penganut-penganutnya.

Justeru pengorbanan yang begitu besar, paderi Valentino diberi gelaran St atau kedudukannya sama dengan Jesus yang kononnya mati kerana menebus dosa yang dilakukan oleh pengikut-pengikutnya. Bagi mengingati St. Valentino, maka pada tahun 350M, sebuah gereja dibina berhampiran perkuburan beliau.

Sumber-sumber menyatakan juga, ketika St. Valentine dalam penjara, beliau jatuh cinta pada anak seorang pegawai penjara. Kesalahan ini menyebabkan beliau boleh dibunuh, tetapi sebelum itu Raja Claudius II memberi kepadanya pilihan, sama ada meninggalkan agama Kristian yang dianutinya atau menerima hukuman bunuh. Beliau rela dibunuh, tetapi sebelum itu beliau sempat menulis surat cinta kepada gadis tersebut dengan menurunkan tanda tangan From your valentine (daripada Valentinemu).

Sejak peristiwa itu, orang Kristian mengambil sempena 14 Februari pada setiap tahun untuk merayakan hari kasih sayang bagi memperingati hari kematian St. Valentine, paderi kesayangan mereka.

Sumber-sumber menyatakan lagi, antara kepercayaan orang Rom pada ketika itu, ialah menulis nama remaja wanita pada sehelai kertas, kemudian digulung beberapa helai lagi kertas kosong yang tidak bertulis apa-apa, lalu diletak di atas meja, kemudian dipersilakan remaja lelaki yang berhasrat kahwin wanita itu mengambil sehelai kertas yang disediakan. Jika namanya keluar kepada mana-mana lelaki yang mengambil kertas yang tertulis namanya, lelaki berkenaan diberi tempoh setahun untuk bercinta, sebelum perkahwinan diteruskan atau majlis seumpama itu diulangi lagi pada tahun-tahun hadapan.

Setelah sekian lama budaya ini berjalan dalam masyarakat Rom, kalangan ahli agama Kristian menyatakan rasa kurang senang mereka dengan budaya ini, lalu perayaan hari kekasih ini diharamkan, kerana ramai muda mudi menjadi rosak akhlak, akibat budaya buruk ini. Tetapi budaya ini dihidupkan semula pada abad ke-18 dan 19 Masihi, iaitu dengan mencetak kad-kad Valentine yang mengandungi ucapan-ucapan seperti Happy Valentine's Day and I'll always love you, will you be my valentine dan sebagainya. Berpandukan fakta dan maklumat ini, kita boleh membuat beberapa kesimpulan berikut:

Pertama, perayaan Valentine's Day mempunyai hubungan kepercayaan dengan agama berhala yang memuja patung. Amalan memuja patung dan berhala dalam Islam adalah salah dan berdosa besar. Dosanya tidak diampuni Allah, kecuali dengan taubat yang suci dan bersih.

Kedua, sejarah asal kelahiran perayaan ini dipercayai ada hubungannya dengan kisah dongeng, iaitu seekor binatang ganjil menyusukan datuk bandar Rom, lalu memberi kepadanya kekuatan tenaga dan fikiran. Kepercayaan ini bertentangan akidah Islam yang mempercayai bahawa Allah jua yang memberi kekuatan kepada hamba-Nya.

Ketiga, ucapan perayaan yang dilakukan dengan menyembelih anjing dan kambing, kemudian melumur darahnya kepada badan dua pemuda dan membasuhnya dengan susu, sebelum mereka diarak di tengah-tengah bandar, kemudian mencalit badan siapa jua yang sempat dicalit dengan darah anjing dan kambing adalah suatu amalan kotor dan keji dari segi Islam.

Keempat, ramai penganut Kristian meragui kesahihan St. Valentine mempunyai hubungan dengan amalan pemujaan patung dan berhala. Jika sumber-sumber Kristian meragui kebenarannya, maka orang Islam lebih wajar menolak perayaan itu, kerana ajaran hendaklah berasaskan berita yang sahih dan benar.

Kelima, perayaan ini pernah diharam oleh paderi-paderi Kristian di Itali pada suatu ketika dahulu, dengan alasan ia banyak merosakkan akhlak muda mudi mereka. Umat Islam sepatutnya tidak mengambil apa yang buruk dan diakui keburukan oleh pengamal-pengamalnya sendiri. Sebaliknya mereka disuruh mengambil langkah-langkah mencegah perbuatan seumpama itu, atas nama amar makruf dan nahi mungkar. Sebagai seorang muslim, mungkin kita bertanya lagi, mengapa perayaan memperingati cinta itu dilarang? Apa salahnya kita bercinta, sedangkan Islam tidak melarang umatnya bercinta dan berkasih sayang antara satu sama lain.

Bagi menjawab kekeliruan tersebut dinyatakan beberapa fakta dibawah.

1. Perayaan dalam Islam adalah ibadat, ia telah ditentukan cara dan penghayatinya oleh nabi. Dalam sebuah hadis, baginda bersabda: Setiap kaum ada perayaan. Bagi kaum ini (Islam) juga ada hari-hari perayaannya, iaitu Hari Raya fitrah dan Hari Raya korban. (al-Bukhari 952, Muslim 189200).

2. Kita dilarang keras meniru kaum musyrikin atau penyembah berhala. Sesiapa meniru budaya sesuatu kaum, maka ia tergolong dalam kaum itu. Banyak ayat al-Quran dan hadis melarang amalan meniru, seperti sabdanya: Sesiapa menyerupai sesuatu kaum, maka ia termasuk dalam kaum itu.

3. Percintaan yang dimaksudkan pada Hari Kekasih ini terlalu umum dan melampaui batas-batas kesederhanaan. Islam memang agama kasih sayang, tolong-menolong dan merangsang supaya bersatu hati, tetapi hendaklah berjalan di bawah payung imam dan takwa.

Berpandukan alasan-alasan tersebut di atas, ulama Islam sepakat memfatwakan haram bagi masyarakat Islam ikut serta merayakan Hari Kekasih, menyambut ucapan dan melakukan perbuatan yang menjadi syiar hari itu, seperti menghadiah bunga ros, meniup belon merah, memakai blaus merah dan sebagainya. Antara ulama yang memfatwakan haram menyertai perayaan ini ialah Dr. Saud Salleh dari Universiti Azhar, Syeikh Uthaimin dari Majlis Fatwa Saudi Arabia, Syeikh Jabrin dan lain-lain.

Ibu bapa yang beragama Islam seharusnya tidak memberi kerjasama kepada anak-anak remaja mereka ikut serta dalam perayaan ini. Mungkin imam-imam masjid juga dapat membantu menyebarkan kefahaman yang betul menerusi khutbah-khutbah Jumaat dan ceramah-ceramah agama, sebelum budaya ini membesar dalam masyarakat ini.

Source:UtusanOnline & forwarded email & Shukur.com
posted at 1:25 PM

Virtual Friends - Copyright © 2001-2014 Rakan Maya (PPM-0003-10-14012014). All rights reserved